Cinta Sempurna Menghampiri Penghujungnya

Teledrama Cinta Sempurna sudah hampir ke penghujungnya.

Banyak persoalan semakin terjawab.

Mengambil pendekatan dakwah secara populis (drama, blog interaktif yang dibuka ruang komen dan komen balas), membuka ruang kepada maklum balas yang sangat luar biasa. Dalam erti kata yang lain, kalau anda mudah terganggu dengan ‘apa orang lain kata’, ada baiknya dihindarkan pendekatan dakwah secara populis ini dan kekal sahaja dengan cara sehala yang sinonim dengan kaedah konvensional.

Hanya pesanan Nabawi ini sahajalah pengubatnya:

 الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ، وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ، خَيْرٌ مِنَ الَّذِي لاَ يُخَالِطُ النَّاسَ، وَلاَ يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ

“Seorang mukmin yang bergaul dengan orang ramai serta bersabar dengan kesakitan akibat pergaulan dengan mereka itu, adalah lebih baik dari seorang mukmin yang tidak bergaul dengan orang ramai serta tidak bersabar atas kesakitan akibat pergaulan itu”
(Al-Adab Al-Mufrad : 388)

Ketika drama ini di peringkat perancangan, pembikinan dan penggambaran, komen-komen pembaca di blog Saifulislam.Com sudah pelbagai.

Tatkala salinan lima episod pertama diserahkan kepada saya untuk prebiu, saya sudah menyiapkan diri untuk berdepan dengan komen yang lebih agresif memandangkan banyak aspek penampilan drama ini yang boleh dengan mudah menjadi sasaran kritikan.

Oleh kerana manusia yang berblog itu bukan penerbit, pengarah mahu pun pelakon, sebaliknya penulis skrip dan ‘mangsa realiti pemilik cerita asal’, maka saya dan Ustaz Zabidi Mohamed jualah yang berada di frontline bagi bersemuka dengan segala komen, kritikan dan sesekali cadangan untuk penambah baikan.

Tatkala menyusuri komen-komen yang begitu banyak di internet, kaget juga saya dibuatnya. Kritikan yang ditujukan kepada saya bukan sekadar pada penampilan pelakon, ketiadaan sari kata pada dialog Inggeris, atau iklan dan masa tayangan, malah saya turut dikritik sebagai ustaz pendek, gemuk dan macam-macam lagi.

Malah ada juga yang kritikannya hingga ke tahap saya khuatirkan keselamatan diri dan keluarga! Terlalu obses pada menyukai atau terlalu obses pada menolak dan membenci.

Bagi saya, jika kehidupan ini sebiji karipap, itulah inti sebenar yang terpaksa ditelan. Jika ditukar ke bahasa dakwah, itulah mad’u yang menjadi tanggungjawab kita mendidiknya. Mereka yang gemarkan the alternate reality akan menempuh rasa sukar untuk menelan semua ini kerana kehidupan idamannya jauh dari apa yang sedang bersifat semasa.

Manakala untuk diri saya, selepas produksi Cinta Sempurna ini saya belajar sesuatu yang penting. Pengalaman di sebalik tabir membuktikan bahawa usaha untuk menghasilkan sebuah drama, apatah lagi drama yang baik mengikut piawaian kita bukanlah sesuatu yang mudah.

Semasa pemilik cerita asal bercerita kepada penulis skrip, bentuk ceritanya adalah seperti A. Apabila ia dipindahkan kepada sebuah skrip, ia mengembang menjadi B. Tatkala skrip B siap dan disemak, kita berusaha untuk memperbaikinya sedaya mungkin dan ia menjadi C. Apabila C dipindahkan kepada manuskrip bacaan artis, ia menjadi D. Apabila semua itu dibawa ke lokasi penggambaran dan dilakonkan, ia menjadi E. Selesai penggambaran dan rakaman disunting, ia menjadi F. Jauh sekali saya sebagai pencetus cerita asal daripada apa yang akhirnya dipaparkan di televisyen.

Ikhtiar semua orang, banyak cacat celanya namun dek susahnya penghasilan sebuah drama, dan besarnya perbelanjaan yang diperlukan untuk menerbitkan sebuah drama 20 siri, cukuplah jika saya belajar satu perkara, bahawa saya akan lebih berhemah dalam melontarkan pandangan dan kritikan terhadap hasil kerja orang lain.

TIGA BENTUK DRAMA

Ya, ia adalah drama. Apabila namanya drama ia bukan dokumentari yang bersifat factual.

Drama Melayu yang membawa nilai Islam di dalam dunia penyiaran kita boleh dibahagikan kepada tiga.

Pertama, drama supernatural.

Drama-drama dalam kategori ini menekankan unsur khariqun lil ‘adah membabitkan jin, syaitan, bomoh, keramat wali, roh orang mati dan pelbagai lagi.

Lambakan drama dalam kategori ini di satu tahap mengisi keinginan penonton yang suka ditakut-takutkan, tetapi kemudian berubah menjadi ketakutan tatkala melihat lambakannya yang ekstrim khusus pada Khamis malam Jumaat.

Kedua, drama emosional.

Drama-drama dalam kategori ini membawa kekuatan yang banyak bersangkutan kepada konflik emosi. Biar pun tajuknya pelbagai, namun mungkin subjek utamanya adalah konflik cinta dan perasaan. Drama seperti ini sangat dekat dengan jiwa penonton kerana sentuhannya akan meninggalkan bekas yang besar kepada penonton. Keropok ubi yang musnah diramas, tisu yang luak sekotak, mungkin menjadi simptom kepada keberkesanan drama sebegini.

Begitu juga dengan drama dakwah genre komedi. Penyampaian mesej dalam sindiran lucu, adalah pendekatan yang amat menarik, tetapi turut memerlukan tahap kreativiti yang tinggi.

Pelakon akan lebih cepat terserlah bakatnya apabila berjaya menjiwa watak-watak dalam drama kategori ini.

Ketiga, drama logikal / intelektual.

Drama-drama dalam kategori ini membawa mesej yang berkaitan dengan konflik pemikiran. Apa yang dibentangkan adalah subjek yang mencabar minda penonton untuk berfikir, mencari jawapan kepada persoalan yang membelenggu kehidupan dan mungkin sambil itu perlu mengkritik penyelesaian semasa.

Drama dalam kategori ini cenderung untuk menjadi sebuah drama yang berat, ditolak oleh penonton yang tidak suka dipening-peningkan pada waktu rehat mereka atau mungkin juga hilang sentuhan drama dan berubah menjadi sebuah dokumentari. Ia juga memerlukan kepada pelakon-pelakon yang bijak agar mereka dapat mengoptimumkan garapan watak yang diberi.

CINTA SEMPURNA adalah percubaan awal untuk menambah koleksi drama dalam kategori ketiga ini. Biar pun tajuknya CINTA, drama ini kurang adegan yang mencarik hati dan perasaan penonton. Tetapi apa yang banyak dimasukkan adalah subjek yang mengganggu fikiran. Bukan gangguan yang disengajakan tetapi gangguan yang bertujuan menggerakkan minda agar berfikir, tentang apa yang cuba dipaparkan.

Di balik tabir, ada banyak kejadian yang berlaku hingga membawa kepada timbulnya idea untuk menghasilkan drama CINTA SEMPURNA.  Ia tidak betah untuk ditulis secara terbuka, namun misinya besar pada membetulkan kembali hala tuju falsafah penyiaran yang memisahkan moral obligation dengan seni kreatif. Ada krisis nilai di belakang skrin dan di depan skrin yang dipertanggungjawabkan kepada drama CINTA SEMPURNA untuk menanganinya. Ia suatu tugas yang tidak mudah buat semua.

Dengan segala kelemahan yang semua sedia maklum, apa yang diharapkan ialah CINTA SEMPURNA boleh menjadi pemangkin untuk membanyakkan lagi drama kita yang duduk di dalam genre DRAMA LOGIKAL  yang mencabar AKAL kerana krisis pemikiran masyarakat semakin meruncing dan sesi kuliah serta ceramah semakin tidak bermaya dalam menyasarkan penyelesaian kepada target audience berkaitan.

Semoga bermanfaat.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.