Geografi ‘Mengantarabangsakan’ Diri

“Kok Meng, kau punya giliran!” kata Chee Mun.

Sahabat kami berpinar-pinar matanya meneliti atlas.

“Ok, cuba cari Kampung Sekreta” katanya.

Kami semua terdiam. Mulut terkunci, mata ligat memerhati. Mencari.

“Hah jumpa dah!” kata Asma.

Sebuah kampung tidak jauh daripada persisiran Sungai Pahang.

“Ok, aku bagi yang susah punya!” ujar Asma pula.

Kami terus menerus bermain Atlas sementara mengisi masa kosong kerana cikgu tidak hadir ke kelas. Sering terjadi, apabila cikgu bermesyuarat dan tidak masuk mengajar, kami sangat gembira. Mengisi masa kami, antaranya adalah dengan bermain Atlas. Permainan popular kami di SRK Raja di Hilir Ekram, Ipoh.

Melalui permainan itu jugalah kami dapat tahu ada sebuah kampung di negeri Pahang, namanya Kampung New Zealand. Rupa-rupanya Pasir Puteh bukan hanya nama kawasan perumahan dan sekolah kami. Ada Pasir Puteh di Kelantan, di Pasir Gudang Johor, malah di Negeri Sembilan.

Atlas dan Geografi memang menarik perhatian.

GEOGRAFI 1980’AN

Tambahan pula topik-topik di dalam buku teks, terasa sangat dekat di hati.

Penanaman ubi kayu di Chemor.

Ladang Nenas di Labis.

Bijih Timah di Lembah Kinta.

Kelapa di Bagan Datoh.

Sebagai budak kampung yang tidak berapa kampung, belajar Geografi menyebabkan fizikal kami fizikal Ipoh, tetapi imaginasi dan minda kami merayap ke merata tempat, bukan setakat di Semenanjung Malaysia malah terbang ke empat penjuru bumi.

Minda antarabangsa.

Apabila ada sesuatu yang bersifat antarabangsa di minda, ia mengubah cara kita memandang. Kita duduk di celah rimbunan pokok, tetapi kepala kita seperti tinggi menjulang ke langit melihat alam. Ia menjelaskan hikmah yang besar apabila salah satu rukun Islam ialah mengerjakan ibadah haji di Mekah.

Ibadah haji dan Mekah menjadikan “musafir ke tempat orang” sebagai agenda kehidupan yang paling kurang ia berlaku sekali seumur hidup. Ia menyuntik cita-cita untuk mampu. Ia memberitahu, ada dunia lain selain dunia harian kita. Malah ia menjadi pendorong kepada perkembangan ilmu Geografi dalam legasi keilmuan Islam.

Naskhah Mu’jam al-Buldan yang ada dalam koleksi buku saya

Yaqut al-Humawi, menghasilkan Mu’jam al-Buldan, antaranya adalah hasil musafir dan rekod musafir ke Tanah Suci. Perjalanan memerhati, bukan sekadar manusia dan aktiviti mereka malah jenis batu batan, permukaan bumi, tumbuh-tumbuhan, segalanya.

Pemetaan.

Ekspedisi.

Kompas.

Minda Antarabangsa menghasilkan tamadun antarabangsa.

GEOGRAFI DAN SEJARAH

Beberapa tahun yang lalu semasa saya mengambil subjek pre requisite History of the Modern Arab World, pensyarah telah mengedarkan peta negara Arab dan meminta kami menamakan satu demi satu negara Arab di peta tersebut, sebagai pra syarat untuk mempelajari sejarah rantau berkenaan.

Sungguh mengejutkan apabila ada pelajar yang mendapat 0 markah!

Bagaimanakah kita mahu mengkaji sejarah apabila kita tidak dapat memetakannya di minda.

Jika tidak jelas antara Qatar, Bahrain dan Kuwait, tidak mengapa. Jika keliru antara Libya dan Tunisia, masih boleh dimaafkan. Tetapi jika hari-hari solat tidak tahu kiblat kita berada di negara mana, ramai rakan belajar di Al-Azhar namun tidak tahu universiti itu negaranya yang mana satu, malah lebih teruk… bersemangat menentang kekejaman Zionist tetapi tidak tahu di mana kekejaman itu berlaku… ia sukar untuk dibayangkan.

Mungkin markah 0 itu bukanlah kerana langsung tidak tahu, tetapi kekeliruan yang mencetuskan rasa give up untuk berusaha. Dan atas apa sekali pun faktornya, ia bernatijahkan 0.

Teringat saya kenangan semasa mengambil subjek Geografi di SMAP Labu suatu ketika dahulu. Semasa ujian bulanan, cikgu Geografi kami tidak berpuas hati kerana semua pelajar score markah tinggi malah ada beberapa orang rakan yang mendapat markah penuh. Cikgu bertindak mengejutkan apabila membatalkan ujian tersebut dan menggantikannya dengan ujian yang lain.

Kami geram.

Soalan baru lebih mencabar. Kami diminta melukis jenis-jenis perigi semulajadi dan menamakannya mengikut apa yang pernah dipelajari. Tetapi dek rasa geram mengulangi ujian berkenaan, ada rakan-rakan saya yang loyar buruk. Mereka protes dengan memberikan jawapan yang tidak masuk akal.

Perigi Hang Tuah!

Perigi buta!

Dan macam-macam perigi yang kami tidak pernah dengar di dalam subjek Geografi.

Cikgu kami menangis!

“Sampai hati kamu. Saya berjaga malam membuat soalan untuk ujian ini. Kenapa kamu jawab bukan-bukan!” katanya.

GEOGRAFI DAN BIOGRAFI DIRI

Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [Al-Ankabut 29:20]

Geografi, secara separa minda, menjadikan destinasi pengajian saya adalah Jordan. Geografi membuka jalan saya ke Turki. Geografi juga menyampaikan saya ke London, kemudian ke Belfast dan Dublin. Geografi menjadikan saya HASRIZAL seperti saya hari ini.

Geografi adalah juzuk penting dalam sejarah.

Geografi adalah juzuk penting tamadun insaniah.

Geografi adalah cabang hidup insan beragama.

Demi menanam minda Rahmatan li al-‘Alamin ke jiwa kita semua.

HASRIZAL
43000 BSP

 

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

13 comments

  1. err.. ok cerita perigi itu sangat menarik 😀

    ibu saya guru geografi, jadi dia buat saya nampak realistiknya subjek geografi. apa lagi, kampung saya di Kedah. semua jenis penanaman dalam peta geografi saya pernah tengok. kemudian bila saya ceritakan kepada kawan2 yang non-kedah (haha), mereka macam “ooh macam tu”, terbuka mata la.. walaupun geografi kami (2002++) cuma berkait sekitar Malaysia, saya bersetuju kebenarannya ia memberitahu, ada dunia lain selain dunia harian kita.

    *silibus zaman kami tidak se’hardcore’ zaman ustaz, namun begitulah… perubahan sentiasa berlaku.

  2. Geografi saya sinonimkan dengan alam dan manusia.
    Ya bagaimana kita mahu mengambil iktibar dari alam, jika kita nafikan geografi.

    Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.

    🙂

    *saya juga terkedu dengan kisah perigi tersebut..

  3. saya suka apa yang cikgu tulis! hihihi ustaz tulis! paling suka part pemetaan, ekspedisi, kompas!

    😉

  4. homeschool silibus antarabangsa dan montessori menekankan keupayaan anak2 kecil mengenalpasti peta dunia dan nama benua. anak saya yg belajar montessori ‘fail’ bab tu sebab mak dia x ambik berat.. *sigh*

  5. Khairun Najati

    thumbs up untuk ustaz hazrizal.
    setiap perkara yang ustaz post.
    tidak pernah tidak membuatkan saya sentiasa berfikir.
    worth to ponder it. 🙂
    jazakallah khairan jaza’

  6. Sewaktu kelas pertama saya cuba mengajar kelas Darjah 4 sekolah rendah, saya mulakan dengan melukis peta Malaysia untuk menerangkan asal saya, peta Semenanjung Tanah Arab untuk menerangkan kedudukan negara-negara umat Islam yang penting, salah seorang ibu bapa pelajar memberitahu saya;

    “Anak saya balik sangat bersemangat menceritakan betapa menariknya kelas dia hari ini. Saya juga merasaskan sejak subjek Kajian Tempatan dibatalkan dari silibus sekolah rendah, anak-anak tidak tahu lagi mengenai peta dan kedudukan negara, sedang perkara ini sangat penting di samping sangat menarik.”

    Terharu saya. Ya Allah tunjukkan kami jalan yang benar! T.T

  7. rogayah hashim

    Georgrafi..subjek yg menarik kalau nak mengenal dunia dan isi alamnya…menanamkan cita-cita satu hari nanti Insya-Allah nak ke sana…mengenal budaya antarabangsa….bagi yg bercita2..bagi yang tak..huh..A.K.A(aku kisah apa)

  8. Sangat menarik kupasan untuk subjek Geografi. Sebelum ini, kita hanya dimomokkan kaitannya dengan peperiksaan sahaja.

    Terima kasih ustaz.

  9. Atlas Sumber KBSM terbitan Penerbit Fajar Bakti… ffuuhh!! Terbaik mengenalkan diri ttg geog (dulu2 x sebut geografi in full pun) ni…

    kenangan menengah rendah…

  10. Salam,

    sangat setuju dan suka dengan artikel ini..memang perlu sangat belajar Geografi

    Ada beberapa cerita daripada kakak saya yang agak menjengkelkan bila mengenangkan.

    Pada awal-awal kemasukannya ke sebuah institut di Terengganu (saya berasal daripada Sabah) ada beberapa soalan yang ditanyakan menyebabkan saya berfikir mungkin mereka tidak belajar Sejarah @ Geografi.

    Antara pertanyaan mereka yang agak mengguris hati :

    1) Matawang Sabah sama tak dengan Malaysia (mungkin tidak tahu Sabah itu salah satu daripada negeri dalam Malaysia)

    2) Korang tinggal atas pokok ke?? Yang dijawab secara selambanya oleh kakak saya..ya, tapi naik lif.

    baru-baru ini menghadiri perkahwinan adik ipar di Selangor yang menantunya seorang Sabah dan seorang lagi daripada Sarawak, saya mendengar pengacara mengatakan lebih kurang begini ” Inilah perkahwinan Sabah, Sarawak dan Malaysia” . Agak terkesima..adakah mereka tidak mengetahui bahawa Sabah dan Sarawak itu dalam Malaysia..

    saya kira hanya segelintir, mungkin yang tidak ambil tahu atau tidak peduli

    Wallahu a’lam

  11. Salam,

    dulu waktu tingkatan 4 dan 5, saya mula baca buku geografi Eropah dan Asia hanya sebab nak tengok gambar hitam putih sebab saya minat film photography.

    Tapi lama kelamaan bila baca keadaan negara-negara luar yang sangat menarik dan sejarah dan keadaan masyarakat yang berbeza, akhirnya saya jadikan buku-buku geografi sebagai escapism daripada kesibukan belajar silibus SPM.

    Paling seronok kalau baca buku cetakan tahun 1960’an sebab boleh dibandingkan dengan keadaan sekarang melalui bacaan Google dan wikipedia 😀

    Sekarang mahu mengorak langkah untuk lihat dengan mata sendiri perubahan negara-negara yang pernah saya baca dahulu, insyaAllah.

  12. Assalamualaikum ustaz, lama benar tak meninggalkan komen di sini.

    Sebagai pelajar sains alam sekitar, geografi ialah satu komponen penting dalam memahami cuaca bahkan keputusan yang dibuat oleh penduduk setempat (penggunaan tanah dll).

    Saya teringat lagi apabila memikirkan saya tidak lagi belajar subjek Geografi selepas PMR, adakah ilmu ini berkarat langsung hilang. Rupanya Allah melorongkan saya ke bidang ini jua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.