Masih Ada Betul Yang Betul Dan Salah Yang Salah

credit photo: redrumzero.wordpress.com

“Kita kenalah berlapang dada. Tidak semua orang fikir macam kita. Janganlah rigid sangat!” kata seorang lelaki.

“Apabila dia cakap macam itu, tidak semestinya dia bermaksud tidak baik. Mungkin cara dia salah. Tapi niat dia baik!” ulas seorang perempuan.

“Tuhan ciptakan manusia berbeza-beza. Takkanlah semua kena sama. Relaks la bro!” tegas seorang yang lain pula.

Kata-kata seperti ini sering kita dengar. Malah sering juga diajukan kepada kita sendiri. Semasa kita nampak sesuatu itu jelas kesalahannya dan memerlukan pembetulan, tiba-tiba pembetulan kita dibidas semula, bukan dengan pembetulan berbentuk hujah berbalas hujah, tetapi mengguna pakai hujah universal iaitu, manusia diciptakan Tuhan berbeza-beza.

Semakin lama, semakin melarat.

Semua benda tidak muktamad.

Semua benda ada sisi lain.

Mungkin ada kebenarannya. Tetapi kesan besarnya ialah seperti langsung tiada apa yang muktamad dalam kehidupan ini. Hingga tidak tahu apa yang hendak dipegang sebagai ‘pegangan’ dalam hidup ini. Hidup tanpa panduan, semuanya betul belaka.

Relatif.

Subjektif.

Hujahnya seperti ada. Mungkin sahaja pantas disandarkan kepada ayat utama pada membicarakan perbezaan, keunikan dan keistimewaan manusia:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Al-Hujuraat 49: 13]

Tetapi kita perlu ingat.

Memang benar Allah menciptakan manusia itu berbeza-beza. Tujuannya juga sangat jelas, bukan untuk berbalah lagi bermasalah. Tetapi untuk kenal mengenal, mengambil tahu antara satu sama lain.

Tetapi sebelum Allah menjelaskan bahawa manusia itu diciptakan-Nya berbeza-beza, Allah terlebih dahulu mendatangkan 12 ayat di dalam surah yang sama, berbicara tentang apa yang betul dan apa yang salah dalam berkelakuan kita. Bahawa perbezaan bukan alasan untuk kita bebas berkelakuan apa sahaja atas nama perbezaan.

Ada yang betul.

Ada yang salah.

Yang betul itu betul.

Yang salah itu salah.

Semua itu digariskan dengan jelas. Kemudian barulah datang kenyataan berbentuk kesimpulan, bahawa manusia itu memang pelbagai. Lalu cara mengenal lelaki dan mengenal perempuan, mengenal satu kaum, dan satu kaum yang lain, berbeza-beza.

Demikian satu penegasan penting Surah al-Hujuraat.

Surah al-Akhlaq.

HASRIZAL
KUCHING

Check Also

Meninjau Eropah: Beragama Tanpa Tuhan

“Hidup ibn Sedar… jumpa Tuhan tak jumpa agama”, itu terjemahan ringkas saya terhadap kisah seorang …

14 comments

  1. Kita mungkin berbeza tetapi akhirnya kita menuju kepada yang SATU. Jika kita berpegang kepada-Nya, maka kita juga sentiasa dilindungi oleh-Nya

  2. manusia berbeza
    beza apa yang dilihat
    beza apa yang dia nampak

    beza apa yang difikir
    beza juga apa yang diluah

    kadang kadang berbeza perangai dengan kata
    ada juga yang berbeza dengan kata kata dan berkata kata
    macam macam bezanya

    beza membaca
    beza jugalah dalam kepala
    beza belajar
    beza jugalah dalam minda

    ah, macam puisi sudah.
    yang pastinya kita sama

    nak ke syurga 😉

  3. sekarang ni ramai guna alasan “Demi Hak Asasi Manusia” katanya.
    sungguh general sekali manusia yang digunakan sampai lupa keutamaan agamanya dahulu.

  4. Sbb skrg ni hati dah hitam legam, tak rasa bersalah bila buat salah.
    Rasuah dia kata duit kopi.
    Mengumpat dah jadi Melodi @ Terjah.
    Kena tangkap basah dah jadi famous @ artis
    Bunuh orang masa khayal dadah
    Buka aurat dia kata iman aku kat dlm dada
    Melacur dia kata darurah.
    Muzik adalah halwa telinga.
    Fb utk berkenalan

    Lebih senang kata org lain yg salah

  5. Berbeza x salah, tapi yang haq tetap haq dan batil tetap batil. Moga tiada perbezaan tentang itu, insyaAllah.

  6. kawan kita bukan malaikat sebab kita juga adalah manusia..
    mengharapkan kesempurnaan adalah perlu Dusahakan..
    tetapi kalau kita dan dia ada benda yang tak sependapat
    perlulah dengar dan baiki apa yang Dtegur..
    kita ego,ego yang sangat tinggi..
    tapi sampai bilakah nak jadi cam ni?
    kadang2 penceraian antara kawan2 perlu b
    ila dah terlalu tak boleh Dtegur..
    adakah itu satu langkah yang baik atau ada cara lain selain biarkan dan berdoa?

    • Macamana kalau seseorang tu berkedudukan dan tingkahlakunya mungkin diperhati dan diikuti…cthnya bapa,ibu,nenek,ketua jabatan,menteri…? Habislah rosak semuanya…inilah yang dikatakan keburukan yang diwariskan/diturunkan…Mindset atau inner parental voice kata semua yang mak buat betul,jadi susah nak terima bila ada orang yang cuba beritahu ada juga yang tak betul ,perlu dibaiki dan tak boleh diikuti…susah-susah kalau ada kedudukan.Betulkan yang salah…baru boleh tegur kesalahan.

  7. Izinkan saya untuk berbeza pandangan,
    Ya. Yang benar itu benar, Yang batil itu batil.
    Cuma tiada seorang manusia mampu mengadaptasikan kebenaran dan kebatilan dengan penerangan yang tepat. Jadi secara peribadi, apabila seseorang mengatakan,

    “Kita kenalah berlapang dada. Tidak semua orang fikir macam kita. Janganlah rigid sangat!”

    Bukanlah bermaksud untuk membidas pembetulan, tetapi mengawal pembetulan agar kebenaran tidaklah hanya menjadi miliknya. Yakni pemonopolian pembetulan sehingga tidak menerima pembetulan orang lain. Sebab itu dalam Islam adanya syura, perlukan kata sepakat, tidak bergantung pada pemikiran seseorang sahaja. Jika pandangan atau pendapat minoriti tidak diterima, itu bukan bermaksud minoriti itu salah tetapi cuma tidak sepakat.

    Wallahualam~

    p/s: Setiap perkara pasti ada muktamadnya, tetapi siapa tahu? Saya tetap berpegang setiap perkara adalah subjektif di pandangan manusia kecuali disepakati dalam syura. Itu yang menjadikannya muktamad!

    • Dalam Islam itu ada yang dipanggil ma’lum minaddin biddharurah(yang dimaklumi dari hal agama secara tuntas).

      Ada juga yang dipanggil asas-asas agama, ada pula yang dipangggil hal-hal yang muktamad dan qat’i. Maka tidaklah pada hal-hal begini dikatakan subjektif. Dan tidaklah pula satu-satunya jalan menentukan apa yang muktamad ini hanyalah syura. Ada yang jelas tertera pada Quran dan Sunnah malah sudah pula disepakati dalam ijma’ namun masih juga nak dikatakan masih boleh diperdebatkan. Saya rasa itulah yang Ustaz maksudkan ada betul yang betul dan ada salah yang salah. Yang jelas bahawa halalnya itu halal dan haramnya itu haram dan bukan sekadar perkara mutasyabihat.

  8. kehidupan sekarang ini kadang kala mampu merubah manusia dalam sekelip mata. mungkin kerana pengaruh tempat kerja, desakan cinta, mahu manusia memandang kita tidak kolot mungkin menyebabkan mereka yang dahulunya tahu akan kebenaran terperangkap di dalam masalah yang menghimpit diri setelah keluar dari persekitaran yang selamat.

    mendiamkan diri adalah cara terbaik setelah kita memberi penerangan mengenai kebenaran setelah bersepakat mengenai isu yang berlaku disekeliling kita. biarkan dia dengan corak yang dia pilih setelah kita berhubung dengan mereka melalui kaedah yang perlu.

    bukankah Allah yang memberi dan menarik hidayah dan mendatangkan ujian untuk melihat siapa diri kita?Dalam Quran banyak perkataan “sesungguhnya mereka adalah orang yang sesat”..
    meskipun ayat sebelumnya kebanyakkan menceritakan mengenai orang kafir yang didatangkan nabi2 untuk memberi hidayah tetapi mereka tidak menerima. saya merasakan golongan ini adalah kita juga. kerana kita sendiri selalu tersesat di dalam kehidupan kita.

    pesanan untuk diri sendiri juga yang hak tetap hak yang batil tetap batil. jangan biar kita mengatur hidup kita, biarlah Allah yang mengatur hidup kita melalui jawapan dari Quran, orang sekililing kita dan ilmu. jangan lupa menambahkan ilmu, tepuk dada tanya iman..

  9. lalang*

    tiba-tiba teringat kepada mu

  10. Assalaam..
    Ingatan sdr muhsin kpd *lalang,..
    secara tak langsung mengingatkan pula saya kpd makhluk Allah yg satu ni..
    …burung ‘Kakaktua’..spesis parrot yg boleh bertutur..(?)
    Ya..(bertutur) dgn mengajukkan perkataan2 yg diajarkan kpd mrk.
    Namun bagi si kakaktua, ianya hanya sekadar bunyi..tidak memahami apa2.
    Ironiknya, bilamana manusia (tidak semua) yg dirahmati Allah dgn akal serta pancaindera..
    yg jauh lebih sempurna dr kakaktua,
    berkelakuan sepertimana si kakaktua..tanpa menyedarinya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.