PUISI 2012 Melabuhkan Tirai: Misi Menjadi Manusia Berperisian

PUISI 2012 melabuhkan tirainya.

Ini PUISI ke-10 semenjak kali pertama ia dianjurkan pada musim sejuk 2003.

Ini pula PUISI ke-3 saya selepas kali pertama menerima jemputan pada 2006 dan kemudiannya 2007.

Kali ini saya dijemput untuk menyampaikan modul Pengurusan Hidup Berpandukan Surah al-Kahf. Komiti menamakan PUISI 2012 ini sebagai The Road Not Taken, berinspirasikan sajak Robert Frost dengan tajuk yang sama.

Saya amat gembira semasa menerima jemputan urusetia. Tanpa banyak berfikir, saya memberikan persetujuan. Sudah tentu salah satu dorongannya adalah perasaan rindu yang mendalam kepada Ireland. Tetapi sebab utama mengapa PUISI kali ini saya anggap sebagai anugerah, adalah kerana peluang untuk mewacanakan modul ini kepada generasi muda.

Biar pun saya baru meninggalkan Ireland kurang sedekad, perubahan semasa kelihatannya begitu pantas. Pengalaman mengendalikan program-program remaja, terutamanya sebagai pihak ketiga, yang berdiri secara bebas daripada sistem rumah dan sistem sekolah, mencetuskan banyak kegusaran saya terhadap apa yang sedang terbentuk dalam kemanusiaan generasi muda semasa.

Jurang antara generasi memang fenomena zaman berzaman. Tetapi bukan semua jurang boleh diterima secara lapang fikir dan jiwa bahawa ia sekadar jurang. Ada jurang yang mencetuskan perbezaan budaya. Namun ada jurang yang menampakkan berlakunya defisit terhadap asas-asas kemanusiaan.

Dan jurang kedua itulah yang sentiasa menggusarkan saya.

Modul Pengurusan Hidup Berpandukan Surah al-Kahf berguna untuk membantu saya menyampaikan saranan solusi terhadap kegusaran itu kerana di dalamnya ada elemen-elemen yang penting. Antaranya ialah:

TADABBUR AL-QURAN

Modul ini berteraskan al-Quran. Ia bukan idea asing. Ia bukan bahan import. Tetapi ia datang daripada al-Quran, yang telah diisytiharkan Allah sebagai HUDA, petunjuk untuk mencari solusi, bagi orang-orang yang bertaqwa (Q2:1-2).

Namun al-Quran itu bukan terhenti setakat qiraah bertajwid dan tilawah bertarannum, ia pergi ke peringkat TADABBUR.

Tadabbur yang mencabar manusia untuk bergerak jauh ke dasar makna. Maka pengalaman PUISI 2012 diharapkan membuka perspektif di kalangan hadirin bagaimana al-Quran perlu diteroka sedalam-dalamnya tanpa hilang cahaya pintu masuk dan jendela menjengah realiti kehidupan.

RANGKA FIKIR

Modul ini juga tidak random.

Bukan tadabbur ayat ke ayat, seperti sistem biasa yang disinonimkan dengan Tafsir.

Sebaliknya modul ini menampakkan kerangka yang berguna untuk mensistematikkan kefahaman.

Surah al-Kahf mengandungi 4 kisah, menyentuh 4+1 bentuk pengurusan iaitu:

  • S = Spiritual
  • P = Physical
  • I = Intellectual
  • E = Emotional
  • S = Social

Dan keempat-keempat kisah yang menguruskan lima dimensi tersebut pula, berulang-ulang pada menyentuh perisian manusia (software) iaitu Aqidah (belief system), cara melihat dan berfikir (worldview) dan sistem nilai / qiyam (value system).

Kesemuanya adalah untuk menjadikan kita semua Mukmin yang mampu melihat serta memahami apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Tahu mengapa manusia bertindak tanduk dengan kelakuan tertentu, malah yang lebih utama, memahami tindak tanduk sendiri. Ia menjadikan keberagamaan setiap kita berisi dan jelas lalu boleh diurus tadbir.

Kita faham apa yang kita tahu.

Kita sedar apa yang kita rasa.

Kita nampak apa yang kita lihat.

Lalu dalam setiap kita ada dua kita. Kita yang melakukan kelakuan, dan kita yang memantau kelakuan itu. Ia menjadi asas utama sebuah MUHASABAH.

KUASA IBRAH

Modul ini juga terkandung di dalamnya kuasa ibrah. Apabila al-Quran mengisytiharkan bahawa teladan-teladan al-Quran itu sebagai ibrah, maka dengan sendirinya ibrah yang bermaksud mengaitkan sesuatu dengan sesuatu mendorong mereka yang bertadabbur untuk bukan sekadar tenggelam dalam memahami al-Quran, sebaliknya mengaitkan apa yang difahami dengan diri sendiri dan persekitarannya.

Mungkin kuasa ibrah inilah yang menjadikan ramai pihak takut, tidak gemar malah menghalang pengajian berlaku.

Mereka tidak marah al-Quran dikaji.

Tetapi mereka marah apabila al-Quran berkait dengan diri.

Berkait dengan kepentingan, kuasa, atau nafsu itu sendiri.

Namun apalah ertinya al-Quran dipelajari, jika apa yang dipelajari semuanya adalah tentang orang lain. Sedangkan Allah mewahyukan ia untuk setiap diri. Setiap kita.

Asalkan kaitan itu adalah untuk membina.

Memperbaiki yang rosak.

Membetul yang salah.

Dengan asas-asas yang benar.

Kredit foto: Norsakinah Ahmad Fauzi

Isi kandungan PUISI 2012 kali ini amat berat, namun saya berusaha sedaya mungkin untuk melunakkan penyampaian agar ia menjadi sesuatu yang bersifat simplified, bukan simplistik!

Semoga hasil PUISI 2012, alumninya menjadi insan yang celik mata hati.

Memandang kehidupan dengan pandangan Pencipta kehidupan itu sendiri.

Ameen.

HASRIZAL
Belfast, Northern Ireland

 

Check Also

Perjalanan Sengsara Mendidik Anak Remaja

“Mana-mana ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan mahu meluangkan masa bersama supaya kita boleh …

3 comments

  1. masyaALLAH, manthooop!!

    follow my blog, moga ALLAH redha

    • baihaqi hassan

      ada rakaman x utk program PUISI ni? sudah lama saya mencari-cari kaedah utk fahami quran spt yg us tulis tu.

      Sampai sekarang, Al-Quran adalah panduan hidup sebagai slogan. Saya masih x mampu merujuk Al-Quran apabila ada masalah. Realitinya, apabila ada masalah, saya akan merujuk guru2 saya, search kat tenet, tanya pendapat kawan yg dipercayai dan berdoa. Sungguh, quran hanya dibaca sebagai ibadah. Bukan sebagai penyelesaian apabila saya ada masalah.. isk.. T_T

  2. Molus domestca

    🙂

Leave a Reply to baihaqi hassan Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share