Kembara Birgivi Pada 12 Rabiul Awwal Kali Ini

423986_201776013295651_1023653956_n

Selamat tiba di Dubai, selepas pesawat tertangguh selama 10 jam

Jika hari ini umat Islam di seluruh dunia ramai yang menyambut Maulidurrasul, saya ‘menyambutnya’ dengan satu agenda yang berbeza.

Hari ini saya singgah sebentar di Dubai. Berprogram ceramah Maulidurrasul bersama warga Malaysia di sini.

Namun destinasi sebenar saya masih jauh.

Insha Allah saya akan menyambung perjalanan ke Istanbul, Sabtu nanti.

Perjalanan untuk menghimpun maklumat, tentang seorang tokoh yang 52 tahun hidupnya, diabdikan pada mendidik ummah untuk mencintai seorang Rasul, sallallaahu alayhi wa sallam. Seorang tokoh yang setiap hari adalah hari beliau menyeru manusia menghayati ajaran Rasul. Seorang tokoh yang meninggalkan 27 buah buku, dan magnum opus beliau adalah sebuah manual masyarakat bermodelkan Sunnah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah.

Itulah Sheikh Mehmed Birgivi (meninggal dunia 1573), tokoh yang membawa saya bermusafir ke Istanbul, dan seterusnya ke Birgi di Izmir. Semoga Allah memberkati perjalanan ini, pada hari yang disebut hari Maulidurrasul, yang ingin kuusahakan ia menjadi hari Maulid Hub al-Rasul, hari lahirnya kecintaan kita kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam.

Selawat.

Al-Hadith.

Al-Sirah.

Al-Sunnah.

 

Mehmed Birgivi merupakan seorang tokoh ilmuwan Uthmaniah yang hidup pada kurun ke-16, sebagai kurun yang menyaksikan Daulah Uthmaniah mencapai kemuncak kegemilangannya. Beliau dilahirkan sebagai Muhyiddin bin Pir Ali bin İskender kemudiannya dikenali sebagai Birgivî telah dilahirkan di Bandar Balikesir, Turki, pada tahun 1521 atau 1522. Dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang kukuh penghayatannya di dalam tradisi keilmuan, bapanya, Pir Ali merupakan guru pertama yang mendidik serta mendedahkan beliau kepada dunia kesarjanaan. Melalui bapanya, Mehmed Birgivi mempelajari serta menguasai ilmu Bahasa Arab, mantiq dan beberapa cabang ilmu pengajian Islam. Semasa belajar dengan bapanya, Mehmed Birgivi sama seperti kebanyakan remaja yang lain pada masa itu melengkap proses beliau menghafal al-Quran.

SEMENJAK KECIL

Seterusnya, Mehmed Birgivi telah dihantar oleh bapanya ke Istanbul untuk melanjutkan pelajaran. Beliau menyambung pengajiannya di İstanbul Fâtih Semâniye Medrese yang ketika itu merupakan pusat pengajian tertinggi di ibu kota Daulah Uthmaniah.  Di sana, beliau juga belajar bersama Sheikh Küçük Şemseddin Efendi (meninggal dunia 1550-1551) yang ketika itu mengajar di Mahmut Paşa Medrese. Mehmed Birgivi juga pada masa itu mengambil peluang menuntut ilmu bersama dengan Ahi-zâde Mehmed Efendi (meninggal dunia 1566-1567) dan seterusnya mempelajari ilmu perundangan bersama Kazasker Abdurrahman Karamani Efendi (meninggal dunia 1575) yang lebih dikenali dengan gelarannya sebagai Kızıl Molla. Mehmed Birgivi telah menguasai ilmu daripada tokoh-tokoh yang utama ini sehingga beroleh ijazah, yakni pengiktirafan untuk menjadi pengajar bagi menyampaikan ilmu pengetahuannya kepada orang lain pula. Mehmed Birgivi telah menimba pengalaman dengan mengajar di beberapa buah sekolah sekitar Istanbul.

Untuk tujuan mengembangkan lagi ilmu pengetahuan dan pemikirannya , Mehmed Birgivi bersama dengan Kızıl Molla telah membuka sebuah sekolah baru untuk mengembangkan ilmu pengetahuan. Selain daripada ilmu-ilmu Islam, Mehmed Birgivi juga melalui  Kızıl Molla telah mendedikasikan dirinya kepada Tarikat Bayramiyyah. Mehmed Birgivi ketika itu bukan sahaja berperanan sebagai seorang ilmuan malah sama seperti ramai tokoh pada masa tersebut, turut menjadi seorang dervish yang mengendalikan majlis-majlis Tarikat bersama dengan gurunya, Kızıl Molla.

Kazasker Abdurrahman Karamani Efendi (Kızıl Molla) yang merupakan mentor serta guru yang bertanggungjawab mengajar Mehmed Birgivi ilmu perundangan, telah berusaha mendapatkan ruang bagi Mehmed Birgivi berkhidmat di dalam jawatan rasmi sebagai hakim di mahkamah tentera dan berhasil melakukannya. Mehmed Birgivi telah berkhidmat di Edirne dan beberapa bandar sekitar Rumeli  dan juga di Halab (Aleppo) selama empat tahun. Semasa perkhidmatan ini Mehmed Birgivi masih terus mendalami ilmu pengetahuannya sambil mengajar kepada orang ramai di masjid.

imam-i-birgivi-nin-vasiyetnamesinin-en-onemli-3790718_o

Naskhah asal Vasiyetname karya Mehmed Birgivi 

BIAR PUN BERJAWATAN RASMI

Biar pun berjawatan rasmi, Mehmed Birgivi terus dikenali di kalangan masyarakat sebagai seorang pendakwah yang menyampaikan ilmu pengetahuannnya melalui institusi masjid dalam bentuk yang tidak formal. Impak yang dicetuskan oleh Mehmed Birgivi kepada masyarakat lebih menyerlah melalui saluran ini. Seruannya yang mengajak masyarakat kepada menghayati ajaran Islam yang sebenar serta meninggalkan amalan berbentuk bid’ah tersebar di kalangan mereka yang mengikuti siri kuliahnya. Melalui ceramah yang disampaikan, Mehmed Birgivi menekankan tentang kepincangan sosial yang mengundang kepada kemerosotan umat Islam adalah berpunca daripada tersebarnya amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam. Ia meliputi amalan bid’ah, serta korupsi kewangan berbentuk rasuah yang berlaku di segenap lapisan kehidupan masyarakat termasuk di institusi pemerintah dan sekolah-sekolah pada masa tersebut. Beliau ternyata begitu dukacita dengan keadaan umat Islam ketika itu.

Antara isu yang menimbulkan ketegangan pada masa tersebut adalah pertentangan pendapat yang berlaku antara Mehmed Birgivi dengan Şeyhülislâm pada masa itu iaitu Imam Ebusuûd Efendi yang menyandarkan pendapatnya kepada İmâm Züfer pada mengharuskan perbuatan menerima wang secara berkepentingan, yang dilihat oleh Mehmed Birgivi sebagai rasuah.  Untuk menjelaskan sisi pandangnya, Mehmed Birgivi telah menulis sebuah kitab kecil yang mengkritik pendapat sedemikian iaitu İnkâz el Hâlikîn, İnkâz el-Naîmîn dan el-Seyf el-sârim yang membincangkan tentang hukum mengambil upah daripada membaca al-Quran. Risalah ini telah menjadi kontroversi serta menimbulkan pertikaian yang besar di kalangan masyarakat. Mehmed Birgivi mempertahankan pendapatnya untuk tidak mahu melindungi perbuatan khianat ke atas masyarakat dan kerana itu beliau telah meletakkan jawatan serta memulangkan seluruh gaji yang pernah diterimanya sebagai bantahan kepada amalan pada masa tersebut. Kejadian ini mula mengubah perjalanan hidup Mehmed Birgivi apalah kerjayanya secara formal di dalam instutusi kerajaan berakhir, dan beliau meneruskan kegiatan penyebaran dakwah melalui halaqah Tarikat Bayramiyyah yang dianggotainya.

Pemikiran Mehmed Birgivi pada masa itu berkisar kepada seruan mengajak masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Umat Islam dituntut untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai rujukan kehidupan mereka. Seruan Mehmed Birgivi ini menyerlahkan ciri-ciri khusus yang dikenal pasti wujud di dalam gerakan Islah dan Tajdid umat Islam. Dengan itu Mehmed Birgivi berusaha mengajak masyarakat untuk memperbaiki diri mereka melalui seruan dakwah yang beliau sampaikan.

Ketika itu, guru kepada Sultan Selim II, Birgili Atâullah Efendi (meninggal dunia 1571) telah membuka sebuah pusat pengajian baru di Birgi atas kehendak Sultan. Pusat pengajian tersebut dibina sebagai sebuah projek besar Sultan Selim II yang mahu meluaskan pendidikan kepada masyarakat di wilayah sekitar Izmir. Birgili Atâullah Efendi pula sememangnya mengikuti perkembangan Mehmed Birgivi dan amat tertarik dengan pemikiran yang dibawa. Pengunduran beliau daripada tugasan rasmi di Edirne dilihat sebagai peluang bagi Birgili Atâullah Efendi untuk melamar Mehmed Birgivi.

MEMBINA LEGASI DI BIRGI

Hasil perbincangan yang berlaku di antara Birgili Atâullah Efendi dan Mehmed Birgivi, beliau telah menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran mengajar di sekolah tersebut dan seterusnya menjadi ketua untuk memimpin institusi berkenaan. Pusat pengajian Mehmed Birgivi itu tidak mengambil masa yang lama untuk tersebar pengetahuan mengenainya dan ini mengundang anak murid daripada segenap pelusuk Anatolia untuk datang dan berguru dengannya. Gerakan kesarjanaan di Birgi memberikan ruang yang kondusif lagi menggalakkan buat Mehmed Birgivi untuk mengembangkan dakwah. Dalam tempoh perkhidmatan beliau di situ, Mehmed Birgivi telah menghasilkan sebanyak 27 karya yang kebanyakannya diguna pakai sebagai manual pengajaran di institusi pendidikan yang beliau ketuai.

Namun demikian, Mehmed Birgivi semasa dalam perjalanannya ke Istanbul, telah dijangkiti dengan wabak ta’un yang tersebar pada masa tersebut. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1573 ketika berusia 52 tahun dan dikebumikan di Birgi.

56904805

Makam beliau di sisi anaknya, Fazlullah Efendi

Birgilû, Birgili, Mehmed Çelebi atau juga dikenali sebagai İmâm Birgivî telah dirakamkan oleh sejarah sebagai seorang tokoh yang masyhur dan idea-idea beliau meninggalkan impak yang berpanjangan kepada masyarakat Daulah Uthmaniah hingga ke kurun-kurun yang berikutnya. Antara anak murid yang mengambil secara langsung daripada Mehmed Birgivi dan kemudiannya menjadi tokoh yang terkenal di dalam masyarakat adalah anaknya sendiri, Sheik Fazlullah Efendi (meninggal dunia 1622-1623), Akşehirli Hoca-zâde Abdünnâsır Efendi meninggal dunia 1582), Avlamışlı Muslihiddin Efendi serta Kâdî-zâde Mehmed Efendi (meninggal dunia 1635-1636).

Mehmed Birgivi dan pengikut-pengikutnya amat kritikal terhadap kemerosotan moral yang melanda umat Islam bukan hanya di dalam masyarakat Daulah Uthmaniah di Anatolia tetapi umat Islam secara keseluruhannya. Beliau amat kritikal dalam mengemukakan bantahannya terutamanya kepada pemerintah yang dilihat oleh Mehmed Birgivi sebagai pelindung dan penjamin kesejahteraan hidup orang ramai. Beliau sering menekankan tentang peri pentingnya kepimpinan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam serta al-Khulafa al-Rashidin dijadikan sebagai model pemerintah. Mehmed Birgivi amat sensitif kepada penyelewengan yang dilakukan oleh pihak pemerintah terutamanya pada menggunakan alasan-alasan agama bagi melindungi salah laku tersebut.

BERKATA BENAR DI MANA-MANA

Kritikan-kritikan yang dikemukan oleh Mehmed Birgivi disampaikan bukan sahaja melalui kuliah yang beliau kendalikan secara formal di Medrese bersama anak muridnya, malah turut disuarakan melalui ceramah yang beliau sampaikan kepada masyarakat awam di masjid. Ketegasan Mehmed Birgivi dalam mempertahankan pendapatnya ini juga mendorong beliau untuk berdepan secara bersemuka dengan individu-individu yang menjadi sasaran kritikannya. Misalnya Mehmed Birgivi telah pergi ke Istanbul untuk bersemuka dengan Sokollu Mehmed Pasha yang ketika itu telah pun memegang jawatan sebagai Sadrazam (Grand Vezier) semenjak 1563 atas lantikan Sultan Suleyman al-Kanuni. Tujuan Mehmed Birgivi bertemu dengannya adalah untuk bertukar-tukar pendapat tentang amalan-amalan di dalam pemerintahan Uthmaniah ketika itu daripada pertimbangan akhlaq Islam. Di dalam siri perbincangan tersebut, kritikan-kritikan tajam Mehmed Birgivi telah sampai ke pengetahuan Şeyhülislam ketika itu iaitu Sheikh Ebu’s-Suûd Efendi. Jawatan kedua tertinggi di dalam hairaki pemerintahan, Şeyhülislam bertanggungjawab sepenuhnya atas hal ehwal agama dan pertentangan yang tajam tercetus antara Şeyhülislam Ebu’s-Suûd Efendi dengan Mehmed Birgivi.

Secara umumnya, pemikiran Mehmed Birgivi mendukung karakter yang jelas dan terungkap secara langsung kepada sasaran. Ia juga tidak meleret-leret,  sering dilihat konsisten berbentuk komprehensif dan padat. Namun ia tidaklah pula disampaikan dalam bentuk yang terlalu hambar. Sebaliknya pemikiran Mehmed Birgivi sentiasa berstruktur, menggabung jalin antara sains dan sastera. Ia menjadi keunikan buat Mehmed Birgivi kerana beliau bersikap positif kepada cabang-cabang ilmu sains rasional seperti mantiq, dialektik dan ilmu kalam. Juga pada masa yang sama, beliau turut dikenali sebagai seorang yang mahir di dalam ilmu nahu dan kesusasteraan Arab.

PENGOLAHAN YANG BIJAKSANA

Kebijaksanaan Mehmed Birgivi dalam mengolah mesej-mesejnya sangat mempengaruhi penerimaan masyarakat kepada seruan yang dibawa. Ideanya kukuh dan berasaskan bukan hanya dengan merujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah malah turut dihuraikan dengan perbahasan-perbahasan yang mendalam. Akan tetapi Mehmed Birgivi mengekalkan penyampaiannya dalam bahasa yang difahami oleh orang awam. Biar pun Mehmed Birgivi mahir di dalam Bahasa Arab, beliau menyampaikan pengajarannya di dalam Bahasa Turki. Kombinasi elemen-elemen inilah yang banyak membantu kepada penyebaran fikrah beliau.

Disebabkan oleh penerimaan yang meluas terhadap pemikiran Mehmed Birgivi, beliau menerima permintaan agar karya-karyanya turut dihasilkan di dalam Bahasa Arab untuk meluaskan penyebaran. Mehmed Birgivi menyahut permintaan ini dan dengan itulah terhasilnya buku yang dianggap sebagai magnum opus beliau, iaitu  al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah. Buku ini telah mendapat sambutan yang luas, disyarahkan dan diguna pakai di dalam pengajian-pengajian di serata wilayah Daulah Uthmaniyyah, Asia Tengah dan membawa hingga ke India.

Orientasi Mehmed Birgivi pada mengolah buku ini yang berorientasi dalil-dalil naqli telah menjadikan ia sebagai sebuah rujukan di dalam jalur pemikiran Salafiyyah. Ia telah memberi inspirasi dan seterusnya berfungsi sebagai manual kepada sebuah gerakan yang muncul selepas itu yang dikenali sebagai gerakan Kadizadeli yang diasaskan oleh Mehmed Kadizade.

GERAKAN KADIZADELI

Mehmed Kadizade telah dilahirkan pada tahun 1582 di sebuah perkampungan berhampiran Balikesir, yang merupakan tempat kelahiran Mehmed Birgivi.  Mehmed Kadizade yang begitu teruja dengan hal ini, mempelajari pemikiran Mehmed Birgivi dan mendapat inspirasi daripadanya. Mehmed Kadizade telah melanjutkan pelajarannya ke Istanbul dan di sana beliau kemudiannya telah bergiat sebagai pendakwah yang menyampaikan ajarannya di masjid-masjid. Mehmed Kadizade tidak dapat mencari titik temu antara jalur pemikiran Salafi beliau dengan fikrah Sufi di kalangan penggiat-penggiat Tarikat yang meluas di Istanbul dan wilayah-wilayah Uthmaniah yang lain. Ini menjadikan kumpulan-kumpulan Tarikat sebagai sasaran utama kritikan Mehmed Kadizade terutamanya melalui kuliah kendalian beliau di masjid Murad Pasha di Istanbul. Gerakan Kadizadeli tersebar luas di Istanbul ketika itu dan pemikiran Mehmed Birgivi, terutamanya melalui buku al-Tariqah al-Muhammadiyyah fi Bayan al-Sirah al-Nabawiyyah al-Ahmadiyyah.

Mehmed Kadizade banyak memberikan penekanan kepada keaslian mesej Islam. Beliau berpendapat, ajaran Islam mestilah merujuk kepada sumber-sumber yang sahih, bermula dengan al-Quran dan seterusnya kepada Sunnah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Di dalam masa yang sama, rujukan juga mestilah mengambil kira keaslian bahasa yang diguna pakai. Mesej ini menjadi sebab mengapa Mehmed Birgivi, biar pun mengajar di dalam Bahasa Turki, tetapi amat menekankan kepentingan mempelajari Bahasa Arab sebagai salah satu teras penting untuk melakukan Islah dan pembaharuan di dalam masyarakat. Beliau tidak mahu Bahasa Arab sekadar diterima pakai sebagai medium pembelajaran di institusi-institusi pendidikan tinggi malah turut menjadi teras utama ke seluruh peringkat pendidikan umat Islam pada masa tersebut.

Mehmed Birgivi bermazhab Hanafi di dalam Fikah dan mendukung aliran Maturidiyyah di dalam Aqidah. Kedua-duanya dalam dilihat dengan jelas di dalam karya-karya beliau yang lain. Namun, apabila melakukan kritikan, Mehmed Birgivi menyerlahkan karakter jalur pemikiran Salafi yang turut sama boleh dilihat pada tokoh-tokoh sebelumnya seperti Ibnu Taimiyah yang menjadikan golongan pemerintah dan Batiniah sebagai sasaran. Kedua-duanya pada kedua-dua zaman dikuasai oleh golongan sufi daripada kelompok Tarikat yang pelbagai. Mehmed Birgivi menekankan tentang kepentingan menjauhi elemen-elemen mistik untuk memastikan umat Islam terus maju dalam mendepani cabaran pada ketika itu.

– Sebahagian petikan, catatan saya mengenai Sheikh Mehmed Birgivi, rahimahullah.

HASRIZAL
MIRDIF, DUBAI
UAE

 

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

6 comments

  1. Masha Allah.. moga Allah mudahkan urusan permusafiran ust di samping usaha pengkajian.. Teringat kisah ulama dahulu berhempas pulas dalam permusafiran mencari ilmu.. barakallah..!

  2. Assalamualaikum, pendekatan Syeikh Mehmet Birgivi ini seakan banyak persamaan dengan Syeikh Nuruddin ar-Raniri dalam perimbangan salafiyah dan tasawuf. Memang banyak yang didengar daripada ustaz pabila pulang ke tanah air kelak.

    Salam berpetualang ilmu, Wassalam.

  3. Ust, ada tips tak untuk membeli buku2 agama, motivasi dan fikrah terutamanya di international bookfair. Sekarang sedang berlangsungnya Ma’rod kutub di Cairo.

  4. most esteemed bro hasrizal saya suka dgr lecture tuan thru cd, loved hearing ‘n’ taking ibrah frm ur lectures, bro if u cld tune down on talking abt ur wife in ur lectures wld be nice cos everytime deme dgr u ckp psl sunnahtullah n shariatullah tiba2 something about ur wife. kalau dikurangkan wld be easier on our ears. not only i yg feel like this most of the jamaah yg i kno pun berasa

    hope u’re not offended by my suggestion

  5. Menarik kisah perjuangan ulama ini. Beberapa kalai Ustaz sebutkan sebelum ini tentang ulama ini dan kali ini berpeluang mengkaji dan melawatnya sendiri, tentu sekali itu pengalaman yang indah. Selamat bermusafir.

  6. “Mehmed Birgivi bermazhab Hanafi di dalam Fikah dan mendukung aliran Maturidiyyah di dalam Aqidah.”

    “Namun, apabila melakukan kritikan, Mehmed Birgivi menyerlahkan karakter jalur pemikiran Salafi…”

    Ana agak teruja dengan penemuan ini mengenai Mehmed Birgivi oleh Ust Hasrizal. Memang telah wujud jalur dakwah bermanhaj Asya’irah-Maturidiah yang berorientasi ‘salafi’. Sebagaimana imam Hassan al-Banna yang lahir dri jalur tarikat kesufian dan menuntut reformasi beragama.

    Perkara ini tidak jelas kelihatan pada dai’e drpd manhaj asya’irah-maturidiah. Semoga ini menjadi satu percikan revolusi dalam memperkemaskan manhaj Asya’irah-Maturidiah dalam dokumentasi ilmu yang sering disalah-fahami. Begitu juga manhaj Salafi yang juga dilihat sebagai manhaj yang literalis sehingga mengabaikan keaslian metode pemahaman ilmu sejak zaman tabi’ tabi’in…

    Sering kali ana tersungkur pada keraguan yang datang berkali-kali, walaupun hujah manhaj ‘Salafi’ serta ‘Kholafi’ itu banyak. Keraguan itu adalah, adakah persoalan manhaj SALAFI (~ibnu taimiyyah, ect) dan KHOLAFI (~asya’irah-maturidiah, etc) ini suatu perdebatan antara BENAR dan SALAH atau sekadar perdebatan perkara furu’ dalam pemikiran?

    Sering menimbulkan dilemma, walaupun berada dalam jemaah… Wallahu’alam…

Leave a Reply to Arrazi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share