Ibrah Kisah Dzulqarnain: Tadabbur Sebuah Urus Tadbir Mithali

ibrahkisahdzulqarnain

Alhamdulillah, siri Ibrah Surah al-Kahf sudah selesai di semua lokasi. Siri ditutup dengan rumusan Ibrah Kisah Dzulqarnain, bermula daripada ayat 83 hingga 98.Sebagaimana sinonimnya Surah al-Kahf dengan fitnah Dajjal, serta mekanisme perlindungan membabitkan sistem kepercayaan, sistem fikir dan lihat serta sistem nilai, kisah Dzulqarnain menunjukkan bahawa, cabaran halus itu bukan hanya menjadi ancaman di peringkat individu, malah turut membabitkan kumpulan dan sistem.

Kisah Dzulqarnain membentangkan modul urus tadbir yang berasaskan kepada kepercayaan, cara fikir dan lihat, serta sistem nilai yang luhur menurut kehendak Allah SWT. Berikut adalah ringkasan isi kandungannya:

AYAT 83

  1. Kisah Dzulqarnain adalah bukti kebenaran Nubuwwah Muhammad sallallaahu alayhi wa sallam.
  2. Keterangan kisah terbatas, kerana fokus utama bukan perincian kisah, tetapi ibrah yang bersifat sistemik di dalamnya.

AYAT 84

  1. Kedudukan Dzulqarnain kukuh dalam pentadbirannya di atas muka bumi, dan yang memberikan kekukuhan itu adalah Allah.
  2. Kuasa dipegang dalam kerangka ia sebagai amanah Allah.
  3. Ia menjadi rujukan kendali diri pemerintah, serta dasar pemerintahannya, namun tidak mengkuduskan keputusan-keputusan yang dibuat.
  4. Allah, bukan sahaja memberi kuasa dan kedudukan yang kukuh kepada Dzulqarnain, tetapi turut mengurniakan keperluan dan kemudahan untuk pentadbirannya sukses. Ia membabitkan ilmu, tanah air, tenaga manusia, dan bahasa
AYAT 85
  1. Dzulqarnain bukan sahaja menerima kurniaan Allah untuk menjayakan pemerintahannya, malah beliau juga memanfaatkan kemudahan itu sebaik mungkin.
AYAT 86
  1. Misi ke Barat, Dzulqarnain bertemu kaum yang menjadi tanggungjawab untuk beliau uruskan.
  2. Allah mengilhamkan kepada Dzulqarnain, kaedah beliau bermuamalah dengan mereka.
  3. Dzulqarnain diuji, sama ada beliau menyeksa dan menghukum mereka, atau bermuamalah dengan baik.
  4. Integriti Dzulqarnain diuji.
AYAT 87
  1. Dzulqarnain tidak memeritkan kaum itu berasaskan apa yang bukan pilihan mereka. Dzulqarnain tidak menilai kaum tersebut berdasarkan bangsa dan keturunan.
  2. Dzulqarnain memeritkan kaum itu berdasarkan perlakuan yang mereka sendiri memilih untuk lakukan.
  3. Dzulqarnain mengancam menghukum mereka yang zalim.
  4. Dzulqarnain tidak mengancam menghukum mereka hanya kerana mereka kufur. Iman tidak boleh dipaksa. Namun kezaliman, adalah pilihan, dan menjadi asas hukuman.
  5. Dzulqarnain bukan hanya melaksanakan tanggungjawabnya menghukum, malah mengingatkan kaumnya bahawa mereka juga berhadapan dengan hukuman Allah di Akhirat.
  6. Hukuman itu bersifat ‘nukra’, yakni sesuatu yang haq di sisi Allah, walaupun dipandang batil oleh manusia.
AYAT 88
  1. Dzulqarnain memuliakan kaumnya yang beriman. Iman diberi penghargaan. Kufur tidak menjadi asas dihukum dengan hukuman.
  2. Bukan sekadar iman, tetapi juga perbuatan-perbuatan yang baik, turut dimerit dengan ganjaran yang baik.
  3. Dzulqarnain memerit kaumnya, berdasarkan apa yang kaum itu buat dan tidak buat. Ia berkaitan dengan prestasi. Bukan perkauman, perkumpulan dan yang seumpama dengannya.
  4. Dzulqarnain sebagai pemerintah juga berjanji untuk memberikan kaumnya kerja-kerja atau tugasan yang sesuai dengan keupayaan kaumnya, dan tidak dibebankan dengan pekerjaan yang di luar kemampuan mereka.
AYAT 89
  1. Dzulqarnain meneruskan agendanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

AYAT 90

  1. Dzulqarnain melaksanakan polisinya yang sama ke atas kaum Timur ini pula.
  2. Kaum Timur ini sangat transparent. Sama ada mereka sangat primitif tidak berpakaian (tiada perlindungan), atau duduk di kawasan yang sangat terdedah seperti savanna tanpa bukit bukau, pokok dan sebarang teduhan.

AYAT 91

  1. Allah menegaskan, walaupun kaum itu amat terbuka, jelas, seperti tiada apa-apa yang tidak diketahui tentang mereka, akhirnya Allah jua tetap Tuhan yang Maha Meliputi pengetahuannya tentang kaum tersebut.
  2. Peringatan agar pemerintah tidak tertipu oleh penguasaannya.

AYAT 92

  1. Dzulqarnain meneruskan agendanya melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

AYAT 93

  1. Pengembaraan terpenting Dzulqarnain, ke Utara.
  2. Kaum Utara tinggal di sebuah lembah antara dua tebing besar. Berkemungkinan Lembah Daryal (tidak perlu dimuktamadkan)
  3. Kaum Utara disifatkan sebagai kaum yang amat terpencil, bahasanya hampir-hampir tidak dapat difahami oleh Dzulqarnain dan kerajaannya.
  4. Tidak menguasai bahasa kaum yang hendak ditadbir atau dikuasai adalah satu kekangan yang signifikan.

AYAT 94

  1. Dzulqarnain mengatasi masalah bahasa untuk berkomunikasi
  2. Kaum tersebut disifatkan oleh al-Quran sebagai kaum yang:
    • Logistiknya terpencil
    • Berjiran dengan kaum yang barbarik lagi perosak yakni Yakjuj dan Makjuj
    • Memiliki harta
    • Tetapi tidak mempunyai kesedaran untuk mempertahankan tanah air sendiri
    • Menawarkan harta mereka kepada Dzulqarnain untuk membina tembok untuk mereka
  3. Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi merumuskan sikap kaum ini banyak persamaannya dengan kaum Arab semasa, ada harta tiada jati diri.
  4. Atas faktor yang sama, al-Marhum Profesor Necmettin Erbakan semasa menggerakkan gagasan ekonomi D8, menolak pembabitan negara-negara Arab dalam projek tersebut, kecuali Mesir, untuk kepentingan pelajar Turki di Al-Azhar.
  5. Tawaran kaum tersebut menguji integriti Dzulqarnain pada sistem nilainya

AYAT 95

  1. Dzulqarnain menolak tawaran kaum Utara
  2. Kuasa politik dan pengaruh bukan peluang untuk membina kekayaan dan kepentingan peribadi.
  3. Dzulqarnain menegaskan bahawa apa yang beliau sudah dapat dalam rezekinya yang Allah berikan, adalah lebih utama.
  4. Melihat politik berorientasikan perkhidmatan, dan bukannya peluang mengaut keuntungan, sangat kritikal.
  5. Pertukaran kepemimpinan negara hendaklah pertukaran antara satu pihak dengan satu pihak lagi yang lebih layak. Bukannya pertukaran yang membabitkan satu pihak yang bakal kehilangan kepentingan diri.
  6. Apabila membabitkan kepentingan diri, politik menjadi kotor dan berbahaya kepada masyarakat.
  7. Dzulqarnain lebih mementingkan tanggungjawabnya untuk memperkasakan kaum tersebut (empowerment).
  8. Beliau menolak tawaran harta, tetapi menerima cadangan projek pembinaan tembok mega, dengan syarat kaum itu menyertai pembinaannya.
  9. Dzulqarnain mahu menjadikan projek itu sebagai cara beliau mengubah jati diri kaum Utara.
  10. Boleh dicontohkan dengan tindakan pemerintah UAE yang menggandingkan tenaga pakar luar bersama rakyat tempatan bagi posisi-posisi penting, sebagai langkah pemindahan kepakaran. Ekspatriat luar akan meninggalkan tanah air, penduduk tempatan perlu mengambil alih tanggungjawab dan meneruskan usaha membangunkan negara.

AYAT 96

  1. Projek dilakukan dengan teknologi tinggi.
  2. Dzulqarnain mengepalai projek tersebut.
  3. Beliau menggabungkan besi dan tembaga untuk mengukuhkan binaan tembok mega berkenaan.
  4. Dzulqarnain memberikan demonstrasi bagaimana teknologi kejuruteraan yang tinggi, merupakan salah satu komponen penting untuk melaksanakan misinya.

AYAT 97

  1. Kukuhnya tembok yang dibina, disifatkan sulit bagi Yakjuj dan Makjuj memanjatnya, apatah lagi untuk menembusi tembok tersebut.

AYAT 98

  1. Dzulqarnain tidak mengambil ‘kredit’ atas kejayaan projek mega itu.
  2. Beliau memulangkan kejayaan tersebut kepada Allah, bahawa ia adalah “rahmat daripada Allah”.
  3. Sentiasa memelihara hubungkait projek, polisi dan kejayaan dengan Allah, menjauhkan mazhab materialisme yang menjadi fitnah Dajjal.
  4. Walaupun binaan tembok itu amat kukuh, ia juga mempunyai ajal, dan akan musnah.
  5. Kemusnahan tembok itu merupakan sesuatu yang pasti, di dalam ketentuan Allah dan ketentuan Allah itu Benar.

Semoga kisah Dzulqarnain ini, menjadi panduan kepada kita semua pada mengusahakan sebuah urus tadbir negara yang berada di atas sistem kepercayaan, pandangan hidup dan sistem nilai yang benar, ameen.

HASRIZAL @ 43000 BSP

Check Also

Meninjau Eropah: Beragama Tanpa Tuhan

“Hidup ibn Sedar… jumpa Tuhan tak jumpa agama”, itu terjemahan ringkas saya terhadap kisah seorang …

5 comments

  1. alhamdulillah… terima kasih ustaz untuk point kisah Zulkarnain.. selamani baca tak delah faham sampai begini sekali… dari sudut politik, pengurusan dan sebagainya… 🙂

  2. A95:10 – banyak negara yang mengamalkan pendekatan ini pd peringkat permulaan sesuatu projek. ccelcom sekitar 1997-1999 menggunakan khidmat ekspetrait dari negar uncle sam utk mendaptkan konsultasi keatas network 2G & 3G GSM ketika itu. kami berpeluang berkerja sama-sma, memahami & ‘menceduk’ ilmu mereka yang akhirnya keseluruhan network bertambah baik dan jumlah pengguna meningkat.
    diperingkat individu saya berjaya melonjakkan pengetahuan dan membolehkan saya menyumbang khidmat ke beberapa negara luar termasuklah UAE & KSA tahun 2008-2012….

  3. Akhmal asyraf

    Salam ustaz.. Boleh ustaz adakan satu penulisan berkaitan dgn apakah itu aqidah secara menyeluruh?

  4. apabila Al Quran & ibrah di dalamnya dijadikan panduan, sememangnya menghasilkan sesuatu yg sgt berkualiti… Alhamdulillah

  5. Salam. Bila DVD ibrah zulqarnain, pemilik dua kebun, musa dan khidir nak keluar. Tak sabar nak bertadabbur. Tq

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.