Generasi Y Teruji Kesetiaannya

tahiayam

Dalam setahun dua ini agak ramai pelajar perubatan dan doktor pelatih menghubungi saya, menyatakan keletihan mereka menjalani kehidupan di bidang perubatan, khususnya housemanship.

Ada yang mahu beralih ke perniagaan Herbalife©.

Ada yang lebih tenang menjual Tupperware©.

Ada juga yang rasa kerjaya lebih bermakna sebagai ustaz dan ustazah, atau kaunselor.

Sebahagiannya, saya sarankan berhenti. Elok berhenti. Bayar sahaja beberapa ratus ribu RM yang sudah diguna. Ia saranan khusus buat yang sudah pun ada keputusan di minda. Namun ada juga yang saya cuba pujuk. Setakat yang mampu. Yang sempat. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Bimbang.

Semua ini hanya ‘tip of the iceberg’.

Generasi Y (again!) sukar memberi komitmen. Kurang setia.

Internet laju, mesej mudah dimaklumkan hanya dengan SMS dan kini Whatsapp, Tango, Viber dan Skype, kita sangat mudah melepaskan komitmen. Ia bukan lagi sekadar teknologi harian, tetapi ia menjadi diri kita. Kemudahan yang menyebabkan karakter kita sulit menguruskan kesusahan. Walaupun kita anak orang susah.

Digital native!

Saya kongsikan sepotong emel yang saya kirim buat seorang sahabat yang meminta nasihat. Saya tidak pasti baik atau tidak nasihat yang saya berikan ini. Saya hanya nyatakan secara telus, apa yang saya percaya:

Assalamualaikum WBT.

Perjalanan hidup ini sangat panjang. Begitu juga kerjaya. Semasa kita di usia 20’an, kita boleh beri nasihat yang membantu rakan kita yang 20’an juga. Tetapi apabila umur kita meningkat, kita akan mula rasa yang cakap kita kosong dan orang pun tahu cakap kita kosong. Untuk mengelak kekosongan itu, jadikanlah membantu orang itu sebagai tugas pelengkap dalam semua tugasan rasmi yang kita buat.

Kerja jadi doktor memang penat. Sangat penat. Tengoklah muka doktor-doktor senior itu. Sama ada mereka sekarang baik seperti malaikat atau kejam seperti jin tanah, mereka menempuh apa yang doktor sedang tempuh sekarang. Hidup ini kena kuat mengendalikan komitmen. Bersabarlah. Teruskan bekerja. Kalau mengantuk tidur. Kalau penat rehat. Tapi jangan berhenti.

Nanti bila dah jadi MO, Registra, atau Doktor Pakar, nasihat kita adalah nasihat yang bersama dengannya pengalaman menempuh kesusahan. Kemahiran dan pengalaman kita dihormati, lalu nasihat kita pun dihormati. Tetapi kalau kita nasihat tanpa kemahiran dan pengalaman, sekejap sahaja kita rasa nasihat kita berkesan. Kemudian kita akan segera rasa kosong dan pada masa itu untuk kembali ke trek, mungkin tidak lagi.

Kerana tidak mahu memberi nasihat kosong, walaupun saya sudah menempuh pengalaman demi pengalaman, saya sambung belajar walaupun umur dah nak masuk 40. Saya sudah tidak sanggup membuka radio, tv kerana penuh manusia bercakap kosong, sebab sekarang ni bercakap kosong sedang laku. Sedikit masa lagi, atau mungkin sudah pun bermula, cakap kosong ini semakin ditinggalkan orang.

Bersabarlah. tenangkan hati. Take it easy. Pelan-pelan. Sambil jadi HO dan sikit lagi MO, sambil tu kongsikan nasihat. Bagaimana kita hendak nasihat orang lain jika nasihat kita, diri kita sendiri pun menolaknya. Nasihatilah diri untuk bersabar. Kerana sabar itu tiada balasannya kecuali Syurga.

Salam ukhuwwah

Seperti kata pepatah Melayu, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.

Jangan hangat-hangat tahi ayam.

Dua pepatah ini, saya selitkan dalam ilustrasi di atas, petikan ebook Tak Kenal Maka Tak Cinta.

Salam ukhuwwah.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Menghina si Anak Muda Kerana Mudanya Mereka

Semasa kita mahu guna anak muda, kita puji mereka sebagai ‘masa hadapan kita’. Kita buka …

12 comments

  1. Salam ustaz,
    Saya beranggapan ramai HO yg kecundang disebabkan tidak tahan dgn karenah org atasan. Dimaki hamun,herdik, kadang2 seolah2 dibuli semasa kerja dan di hadapan pesakit. Kebanyakannya tidak ada masalah kerja banyak,kerja malam smpi pagi.

    • Salam ustaz,

      Anda sedang berhadapan dengan generasi pemberontak z, yang tidak sewenang wenangnya menerima apa sahaja yang cuba didoktrinkan kepada mereka, termasuklah segala ceramah dan motivasi yang cuba diberikan oleh pegawai perubatan dan pakar yang walaupun bertauliah dari segi ilmu perubatan, namun tiada kelayakan yang serupa dalam bidang psikologi. “Motivasi” dan reverse psychology yang diberikan sambil bercerita tentang kejayaan sendiri telah mempercepatkan proses burnout, mia dan menambahkan bilangan yang meletak jawatan. Sekiranya kementerian masih dikuasai oleh golongan yang suka bernostalgia ini maka janganlah terkejut sekiranya lebih dari 1 per 5 doktor pelatih meletak jawatan/mia setiap tahun, dan dijangka bertambah sekiranya jpa melonggarkan syarat bond perjanjian biasiswa untuk selesaikan masalah mia/houseman yg ingin berhenti. Sekian.

  2. Salam ustaz, saya bersetuju dengan pendapat ustaz… saya salah seorang daripadanya… dan saya telah kecundang dalam pertempuran itu dan berniat untuk bangkit semula.. Insya Allah.. persiapan diri dari segi mental dan rohani yang kurang menjadikan kami tidak bersedia menghadapi cabaran sewaktu HO.. Seolah-olah mengalami kejutan budaya.. itu yang saya rasakan..

  3. Jazakallahu khayran kathira.

    Ana menimbang personal artikel ustaz yang ini. Kena pada tempatnya, kena pada masanya.

    Cumanya, honestly, kecewanya ana pada kerjaya ini bukanlah pada kepenatannya. Ana tidak ada masalah bekerja selama 18-20 jam sehari, enam hari seminggu. Kesibukan adalah pakej yang datang bersama kerjaya yang ana pilih. What to expect?

    Namun yang menjadi kerunsingan ana adalah, pada suasana dan culture yang ada pada kerjaya ini. MdLuthfi pernah bercerita mengenai hope & fear. Keduanya perlu seimbang. Ana tidak nampak keseimbangan ini dalam kerjaya sebagai HO. Ana pasti rakan2 HO lain boleh bersetuju. Hidup sebagai HO, sentiasa dalam ketakutan. Buat ini tak boleh, buat itu tak boleh. Kalau buat, salah..kalau tak buat pun, salah. Save our own ass menjadi prinsip utama dalam suasana medikolegal semakin berkembang. HO ditakut-takutkan dengan ugutan warning letter, ugutan extension. Juga sebagaimana yang disebut oleh akhi Amri di atas.

    Tersangat sukar mencari keikhlasan bekerja dalam suasana sebegini. Walau semurni manapun niat yang ditanam tatkala melangkah kaki ke tempat kerja setiap hari, ianya pasti akan berakhir dengan harapan “cepat-cepatlah zaman HO ini berakhir..” Nak dipuji atau di-appreciate? Harapan la kot. Saya sendiri pernah diperbodohkan didalam OT oleh pakar.

    “U all houseman sekarang, makan gaji buta ek? Dah tak ada oncall, dapat flexi hour elaun, datang kerja balik kerja on time, padahal we all (specialist n MO) do the real job treating patient. You pegi ambil swab tu lapkan peluh kat dahi I, at least you’re doing something!”. Saya hanya menggetap gigi disebalik mask yang dipakai. Nak saja disuruh specialist itu memasang sendiri CBD kat pesakit, review sendiri pesakit setiap pagi, poke sendiri branulla pada setiap patient. Apa boleh buat. “Nanti dah jadi specialist, jangan jadi specialist mcm tu..” pesan pada diri sendiri.

    Yet, bila hal ini disuarakan, houseman dikatakan semakin manja. Kata kami demand lebih2, tak bersyukur. Last-last kami diam jelah. Sudahlah underappreciated, malah disenyapkan pula.

    Keduanya, terlalu banyak hak-hak lain yang terabai, dek kerana memenuhi tanggungjawab selaku HO ini. Hak-hak kepada keluarga, isteri/suami, hatta hak kepada diri sendiri terpaksa dikorbankan demi memenuhi hak terhadap pesakit, atau memenuhi kerenah MO. Sampai bila? Sampai menjadi MO? MO pun lebih kurang sama bz nya seperti HO. MO perlu tagging at least 6 bulan, berbanding HO cuma 2 minggu. 6 bulan, terus terusan masuk kerja sebelum pukul 7 pagi balik selepas 10 malam setiap hari, 6 hari seminggu. Labor Act seakan tidak ada maknanya kepada HO atau MO ini. Penat itu tak apalah, dan orang luar mungkin perli “berbaloi la dokter gaji mahal..” tapi di celah2an masa itulah, ruang dicari memenuhi tanggungjawab sebagai suami/isteri, anak, rakan, jiran tetangga, tanggungjawab kepadaNya.

    Dan atas sebab itulah, ana secara peribadi, tidak menyimpan hasrat untuk menjadi MO/specialist atau meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Ana bercadang, kalaupun ana habiskan HO, ana akan melompat ke bidang bukan klinikal. Sama ada research atau lecturing. Atau mungkin start fresh in another line of career. Keluar dari suasana ini. Keluar dari biah ini.

    In the end, nasihat ustaz yang akhir itu jugalah penyimpul bicara – bersabarlah. InshaAllah, tiada apa lagi kekuatan pada seorang hamba di jalan ini, melainkan bersabar. Bersabar sama ada sehingga keadaan/suasana menjadi lebih baik, atau sehingga segalanya ini tamat dan akhirnya berjaya memulakan kehidupan baru. There’s no guarantee “kehidupan baru” itu adalah lebih baik dari kehidupan sekarang. Maybe it can be worse, even. Tapi at least, ada hope.

    Rata2 ramai yang nak quit HO ini, pada pandangan saya, mereka hanya perlukan HOPE dalam hidup mereka. Kerana suasana kerja HO sedia ada sekarang ini, benar-benar menjadikan mereka hopeless..

    Wallahua’lam.
    Bersabarlah, duhai hati…

    • Doktor adalah sebahagian daripada masyarakat kita yang sakit akhlaq. Lagi naik pangkat lagi keparat. Untuk membuat perubahan, cakap orang luar specialist dan consultant tidak mahu dengar. Cakap orang dalam, orang dalam yang berjiwa besar untuk membuat perubahan tidak ramai.

      HO, tapis.

      MO, tapis lagi.

      Registra tapis lagi.

      Tinggal berapa orang doktor pakar yang masih mendukung agenda nak ubah?

      Saya kurang arif kenapa perlu takut dengan specialist, consultant, registra yang mulut celupar itu. Tambahan pula kalau yang laser itu si lembut yang berilmu dan berpangkat, yang mana kita sedia maklum geng lembut ni memang ramai yang suka bermulut ‘sial’. Apa yang si laser tu boleh buat? Lainlah jika dia ugut untuk gagalkan kita tanpa sebab, atau sexual attack, then ada undang-undang yang melindungi kita. Maka gunakan undang-undang itu.

      LAWAN,LAWAN,LAWAN!

      Kalau nak berhenti, biar diberhentikan kerana melawan. Bukan berhenti tak tahan dikutuk. Sudah hilangkah semangat melawan? HO atau MO, setiap manusia boleh memilih untuk mengalah, atau melawan.

      Bertahun-tahun yang ‘latih’ isteri saya supaya melawan, dan bukannya menangis.

    • Itu sebahagian ujian untuk maju ke depan. Masa student, punyalah menghitung hari nak grad, cepat2 keluar dari HUKM yang menyiksakan. Bila dah HO, penatnya bukan main. Kena marah itu biasa. Lagi-lagi bila 2 HO jaga 30 patients dalam wad. Nak tak nak, kerja kena siap. Ambik darah, trace results, mintak CT/MRI kat radiologi. Lama-lama dah rutin, dah jadi habit dan boleh develop sistem yang efisien untuk siap kerja – bukannya short cutting. Bagi saya, nilai keikhlasan dan kejujuran semasa HO lebih besar kerana itu mencerminkan harga diri saya. Mula-mula turun ke radiologi kena marah sebab tak tahu detail kes, tapi lama-lama dah jadi second nature untuk tahu setiap kes sehingga sampai ke satu tahap, pakar-pakar radiologi tak perlu tanya banyak soalan sebab dah percaya kat HO gemuk ni 🙂 Saya pernah lawan pakar, tapi hanya sekali dan saya amat pasti halnya bukan disebabkan kelemahan saya. Adapun ketika lain, saya menganggapnya sebagai latihan untuk menghadapi kehidupan MO yang lebih mencabar. Dan pendirian saya itu terbukti betul.

      Begitu juga ketika menjadi MO di hospital daerah, di waktu semua staf sokongan akan melihat pada kita untuk setiap keputusan. Mulanya mereka seperti menguji saya, namun lama-kelamaan merekalah pembantu dan rakan serta guru yang baik. Masa itulah setiap keputusan kita akan ditanggung kita sendiri. Pengalaman mengajar kita sehinggakan waktu MO di 2 hospital daerah itu merupakan waktu terbaik saya semasa bekerja.

      Sekarang bila jadi Registrar, beban setiap keputusan itu lebih berat. Namun jika anda menyangka bahawa kena marah oleh pakar itu teruk, you ain’t seeing anything yet. Di masa HO, setiap keputusan kita ditanggung oleh pakar kita. Sebab tu pada awal posting, memang kita akan kena marah jika silap. Tapi earning the trust from your pakar itu sepatutnya menjadi goal kerana itulah asas penilaian kita – kebolehan membuat keputusan dan tidak membunuh pesakit kita. Dan saya bersyukur kerana atas mindset inilah, saya dan kebanyakan kawan-kawan HO menjadikan tempoh itu untuk belajar yang akhirnya membuahkan satu kepercayaan daripada pakar kami. Dan sepanjang tempoh karier saya yang singkat ini, tiada pakar yang nak gagalkan HOnya melainkan atas sebab attitude dan disiplin.

      Jadi, betulkanlah niat, kuatkan semangat dan bersabarlah. Percayalah, pesakit akan lebih mengingati HO yang menjaga mereka daripada pakarnya, hanya jika kita bersungguh-sungguh. Ada kalanya saya seperti malaikat yang baik kepada HO yang rajin, tapi saya juga boleh menjadi jin tanah kepada HO yang membuat masalah. Tanyalah diri sendiri, adakah saya nak jadi HO yang pasif – untuk mengelap peluh di dahi pakar?, atau saya nak jadi HO yang aktif, yang menawarkan diri untuk membantu dan belajar? Itu keputusan anda.

      • Ya, saya menyokong penuh pendapat anda. Saya pernah bertanyakan sekumpulan HO yang posting ke jabatan saya sama ada mereka yakin dan percaya kepada doktor doktor seangkatan mereka untuk merawat keluarga atau diri mereka sendiri. Bukan jawapan yang saya nanti, tapi celik mata hati. Teruskan perjuangan anda hingga ke tahap yang setinggi mungkin.

      • Dengan kata lain, “during my time” mentaliti kan.
        Terdapat banyak kes sebegini, iaitu ingin membela nasib doktor pelatih semasa pada mulanya, namun berubah menjadi sebaliknya apabila meningkat menjadi mo dan pakar. Merasakan bahawa segala penderitaan yang dilalui semasa zaman pelatih adalah berbaloi, dan menerapkan rejim yang sama kepada orang bawahan dengan alasan “during my time” serta kalau aku boleh, kenapa kau tak boleh? ,walaupun semasa zaman pelatih memang banyak kali fikir nak berhenti betul tak?
        Diingatkan bahawa anda sedang berhadapan dengan generasi pemberontak, yang tidak sewenang wenangnya menerima apa sahaja doktrin atau nilai yang cuba diterapkan secara kasar, biadap dan kurang ajar oleh sesiapa sahaja walau apa juga alasannya. Jika anda masih yakin bahawa penceritaan masa silam anda mampu mengembalikan semangat dan motivasi mereka, maka saya sifatkan anda sebagai terlampau naif. Serahkan nasihat dan motivasi kepada pakar psikologi dan jagalah kebajikan orang bawahan anda dengan baik. Sekian

  4. salam.ustaz,terima kasih atas nasihat ni.di awal period housmanship,saya pernsh terlintas utk quite dan jadi surirumah. kecewa dgn sikap mo dan specialist yg sugguh tidak professional.tapi setelah lalui beberapa posting,saya dapati ada byk je mo n specialist baik..hatta saya pernah buat mistakes dln OT,senior mo ini sgt professional dan cool..semasa posting paeds,sy diperli ditohmah oleh female mo “housrman skrg,nak amik maternity leave awal,tak pikir langsung mo n ho lain”.masa tu,hanya allah tau betapa hancurnye hati saya,hanya mampu dgr je.sedangkan dgn perut yg bsr,letih.jaga wad seorang diri,klinik,discharge patient,branula,bloods,clerking,apspun,semasa houseman kene banyak sabar..latihan bersabar bukan hanya di medan usrah.

  5. Assalamualaikum Ustaz Hasrizal yang amat dihormati kerana Allah,

    Artikel ini amat baik dan saya bersetuju benar dengan rapuhnya jiwa ana muda mgenerasi masa kini untuk kekal bertahan dengan satu pilihan sendiri yang diambil dala hidup apabila mula terbit bosan dan diuji,,Kawan-kawan dan kenalan saya ramai yang ambil jurusan perubatan, yang sedang housemanship, ada juga yang telah jadi doktor, rata-rata mengeluh hal sama,,bukan bidang kedoktoran sahaja sebenarnya,,yang bidang pure science pun ramai merungut setelah bertahun berhempas pulas melayakkan diri ke bidang sains,,

    Sebenarnya,saya nak komen sedikit berkenaan ebook Tak Kenal Maka Tak CInta,, sgaya sendiri hadir ketika pelancaran ebook berkenaan di KUIS dan membelinya sejurus dilancarkan,, Malah saya turut membelikannya untuk rakan-rakan apabila ada yang minta ‘copy’ walaupun saya boleh emel sahaja salinan yg saya ada semata kerana menghormati nilai ilmu, harta intelek serta susah payah pelbagai pihak sepanjang pembikinan ebook ini,,

    Lantaran saya mengikuti pembentangan berkenaan teks,visual, subteks dan semiotik itu, saya sering menjadikan ebook ini medan perbincangan untuk mencari ‘klu-klu’ lain yang tersirat dalam setiap lukisan selan dari ‘bubble teks’ yang ada,, Ianya satu perbincangan yang amat menyeronokkan,,

    Berkenaan dengan ilustrasi di atas ini, saya hanya perasan peribahasa alang-alang menyeluk pekasam itu sahaja diselitkan dalam ilustrasi,, bila ustaz tulis peribahasa ‘hangat-hangat tahi ayam’ juga ada diselitkan, saya baru perasan ada ayam di situ! 🙂

    Ustaz Hasrizal yang amat dihormati, ebook ini amat baik dan saya sangat sukakannya,,tapi, memang ada bahagian yang saya sendiri tak dapat jumpa isi semiotik yag disiratkan,, hal ini mungkin kerana,,

    1) Masalah saya sendiri atau mostly anak muda sekarang yg selalu tak ‘get the point’ dan kurang kreatif berkias
    2) Ebook ini mungkin terlalu tersirat

    Saya tak salahkan ebook ini, saya cukup seronok menebak mesej yang ingin disampaikan melalui diskusi dengan rakan-rakan,,macam-macam idea dan pandangan boleh keluar walau dengan satu ilustrasi,,

    Sekadar cadangan saya, mungkin ustaz boleh buat sekuel TKMTC yang ada jawapan di belakang seperti buku aktiviti/latihan, buah fikir ustaz yang ustaz ingin sampaikan dan juga ada ruang untuk tulis jawapan sendiri di setiap page ilustrasi,,preferable bercetak supaya orang boleh tulis atau mungkin jadikan ia downloadable sebagai iringan bersama ebook TMTKC,,macam kita beli buku ‘word search/word puzzle’ walau ada jawapan di belakang, keseronokan mencari jawapan sendiri itu masih lagi ada, cuma at least, ‘too-hidden’ point dapat diambil juga,,

    Sekadar cadangan ustaz, kalau mahu kekal misteri pun tidak mengapa 🙂

Leave a Reply to Aqilah Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share