Kaderisasi Dakwah Antara Gen-X dan Gen-Y

33555_452667963458_822368458_5345230_197350_n

Foto ihsan Ustaz Fazdi Harun

“Sheikh, apabila kapal terbang sudah terbang di udara, baru baca surat ini, ok!” kata Ustaz Syukur.

Saya mengangguk.

Mujur bukan ‘dadah’.

Saya menerima bungkusan daripada ketua kami dan menyimpannya di dalam beg. Seperti yang diarahkan, apabila pesawat Royal Jordanian telah terbang di udara, membawa saya dan rakan-rakan pulang bercuti buat pertama kali semenjak belajar di Jordan, saya membuka sampul berkenaan.

“Sukacita dimaklumkan, bahawa saudara telah dilantik menjadi ketua kepada jawatankuasa gerak kerja cuti musim panas tahun ini. Tugasan-tugasan telah diperincikan seperti yang tertera di dalam surat ini. Sila bentuk ahli jawatankuasa saudara untuk menjayakannya dan hantar laporan kerja dua bulan daripada tarikh surat ini dibaca… ”

Wah, wah!

Mesyuarat tiada, apa pun tiada, tiba-tiba saya menerima lantikan ini. Baru sahaja berangan-angan mahu berseronok balik bercuti ke kampung halaman, angan-angan itu terbantut dek surat keramat yang diterima itu. Dengan berat hati, saya mula membuka buku catatan dan melakarkan jadual jangkaan.

Sebulan setengah untuk peribadi.

Sebulan setengah untuk jemaah.

Untuk perjuangan!

Demikianlah kisahnya pada tahun 1994. Semasa anak-anak mudanya adalah daripada jenis kami. Jika dipandang ke belakang dari tahun 2013, maka ‘jenis kami’ yang saya maksudkan itu adalah ‘Gen-X’. Modus operandi jemaah adalah modus operandi Tarbiyah untuk Gen-X.

Di zaman itu, Gen-X ini tidak banyak maklumat. Mereka menyertai gerakan Islam sebab mahu menolong Islam. Orientasinya adalah kerja, kerja dan kerja. Maka kami obses dengan kerja, kurang peka dengan teori.

Teori kami ringkas. Malah banyak yang salah.

Jemaah ini jadi pilihan sebab ia jemaah pertama dan tertua.

Dalil kami bercampur aduk antara (ุงู„ุฃูˆูŽู‘ู„ู ูุงู„ุฃูˆูŽู‘ู„ู) dalam bab bai’ah khalifah, mahu pun pahala hadir awal solat Jumaat.

Tidak ramai yang kisah, benarkah istidlal hadith itu begitu, kerana yang penting adalah kerja.

Kesedaran tentang pentingnya meletakkan teori yang betul adalah kesedaran yang eksklusif. Hanya segelintir yang mendesak, benarkah jemaah kita jama’ah al-muslimin, atau jama’ah min al-muslimin. Dan kelompok yang ‘sedar’ ini jadi kelompok pembuat masalah. Dan oleh kerana pembuat masalah ini tidak ramai, mereka mudah dicantas.

“Tapi ini bukan pendapat kami sahaja. Sheikh Solah juga berpendapat begitu!” suara ‘sedar’ berhujah.

“Sheikh Solah tidak faham waqi’ Malaysia!” kesedaran tersebut dibidas.

“Sejauh manakah perbezaan waqi’ mengubah makna nas?” suara ‘sedar’ enggan mengalah.

“Anta nak apa sebenarnya?” pertanyaan itu mematikan momentum.

Masa berlalu…

KADERISASI 2013

Kini anak-anak muda di dalam gerakan Islam bukan lagi Gen-X.

Mereka adalah Gen-Y.

Walaupun jurang antara generasi ini fenomena sepanjang zaman, jurang antara generasi hari ini terjadi seiringan dengan revolusi teknologi maklumat. Satu daripada tiga revolusi yang mengubah landskap dunia, selepas Revolusi Pertanian dan Revolusi Industri. Maka teknologi maklumat bukan hanya alat di tangan. Penggunaannya, penguasaannya terhadap pendidikan, penyaluran maklumat, mengubah kognitif manusia. ย Biar pun Gen-Y itu adik Gen-X, tetapi jurang usia 20 tahun menjadikan rambut sama hitam, kognitif lain-lain!

Maka hari ini, apabila anak muda menyertai gerakan Islam, yang dibawa ke dalam gerakan Islam itu adalah isu Gen-Y. Adakah gerakan Islam sedar tentang hal ini?

Sudah banyak kajian yang dilakukan tentang organizational behavior di kalangan Gen-Y, dalam aplikasi employment di industri dan korporat. Bahawa Gen-Y itu mempunyai ciri yang perlu difahami. Mengeluh tidak ke mana. Marah juga, tidak menyelesaikan apa-apa. Gen-Y yang kurang setia kepada organisasi, tidak suka menerima arahan yang datang secara tradisional, digertak dengan kedudukan ketua, melihat kerja sebagai sebahagian daripada cabang kehidupan yang harus seimbang dengan cabang-cabang yang lain… semua itu sudah tidak boleh dielakkan.

Itulah realitinya.

Gen-Y adalah Gen-Y.

Maka rejuvenasi sebuah gerakan Islam untuk menampung serta memanfaatkan Gen-Ya amat perlu.

Caranya bukan dengan pemimpin-pemimpin Gen-X buang serban ganti dengan baseball cap, atau pecat jubah ganti dengan jeans. Itu canggung. Malah memualkan ramai Gen-Y.

Rejuvenasi sebuah gerakan Islam ialah pada berhenti beretorik. Berhati-hati dan mengukuhkan idea, mewacanakan mesej yang hendak ditawarkan kepada anggota juga massa, dan berhenti berhujah dengan ‘kerja’ dan ‘amal’ semata-mata.

“Kamu tahu cakap sahaja. Kami sudah lama bergelumang dengan kerja-kerja di atas dan di bawah!” kata pemimpin, si Gen-X.

Gen-Y terbahagi dua.

Satu kelompok mentertawakan sahaja kenyataan sebegitu.

Satu kelompok lagi akur dengan kenyataan sebegitu, tetapi dengan pengecutan minda yang serius.

Distortion.

Mengendalikan tamrin untuk menjelaskan fikrah tentang ‘Islamism’ di kalangan Gen-Y, menemukan saya dengan realiti yang menakutkan.

Bukan takut dengan Gen-Y.

Tetapi takut dengan Gen-X.

Generasi saya sendiri.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

8 comments

  1. Jazakumullahu khayr atas perkongsian. Jenuh juga sebenarnya nak dapatkan synergy tu….

  2. Arahkan saja gen x utk belajar mentarbiyyah gen y :-). Gen x akan ikut arahan Dan gen y dpt do tarbiyyah.

  3. Xfaham. Ape point yg nak bgtau sbnrnye?

  4. masyaAllah menarik analisa ustaz…
    …kelompok kader2 gen Y berbeza realitinya…maka epistemologi dan methodologi kaderisasi oleh gen x juga perlu berubah…

  5. Sangat setuju dengan ustaz. saya juga ber ’emphaty’ dengan gen X, biarpun saya dari gen y tetapi sendiri merasa penat menerima ayat-ayat yang mendesak dan menekan. Tarbiyah cara Rasulullah jika dijadikan contoh, pasti amat termotivasi.

  6. Saya bermasalah jika program dan gerak kerja diberi secara mengejut.Saya lebih melihat kepada planning,buka semata-mata kerja,kerja,kerja….

    mungkin ini adalah masalah saya,bisik hati saya.

  7. Saya Gen X bersetuju dengan ustaz.
    Secara kasar, Gen Y agak melemaskan..

    Tetapi bagi saya, Gen X lebih menakutkan..
    Mudah-mudahan Gen Y bijak menyaring senior2 mereka supaya lebih hebat dari Gen X.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.