Ramadan Tetamu Dataran Syam

program

Foto Ihsan Ustaz Fazdi Harun

“Assalamualaikum!” kedengaran suara memanggil dari luar.

“Eh, siapa pula tu?” saya bertanya kepada Arief. Kami sedang sibuk memasak lauk untuk berbuka puasa malam ini. Maklum sahajalah, hari ini adalah Ramadhan pertama kami di perantauan.

Rupa-rupanya Muhannad, anak jiran kami datang. Beliau membawa sepinggan besar nasi yang dimasak dengan ayam. Maqlubah, kata orang Jordan.

“Wah, terima kasih banyak-banyak Muhannad. Semoga Allah memurahkan rezekimu sekeluarga. Sampaikan ucapan terima kasih kami kepada ibu bapa kamu, ya” Arief menyambut talam yang dihulur.

“Sama-sama. Ini namanya hidup berjiran” Muhannad tersenyum.

Iftar pertama saya dan ahli rumah kami di Jordan penuh kenangan manis. Rumah kami digelar sebagai Darul Kahfi. Pada masa itu, rumah pelajar lelaki semuanya diberi nama tertentu dengan menggunakan perkataan Dar. Manakala rumah pelajar perempuan diberi nama dengan menggunakan istilah Bait.

“Murah rezeki kita. Inilah untungnya duduk di Mu’tah. Orang kampung baik hati” kata Ustaz Syamsul. Beliau adalah di antara ahli rumah kami yang paling senior. Ketika saya sampai di Jordan, beliau sudah berada di tahun dua pengajian.

Ustaz Syamsul suka memujuk kami dengan pelbagai cerita tentang baik budi penduduk tempatan di Mu’tah. Bukan apa, takut-takut kami merajuk sebab seminggu sebelum kami diputuskan untuk belajar di Universiti Mu’tah, pelbagai provokasi membayangi fikiran kami. Kata pelajar di Amman, Mu’tah itu letaknya di hujung dunia. Turab Aswad (Tanah Hitam) kata mereka.

Saya sendiri pun, semasa kali pertama menaiki bas untuk datang ke Mu’tah, berada di dalam keadaan yang serba salah. Perjalanan lebih dua jam, dirasakan begitu panjang. Entah berapa kali saya terlelap di dalam bas, Tuhan sahaja yang tahu.

“Emm, ke manalah mereka nak bawa aku ni” saya termenung di dalam coaster. Jauh benar perjalanan kali ini. Saya tergamam melihat beberapa ekor unta merayau lesu di padang pasir. Sesekali gerun merenung gaung ratusan kaki di kiri jalan.

Tetapi hari ini, saya berasa gembira. Walaupun hati sebak terkenangkan keluarga di Malaysia, sekurang-kurangnya baik hati jiran menghantar hidangan Maqlubah kepada kami, amat saya hargai.

TARAWIH ‘BERSAMA’ SAHABAT RASULULLAH SAW

attayyar

Makam Jaafar bin Abi Thalib

Malam itu kami bertarawih di Masjid Jaafar ibn Abi Thalib. Sayu-sayu sahaja bacaan imam tua yang memimpin solat kami. Sesekali saya menoleh ke belakang. Kelihatan Maqam Jaafar al-Thayyar jauh di sana. Ganjil sungguh perasaan saya malam itu. Bercampur baur di antara sedih dan bangga. Sedih sebagai naluri biasa saya yang terkenangkan emak di kampung. Ini Ramadhan kedua emak tanpa abah. Abah pulang ke Rahmatullah pada 10 Syawal sebelum itu, di sisi emak. Saya hanya mampu meminjamkan riba tempat emak menghempaskan wajah dukanya atas pemergian abah. Dan kali ini, sunyi emak bertambah lagi dengan ketiadaan saya. Anaknya jauh di perantauan.

Tetapi ada juga terselit rasa bangga kerana malam ini, saya menyambut Ramadan di sisi para Sahabat yang pernah bertarawih bersama baginda Rasulullah SAW. Di belakang saya ada Jaafar bin Abi Thalib. Di kiri masjid pula ada Zaid bin Harithah dan jauh di seberang jalan, Abdullah bin Rawahah bersemadi. Ramadan kali ini saya terasa bagai dekat benar dengan Rasulullah SAW. Segala puji buat-Mu, ya Allah.

Selepas bertarawih, kami bersalam-salaman dengan pakcik-pakcik Arab yang ada di masjid. Mereka memeluk kami, pelajar Malaysia, sambil memberi kata-kata perangsang agar kuat semangat untuk belajar.

“Lihat itu, Jaafar al-Thayyar. Dia datang ke sini sebagai perantau. Seperti kamu!” kata Abu Ma’moon.

Saya dan rakan-rakan tersenyum sambil menganggukkan kepala.

Keesokan harinya saya dan rakan-rakan memasak nasi minyak berlaukkan ayam. Kami berhasrat untuk mengisi kembali pinggan keluarga Muhannad yang diberi semalam dengan nasi minyak ini. Maqlubah Maliziyyah!

“Eh, Hasrizal. Tengok tu. Itu adik Muhannad, Ahmad. Dia bawa pinggan lagi” Munawwar memberitahu saya.

Allah, saya baru sahaja menyelesaikan masalah pinggan semalam. Hari ini pinggan lain pula yang datang. Apa pula yang saya nak isikan esok?

Kami bertukar pinggan. Ahmad tersenyum sambil menyerahkan hidangan waraq ‘inab kepada kami. Oh, ini makanan kesukaan saya. Waraq ‘inab ini adalah nasi yang dimasak dengan daging hancur, kemudian dibalut dengan daun anggur yang telah dijeruk, dan kemudian dikukus. Ia dihidangkan bersama perahan air limau, dan saya teruja ketika kali pertama menjamahnya. Kadang-kadang daun anggur diganti dengan kobis.

Esoknya, saya hanya menggoreng keropok kerana ketandusan idea untuk membalas pinggan Ahmad. Tentu sahaja, bukankah tidak elok kita memulangkan pinggan kosong.

Semasa kami sibuk di dapur, Muhannad sudah muncul.

“Ya syabab, emak saya kata, janganlah kamu bersusah payah untuk membalas pinggan kami. Beri sahaja pinggan kosong itu!” Muhannad memberitahu saya.

Aduh, terasa malu pula saya dibuatnya. Beradat tak bertempat. Saya menyerahkan sepinggan keropok kepada Muhannad dan beliau menyerahkan pula Maqlubah ikan kepada kami.

“Inilah namanya rezeki harimau” saya berseloroh.

“Rezeki harimau itu apa?” Ucop bertanya.

“Laa, takkan rezeki harimau pun anta tak tahu? Rezeki harimau itu, maksudnya rezeki yang sekali datang banyak bertimbun. Lepas tu habuk pun tak ada. Berlapar lagilah kita” kata Ustaz Jamnul. Beliau juga ahli rumah kami yang senior. Tetapi tidak lama lagi beliau akan berpindah rumah sebab hujung semester ini, beliau akan mendirikan rumah tangga.

“Mahunya tidak rezeki harimau. Ini sepinggan maqlubah ikan. Malam ini kita akan berbuka dengan tuan rumah. Mesti banyak masaknya, kan” Munawwar menyampuk.

Kami ketawa.

Petang itu cuaca dingin dan tenang. Angin padang pasir bertiup sepoi-sepoi bahasa. Mata saya lepas memandang kubah hijau Masjid Jaafar al-Thayyar. Kami duduk di tangga sambil merenung anak-anak Arab yang ligat bermain bola di halaman rumah kami. Berpuasakah mereka ini?

Tidak lama selepas itu, Bilal, anak saudara tuan rumah datang kepada kami untuk menjemput kami naik ke atas.

Subhanallah, banyak sungguh nasi yang dimasak. Seperti kenduri lagaknya. Enam orang mengadap dua talam. Ini penderaan namanya.

“Hah, Hasrizal. Kami perlukan kepakaran anta untuk menghabiskan semua ini” Arief bergurau.

Ramadhan pertama kami di Mu’tah begitu meriah. Hampir setiap malam, ada sahaja jiran yang menjemput kami berbuka puasa di rumah mereka. Jarang benar kami memasak. Kawan-kawan saya di Amman dan Irbid memberitahu yang mereka juga menerima layanan yang sama. Kami tidak terasa asing walaupun jauh dari ibu bapa. Segalanya tentang Ramadhan, indah belaka.

Satu-satunya perkara yang saya tidak suka ialah Tadarus al-Quran di masjid. Bukan apa, saya rasa sesak dada mendengar orang-orang Arab membaca al-Quran. Mereka membaca al-Quran seperti membaca surat khabar. Fathah, Kasrah, Dhammah, semuanya entah ke mana.

“Satu-satunya amalan baik di zaman Rasulullah SAW yang kita tak boleh nak amalkan hari ini ialah menghantar anak ke kampung untuk menguatkan bahasa. Bahasa Arab di kampung ini pun sudah caca merba” kata Munawwar.

Ya, orang Arab juga mengalami krisis yang tidak jauh bezanya dengan kita yang Ajam ini. Jika tidak belajar betul-betul, Bahasa Arab yang mereka tuturkan adalah jauh daripada memberikan upaya memahami agama.

Kami hanya bertadarus secara bergilir di rumah pelajar-pelajar Malaysia. Itu lebih selesa.

SEKALI AIR BAH SEKALI PANTAI BERUBAH

Baik hati penduduk tempatan melayan kami tidak kekal lama. Nampaknya pada beberapa tahun selepas itu, layanan yang diterima sudah tidak sebaik dulu. Mungkin pertambahan pelajar Malaysia yang mendadak, telah menjadikan kehadiran kami sebagai suatu kebiasaan. Bayangkan, di seluruh Jordan pada tahun 1993, jumlah pelajar Malaysia hanya sekitar 300 orang. Tetapi pada tahun 1995, ia melonjak hingga mencecah 1000 orang. Dua tahun selepas itu, jumlah pelajar Malaysia mencecah lebih 3000 orang.

Tetapi saya rasa, kedinginan layanan penduduk tempatan terhadap pelajar Malaysia bukan hanya disebabkan oleh jumlah kami yang ramai. Apa yang lebih ketara adalah penampilan pelajar Malaysia sendiri. Di awal-awal tahun pengajian kami, Jordan belum menjadi destinasi pengajian yang popular di kalangan rakyat Malaysia. Maka, pelajar yang datang ke Jordan kebanyakannya adalah pelajar yang ditaja oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam. Manakala pelajar persendirian pula, datang benar-benar atas dorongan yang kuat untuk menuntut ilmu di Bumi Syam ini. Boleh dikatakan, kebanyakan pelajar yang awal di Jordan, terdiri daripada mereka yang benar-benar datang ke Bumi Syam untuk menimba ilmu. Fokus.

Imej pelajar Malaysia amat baik. Malah semasa saya di semester 1 tahun 1, pensyarah menyediakan soalan peperiksaan khas untuk pelajar Malaysia. Mungkin ia bukan tindakan yang baik untuk kami, namun rata-rata kami rasa begitu dihormati dan dirai. Sekali dalam sebulan dua, pihak universiti akan mengumpulkan kami untuk bertanya khabar dan mengambil tahu soal kebajikan pelajar Malaysia.

NASIB JORDAN

Lama kelamaan keadaan mula berubah. Jordan mengalami nasib yang sama seperti sekolah pondok di Malaysia. Daripada sebuah institusi pendidikan yang istimewa, ia berubah menjadi tempat ‘membuang manusia’. Mungkin agak keterlaluan bunyinya, tetapi saya jelek mendengar alasan ibu bapa menghantar anak mereka ke Jordan supaya anak itu ‘menjadi manusia’!

Anak yang sudah tidak dapat dikawal kelakuannya semasa di Malaysia, dihantar ke Jordan. Bumi Anbiya, bumi Sahabat, bumi Israk, tentulah boleh kembali memanusiakan manusia yang sudah tidak berapa manusiawi. Tetapi ibu bapa ini terlupa yang Jordan berjiran dengan Yahudi. Malah, banyak perkara di Jordan ini yang dengan mudah boleh menyebabkan pelajarnya perasan bahawa mereka sedang menuntut di Eropah! Dengan salji yang tebal, pokok pine di sepanjang jalan, dan Arab-arab yang tak banyak beza rupa mereka dengan orang Eropah, kadang-kadang saya lucu bercampur geram melihat gelagat pelajar Malaysia.

safeway

Pernah suatu malam, kira-kira jam 12, saya dan rakan pergi ke Safeway. Safeway adalah pasar raya yang paling hebat di Jordan pada suatu ketika. Kami membeli sedikit makanan laut untuk dimasak keesokan harinya. Semasa hendak membayar di kaunter, saya dan rakan-rakan terkejut melihat tiga orang pelajar perempuan Malaysia sedang beratur di hadapan kami.

Saya perhatikan, mereka membeli Cereal Cornflakes, susu, chocolate bar, dan buah strawberi. Wah, sah sah mereka ini adalah sebahagian daripada pelajar Malaysia yang sedang bermimpi bagai berada di Eropah.

“Assalamualaikum. Kalian ada kenderaankah nak balik ke rumah malam-malam buta ini?” saya bertanya.

“Waalaikum al-Salaam. Tak apa, kami ada kereta sendiri!” kata salah seorang mereka sambil memusing-musingkan kunci kereta di jarinya!

Subhanallah, aib sungguh saya rasakan pada masa itu. Ya, kalau di Uptown atau Jalan Telawi saya boleh faham, anak dara keluar malam-malam buta. Tetapi ini di Jordan. Perempuan-perempuan Arab yang tak senonoh pun tak keluar malam. Tenggelam sahaja matahari, jalan raya dan pusat membeli belah bukan tempat perempuan berkeliaran. Tetapi pelajar Malaysia ini memecahkan tradisi ini. Saya hanya mampu mengelengkan kepala.

Imej pelajar Malaysia mula tercalar.

Ya, akhirnya Jordan ditimpa malang. Gelagat pelajar Malaysia banyak yang mengaibkan. Mereka memetik gitar di depan rumah, berpakaian yang tidak sopan dan pelbagai lagi kerenah, khususnya di kalangan mereka yang dihantar ibu bapa ke Jordan untuk menjadi manusia!

Mungkin kita terlupa bahawa anak-anak Malaysia yang dihantar ke Jordan, mahu pun ke Mesir dan negara-negara lain, adalah produk masyarakat Malaysia yang ITU. Maka pelajar-pelajar ini mesti pergi dengan matlamat yang jelas.

Mengapa mereka mahu ke Jordan?

Kerana tidak jelas menjawab soalan itu, penduduk Jordan sedikit demi sedikit mengubah layanan mereka kepada kami.

What you give, you get back!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
# petikan buku Rindu Bau Pohon Tin

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Mempertahankan Kewarasan Akal (Demi Setia Dengan Kebenaran)

Pagi itu di bandar al-Zarqa’, kami berkumpul di Kulliyyah al-Mujtama’. Ia adalah satu daripada siri …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.