SUMBER BERBAHASA ARAB DAULAH UTHMANIAH: TARIKH MÜNECCIMBAŞI (1631-1702)

jamiudduwal

Historiografi atau penulisan sejarah Daulah Uthmaniah mempunyai sejarah yang amat panjang bermula daripada era vak’a-inüvislik (pencatat peristiwa) hinggalah kepada disiplin historiografi moden (Aral 2013). Kajian mengenai sejarah Daulah Uthmaniah, amat memerlukan penerokaan sumber-sumber primer yang dihasilkan oleh sejarawan di era itu sendiri. Selain daripada kepentingan menyandarkan kajian kepada sumber yang berotoriti, penulisan yang merujuk kepada sumber primer Uthmaniah mempunyai keunikan yang menarik untuk diterokai apabila banyak daripadanya, ditulis di dalam Bahasa Arab biar pun sukar untuk diperolehi (Escovitz 1977).

Antara sumber awal penulisan sejarah Daulah Uthmaniah adalah karya Dervis Ahmet Ibn Şeyh Yahya Ibn Şeyh Salman Ibn Aşik Paşa atau lebih dikenali sebagai Aşıkpaşazâde (1393-1481), iaitu Tevārīḫ-i Āl-i ʿOsmān. Demikian juga karya Mehmed Neşrî (meninggal dunia 1520M) iaitu Kitab-ı Cihannüma (Ortayli 2012).  Bahasa Arab digunakan secara meluas sebagai bahasa pengkaryaan ilmuan ketika itu, menjadikan sumber-sumber sejarah Daulah Uthmaniah turut dicatat oleh sejarawan di dalam bahasa ini, dan salah satu daripadanya adalah Kitab Jami’ al-Duwal oleh Müneccimbaşı Ahmed bin Lutfullah.

PENGENALAN DIRI

Dilahirkan sebagai Ahmed bin Lutfullah, beliau yang kemudiannya dikenali sebagai Müneccimbaşı merupakan seorang tokoh ilmuan, tasauf dan sejarah yang terkemuka di kurun ke-17 Daulah Uthmaniah (Atsız 1940). Bapanya, Lutfullah, berasal daripada Ereğli di Konya, meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke Salonika untuk meneruskan pencarian rezeki mereka sekeluarga.

Ahmed dilahirkan di Salonika (kini dikenali sebagai Thessaloniki di Greece) pada tahun 1041H (1631/1632M). Semasa kecil, beliau banyak membantu bapanya mengusahakan perniagaan guni. Tetapi minat yang mendalam oleh Ahmed kepada ilmu pengetahuan, bapanya telah melepaskan beliau untuk menumpukan perhatian belajar daripada tokoh tempatan yang terkenal di Salonika ketika itu, iaitu Sheikh Mehmed Efendi.

Di sinilah Ahmed bin Lutfullah mengembangkan ilmu pengetahuannya. Selain daripada ilmu-ilmu yang asas, beliau juga meluangkan banyak masa mendalami tarikat Mevlevi  yang dilazimi oleh gurunya. Lanjutan daripada itu, Ahmed telah berpeluang menerima tunjuk ajar daripada Mufti Salonika pada masa tersebut iaitu Sheikh Abdullah Efendi. Daripada beliau, Ahmed mendalami ilmu-ilmu Islam khususnya di bidang Fikah dan Tafsir.

KEILMUAN

Pada usia 23 ke 24 tahun, Ahmed bin Lutfullah berhasrat untuk melanjutkan pengajian beliau ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan sokongan gurunya, antara tahun 1653 ke 1654, Ahmed telah berhijrah ke Istanbul untuk mencapai cita-citanya. Di ibu kota Daulah Uthmaniah itu, Ahmed telah menyertai Galata Mevlevi Tekkesi dan menuntut bersama Arzi Dede Afendi serta berkhidmat untuk beliau. Di sini, Ahmed mendapat lebih banyak peluang bertemu dan menuntut ilmu dengan para ilmuan terkemuka termasuk Sheikh al-Islam ketika itu, Minkarizade Yahya Efendi, serta Mevlana Ibrahim el-Kurdi dan Sheikh Ahmed Nahli. Daripada mereka ini, Ahmed mempelajari ilmu tafsir, hadith dan cabang-cabang ilmu Islam yang lain. Dengan pencapaiannya yang cemerlang, Ahmed bin Lutfullah telah diterima menyertai institusi ilmu dan Tarikat Mevlevi terkemuka iaitu Kasımpaşa Mevlevihane. Di situ, beliau menjadi anak murid kepada Halil Dede Efendi, melaziminya selama 10 tahun  termasuk 15 tahun beliau berkhidmat sebagai pembantu kepada gurunya itu.

Ahmed bin Lutfullah mempelajari Mesnevi, ilmu tafsir, hadith, usul dan ma’ani daripada Sheikh Halil Dede Efendi. Walau bagaimanapun, kencenderungan yang tinggi oleh Sheikh Halil Dede Efendi kepada orientasi tasauf dan kehidupan yang zuhud, beliau enggan mengajar Ahmed ilmu mantik dan falsafah. Beliau sebaliknya, menyerahkan ia untuk dipelajari oleh Ahmed daripada Sheikh Salih Efendi. Semasa menuntut ilmu dengan Sheikh Salih Efendi, Ahmed bin Lutfullah turut mendapat peluang belajar  ilmu perubatan dan sains tabi’i melalui para tabib yang turut sama menjadi anak murid kepada Sheikh Salih Efendi. Melalui mereka, Ahmed mempelajari ilmu astronomi, astrologi dan matematik serta cabang-cabang sains yang lain.

KERJAYA

Penguasaan Ahmed bin Lutfullah di dalam bidang astronomi telah membawa kepada perlantikan beliau sebagai Müneccimbaşı iaitu Ketua Astrologi apabila mentornya, Şekibi Mehmed Efendi meninggal dunia pada tahun 1667-1668. Semenjak itu, Ahmed bin Lutfullah lebih dikenali di dalam karya-karyanya sebagaimana yang dicatat oleh sejarawan sebagai Müneccimbaşı. Kepakaran beliau di dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Astrologi bagi Sultan Mehmed IV (memerintah daripada 1648  hingga 1687) telah menarik perhatian ramai dan beliau menjadi perhatian pelbagai pihak yang memantau perkembangannya, terutamanya di Harem-i Hümayun. Müsahib Mustafa Paşa yang merupakan ipar kepada Sultan Mehmed IV telah mencadangkan agar Müneccimbaşı dinaikkan pangkat dan lebih efisyen dalam memberikan sumbangannya kepada istana.

Pada tahun 1668, Sultan Mehmed IV telah melakukan satu tindakan untuk menguji keupayaan Müneccimbaşı. Baginda telah berpakat dengan seorang pemilik Enderun (sebuah sekolah yang dikendalikan oleh komuniti Kristian Uthmaniah) dan memerintahkan kepada Müneccimbaşı untuk mencari seketul batu kristal yang hilang. Beliau telah menggunakan kepakarannya, membuat kiraan seperti yang diarahkan dan akhirnya berjaya menemui ketulan kristal tersebut. Kejayaan Müneccimbaşı telah menerima pujian dan penghargaan tinggi Sultan. Semasa menyediakan laporan kepada Sultan yang ingin tahu bagaimanakah Müneccimbaşı berjaya menemui ketulan kristal itu, beliau telah menulis di bahagian belakangnya tentang senarai hutang yang membebani hidup Müneccimbaşı. Sultan telah berkenan mengurniakan beliau sejumlah harta untuk membantu Müneccimbaşı menyelesaikan hutangnya yang masih berbaki.

Semenjak itu, Müneccimbaşı mempunyai hubungan yang akrab dengan Sultan Mehmed IV. Pada sekitar tahun 1675-1676, Müneccimbaşı telah diterima sebagai Musahibh-i Padishah menyertai kumpulan orang kanan yang rapat dengan Sultan. Hubungan yang akrab antara beliau dan Baginda Sultan berlangsung untuk untuk satu tempoh yang panjang. Müneccimbaşı telah diterima dengan begitu baik di sisi Sultan Mehmed IV kerana karakter beliau sendiri yang bijak bergurau dan mesra dengan orang ramai yang berada di sekelilingnya. Dalam masa yang sama kemahiran beliau di dalam ilmu astrologi menjadikan hubungannya begitu akrab dengan Sultan bilamana Sultan sentiasa merujuk kepada Müneccimbaşı untuk mendapatkan pendapat beliau tentang kesesuaian pemilihan tarikh semasa hendak melaksanakan bukan hanya tugasan-tugasan yang berat seperti perlantikan menteri, malah dalam hal-hal peribadi seperti keluar berburu dan sebagainya.

Catatan sejarah memperlihatkan tentang kedudukan istimewa telah diberikan kepada pakar astrologi yang hakikatnya berperanan sebagai ‘tukang tilik’ dan perkembangan kedudukan jawatann müneccimbaşı itu sendiri menjadi indikator ahli sejarah pada menyaksikan kemerosotan pegangan sultan-sultan Uthmaniah kepada ajaran Islam apabila elemen-elemen sebegini menyerap masuk ke dalam amalan kebiasaan para sultan di era yang menyusul, tidak sebagaimana yang boleh kita temui di dalam istana para Sultan pada kurun-kurun sebelumnya (Varlı 1997).

KEMEROSOTAN

Namun, konflik yang berlaku antara beliau dan tentera Janissaries menyebabkan populariti Müneccimbaşı merosot. Apabila Sultan Suleiman II menaiki takhta pada tahun 1687, Ahmed bin Lutfullah Müneccimbaşı disingkir daripada jawatannya, dan dibuang negeri ke Mesir pada November 1687.

Selepas tinggal di Mesir untuk beberapa ketika, Müneccimbaşı telah berhijrah ke Mekah. Di sana, beliau telah diangkat menjadi Sheikh kepada kumpulan Mawlawi-Khanah dan memimpin aktiviti kumpulan tersebut.. Müneccimbaşı kemudiannya berpindah ke Madinah dan menetap di sana selama tujuh tahun. Beliau telah kembali semula ke Mekah dan tidak lama selepas itu, pada 29 Ramadan tahun 1113H bersamaan dengan 27 Februari 1702 Ahmed bin Lutfullah Müneccimbaşı telah meninggal dunia.

Beliau dikebumikan di kawasan perkuburan al-Ma’la berhampiran dengan maqam Khadijah radiyallahu anha, isteri pertama Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam..

PENULISAN

Karya utama Müneccimbaşı iaitu Jami al-Duwal ditulis di dalam Bahasa Arab. Kitab ini juga adakalanya disebut sebagai Tarikh Müneccimbaşı. Kitab ini kemudiannya turut dikenali pada kurun ke 18 melalui ringkasannya di dalam Bahasa Turki yang diusahakan oleh Ahmed Nadim, sebagai Saha’if al-Akhbar.

Selain daripada karya besar beliau ini di bidang Sejarah, Müneccimbaşı juga menghasilkan karya di dalam pelbagai cabang ilmu Islam. Antaranya ialah:

Bahasa Dan Kesusasteraan

                        i.         Ghayah al-bayan fi Daqa’iq ‘Ilm al-Bayan

                      ii.         Risalah fi al-Kinayah wa al-Ta’riz dan Risalah fi Tahqiq al-Kinayah

                     iii.         Risalah fi  Tahqiq al-Masdar

                     iv.         Terjemahan Risalah fi Bayan al-Majaz

                      v.         Sharh Muqaddimah Majmu’at al-‘Ulum li al-Taftazani

                     vi.         Haşiye ala Haşiyeti’l-Ları ala Şerhi Hidayeti’l Hikme li’l Hüseyin el-Meyburi

                   vii.         Lataifname

                  viii.         Divan yang juga dikenali sebagai Aşik

Mantiq dan Akhlaq

                     ix.         Vesiletü’l Vusul ile Ma’rifeti’l-Hamli ve’l-Mahmul

                       x.         Tertib-i Aksiye-i İbare-i İsaguci

                     xi.         Feyzü’lHaram fi Adabi’l-Mutalaa

                    xii.         Şerhu Kitabi’l-Ahlak

Tafsir & Fiqh

                  xiii.         Ilaşiyatü’t-Tefsiri’l-Beydavi

                  xiv.         Lisanü’l-Ğayb ve’l-İlham

                    xv.         Ta’likat ‘ala Oklidis

                  xvi.         Tuhfetu’l-Müminin

                 xvii.         Risale-i Musikiyye

               xviii.         Ahkam-ı Sultanı

 jamiudduwal2

Salinan naskhah asal kitab Kitab Jami’ Al-Duwal  oleh Ahmed bin Lutfullah Müneccimbaşı daripada manuskrip Nuru Osmaniye Kütüphanesi, Istanbul

 

JAMİ’ AL-DUWAL

Jami’ Al-Duwal ditulis oleh Müneccimbaşı atas permintaan Sadr-ı Azam (Grand Vizier) ketika itu iaitu  Merzifonlu Kara Mustafa Pasha semasa beliau berkhidmat di bawahnya. Namun  permintaan Kara Mustafa Pashah ini hanya ditunaikan oleh Müneccimbaşı semasa beliau berada di Mekah, selepas tidak lagi memegang jawatan Ketua Pakar Astrologi sebagaimana semasa beliau di Istanbul pada suatu ketika dahulu.

Ahmed bin Lutfullah Müneccimbaşı menulis kitab Jami’ Al-Duwal ini sebagai sebuah buku sejarah umum. Ia dibahagikan oleh Müneccimbaşı  kepada dua bahagian. Bahagian pertama merangkumi sejarah bermula daripada penciptaan alam sehingga membawa kepada peristiwa-peristiwa yang terjadi di era Sultan al-Sa’di Ahmad bin al-Mahdi yang memerintah di al-Maghrib sehingga ke tahun 991H / 1583M.

Manakala bahagian kedua pula, ditumpukan oleh Müneccimbaşı kepada sejarah para Sultan Uthmaniah dan bahagian ini menjadikan kitab Jami’ Al-Duwal ini sebagai rujukan penting sejarah Daulah Uthmaniah di dalam Bahasa Arab, selain daripada Bada’i al-Zuhur fi Waqa’i al-Duhur oleh Ibn Iyas dan Tercüme-i en-Nüzhe es-Seniyye fi Zikr el-Hulefa ve’l-Müluk el-Mısriyye oleh Abdussamed b. Seyyidi Ali b. Davud ed-Diyarbekri. Penulisan Müneccimbaşı tentang sejarah para Sultan Daulah Uthmaniah bermula daripada tahun 699H / 1299M sehingga tahun 1083H / 1672M.

KAEDAH PENULISAN

Secara umumnya, penulisan Müneccimbaşı di dalam sejarah seperti yang diperlihatkan di dalam kitab Jami’ Al-Duwal ini adalah mengikut bentuk historiografi berasaskan dinasti (Hasan 1963). Beliau telah menulis tentang sejarah sesebuah pemerintahan secara berasingan, tanpa berlakunya campur aduk antara sebuah pemerintahan dengan pemerintahan yang lain, kecuali apabila terdapatnya rujuk silang yang berlaku secara tidak langsung. Apabila terdapatnya sesuatu topik sama ada membabitkan sesebuah kerajaan atau individu, Müneccimbaşı akan menyatakan bahagian manakah daripada buku beliau itu yang beliau rujuk dalam penyataannya.

Sehubungan dengan itu, Jami’ Al-Duwal dibentuk, tidaklah secara hawliyyat (annalistic) yakni peristiwa-peristiwa dan subjek berkaitan dengannya dihimpunkan berdasarkan tahun ia berlaku. Akan tetapi, kerajaan-kerajaan yang dibicarakan oleh Müneccimbaşı di dalam kitab Jami’ Al-Duwal masih disusun bab-babnya secara berkronologi. Bab demi bab disusun berdasarkan sultan-sultan yang memerintah dan para sultan itu yang tersusun secara berkronologi.

Keseluruhan kitab Jami’ Al-Duwal boleh dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu:

i.         Sejarah para Anbiya’

ii.         Sejarah kerajaan-kerajaan kaum bukan Islam

iii.         Sejarah kerajaan umat Islam

Bagi setiap bab, ia dibahagikan kepada bab-bab kecil yang disebut sebagai faqrah dan setiap faqrah itu juga dibahagikan lagi kepada bab-bab yang lebih kecil dan dinamakan sebagai kalimat. Sebagai contoh, kita boleh melihat bagaimana sejarah Saljuk dibahagikan kepada empat bab iaitu:

i.         The Great Saljuqids

ii.         The Saljuqids of Kirman

iii.         Syria

iv.         Rum

Sebagai contoh, kita boleh melihat petikannya yang berbunyi seperti berikut:

muneccimbasi1

“Faqrah ketiga ini adalah mengenai Bani Saljuk daripada golongan Turki, terbahagi kepada tajuk, sub-tajuk (kalimat) dan sambungan kepada tajuk”[1]

muneccimbasi2

“Sub-tajuk (kalimat) yang pertama pada membicarakan tentang raja-raja Saljuq yang memerintah di Khurasan dan dua Iraq” [1]

Ahmed bin Lutfullah Müneccimbaşı di dalam kitab Jami’ Al-Duwal ini menceritakan tentang keturunan Sultan Malik Shah (465-485H / 1072-1092M) secara berasingan walaupun sebahagian daripada peristiwa yang dinyatakan sebenarnya berlaku di bawah pemerintahan Sultan Sinjar (513-552H / 1119-1157M). Walaupun berlakunya pertindihan yang signifikan antara kedua-duanya, Müneccimbaşı komited dalam mengekalkan pendekatan beliau dalam menulis, mengekalkan pengasingan antara dua Sultan, dan untuk itu beliau memilih untuk mengulang sebut apa yang telah dinyatakan sebelumnya. Justeru kitab Jami’ Al-Duwal ini berhadapan dengan pengulangan demi pengulangan yang kelihatannya tidak dapat dielakkan oleh penulis, disebabkan oleh format yang telah ditetapkan olehnya.

SUMBER-SUMBER MÜNECCIMBAŞI

Bersesuaian dengan penguasaan bahasa Ahmed bin Lutfullah Müneccimbaşı, sumber-sumber beliau di dalam penulisan kitab Jami’ Al-Duwal terbahagi kepada tiga bahasa iaitu Arab, Parsi dan Turki.

Sumber-sumber beliau merangkumi kitab-kitab Sejarah yang tidak asing bagi kita sebagaimana yang boleh disenaraikan seperti berikut:

i.         Al-Tabari

ii.         Ibn al-Athir

iii.         Ibn Hisham

iv.         Al-Mas’udi

v.         Ibn Khaldun

vi.         Ibn Khallikan

vii.         Al-Suyuti

  1. Ibn al-Jawzi

ix.         Al-Dhahabi

x.         Ibn Qutaybah

xi.         Al-Dinawari

xii.         Al-Tirmidhi

xiii.         Al-Maqrizi

xiv.         Hamd Allah Mustawfi-yi

xv.         Qazwini

xvi.         Al-Sakhawi

  1. Rashid al-Din
  2. Al-Qastalani

xix.         Sharaf al-Din Yazdi

xx.         Ibn Bibi

Boleh dikatakan, Müneccimbaşı, telah menyatakan dengan jelas sumber-sumber yang beliau rujuk bagi setiap bab yang diceritakan. Walau bagaimanapun, nama Imad al-Din Al-Isfahani  tidak disebut biar pun kita dapat melihat wujudnya beberapa petikan daripada di dalam kitab Jami’ Al-Duwal ini.

Oleh kerana rujukan-rujukan Müneccimbaşı itu merupakan sumber-sumber yang mudah diperolehi, maka Kitab Jami’ Al-Duwal tidak lebih daripada sekadar mengumpulkan maklumat-maklumat itu di sebuah tempat. Akan tetapi kita boleh melihat nilai buku ini melalui sisi pandang yang dikemukakan oleh Frank Rosenthal di dalam bukunya yang masyhur, A History of Muslim Historiography. Rosenthal berkata:

Apa yang paling penting untuk diberikan penghargaan semasa menilai sesebuah penulisan sejarah, bukanlah semata-mata berkenaan dengan kepentingan sejarah terhadap apa yang dinyatakan oleh penulis. Sebaliknya nilai itu harus dilihat pada keupayaan penulis untuk memanfaatkan maklumat-maklumat yang beliau miliki

PRO DAN KONTRA PENDEKATAN PENULIS

Müneccimbaşı dan kitab beliau, Jami’ Al-Duwal mempunyai nilai yang tinggi apabila ia dipertimbangkan daripada sudut proses-proses yang dilakukan oleh Müneccimbaşı terhadap maklumat yang dimilikinya. S.A. Hassan membuat perbandingan di antara Jami’ Al-Duwal ini dengan sumber-sumber yang terdapat di dalam al-Kamil fi al-Tarikh oleh Ibn Athir, Kitab al-Barq al-Shami oleh Imad al-Din al-Isfahani yang diringkaskan oleh al-Bundari, Wafayat al-A’yan oleh Ibn Khallikan, dan Nuzhat al-Gholub, Zafar-Nameh, dan Tarikh e Gozideh oleh Hamd Allah al-Mustawfi seperti yang dinyatakan oleh Müneccimbaşı. Beliau merumuskan bahawa sumber rujukan utama Müneccimbaşı adalah Ibn Athir. S.A. Hassan berpendapat, Müneccimbaşı meletakkan pergantungan yang besar kepada Ibn Athir dan hanya merujuk kepada sumber-sumber yang lain apabila mahu memperincikan perkara-perkara yang tidak disentuh oleh Ibn Athir (Hasan 1963).

S.A. Hasan yang membuat ulasan terhadap naskhah Jami’ Al-Duwal  berpendapat, Müneccimbaşı telah mengambil secara kata demi kata daripada riwayat-riwayat Ibn Athir dan sebahagiannya daripada Imad al-Din al-Isfahani. Tetapi dalam sesetengah keadaan, Müneccimbaşı telah meringkaskan riwayat yang asalnya begitu panjang pada kadar beberapa muka surat di dalam Ibn Athir, kepada hanya tiga atau empat ayat. Misalnya, riwayat oleh Ibn Athir tentang kempen Sultan Muhammad (498-511H / 1104-1117M) menentang golongan Batiniyyah pada tahun 500H / 1106M serta hukuman bunuh yang dijalankan ke atas ketuanya, Ibn ‘Attash selepas kota perlindungan Shah Diz di Isfahan berjaya dikuasai, begitu panjang mencecah hampir empat muka surat, tetapi telah diringkas oleh Müneccimbaşı hanya kepada dua ayat. Usaha ini mendorong S.A. Hasan untuk menyimpulkan Müneccimbaşı sebagai seorang ‘expert epitomiser’ atau ‘pakar rumus’. Beliau dengan begitu baik memetik isi paling utama daripada riwayat yang panjang dan merumuskannya di dalam beberapa ayat ringkas tetapi komprehensif.

Akan tetapi, S.A. Hasan turut berpandangan yang aktiviti Müneccimbaşı meringkaskan riwayat-riwayat itu turut mencetuskan kekurangan yang signifikan. Beliau kerap menggugurkan perincian kepada banyak peristiwa dan menyulitkan pembaca hingga terpaksa memikirkan sendiri kefahaman mereka kepada peristiwa-peristiwa yang diriwayatkan itu tadi.

Müneccimbaşı juga menurut S.A Hasan, melakukan analisa ke atas riwayat dan membuat pendiriannya yang tersendiri mengenainya. Misalnya, Müneccimbaşı telah meletakkan kesalahan secara langsung ke atas Sultan Malik Shah atas pembunuhan Nizam al-Mulk dengan menyatakan bahawa Sultan telah mengarahkan seorang anak muda Daylami untuk membunuhnya. Sedangkan tiada sumber-sumber lain yang meletakkan tanggungjawab terhadap kematian Nizam al-Mulk ini ke atas Sultan Malik Shah. Kejadian ini sering dikaitkan dengan kedudukan serta peranan yang dimainkan oleh Turkan Khatün, salah seorang isteri Sultan. Beliau yang amat membenci Nizam al-Mulk sentiasa melihatnya sebagai penghalang kepada hasratnya untuk menaikkan anaknya Mahmud, dan bukannya Barkiyaruq, anak sulung Sultan dengan isterinya lain, yang mendapat sokongan padu Nizam al-Mulk.

Müneccimbaşı tidak memberikan perincian dan kepelbagaian versi riwayat mengenai kejadian itu. Sebaliknya beliau kelihatannya telah melakukan penelitian yang mendalam dan seterusnya menyatakan pendapat beliau tentang peristiwa tersebut. Biar pun kaedah ini menyumbang kepada salah satu pemahaman terhadap peristiwa pembunuhan Nizam al-Mulk, ia telah  menghadkan ruang kepada pembaca untuk membuat pendirian mereka sendiri tanpa bias. Daripada sudut ini, hasil kerja Müneccimbaşı kekurangan karakter neutral dalam mendatangkan riwayat seperti yang dilakukan oleh al-Tabari yang mendatangkan penceritaan dalam bentuk khabar (periwayatan). Ini, menurut S.A. Hasan, mungkin kesan daripada kecenderungan yang kuat oleh Müneccimbaşı untuk meringkaskan riwayat yang hendak beliau masukkan ke dalam kitab Jami’ Al-Duwal . Pendekatan ini mencetuskan persembahan yang adakalanya caca merba serta menimbulkan rasa tidak puas kepada pembaca. Hal ini juga adakalanya menjadi konflik antara Müneccimbaşı dan Ibn Athir. Ini berbeza dengan konflik yang berlaku di antara Ibn Athir dengan al-Tabari yang menjadi rujukannya. Ibn Athir telah berjaya mengharmonikan persembahan beliau di dalam al-Kamil fi al-Tarikh dengan Tarikh al-Tabari apabila Ibn Athir memasukkan riwayat-riwayat pilihannya secara menggugurkan sanad yang terdapat di dalam khabar al-Tabari. Proses meringkaskan persembahan oleh Ibn Athir ini tidak menghilangkan keaslian riwayat kerana masih mengekalkan komponen-komponen utama riwayat asal.

Walaupun begitu, Müneccimbaşı menurut V.A. Hamadani dalam nukilan S.A. Hasan, merupakan seorang sejarawan bagi kurun-kurun yang terkemudian. Sejarawan di zaman tersebut sudah mula berhadapan dengan kesulitan untuk mengharmonikan riwayat-riwayat yang saling bertentangan seperti yang terdapat di dalam sumber-sumber rujukannya. Tidak cukup dengan itu, Müneccimbaşı juga berhadapan dengan cabaran untuk mendamaikan maklumat-maklumat beliau daripada sumber Parsi dengan sumber Arab. Kesulitan seperti ini, perlu diambil kira oleh mereka yang mahu mengemukakan kritikan terhadap Müneccimbaşı.

Di samping itu juga, sesiapa sahaja yang membuat pemeriksaan kepada senarai rujukan yang dikemukakan oleh Müneccimbaşı, akan mendapati banyak kesalahan yang dilakukannya. Beliau bukan sahaja meminjam bulat-bulat apa yang dikemukakan oleh Ibn Athir dan Imad al-Din al-Isfahani, beliau juga tanpa teragak-agak membuang sejumlah besar maklumat asal, tanpa sebarang penyataan. Ini juga boleh menjadi sisi kritikan terhadap Müneccimbaşı. Akan tetapi S.A. Hasan berpandangan, situasi pada masa tersebut perlu diambil kira. Secara fitrahnya persoalan logistik menjadikan proses merujuk dan pengubahsuaiannya tidak sebegitu mudah untuk dimaklumkan kepada rujukan asal, biar pun sezaman kerana jarak yang memisahkan boleh menjadi sejauh India berbanding China.

Pada masa yang sama, proses meringkaskan riwayat yang dikenakan oleh Müneccimbaşı ke atas rujukan-rujukan beliau kekal dalam format yang ringkas dan jelas, jauh daripada bersifat membesar-besar dan menambah rencah seperti yang dilakukan oleh ramai sejarawan Parsi malah sebahagian Arab, seperti yang boleh dilihat pada hasil kerja al-Bundari ke atas Imad al-Din al-Isfahani. Biar pun kitab Jami’ Al-Duwal ini kehilangan kualiti neutral dalam mendatangkan riwayat, seperti apa yang dihargai di dalam rujukan-rujukan beliau, Müneccimbaşı telah mempamerkan satu bentuk analisa yang seimbang, jauh daripada unsur-unsur melampau, dan ini menunjukkan sifat adil beliau dalam mengutarakan pendapat tanpa memenangkan aliran atau mazhab tertentu, sebagaimana yang sering ditemui di kalangan sejarawan Parsi dan mazhab Syiah mereka.

Müneccimbaşı di dalam kitab ini juga memperlihatkan kemahiran yang tinggi pada memilih peristiwa-peristiwa yang penting untuk membentuk pensejarahan yang baik bagi sesebuah dinasti pemerintahan. Beliau memilih peristiwa yang dirasakan signifikan, dan menggugurkan apa yang dirasakan tidak perlu.

S.A. Hasan berpendapat, pendekatan berkronologi (hawliyyat) yang dipakai oleh Müneccimbaşı terhadap pengkisahan sultan-sultan yang memerintah menunjukkan kewibawaan Müneccimbaşı dalam melakukan proses menyaring. Penulis kitab Jami’ Al-Duwal ini melangkau dengan meninggalkan beberapa tahun yang didapatinya tidak signifikan namun para sultan masih dikekalkan berkronologi. Kitab ini, biar pun tidak terpeinci seperti karya al-Mas’udi yang mendalam seperti sebuah ensiklopedia, Müneccimbaşı memberikan komentar terhadap peristiwa dengan nada sebagai seorang moralis.

Biar pun Müneccimbaşı menyatakan secara terang akan tindakannya menjadikan al-Muqaddimah sebagai salah satu rujukan beliau, sekurang-kurangnya di bahagian sejarah Saljuq, S.. Hasan melihat bahawa Müneccimbaşı tidak begitu mengambil peduli kepada peringatan Ibn Khaldun di dalam al-Muqaddimah berkenaan. Pendekatan sosiologi yang diutarakan oleh Ibn Khaldun mengingatkan sejarawan tentang riwayat-riwayat yang pelik berkaitan asal usul sesuatu bangsa, sepatutnya boleh diketepikan kerana jauhnya ia daripada nilai sejarah. Akan tetapi Müneccimbaşı telah memasukkan kisah-kisah yang ganjil, kelihatannya seperti mahu melarikan sedikit tekanan atau kejemuan semasa membentangkan maklumat-maklumat yang ‘kering’ tentang kronologi perang saudara, peperangan dan hukuman mati ke atas individu-individu. Kaedah ini merupakan kaedah yang biasa ditemui, diguna pakai oleh ahli sejarah Muslim dan terkenal di dalam sumber-sumber awal sejarah Daulah Uthmaniah (Ortayli 2012).

Di samping itu, Müneccimbaşı di dalam kitab Jami’ Al-Duwal ini turut menyertakan bersamanya maklumat-maklumat berbentuk biografi bagi setiap sultan sama ada semasa menceritakan tentang kemangkatannya, atau semasa menaiki takhta. Biografi yang dikemukakan oleh Müneccimbaşı itu merangkumi kebaikan mahu pun kelemahan sultan yang dibicarakan. Beliau juga ada mencatat tentang karakter fizikal sultan berkenaan semasa menceritakan tentang baginda. Pendekatan ini turut diguna pakai oleh Müneccimbaşı apabila beliau mendatangkan maklumat-maklumat berkenaan dengan tokoh-tokoh bangsawan, para menteri serta orang-orang yang hampir dengan sultan.

Bersesuaian dengan latar belakang Müneccimbaşı sendiri sebagai seorang yang pakar di dalam bidang astronomi dan astrologi hingga memberikan beliau gelarang Müneccimbaşı tersebut, penulis kitab Jami’ Al-Duwal ini turut menyertakan bersama penerangan beliau tentang sultan-sultan ini, maklumat berkaitan astrologi yang dikaitkan dengan kelahiran sultan tersebut.

JAMI’ AL-DUWAL  DAN SEJARAH DAULAH UTHMANIAH

Bagi bahagian kedua kitab Jami’ Al-Duwal  oleh Ahmed bin Lutfullah Müneccimbaşı yang diperuntukkan kepada sejarah Daulah Uthmaniah, meliputi 19 orang Sultan. Ia merangkumi maklumat berkaitan dengan nasab Sultan, kelahiran, kewafatan, umur, tempoh pemerintahan, wilayah pemerintahan, tempat di mana sultan dikebumikan serta maklumat-maklumat berkaitan dengan personaliti sultan. Müneccimbaşı juga akan menceritakan tentang anak-anak lelaki bagi setiap sultan tanpa menyatakan maklumat berkenaan dengan yang perempuan. Selepas mengutarakan maklumat-maklumat yang sebegini, barulah Müneccimbaşı berpindah kepada menceritakan tentang peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di era pemerintahan sultan yang diceritakannya mengikut bab. Sama seperti di bahagian yang pertama, walaupun pengkisahan Müneccimbaşı adalah pada meraikan pemerintahan Sultan kepada sultan dan bukan peristiwa kepada peristiwa mengikut tahun, Sultan itu sendiri disusun secara hawliyyat (berkronologi).

Antara peristiwa yang menjadi tumpuan Müneccimbaşı dalam penceritaan beliau adalah penerokaan kawasan-kawasan baru (al-futuhat), maklumat berkenaan perlantikan Sadrazam, alim ulama, sasterawan yang berkhidmat di bawah Sultan pada masa tersebut.

Secara keseluruhannya, apabila kitab Jami’ Al-Duwal  ini dilihat hingga kepada bahagian sejarah Daulah Uthmaniah ini, kita dapat menyimpulkan tentang kelebihan yang dimiliki oleh Müneccimbaşı daripada aspek sumber yang beliau gunakan. Sumber-sumber di dalam tiga bahasa berkenaan terbahagi seperti berikut:

i.         48 sumber di dalam Bahasa Arab

ii.         13 sumber di dalam Bahasa Parsi

iii.         7 sumber di dalam Bahasa Turki

Buku Jami’ Al-Duwal  ini juga  memperlihatkan kelebihan yang dimiliki oleh Müneccimbaşı sebagai seorang pegawai tinggi di istana sultan dan ini membolehkan beliau merujuk kepada dokumen-dokumen rasmi kerajaan. Ia menjadikan kitab ini sebagai sumber yang penting kepada sejarah majlis-majlis rasmi Daulah Uthmaniah yang tidak dimiliki oleh buku-buku sejarah yang lain.

Sama seperti di bahagian-bahagian yang sebelumnya, Müneccimbaşı di dalam penceritaan sejarah Daulah Uthmaniah, melakukan analisa terhadap apa yang diriwayatkannya dan mengemukakan pendirian beliau berhubung kejadian berkenaan. Misalnya peristiwa kekalahan yang berlaku kepada Sultan Beyazid I kepada Timurlank di Ankara. Beliau berkata, “… dan punca yang membawa kepada kekalahan itu sebagaimana yang diutarakan oleh ahli Tahqiq dan pengkritik, kemunduran sultan daripada legasi bapa-bapa mereka yang sebelumnya bersifat adil, melindungi rakyat, menjauhkan diri daripada perkara –perkara yang ditegah (oleh agama) serta tidak bersikap tamak terhadap apa yang berada di tangan kaum Muslimin”

Müneccimbaşı juga memperincikan maklumat tentang campur tangan wanita di istana dalam urusan pemerintahan Daulah Uthmaniah, dan ini dipandang oleh beliau sebagai salah satu punca utama yang membawa kepada kemerosotan. Campur tangan ini ditandakan oleh Müneccimbaşı bermula daripada era Sultan Ibrahim (1049H – 1058H / 1639M – 1648M), walaupun terdapat banyak juga sumber lain yang menunjukkan bahawa campur tangan itu sudah bermula semenjak daripada era Sultan Suleyman al-Kanuni lagi. Hal ini mungkin boleh memahamkan kepada kita bahawa permulaan campur tangan kaum wanita kepada pemerintahan Daulah Uthmaniah sudah bermula lebih awal tetapi mencapai situasi yang buruk di zaman pemerintahan Sultan Ibrahim yang merupakan salah seorang daripada sultan paling lemah dalam silsilah para sultan Daulah Uthmaniah.

Antara keganjilan yang berlaku pada penulisan Müneccimbaşı di dalam kitab ini ialah pada penceritaan beliau terhenti secara tiba-tiba pada tahun 1083H / 1672M sedangkan kita sedia maklum bahawa Müneccimbaşı masih terus memegang jawatan rasminya di istanah Uthmaniah sehingga tahun 1099H / 1678 iaitu dengan turunnya daripada takhta Sultan Mehmed IV. Secara keseluruhannya, bermula daripada tarikh akhir Müneccimbaşı merekodkan sejarah di dalam kitab Jami’ Al-Duwal  ini ialah selama 16 tahun. Ia mungkin berpunca daripada rasa jemu yang dialami oleh penulis di dalam penulisan kitab ini.

Penulisan sejarah Daulah Uthmaniah oleh Müneccimbaşı di dalam kitab Jami’ Al-Duwal  ini juga dipenuhi dengan catatan-catatan berkaitan dengan hal ehwal astrologi. Beliau menceritakan tentang pergerakan buruj, menafsirkan kejadian-kejadian yang berlaku di zaman Daulah Uthmaniah itu berpandukan kepada ilmu astrologi berkenaan dan kesemua ini merupakan sesuatu yang bersalahan dengan ajaran Islam. Kita boleh melihat bagaimana pemecatan Müneccimbaşı daripada jawatan Ketua Pakar Astrologi dengan pengunduran Sultan Mehmed IV itu sebagai sesuatu yang baik daripada Allah untuk Müneccimbaşı berhenti daripada terbabit di dalam ilmu yang bermasalah ini.

Selain daripada itu, Ali bin Salim bin Muhammad al-Saikhan yang membuat sedikit perbincangan mengenai kitab Jami’ Al-Duwal  ini memberikan pendapat bahawa Müneccimbaşı tidak mengambil manfaat daripada sumber-sumber berbahasa Arab yang penting semasa membicarakan tentang hubungan di antara kerajaan Mamluk dengan Daulah Uthmaniah sebelum pembukaan Syam dan Mesir. Antaranya adalah kitab Bada’i al-Zuhur fi Waqa’i al-Duhur oleh Ibn Iyas, serta kitab Ibn Zanbal al-Rummal bertajuk Âkhirah al-Mamâlik. Kedua-dua kitab ini mempunyai maklumat-maklumat sejarah yang amat penting bagi topik berkenaan tetapi tidak termasuk di dalam rujukan yang diguna pakai oleh Müneccimbaşı. Penulisan Müneccimbaşı di dalam kitab Jami’ Al-Duwal  berkenaan dengan kerajaan Mamluk juga agak bias mungkin kerana kecenderungan beliau kepada Daulah Uthmaniah hingga agak menenggelamkan peranan yang dimainkan oleh kerajaan Mamluk dalam usaha memelihara dunia Arab di era pemerintahan mereka.

KESIMPULAN

Kitab Jami’ Al-Duwal  merupakan sebuah sumber rujukan Sejarah yang dihasilkan oleh seorang sejarawan Uthmaniah yang penting kerana ia bukan sahaja menjadi sumber sejarah Daulah Uthmaniah di dalam bahasa Arab yang agak terhad, malah turut memaparkan perspektif Turki kepada sejarah di dunia Arab. Ia penting untuk mengimbangkan di antara sisi positif dan negatif yang sering terjadi apabila pensejarahan Daulah Uthmaniah dipaparkan di dalam kajian-kajian antara Arab dan Turki.

RUJUKAN

Aral, F. 2013. History and Social Science Books from Turkey 2013. Publications, T. R. O. T. M. O. C. a. T. G. D. O. L. A. Ankara, Grafiker Ltd. Co.

Atsız, H. N.   1940.    Müneccimbaşı Şeyh Ahmed Dede Efendi Hayatı.   Istanbul.

Escovitz, J. H.   1977.   A Lost Arabic Source for the History of Early Ottoman Egypt.  Journal of the American Oriental Society  97(4): 513-518.

Hasan, S. A.   1963.   Münejjim Bas̱H̱Ī: Turkish Historian of the Saljūqids of Īrān.  Islamic Studies  2(4): 457-466.

Ortayli, I.   2012.    Ottoman Studies.   Istanbul: Istanbul Bilgi University Press.

Varlı, M.   1997.    Yıldızname (Cafer- I Sadık) Istanbul: Esma Yayinlari.

 


[1] S.A. Hasan, A Critical Edition of Munejjim Bashi’s History of the Saljuqids of Iran (Great Saljuqs) dengan terjemahan dan pengenalan, disertasi PhD yang tidak tercetak, Cambridge, 1956, ii.ms.1.

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.