Sheikh Yasin Daradukah Dalam Kenangan

shariah-uoj

Fakulti Shariah, University of Jordan, Amman

“Sheikhuna, kenal tu?” tanya Wan Najmuddin.

“Yang mana?” saya menoleh ke arah yang ditunjukkan.

Seorang alim berjubah putih berjalan ke arah kami menuju ke pintu utama kampus.

“Siapa itu ya?” saya inginkan kepastian.

“Itulah Sheikh Yasin Daradukah yang ana sebut semalam” jelas sahabat saya itu.

Jantung berdegup kencang. Entah mengapa, seperti ada aura yang mendebarkan. Hendak bertentang mata pun rasa tidak sanggup. Apabila kami menghampiri beliau, kami memberi salam, “Assalamualaikum”

“Waalaikum al-Salam wa Rahmatullah wa Barakatuh” beliau menjawab.

Saya menoleh ke belakang, melihat kelibat Profesor Dr. Yasin Ahmad Ibrahim Daradukah pergi.

Beliau pernah menjadi Dean Fakulti Shariah, University of Jordan antara 1991-1993. Sebelum jawatan itu diambil alih oleh Profesor Mahmood Ali Muslih Al-Sartawi. Di University of Jordan memang ada ramai alim ulama’ yang hebat. Maklum sahaja, ia universiti utama negara, di ibu kota. Sesuatu yang jauh di sudut hati, menyebabkan saya rasa terkilan tidak berpeluang belajar di universiti berkenaan. Terkilan yang menyebabkan hampir setiap minggu saya akan turun ke Amman.

Namun dalam ramainya alim ulama di kampus berkenaan, Sheikh Yasin Daradukah sentiasa lekat di minda saya atas sebab yang sangat khusus. Walaupun beliau merupakan tokoh paling pakar dalam disiplin ilmu pewarisan harta dan muamalat secara umumnya, namun apa yang sentiasa saya kenang tentang beliau adalah usaha luar biasanya terhadap manuskrip sebuah kitab lama.

PROSES TAHQIQ

Sheikh Yasin Daradukah telah menjalankan proses tahqiq ke atas manuskrip kitab  Hulyah al-‘Ulamā’ fī Ma’rifah Madzāhib al-Fuqahā’ oleh al-Imām al-Shāshī al-Qaffāl (meninggal dunia 25 Shawwal 507H). Kitab  Hulyah al-‘Ulamā’ ini merupakan kitab induk yang sangat penting di dalam Fiqh Mazhab Shafie, serta disiplin perbandingan Mazhab. Ia juga merupakan rujukan utama al-Imam al-Nawawi dalam menghasilkan karya gergasinya, Kitab al-Majmu’, syarah kepada Kitab al-Muhazzab oleh al-Imam al-Shirazi.

1476105_332683076871610_113612567_n

Rupa naskhah manuskrip yang diedit oleh Sheikh Yasin Daradukah

Tahqiq kitab  Hulyah al-‘Ulamā’ ini membabitkan proses menyalin kembali teks kitab berkenaan daripada manuskrip dengan membandingkan beberapa naskhah, menganalisa teks berkenaan, melakukan penyusunan dan takhrij kepada hadith-hadith serta pendapat yang dipetik oleh al-Qaffal di dalamnya, membuat pembetulan kepada kesilapan penyalinan antara naskhah-naskhah manuskrip tersebut serta membuat komentar di bahagian-bahagian yang perlu.

Proses ini tidak mudah.

Sheikh Yasin Daradukah memberikan dedikasi tertinggi kepada usaha ini, apabila beliau meluangkan masa sekitar 10 jam sehari selama 13 tahun untuk menyelesaikannya!

Beliau memberi seluruh hidupnya.

Dengan maksud, agar buku yang sangat penting ini, boleh dirujuk oleh generasi semasa.

Saya membeli naskhah buku ini, sungguh-sungguh kerana teruja dan menghargai usaha oleh Sheikh Yasin Daradukah, yang tiada tolok bandingnya ini.

1477386_332683040204947_1850157600_n

Naskhah Kitab Hulyah al-‘Ulamā’ fī Ma’rifah Madzāhib al-Fuqahā’  yang saya miliki. Selepas diedit oleh Sheikh Yasin Daradukah, ia diterbitkan dalam 8 jilid

Antara kisah menarik yang pernah diceritakan oleh Sheikh Muhammad Abu Su’aylik adalah semasa Sheikh Yasin Daradukah mengajar subjek Fiqh Pewarisan Harta kepada pelajar-pelajar Fakulti Undang-undang. Sheikh Yasin Daradukah meminta pelajar-pelajar perempuan di dalam kelasnya bertudung. Akan tetapi sebahagian daripada mereka menjawab “kami bukan orang Islam. Maka bertudung tidak wajib ke atas kami!”

Mereka adalah pelajar perempuan Arab beragama Kristian.

Sheikh Yasin Daradukah pergi berjumpa dengan seorang paderi Kristian dan bertanya kepadanya, “adakah engkau membenarkan anak perempuanmu mendedahkan kepala (rambut) mereka?” Paderi itu menjawab, “aku tidak membenarkan yang demikian itu”

Di dalam kelas yang berikutnya, Sheikh Yasin Daradukah berkata di dalam kelas, “kamu juga wajib bertudung kerana aku sudah bertanya kepada paderi kamu tentang hal ini dan beliau menjawab bahawa menutup kepala itu juga wajib berdasarkan agama kamu!”

Semenjak itu, pelajar-pelajar perempuan Kristian di Fakulti Undang-undang itu bertudung dan tidak lagi mendedahkan kepala mereka selepas Sheikh Yasin menjustifikasikan permintaannya secara ilmiah dan amanah.

35_28

Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun. [Fatir 35: 28]

Entah mengapa, tiba-tiba hati saya teringatkan beliau dan merinduinya, walaupun hanya sempat melihatnya sekali seumur hidup. Semoga Allah merahmati Profesor Dr. Yasin Ahmad Ibrahim Daradukah dan melimpahkan rahmat yang seluas-keluasnya ke atas beliau.

Semoga karya-karya Imam Birgivi yang sedang saya kaji ini juga, ada pihak berkepakaran yang boleh melakukan proses tahqiq ke atasnya, demi manfaat umat semasa.

Harimau mati meninggalkan belang. Manusia mati meninggalkan nama. Ulama pergi meninggalkan ilmu pengetahuan, untuk umat terus bernafas dalam Tauhid dan Sunnah Nabi Junjungan.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

 

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.