Anthony Mencari Muhammad Amin

shamrock-cover

“Mr. Imam, bolehkah awak bacakan saya mana-mana kenyataan al-Quran yang bercakap tentang Mary?” Anthony bertanya kepada saya.

“Boleh. Sebentar ya. Saya ambilkan terjemahan al-Quran di situ” saya menyambut permintaannya.

Pagi itu saya menerima kunjungan Anthony, seorang pemuda Katholik. Beliau menyatakan minatnya untuk mendalami Islam. Saya berbesar hati menerimanya, apatah lagi Anthony bermazhab Katholik. Amat sukar untuk bertemu dengan seorang Katholik yang memeluk Islam di Belfast.

Awal pagi tersebut, Anthony muncul buat kali pertama. Beliau memperkenalkan diri kepada saya dan memberitahu bahawa beliau bekerja sebagai seorang kaki tangan kerajaan yang bertugas di Stormont, iaitu parlimen Ireland Utara. Seperti Westminster di England.

“Baiklah Anthony, saya bacakan awak beberapa petikan dari surah Maryam ya” saya memberitahu beliau.

Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Peduli Lagi Maha Mengasihi Hamba-Nya

“… Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur (16)

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: roh dari Kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.(17)

Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.(18)

Ia berkata: “Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci”. (19).

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?” (20)

Ia menjawab: “Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. (21)

Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.(22)

(Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata: Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! (23)

Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya:” janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), Sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.(24)

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (25)

“Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.(26)

Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! (27)

“Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!” (28)

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. mereka berkata (dengan hairannya): “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?” (29)

Ia menjawab:” Sesungguhnya aku ini hamba Allah; ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi. (30)

Dan ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.(31)

“Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan ia tidak menjadikan daku seorang Yang sombong takbur atau derhaka. (32)

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula”. (33)

Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya (34)

KASIH MARYAM

Habis ayat-ayat itu saya bacakan, Anthony menangis. Matanya merenung saya dan berkata “Imam, kalaulah yang bercakap tentang Mary ini seorang manusia, nescaya saya akan sembah manusia itu. Inilah ungkapan paling indah tentang Mary yang pernah saya dengar.”

Saya sendiri jadi hiba dengan kenyataan Anthony. Saya tahu, Maryam merupakan seorang insan yang amat istimewa di hati orang Kristian. Dalam masyarakat yang mengalami keretakan institusi keluarga, ramai yang berdamping dengan kisah-kisah Maryam, demi mencari kasih sayang dan sumber kekuatan diri. Tetapi keindahan sebutan tentang Maryam, lebih terserlah di dalam al-Quran buat Anthony, berbanding Bible yang sudah dibacanya semenjak kecil.

Pertemuan saya dengan Anthony tidak berakhir di situ. Beliau sering datang melawat masjid dan masa pilihannya ialah sebelum Zohor. Waktu itu saya agak lapang dan Anthony mempunyai banyak ruang untuk berbual dengan saya.

CUBA SOLAT

Zohor itu, Anthony duduk bersandar di dinding belakang dewan Solat. Dia seperti tenggelam mendengar keasyikan Mohd Nor melaungkan azan. Mohd Nor adalah sahabat saya, seorang akauntan dari Malaysia yang datang menemani isterinya menyiapkan PhD di Belfast. Suara merdu Mohd Nor, atau lebih mesra dengan panggilan Abu Muaz, memukau Anthony sehingga matanya seperti tidak berkelip menghayati bait-bait azan yang membesarkan Allah di masjid kami.

“Imam, saya ada satu permintaan. Bolehkah kalau saya sertai sembahyang kamu semua? Saya berdiri di belakang pun tak apa” Anthony nampak bersungguh-sungguh dengan permintaannya.

“Boleh. Malah kamu bukan orang pertama berbuat begitu. Kamu masih ingat dengan Jonathan yang saya ceritakan tempoh hari? Sebelum dia memeluk Islam pun, dia pernah meminta perkara yang sama” saya memberitahu.

“Oh, Jonathan tu. Dia di Coleraine, kan?” Anthony bertanya.

“Ya. Sesekali dia datang ke Belfast bertanyakan hal-hal agama dengan saya. Apa-apa pun, kamu berdirilah di saf belakang ya. Dan pastikan pakaian kamu bersih” saya menepuk bahu Anthony sambil melangkah ke mihrab untuk mengimamkan Solat Zohor tengah hari itu.

“Allahu Akbar!” saya mengangkat takbir dan segala puji buat-Mu ya Allah.

Selepas Zohor, saya masuk semula ke bilik pejabat. Anthony mengekori saya dan menyambung perbualan.

“Saya nak tahu, Imam. Di tempat kerja saya tiada tempat Solat. Bagaimanakah saya hendak bersolat? Saya tidak mahu selepas memeluk Islam, saya ada meninggalkan Solat.” beliau bertanya.

“Oh, begitu. Allah menjadikan semua tempat yang bersih, boleh digunakan untuk kita berSolat. Kamu ada bilik sendiri?” saya cuba mendapatkan kepastian.

“Tak ada. Saya hanya mempunyai cubicle sendiri” jawabnya.

“Kalau begitu, kamu bentangkan sahaja sehelai kain untuk kebersihan. Kalau mahu, saya boleh berikan sejadah ini. Saya pinjamkan kompas untuk kamu cari arah kiblat di pejabat kamu, ya” ujar saya.

MENABUR BERKAT ?

“Oh, semudah itukah? Apakah tidak perlu kepada kamu datang ke tempat saya untuk menabur berkat?” Anthony bertanya. Galak matanya mencari penjelasan.

“Hah hah, kamu biar betul Anthony. Di dalam Islam tiada istilah menabur berkat seperti itu. Imam hanya bertugas memimpin dan menyelaraskan Solat. Sebab Solat bukan hanya ibadah, ia juga latihan dari Allah agar umat Islam tersusun dalam kehidupannya” saya ketawa mendengar soalan Anthony.

“Jadi maknanya dalam Solat tadi, kamu berdiri di hadapan bukan sebagai perantara kami dengan Tuhan?” beliau menyoal.

“Tidak. Semua orang bercakap secara langsung dengan Allah, berhubung secara direct dengan-Nya. Islam tidak memerlukan priest untuk menghubungkan manusia dengan Penciptanya” saya cuba menghilangkan kekeliruan Anthony.

“Maknanya, Imam adalah Muslim Protestant lah ya?” Anthony bertanya lagi.

“Hahaha…” saya ketawa dan saya tahu Anthony juga bergurau sebenarnya.

“Ya, Islam lebih dekat di hati saya. Saya dan Imam, kita sama-sama makhluk ciptaan-Nya. Kita sama-sama diuji oleh Tuhan. Siapa yang patuh akan selamat. Siapa yang engkar akan dihukum” Anthony seperti berbicara kepada dirinya sendiri. Dia merenung lantai dan sepi seketika.

“Anthony, apakah kamu sudah bersedia untuk kembali kepada Allah?” saya bertanya perlahan-lahan.

Anthony mengangkat kepalanya dan tersenyum kepada saya “Ramadhan ini saya akan lafazkan Syahadah. Saya mahu memulakan Islam saya pada bulan Islam bermula.”

“Insya Allah. Cuma kamu tahu yang kamu boleh melafazkan Syahadah pada bila-bila masa sahaja, kan?” saya mahu mendapatkan kepastian.

“Ya, saya faham Imam. Doalah kepada Allah untuk saya. Saya sedang mengumpul kekuatan diri” Anthony bersalam dengan saya di pintu masjid. Kami sedang sibuk mengecat masjid dan membersihkan halaman kerana Ramadhan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Jika Anthony memeluk Islam, beliau adalah saudara baru ke-18 yang berSyahadah di hadapan saya. Namun tidak ramai Irish yang bermazhab Katholik memeluk Islam. Setakat ini hanya dua dan mungkin Anthony menjadi yang ketiga. Selebihnya adalah Protestant. Tetapi setiap seorang Katholik yang memeluk Islam, ternyata mereka menjadi sangat dinamik. Seorang yang terbaik di masa jahiliah akan juga menjadi yang terbaik semasa Islam, jika sikap positif dan ‘kuat mengaji’ itu dikekalkan.

RAMADHAN ITU

Ramadhan 1424 menjelma. Masjid kembali meriah. Setiap malam, iftar disediakan dan anak-anak muda semakin gemar berkumpul malah tidur di masjid sahaja. Saya membiarkan sahaja, asalkan mereka menjaga kebersihan dan mengemas masjid sebelum jemaah subuh tiba.

Jumaat pertama Ramadhan itu, Anthony datang ke masjid selepas Asar.

Salam to you Imam. May Allah bless you. How is everybody in the mosque?” Anthony menghulurkan tangan bersalaman dengan saya.

Salam to all those who seek His guidance” saya menjawab sambil tersenyum.

“Imam, hari ini saya berpuasa. Pastikan makanan berbuka puasa nanti cukup. Saya kelaparan yang amat sangat” Anthony ketawa kecil.

“Rumah dibina di atas tapak yang telah dipasak. Puasa kamu adalah sebahagian dari rumah itu. Bagaimana dengan tapaknya?” saya cuba beranalogi.

“Malam ini Insya Allah. Harap Imam dapat membantu” Anthony merenung tepat ke mata saya. Padanya ada keyakinan yang tinggi dan saya tahu ini adalah hari yang dinantikan.

“Pastinya Anthony. Jika tengah malam sekali pun kamu gerakkan saya untuk ini, saya akan bangun dan membantu” saya menjawab.

Selepas solat Maghrib, jemaah sibuk mengambil tempat masing-masing sebelum nasi minyak dan ayam tandoori diedarkan. Ketika semua orang sibuk makan, saya bangun dan membuat pengumuman.

“Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh. Brothers and sisters, malam ini kita berasa sangat bertuah kerana kita akan menerima seorang lagi saudara baru. Brother Anthony mahu melafazkan syahadahnya sebentar lagi. Kepada sesiapa yang berkelapangan, anda dijemput untuk bersama”

Jemaah di masjid bertakbir. Ramai yang terpinga-pinga bangun mencari siapakah Brother Anthony yang saya maksudkan. Makanan segera diselesaikan.

“Brother Anthony, malam ini kamu telah membuat kesaksian dengan penuh kerelaan hati kami bahawa Islam adalah agama Allah yang benar. Tiada sesiapa yang memaksa kamu?” saya bertanya.

Anthony mengeleng-ngelengkan kepalanya sambil tersenyum.

“Kamu juga telah memahami asas-asas Islam dan tahu di mana titik perbezaan antara Islam dengan Catholicism yang kamu anuti?” saya menyoal lagi.

“Terima kasih kepada Imam kerana telah membantu saya memahami Islam. Islamlah agama yang benar dan saya mahu hidup serta mati bersama Islam” Anthony menjawab dengan penuh yakin.

“Baiklah, ada sebarang persoalan terakhir sebelum kamu melafazkan Syahadah?” saya memberikan ruang kepada Anthony untuk menyelesaikan sebarang hal yang masih belum jelas baginya.

“Ya, selepas saya memeluk Islam, saya harap sekalian yang hadir dapat membantu dan membimbing saya mengenal Islam”, Anthony mengangkat kepalanya kepada hadirin yang mengelilingi kami.

Seluruh jemaah tersenyum dan menganggukkan kepala. Saya menggenggam tangan Anthony sebagai tanda ‘bersama’nya saya di dalam permintaan itu.

“Awak ikut sebutan Syahadah saya satu persatu. Kita akan lafazkan ia di dalam Bahasa Arab dan kemudiannya Bahasa Inggeris.” saya memberitahu.

Anthony mengangguk.

LAHIRNYA SEMULA SEORANG HAMBA

Asyhadu an Laa Ilaaha IllaLlah … Wa Asyhadu anna Muhammadan Rasulullah

I bear witness that there is no God but Allah … And I bear witness that Muhammad is the messenger of Allah

“Alhamdulillah. Segala puji buat-Mu ya Allah. Oh Tuhan, kau bimbinglah Anthony ke jalan keredhaan-Mu, kau lapangkan jiwanya dengan Islam. Kau kuatkan keazaman dan semangatnya. Kau hidupkanlah dan matikanlah kami semua di dalam Islam” saya berdoa.

Anthony bangun dengan air mata bercucuran membasahi pipinya. Malam itu dia lahir semula. Tangisannya seperti anak kecil yang mencari pelukan kasih.

Kami berpelukan. Ahli jemaah masjid berjabat tangan dan mengucapkan tahniah kepada Anthony.

“Selamat kembali ke fitrah asalmu Anthony. Kami adalah saudaramu, sehidup semati” As’ad, iaitu salah seorang jemaah di masjid kami memeluk Anthony dan bersalaman dengannya.

Saya membawa Anthony ke bilik dan memberikan sedikit taklimat berkenaan beberapa perkara yang perlu Anthony lakukan. Dia yang sudah sedia datang ke masjid dengan persalinan, menuju ke bilik air untuk mandi, seumpama membasuh jahiliah yang telah ditinggalkan buat selamanya dan datang kepada Allah sebagai hamba yang suci dan bersih.

Malam itu Anthony berbaris bersama jemaah yang lain untuk solat Isyak dan Tarawih. Kali ini bukan hanya untuk merasa pengalaman, tetapi sebagai sujud pertama seorang insan yang pulang ke pangkuan Tuhan, diiringi keindahan bintang dan bulan kecil hiasan malam Ramadhan, di celah awan yang menurunkan gerimis iman, buat seorang teman bernama Anthony.

Kini, Anthony sudah berhijrah ke London. Beliau mendaftarkan diri membuat Diploma Pengajian Islam di sebuah kolej di London dan sms terakhirnya kepada saya, Muhammad Amin sudah beristerikan seorang Muslimah dari Tunisia.

Salam rindu saya buat Muhammad Amin Mooney, semoga engkau terus beristiqamah dengan Islam, yang telah mempersaudarakan kita.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
13 Ogos 2006

 

 

Check Also

Bertuahkah Islam Mendapat Melayu?

Malam itu aku menangis. Qiyam Ramadan aku beriring sendu. Aku tidak dapat menahan rasa sedih …

7 comments

  1. Saya sudah banyak kali membaca kisah ini baik di blog mahupun di buku ust. Masha-Allah, kisah yang sangat menyentuh hati.

    Terdetik di fikiran saya, bagaimanakah perkara sedemikian ini boleh berlaku di Malaysia jika hubungan Muslim dan Kristian sangat-sangatlah jauh dan tidak harmoni.

    Semoga Allah membantu kita untuk terus menyebar Risalah-Nya. Amin.

  2. Allah Ustaz.. tekesan sungguh… menggigil saya..

  3. Subhanallah….Sesungguhnya Allah menentukan hamba2 yg terpilih untuk mendapat hidayah dan taufiq….Semoga Ust terus dalam penyebaran Dakwah Islamiah…..

  4. Alhamdulillah. Kisah benar yg dibukukan ini benar2 menyentuh qalbu. Agama yg benar hanyalah Islam. Menjadi tanggungjawab setiap kita menunjukkan sikap yang baik kepada non-muslim dan menyampaikan mesej dakwah. Hidayah milk Allah. TQ Ustaz.

  5. Alhamdulillah,moga kehidupannya dirahmati dan diberkati oleh Allah swt begitu juga buat ustaz sekeluarga,kisah ini amat menyentuh hati….

  6. Allahurabbi…biar berulang kali saya baca buku nie, airmata saya tetap akan mengalir.kerdil rasa diri dgn sumbangan terhadap agama anutan sejak dr lahir…

  7. Norizah bt Md Idris

    Subhanallah.. menitis air mata, semoga kisah seperti ini akan berlaku di Malaysia ini..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.