Kembara Menjejak Imam Birgivi: #1 Mencari Diri

kembarabirgivi-01

“Apa yang menyebabkan ustaz bersungguh-sungguh mahu mengkaji tentang Imam Birgivi?” tanya Halim.

Kami sedang bersiap-siap sementara menunggu Nabhan pulang daripada kampus. Hari ini dia mendaftar subjek-subjek untuk semester dua yang bakal bermula.

“Hmm… Panjang ceritanya” saya merenung ke luar jendela.

Cuaca tengah hari itu cerah di Istanbul. Permulaan yang baik untuk perjalanan panjang yang bakal kami tempuhi. Kereta juga sudah berada di bawah semenjak awal pagi. Saya amat berterima kasih kepada Azri Izdan kerana mengusahakan kereta berkenaan. Walaupun saya agak berdebar kerana pertama kali akan memandu jauh di sebelah kiri, saya tiada pilihan. Birgi terlalu terpencil. Jika saya mahu ke sana dengan bas, tentu perjalanannya sukar berkali ganda.

Tambahan pula, saya bukan orang muda lagi.

Bukan Hasrizal di Turki tahun 1990’an dulu. Yang boleh ke sana sini dengan lincah seorang diri. Teringat saya kepada catatan Imam Birgivi di dalam al-Tariqah al-Muhammadiyyah, saranan-saranan beliau tentang adab bermusafir. Imam Birgivi memetik hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam:

“Seandainya saja manusia mengetahui apa yang aku ketahui tentang bahaya bersendirian, nescaya tidak ada seorang pun yang mahu berpergian pada malam hari seorang diri.” (HR Bukhari)

“Orang yang bermusafir sendirian adalah (bersama) syaitan. Dan orang yang bemusafir berdua adalah (bersama) dua syaitan. Sedangkan orang yang bermusafir bertiga adalah rombongan musafir (yang tidak dihampiri syaitan).” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi dan Nasa’i)

“Oh terlupa pula ana menjawab soalan anta” saya tersentak dari lamunan.

Halim tersenyum. Beliau masih rancak menyediakan makan tengah hari.

“Ana mencari Imam Birgivi kerana mencari diri” saya memulakan cerita.

Ramadan lalu, dada saya tepu dengan pelbagai persoalan hidup. Saya terlalu penat. Ceramah demi ceramah, kursus demi kursus, tetapi entah mengapa jiwa terasa begitu kosong. Apakah diri ini berada di atas jalan yang benar? Apakah ini jalannya yang menjadi jalan pilihan meniti usia tua? Tersedarnya saya bahawa diri ini tidak lagi muda, semakin mencecah usia 40, menyebabkan jiwa saya meronta-ronta.

Mahu keluar.

Tetapi tidak tahu dari apa kepada apa.

Adakalanya, keinginan kita jelas. Kita tahu apa yang kita mahu. Dan kita boleh berdoa secara khusus dengan jelas. Tetapi ada masanya, kita tidak tahu apa masalah yang sedang melanda, apa penyelesaiannya. Tetapi kita yakin yang kita berada di dalam masalah, kerana jiwa kita sakit, luka yang darahnya bukan memercik ke luar, sebaliknya mengalir perit di celah-celah susuk diri yang mencari.

Ketika itu, kita memerlukan rahmat Allah.

Sesuatu yang hanya boleh datang dari Allah.

Namun bagaimana rahmat itu hendak datang, kita serahkan kepada kebijaksanaan Allah. Kita menyambutnya dalam apa sahaja bentuk yang tiba. Itulah yang Surah al-Kahf ajarkan kepada kita:

18_10(Ingatkanlah peristiwa) ketika sekumpulan anak muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami” [al-Kahf 18: 10]

“Pemuda itu menerima rahmat daripada Allah dengan Allah menidurkan mereka. Siapa sangka tidur itu menjadi tentera Allah yang melindung dan membela?” saya berceloteh.

Syafiq yang bersama di dapur juga asyik mendengar perbualan kami.

Saya masih ingat Ramadan itu, saya beriktikaf di Masjid Besi. Setiap malam saya menangis meminta bantuan daripada Allah. Memohon agar segala kegilaan jadual kerja ini berhenti. Saya mahu berhenti seketika. Mahu melihat diri. Mahu memuhasabah diri. Mahu membaca peta sebelum meneruskan perjalanan yang kali ini, bukan lagi usia mencuba-cuba.

“Oh ya, ustaz. Sudah periksa peta? Jelaskah Birgi mana yang kita hendak pergi ini?” Halim mengingatkan saya kembali.

“Tu la. Mujurlah Anas semalam bercerita. Katanya di Birgi itu hanya ada satu kedai kebab. Gayanya macam kecil sungguh pekan yang kita hendak pergi ini. Itu yang ana terfikir. Betulkah Birgi yang hendak dituju. Selepas ana semak, ya Allah ana tersilap. Semenjak dari Malaysia, ana membayangkan Birgi Urla. Rupa-rupanya Birgi yang kita sepatutnya pergi ialah Birgi Ödemiş. Satu ke Barat, satu lagi ke selatan, walaupun dua-duanya di Izmir” saya menjawab.

“Assalamualaikum!” Nabhan memberi salam.

“Waalaikum al-Salam wa Rahmatullah” kami sama-sama menjawab.

Alhamdulillah, Nabhan juga sudah pulang dari kampus. Kami sudah cukup korum untuk bertolak. Jika boleh saya ingin memenuhkan kereta. Tetapi semua orang ada komitmen masing-masing. Hanya Halim Bohari dan Nabhan Zainal sahaja yang berkelapangan. Syukur, rezeki saya untuk mereka berdua temankan.

Kami sama-sama makan tengah hari.

Sambil makan, saya berkongsi kisah tentang Imam Birgivi.

“Pada usia 28 tahun, Imam Birgivi memegang jawatan yang tinggi. Beliau bertugas sebagai Kassâm-ı Askerî di Edirne sekitar tahun 1551. Sepatutnya, dengan pangkat yang begitu, Birgivi selesa dengan hidupnya. Tetapi tidak untuk anak muda berkenaan. Hatinya gelisah. Beliau resah melihat masyarakat yang walaupun kehidupan mereka semakin baik, tetapi Birgivi mengesan tanda-tanda kejatuhan. Mungkin sukar untuk dipercayai oleh sesiapa ketika itu. Namun Birgivi percaya kepada gerak hatinya. Ada sesuatu yang tidak kena” saya bercerita.

Bertuahnya Birgivi, beliau ada guru yang membimbing.

Birgivi mengadu akan keresahan hatinya kepada Sheikh Abdullah el-Karamânî. Dan Sheikh inilah yang menasihatkan Birgivi untuk meninggalkan jawatan rasminya. Malah bukan sekadar melepaskan jawatan, Birgivi juga memulangkan seluruh gaji yang diterimanya selama bertugas di Edirne itu.

“Ana mengkaji Birgivi hanya sebagai seorang tokoh islah. Ana tidak pernah menyangka perjalanan hidupnya begitu” saya mengulas.

Kami sudah selesai makan tengah hari. Solat zohor juga sudah selesai.

“Ana tidaklah sepopular nama-nama besar di kalangan agamawan di Malaysia. Tetapi populariti yang ada pada masa ini, terasa begitu beracun. Seketika, kita boleh mendamaikan jiwa dengan menganggap ia sebagai petanda dakwah kita diterima baik oleh masyarakat. Namun pada satu ketika yang lain, kita amat terasa ada sesuatu yang tidak kena. Sangat tidak kena. Ana datang ke Turki kerana mahu lari seketika daripada rutin yang membunuh itu. Mudah-mudahan bertemu jawapannya” saya menyambung cerita.

“Inshaallah” jawab Syafiq.

kembarabirgivi-02

“Dan jawapan tidak akan ditemui selagi kita belum memulakan perjalanan. Kena cepat ni. Kita kena keluar dari Istanbul sebelum waktu pejabat habis. Ana takut dengan trafik di Istanbul” saya bangun dan mengangkat beg galas.

“Jom, jom. Bismillah!” ujar Nabhan.

Tengah hari itu, perjalanan kami bermula.

Kembara mencari Imam Birgivi.

Mencari diri.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

4 comments

  1. Salam alaik……Harap-harap selepas ini, apabila thesis ustaz berjaya, kisah pengembaraan mengesan jejak yang ditinggalkan oleh Imam Birgivi ini dibukukan. Teruskan bercerita ye ustaz…

  2. Assalamualaikum Ustaz!
    seronoknya!!! sudah lama tunggu edisi perjalanan ini, hihi

  3. Alhamdulillah, kembara yang indah ini harapnya menemukan apa yg dicari. Sudilah kiranya Ust terus berkongsi cerita agar manfaat terus berkembang luas..

  4. Salam Ustaz, saya nak bertanya tentang hadith yang ustaz ada quote di atas iaitu –

    “Orang yang bermusafir sendirian adalah (bersama) syaitan. Dan orang yang bemusafir berdua adalah (bersama) dua syaitan. Sedangkan orang yang bermusafir bertiga adalah rombongan musafir (yang tidak dihampiri syaitan).” (HR Abu Dawud dan Tirmidzi dan Nasa’i)

    Saya nak tahu, apakah hadith tersebut diaplikasikan dalam semua situasi apabila seseorang itu bermusafir seorang diri/berdua-duaan? Ataupun ianya ada merujuk kepada situasi yang tertentu sahaja?

    Harap ustaz boleh beri penjelasan ttg konteks hadith tersebut.
    Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.