Masjid Imam Birgivi Tempat Kuberdiri

20130206_085625_HDR

“Antum sudah pernah datang ke bandar Balıkesir ini?” saya bertanya.

“Belum pernah” jawab Halim.

“Mengembara macam ini pun, baru sempat sekali. Kami menjejak Badi’uzzaman Said al-Nursi” ujar Nabhan.

“Tentu ada pergi ke Isparta, ya? Teringat lagi dulu-dulu, singgah di Isparta. Bunga ros di sana sini” saya berkongsi.

Mereka berdua mengangguk.

Usai menghabiskan sarapan pagi di hotel, kami segera bersiap untuk memulakan pencarian. Di bandar Balıkesir ini, saya mahu mencari Masjid Imam Birgivi. Setahu saya ia masjid baharu. Bukan masjid lama. Dan walaupun ia baharu, ia boleh menjadi bukti pengaruh Imam Birgivi dan bagaimana persepsi masyarakat semasa terhadap beliau.

SEKITAR BALIKESİR

Mungkin Balıkesir tidak menjadi destinasi popular pilihan pelancong. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berkunjung ke bandar ini. Malah saya tidak sempat untuk mengetahui keistimewaan bandar ini, kecuali ia bandar kelahiran Imam Birgivi.

Akan tetapi, sama seperti mana-mana sahaja lokasi di Turki, setiap inci tanahnya mendukung sejarah yang panjang. Demikian juga Balıkesir.

Nama lama bagi Balıkesir ini ialah Karesi. Bandar yang ada pada hari ini, diasaskan oleh Karesi Beg pada tahun 1297. Selepas beberapa ketika berada di bawah pentadbirannya sendiri yakni pemerintahan Karesi Sancağı, Balıkesir telah menjadi sebahagian daripada wilayah Uthmaniyyah pada tahun 1345.

Dalam sejarah yang lebih moden, bandar Balıkesir ini pernah dijajah oleh Greece iaitu pada tahun 1920. Akan tetapi pada 6 September 1922, tentera Turki telah berjaya mendapatkan kembali wilayah ini. Sama seperti kebanyakan pekan di wilayah Ege mengadap Laut Marmara, elemen-elemen ‘kebaratan’ itu amat ketara. Iklan minuman keras seperti Efes itu berada di mana-mana, hingga agak menenggelamkan jati diri Islam di wilayah ini.

20130206_103603_HDR

Terasa asing juga memikirkan Imam Birgivi lahir di sini.

BIRGIVI DI KAMPUNG KELAHIRANNYA

Imam Birgivi telah dilahirkan di Balıkesir pada tahun 1523M, dua tahun selepas pertabalan Sultan Süleyman I. Hampir keseluruhan hidup beliau adalah di bawah era sultan ini, dengan dua tahun terakhir hayatnya adalah di bawah pemerintahan Sultan Selim II.

Keluarga Birgivi mempunyai latar belakang tradisi Sufi dan kesarjanaan Islam yang kukuh. Bapanya, Pîr Ali, merupakan seorang tenaga pengajar (müderris) dan shaykh di dalam gerakan Tarikat Bayramî. Tidak banyak yang diketahui tentang bapa kepada Pîr Ali, İskender.

Ajaran Bayramî diperkenalkan di Balıkesir oleh datuk kepada Pîr Ali, Shaykh Lütfullah, yang bertemu sendiri serta menjadi tetamu kepada pengasaskan gerakan Sufi tersebut, Hacı Bayram-ı Velî (meninggal dunia 1429).  Shaykh Lütfullah  telah dilantik sendiri oleh Hacı Bayram-ı Velî sebagai Syakh Tarikat di Balıkesir.

Dalam usia yang muda, Imam Birgivi sudah bermusafir ke Istanbul meninggalkan Balıkesir demi ilmu.

Sesungguhnya menuntut ilmu dan bermusafir adalah kembar yang mustahil berpisah.

TINGGALAN SEJARAH DI BALIKESİR

Di sekitar Balıkesir ada beberapa monumen bersejarah yang boleh menceritakan perjalanannya yang panjang, menempuh pelbagai pemerintahan, serta bencana alam yang besar seperti gempa bumi pada tahun 1897. Beberapa dekad akhir Dawlah Uthmaniyyah, banyak gempa bumi besar melanda Anatolia dan Rumeli dan Badi’uzzaman Said al-Nursi juga mengulas mengenainya di dalam al-Kalimāt, salah satu siri Risalah al-Nur.

Oleh kerana kami begitu memfokuskan pencarian kepada Masjid Imam Birgivi, banyak tinggalan sejarah hanya dilintasi tanpa singgahan dan dokumentasi. Menara Jam di Balıkesir telah dibina pada tahun 1827 sebagai replika kepada Menara Galata di Istanbul, tetapi ia musnah dalam gempa bumi 1897 berkenaan. Menara yang berdiri hari ini adalah binaan semula yang diusahakan oleh Gabenor  Ömer Ali Bey.

Demikian juga Masjid Zaganos Pasha yang dibina di era Sultan Muhammad al-Fatih pada tahun 1461. Tetapi ada masjid yang lebih tua di Balıkesir iaitu Masjid Yildirim Beyazid yang dibina pada tahun 1388 dan Masjid Umurbey yang dibina pada tahun 1412.

Balıkesir juga terkenal dengan kincir angin di perkampungan Karakol yang terletak di luar pusat bandar. Mungkin kincir angin itu boleh menceritakan tentang perkembangan sains dan teknologi serta interaksi antara tamadun yang berlaku. Ia menarik, namun saya perlu fokus.

Perlu khusyu’.

Saya juga difahamkan melalui carian internet bahawa satu-satunya muzium fotografi di Turki adalah di bandar ini.  Ia terletak di Dumlupınar Mahalesi.

“Jom, ustaz. Perjalanan kita masih panjang” Halim dan Nabhan mengingatkan saya.

Kami meneruskan perjalanan dan peta menunjukkan Masjid Imam Birgivi terletak di Bahçelievler Mahallesi. Jika mengikut peta, jaraknya dengan hotel kami hanya sekitar 4km.

“Yang itu, kot” kata Halim.

Kami ternampak sebuah menara masjid di celah kawasan perumahan. Tetapi apabila didekati, masjid itu yang kelihatan agak usang, bukan Masjid Imam Birgivi. Ia adalah Pievne Camii.

“Kena tanya orang ni. Dah berpusing-pusing kita mencari” saya berkata.

Akhirnya kami mengalah. Tersenyum dengan kedegilan enggan bertanya, walaupun jauh di tanah air pepatah orang tua masih menyebut “malu bertanya tersesat jalan”.

Saya memberhentikan kereta kami di sebuah simpang. Ada seorang pakcik bersama isterinya sedang menunggu di dalam kereta. Mereka kelihatannya seperti penduduk tempatan. Syukurlah ada Halim dan Nabhan. Mudah sikit hendak bertanya. Saya yang sudah terkapai-kapai berbahasa Turki terasa ‘dimanjakan’.

Mereka berdua bertanya kepada pakcik tersebut tentang lokasi Masjid Imam Birgivi. Beliau memaklumkan kepada kami bahawa masjid berkenaan terletak di seberang jalan utama yang membelah Bahçelievler. Tanpa berlengah, kami bertiga segera bergerak.

Bismillah.

Berdebar-debar rasanya.

20130206_110414_HDR

Alhamdulillah, akhirnya masjid yang saya belek-belek fotonya di internet sejak sekian lama kini berada di depan mata. Biar pun Masjid Imam Birgivi adalah masjid baru yang dibina pada tahun 2002, saya mendapat kepuasan dan rasa syukur yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Masjid ini menjadikan saya rasa semakin hampir dengan Imam Birgivi yang sedang saya kaji.

Saya tidak mempunyai sebarang maklumat apakah masjid ini dibina di lokasi ini dengan sempena tertentu. Tiada orang untuk ditanya kerana beberapa orang pekerja yang sedang menyelesaikan renovasi kecil di sekitar masjid kelihatan tidak begitu ramah untuk ditegur.

Hendak masuk ke dalam masjid pun, masjid berkunci disebabkan oleh urusan renovasi tersebut.

“Kunci ada bersama Imam dan beliau tiada di sini” kata pakcik yang menegur kami.

20130206_111852_HDR

Saya mengambil peluang mengerjakan solat Dhuha di bahagian serambi luar masjid. Adakalanya apabila kita melawat atau melancong, kita terlupa menunaikan hak masjid setiap kali seorang mukmin menziarahinya. Solat sunat dua rakaat sebagai tahiyyat al-masjid mesti dilunaskan.

عَنْ أَبِي قَتَادَةَ بْنِ رِبْعِيٍّ الأَنْصَارِيِّ رضي الله عنه قَالَ : قَالَ رَسُولُ صلى الله عليه وسلم : إذَا دَخَلَ أَحَدُكُمْ الْمَسْجِدَ فَلا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Daripada Abu Qatadah bin Rib’i al-Ansari radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda: apabila seseorang dari kalangan kami masuk ke masjid, maka janganlah dia duduk sehingga selesai menunaikan dua rakaat solat [Hadith riwayat al-Bukhari]

“Kalian datang dari mana?”tanya seorang wanita yang lalu di hadapan masjid.

“Kami dari Malaysia. Saya dan rakan saya ini belajar di Istanbul. Hoca ini datang dari Malaysia” ujar Halim.

“Ustaz kami ini sedang mengkaji tentang Imam Birgivi” beritahu Nabhan kepadanya.

“Abla tahu tentang Imam Birgivi?” saya bertanya kepadanya.

“Oh dia orang alim. Itu sahaja yang saya tahu” kata wanita berkenaan.

Saya rasa gembira kerana keramahan orang Turki yang sebelum-sebelum ini sering saya alami di zaman 1990’an, masih ada untuk ditemui.

Beliau menawarkan diri untuk mengambil foto kami di hadapan Masjid Imam Birgivi.

20130206_111403_HDR

“Sekejap ya. Saya baru balik dari pasar. Saya mahu bekalkan kamu dengan buah-buahan ini” kata wanita berkenaan.

Baik sungguh hatinya.

Beliau mengeluarkan beberapa biji limau dan buah pear Cina atau disebut sebagai armut di Turki.

“Teşekkürler, abla” kami berterima kasih kepadanya.

“Puas hati ustaz?” tanya Nabhan.

Agaknya beliau pun perasan saya tersengih-sengih seorang diri.

“Tentulah puas. Agak-agaknya ana ni orang Malaysia pertamakah sampai ke masjid ini? Kira macam al-Fatih jugalah, ya?” saya berseloroh.

“Lepas ini ramailah orang Malaysia mahu melawat Masjid Imam Birgivi ini. Sebab Ustaz Hasrizal sebut masjid ini” usik Nabhan.

20130206_111013_HDR

“Hmm…” saya menghela nafas.

“Kenapa pula, ustaz?” tanya Halim.

“Balıkesir bukan hanya bandar kelahiran Imam Birgivi. Ia juga merupakan bandar kelahiran penyambung legasi Birgivi iaitu Mehmed Kadızade, pengasas kepada gerakan Kadızadeli yang sangat penting dalam sejarah Islah dan Tajdid Dawlah Uthmaniyyah. Oleh kerana rekod sejarah yang penuh tragedi berkaitan gerakan Kadızadeli, ana tidak rasa ada masjid yang didekasikan untuk beliau di Balıkesir ini” saya bercerita.

Kami duduk bersantai-santai di tangga masjid.

Saya bertemu dengan catatan mengenai Imam Birgivi melalui pembacaan saya mengenai gerakan Kadızadeli. Gerakan ini menyeru kepada pemurnian ajaran Islam, kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah, namun gerakan tersebut terbabit secara meruncing sebagai antagonis kepada golongan Sufi dan menyertai politik Dawlah Uthmaniyyah secara intensif hingga menumpahkan darah. Seperti Reign of Terror di Perancis bersama Maximilien Robespierre dan Jacobins, yang hakikatnya hampir sezaman dengan gerakan Kadızadeli.

Jika di zaman ini, dengan mudah gerakan Kadızadeli ini terpalit dengan label Wahabi!

Namun, saya lebih tertarik untuk mengkaji berkenaan Imam Birgivi berbanding Mehmed Kadızade dan gerakannya. Dan semakin saya membaca, saya berpendapat Imam Birgivi yang sering dipalit sebagai guru dan pencetus inspirasi kepada gerakan radikal Kadızadeli, mesti dipisahkan daripada perilaku mereka yang menyusulinya.

Imam Birgivi dan Mehmed Kadızade mesti dipisahkan.

“Jom, kita teruskan perjalanan” saya mengajak Halim dan Nabhan.

Kami mahu ke Manisa.

Sebabnya kecil sahaja. Ustaz Abdullah Taha di İSAM  yang banyak membantu saya, mahu kami makan kebab terbaik di dunia di kampungnya Manisa.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

3 comments

  1. jzklh ustaz

  2. Artikel yang bermanfaat.

    semoga teruskan memberi pendedahan kepada kami berkenaan dengan Turki dan sejarahnya

Leave a Reply to khairul Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share