Perjalanan Idea Berkenderaankan Kecekalan Jiwa: Tiba di Birgi

lahmacun-manisa

“Rugilah kita tukar wang di bank” Halim tidak seronok dengan pilihan yang ada.

“Tak apa. Ana pun, tukar wang tidak banyak mana” saya memberi justifikasi.

Puas kami berpusing di keliling bandar Manisa, tetapi tidak bertemu dengan tempat menukar wang. Akhirnya, kami perlu membuat prioriti bahawa masa lebih utama. Korban beberapa Lira kerana kadar tukaran wang asing di bank lebih rendah berbanding dengan Döviz Bürosu (Money Changer).

Selesai menukar wang, perut kami yang berkeroncong mencari-cari kebab Manisa yang sahabat saya Abdullah Taha katakan. Tetapi rasa lapar yang bersangatan, tambahan pula kami perlu segera bertolak ke Birgi dan cuba tiba di sana sebelum gelap, maka akhirnya saya, Nabhan dan Halim mengambil keputusan untuk singgah sahaja ke sebuah kedai Lahmacun.

“Selamat datang” Pakcik di dalam kedai itu menyambut kami.

Beliau dan anak mudanya beriya-iya menyediakan hidangan kami dan berusaha memastikan segala permintaan kami tertunai.

morsi-gul

“Presiden Abdullah Gul melawat Mohamed Morsi di Kaherah nampaknya tu” saya memandang ke arah televisyen.

Rasanya baru sahaja Presiden Iran melawat Mesir. Hari ini Presiden Turki pula. Saya teruja melihat semangat para hadirin di dewan menyambut rombongan dari Turki.

“Ustaz rasa, Mesir dan Morsi ini bagaimana?” tanya Nabhan.

“Ana pun tidak pasti. Antara gembira, bersyukur dan bimbang” saya menjawab.

Sambil berbual, mulut kami terus mengunyah Lahmacun Manisa yang enak itu. Siaran langsung di televisyen juga memperlihatan kenyataan Abdullah Gul dan Morsi berkaitan dengan Palestin yang akan terus diberi kemudahan bersama, juga kebimbangan tentang perang saudara yang baru meletus di Syria.

Tentu sahaja saya berkongsi rasa gembira sebagaimana umat Islam lain di seluruh dunia. Membayangkan Mesir tanpa Hosni Mubarak, adalah seperti mimpi. Untuk melihat Hosni Mubarak diganti dengan Mohamed Morsi, itu lebih luar biasa. Tetapi dalam hidup ini, apabila berlakunya sesuatu sebagai too good to be true, rasa bimbang itu datang. Adakah kemenangan Morsi di Mesir bererti penderitaan umat Islam di Palestin juga akan berakhir?

Semenjak saya boleh berfikir di usia kanak-kanak, Palestin itu begitu.

Konflik.

Peperangan.

Tetapi Tunisia sudah tiada Ben Ali.

Libya sudah tiada Muaammar Gaddafi.

Dan kini Mesir sudah tiada Hosni Mubarak.

Dunia Arab menuju fasa baru.

Dan Palestin tanpa regim Zionis, ia bukan mimpi.

hasanalbanna

Saya teringat kepada catatan Hasan al-Banna di dalam buku al-Thariq ila al-Qulub oleh Abbas al-Sisi. Katanya,

Wahai saudara sekalian,

Janganlah kamu berputus asa kerana putus asa itu bukan akhlaq orang Islam. Hakikat hari ini adalah impian semalam. Impian hari ini bakal menjadi realiti esok. ٍSesungguhnya ruang masa itu masa luas dan anasir yang sejahtera itu masih kukuh dan gagah di dalam jiwa anak bangsamu yang beriman biar pun kemusnahan begitu menggila. Yang lemah, tidak akan lemah sepanjang hayatnya dan yang gagah juga tidak akan gagah selama-lamanya.

28_5 28_6

“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka sebagai pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” [Al-Qasas 28: 5-6]

Perubahan besar berlaku di Turki selepas Recep Tayyib Erdoğan dan AKP berjaya mengusahakan pemulihan ekonomi negara. Sedangkan Mesir masih dibelenggu oleh kemiskinan.

“Hari itu Fatih Kayacan ada beritahu ana meminta supaya ana menulis tentang Ergenekon, Derin Devlet. Kerajaan dalam kerajaan. Katanya, itu adalah lubuk masalah di Turki dan ana perlu menulis agar masyarakat faham” saya melangsaikan Lahmacun berbaki.

“Ustaz ada bahan-bahannya?” tanya Halim.

“Itu ana perlukan bantuan antum. Atau sebenarnya, antum yang patut menulis topik-topik sebegini. Ana rasa itu adalah sumbangan terbesar yang antum boleh lakukan iaitu dengan menulis perkembangan semasa di Turki untuk bacaan kami di Malaysia. Dan ia cara kalian mengasah kemahiran menganalisis. Bacaan politik berbeza daripada bacaan biasa. Ia memerlukan minda yang tajam untuk memahami realiti yang berlapis-lapis” saya menjawab.

lahmacun-genc

Usai menghabiskan makanan, anak tauke Lahmacun kami begitu teruja mahu bergambar. Kami juga mengucapkan terima kasih atas layanan baik yang diberikan mereka. Sebuah kedai kecil, yang tiada dalam peta pelancongan, ada hati yang kaya dengan jiwa memuliakan tetamu. Sesuatu yang sentiasa menjadi pautan hati saya dengan Turki.

Melihat kepada peta, rasanya Birgi tidaklah begitu jauh. Tinggal sekitar 100km sahaja lagi.

Dari Manisa kami memandu ke arah Tenggara melalui beberapa bandar kecil seperti Turgutlu dan Ahmetli.

“Cantik betul gunung tu? Somehow itu yang ana suka bermusafir di Turki di waktu seperti ini. Ada bahagian masih sejuk dan bersalji, ada bahagian mula berbunga” saya yang sedang memandu begitu teruja melihat banjaran gunung di sepanjang laluan.

Di Lebuhraya Izmir – Uşak, GPS mengarahkan kami membelok tajam ke kanan. Kereta kami keluar dari Lebuhraya menuju ke jalan yang lebih kecil.

“Nampaknya mughamarah kita baru bermula” saya berkata.

Mughamarah itu apa?” tanya Halim.

“Pengembaraan. Adventure!” saya menjawab.

Perjalanan beratus-ratus kilometer kami perlu terisi dengan pelbagai perkara. Nasyid, celoteh, belajar bahasa, apa sahaja. Isu Bait Muslim sahaja yang nampaknya tiada sambutan!

Jalan kecil yang kami tempuh ini mula mendaki sedikit demi sedikit. Subhanallah, gunung yang saya nampak dari jauh itu tadi, rupa-rupanya menjadi cabaran yang perlu kami tempuh. Perlu didaki. Sejujurnya saya tidak pasti apakah Birgi itu di tanah rendah, atau di pergunungan. Mungkin Birgi terletak di sebalik gunung berkenaan.

bozdag01

Selepas Imam Birgivi meninggalkan Istanbul dan Edirne, berpindah ke Birgi, beliau berulang alik beberapa kali antara Birgi dan Istanbul. Imam Birgivi pergi bertemu dengan Sadr-ı Azam Sokullu Mehmet Paşa dan Sheikh al-Islam Ebussuud Efendi untuk menyampaikan saranan-saranan beliau tentang politik pemerintahan Dawlah Uthmaniyyah ketika itu.

Jika inilah lanskap perjalanan Birgi ke Istanbul, saya dapat membayangkan apakah jenis azam yang berada di dalam jiwa Imam Birgivi, dan tokoh-tokoh silam untuk mencapai hajat mereka. Di zaman tiada kereta, tiada telefon malah tiada internet, perjalanan idea dari satu lokasi ke satu lokasi sentiasa mengujakan saya. Idea berpindah berkenderaankan manusia-manusia luar biasa yang bermusafir dari dan kepada empat penjuru alam, demi menyampaikan apa yang mereka yakini sebagai kebenaran dan manfaat buat manusia.

“Wah, sejuknya. Sedap betul cuaca di sini” saya menggosok-gosok telapak tangan.

halim-nabhan

Kami berhenti seketika di tepi sebatang sungai yang mengalir jernih. Ada banyak gerai di tepi jalan menjual madu, stokin bulu jahitan tangan dan sudah tentu teh serta simit. Saya membeli madu asli yang nampak sangat berkualiti. Rasanya pun sangat enak. Berbaloi untuk dibawa pulang ke Malaysia.

“Menurut peta, kawasan pergunungan ini namanya Bozdağ” saya memerhatikan GPS.

“Kawasan main ski, ustaz. Nampak papan tanda tu?” ujar Nabhan.

Selama ini saya hanya mengenal Uludağ di Bursa sebagai lokasi ski. Fatih memberitahu, di Sapanca juga ada. Dan di kawasan terpencil ini, kami bertemu satu lagi lokasi bermain ski. Patutlah di kampung sebegini, ada sahaja kereta besar-besar yang melintasi kami.

“Kita singgah solat sini ya. Rasanya tidak sempat sampai ke Birgi sebelum matahari terbenam” saya memberi cadangan.

Halim dan Nabhan bersetuju.

bozdag-koy

Selepas berjaya bertemu dengan stesyen minyak dan menghabiskan beratus-ratus Lira untuk setangki penuh minyak disel, kami singgah di Bozdağ, sebuah kampung kecil di kaki pergunungan dengan nama yang sama. Di situlah kami berhenti untuk solat Zohor dan Asar. Mengambil wudhu’ sungguh mencabar kerana air yang begitu sejuk. Sekumpulan anak remaja yang sedang bersiap untuk bermain bola selepas bersolat Asar memerhatikan kami yang melangkah masuk ke masjid.

Entah orang negeri manalah kami ini ya.

Selepas menyambung perjalanan kira-kira 30km, akhirnya kami tiba di Birgi.

Allahu Akbar.

Terasa hilang segala letih selama ini.

Saya seperti tidak percaya. Rasa hendak menjerit sekuat hati melepaskan emosi yang terbuku di hati. Pada waktu Maghrib itu, saya memberhentikan kereta di sebuah kawasan lapang. Di tengah-tengah jalan, terdapat sebuah makam iaitu makam Hatuniye (Sultan Şah-Ümmü Sultan), saudara perempuan kepada Aydınoğlu Mehmet Bey yang memerintah Birgi pada kurun ke-14.

birgi-night

SEJARAH BIRGI

Melalui pembacaan, saya mendapat tahu bahawa Birgi merupakan sebuah pekan kecil di daerah Ödemiş yang merupakan sebahagian daripada wilayah İzmir. Nama Birgi itu berasal daripada nama Greek bagi bandar ini iaitu Pyrgion yang bermaksud “Menara Kecil”.

Ertinya, Birgi sudah wujud sebagai sebuah penempatan sejak sekian lama. Jauh lebih lama sebelum persinggahan Muhammad bin Pir Ali yang kemudian ternisbah nama Birgi kepadanya hingga dikenali sejarah sebagai Imam Birgivi.

Di era kegemilangan Tamadun Greco Roman, Birgi dikenali sebagai Dios Hieron yang bermaksud “Sanctuary of Zeus”). Ia kemudiannya dinamakan sebagai Christoupolis pada kurun ke-7 dan kemudiannya ditukar kepada Pyrgion bermula daripada kurun ke-12. Bandar Birgi ini pernah menjadi suffragan bagi Ephesus kerana bandar ini tidak mempunyai Cathedral ia sendiri. Menjelang kurun ke-12, Birgi menjadi bandar dengan identitinya sendiri, sehinggalah jatuh ke tangan orang Turki Muslim pada tahun 1307, dan menjadi ibu negeri bagi Beylik of Aydin. Birgi akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah Uthmaniyyah pada tahun 1390.

Bandar bersejarah ini telah diwartakan sebagai World Cultural Heritage oleh ÇEKÜL (Protection and Promotion of the Environment and Cultural Heritage) semenjak 1994.

Pada mulanya kami bercadang untuk menginap di hotel-hotel di pekan Ödemiş. Syukur kepada Allah rupa-rupanya di pekan sekecil Birgi ini, ada pansiyon yang boleh disewa. Hotel kecil yang diusahakan oleh penduduk tempatan ini dikenali sebagai Birgi Çınaraltı Pansiyon.

pansiyon-birgi

Kredit foto: Birgi Çınaraltı Pansiyon

Saya kira bayaran TL200 satu malam untuk kami bertiga itu berbaloi. Saya juga suka dan secara sukarela gemar berbelanja untuk perusahaan kecil seperti ini. Biar pun hadith tangan yang dicium Nabi sallallahu alayhi wa sallam itu bukan hadith sahih, saya yakin Baginda amat mengasihi orang-orang yang gigih bekerja, jauh dari meminta-minta.

Selepas mendapat bilik dan mandi untuk menyegarkan diri, barulah kami tersedar yang perut sudah sangat berkeroncong. Hendak dicari makanan, tiada lagi kedai yang buka.

dinner-birgi

Alhamdulillah, pemilik pansiyon sewaan kami bersedia untuk memasakkan kami makan malam. Terung dan kentang goreng, daging kebab, dadih dan roti, segalanya rasa sungguh sempurna lagi mengenyangkan.

Cuaca yang begitu sejuk menyebabkan asthma saya mengganggu sedikit proses untuk tidur dan berehat. Alhamdulillah isteri saya sudah membekalkan siap-siapa segala ubat yang biasa menjadi keperluan saya. Inhaler salbutamol, paracetamol, predisolone (jika perlu), anti histamine serta Gaviscon andai perut meragam.

ubat-ubatan

Inshaallah pagi esok penjelajahan Birgi akan bermula.

Dengan nama-Mu ya Allah aku mati dan aku hidup.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

5 comments

  1. Jzkk…kena baca lagi sekali nih

  2. tiba-tiba sayu tengok gambar ustaz kat celah2 bangunan tu…sensitif benar jiwa ini . 🙂

  3. masyaAllah..sgt termotivasi melihat org yg merantau mencari ilmu.moga Allah memberkati kehidupan pencinta ilmu yg ikhlas di dunia dan akhirat

  4. Bila baca catatan pengembaraan ini selalu ada rasa cemburu dalam hati saya. Saya teringin kembara sendiri begini, tapi bila teringatkan safar mar’ah, keinginan itu jadi kendur.

    Terima Kasih, banyak manfaat dari catatan kembara begini. Ia ditulis dengan mata hati, saya tahu itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.