27 Februari 2011: Mengenang Pemergian Negarawan Sejati

erbakanstory

“Fatih, ada kemungkinan engkau terjun ke dunia politik?” saya bertanya.

“Saya mempertimbangkannya. Tidak bercita-cita. Tetapi jika keperluannya ada, saya tiada halangan” ujar Fatih.

Malam ini kami meneruskan aktiviti ‘membuang masa’ makan kuaci sambil minum teh. Melengah-lengahkan lelap dinihari, kerana ada banyak persoalan yang terbuku di hati. 10 tahun meninggalkan Turki, ia adalah 10 tahun yang misteri. Sering tidak sedap hati, saya hanya mampu berfikir dan berdoa dari jauh, agar yang sebenar, lebih baik dari yang dikhabar.

“Sejauh mana Turki hari ini berbeza dengan Turki 10 tahun dahulu? Saya mahu tahu” saya terus menyoal.

Fatih menghirup teh panasnya.

“Ustaz Erbakan kuat berpegang dengan Islam. Namun dalam kuatnya dia berpegang dengan Islam, dia sulit mengendalikan masalah dengan Tentera. Kata-katanya konsisten tegas. Tetapi berbunyi provokatif. Tetapi di era Erdoğan, keterbukaan yang diamalkan, melegakan ketegangan konflik dengan Tentera, tetapi yang terbuka menjadikan banyak benda longgar” Fatih memulakan cerita.

“Apa yang longgar di Turki hari ini? Tudung macam makin ketat” saya mengusik.

fatih-office

“Haha. Saya saudagar tudung. Tudung tabarruj atau tudung hijab. Pening fikir benda ini. Tetapi yang saya maksudkan, dulu-dulu, engkau tidak ada mendengar tentang skandal rumahtangga, perempuan simpanan, perceraian. Tetapi kini, ia mula menjadi perkara yang kita biasa dengar, berlaku di kalangan golongan Muslim” cerita Fatih.

“Apabila politik beracuan liberal, sulit untuk sosial mempertahankan konservatisme yang asas” saya cuba berkongsi pendapat.

“Benar. Kapitalis bukan sekadar pada mencorakkan trend perniagaan, tetapi ia juga mengubah nilai. Perniagaan kapitalis yang membunuh jiwa orang Turki berbanding perniagaan berpaksikan Islam” jelas Fatih.

“Bagaimana yang dikatakan perniagaan berpaksikan Islam itu? Saya kena tanya saudagar macam kamu. Saya jahil bisnes” saya menyoal.

“Apabila disebut bisnes cara Islam, kita hanya fikirkan halal atau tidak halal pada hukum Fiqh. Tetapi muamalah halal masih boleh dilakukan dalam etika bisnes yang jahiliah!” tegas Fatih.

Lain bunyinya.

Fatih 10 tahun yang lalu bukan ini nadanya. Saya gembira.

“Di zaman Fatih Sultan Mehmed, diceritakan datang seorang lelaki mahu membeli minyak zaitun dan madu. Lelaki yang menjual minyak itu ada minyak tetapi dia tidak menjual madu. Dia memberitahu pelanggannya agar membeli minyak beliau dan peniaga itu berhubung dengan kawannya untuk menjualkan madu kepada pembeli itu tadi. Kebetulan kawannya pula memang dalam keadaan perniagaannya tidak maju. Berbeza dengan idea kapitalis. Hari ini jika peniaga itu tiada madu dia akan minta pelanggannya tunggu dan beliau akan membeli madu dari rakannya dengan harga TL1 kemudian menjualnya kepada pelanggan dengan harga TL1.2! Itu budaya kapitalis, yang lulus Fiqh Muamalat!” cerita Fatih.

Saya tergamam.

Kata Fatih, kapitalis melihat sumber perniagaan sebagai sumber yang akan habis dan terhad. Islam melihat sumber perniagaan sebagai nikmat dari Allah yang melimpah tidak berhenti.

Nikmat dari Allah akan terhenti apabila manusia mula mahu memiliki dan berhenti memberi.

Fatih membesarkan perniagaannya dengan mencambahkan pemberian, bukan membunuh pesaing.

Malah salah seorang rakan karib kami yang sama-sama di vakfı dulu, hilang pekerjaan apabila vakfı beliau bertukar tangan. Fatih menawarkan kerja jaga kedai kepada beliau dan isterinya sementara mereka lulus kursus perguruan dan berjaya menjadi cikgu.

“Saya gembira menjadi peniaga, bukan sebab saya sekadar dapat sediakan peluang pekerjaan dan saya kaya seorang diri. Tetapi saya dapat agihkan peluang dan berusaha untuk sama-sama naik dan menjadi rakan kongsi. Pada saya, roh ekonomi Islam ialah menjadikan setiap individu kuat, mampu dan bukannya sekadar ada pekerjaan di sisi beberapa jutawan” ulas Fatih.

Kejayaan Fatih, kekuatannya bukan pada memonopoli pasaran tetapi pada menguasai pasaran dengan kebaikan.

“Benar. Dawlah Uthmaniyyah sedikit sebanyak menempuh kurun demi kurun dengan model ekonomi begitu. Negara tiada harta kekayaan. Yang kaya adalah individu rakyat. Pembesar juga berharta. Sultan juga berharta. Dan apabila ada sesuatu yang hendak dimajukan, rakyat berbelanja dengan harta mereka. Negara ‘miskin’. Bukan negara menghimpun kekayaan” saya cuba memetik kefahaman daripada apa yang pernah dipelajari tentang ekonomi Dawlah Uthmaniyyah.

Jika sejarah ekonomi Dawlah Uthmaniyyah mahu dikaji, kita mesti merujuk kepada tokohnya seperti Mehmed Genç. Trilogi provisionism, traditionalism dan fiscalism perlu dikaji untuk menterjemahkan kefahaman yang betul tentang teori pemikiran ekonomi Dawlah Uthmaniyyah, yang berbeza daripada ekonomi Eropah yang sezaman dengannya.

“Biar pun kita bersembang tentang ekonomi, saya rasa kekuatan bisnes kamu, adalah muqaddimah untuk terjun ke Politik. Fatih Kayacan, anak Mehmed Kayacan, siang malam pagi petang bertakbir dan melaungkan Mücahit Erbakan, Mücahit Erbakan, mana mungkin ia tidak berakhir dengan engkau menjadi seorang ahli politik” saya berspekulasi.

“Mücahit Erbakan! Mücahit Erbakan!” Fatih mengangkat-angkat tangannya, seperti di Stadium İnonu, lebih sedekad lalu.

Saya ketawa.

Tiba-tiba kami terdiam.

Fatih juga berubah air mukanya.

“Saya rindukan Ustaz Erbakan!” saya bersuara perlahan.

“Semoga Allah merahmati Ustaz Erbakan” Fatih mengangkat tangan, berdoa.

Saya mengaminkannya.

erbakanturbesi

27 Februari 2011, Profesor Necmettin Erbakan telah kembali ke Rahmatullah.

Dilahirkan pada 29 Oktober 1926, beliau merupakan seorang ahli politik berlatar belakangkan profesyen sebagaiseorang jurutera dan ahli akademik. Profesor Necmettin Erbakan mencapai kemuncak perjalanannya apabila dilantik menjadi Perdana Menteri Turki dari tahun 1996 hingga 1997. Beliau telah menerima asakan padu daripada tentera untuk berundur daripada jawatan berkenaan dan akhirnya telah disekat oleh undang-undang daripada membabitkan diri dengan politik oleh Constitutional Court of Turkey atas tuduhan mencabul peraturan negara yang memisahkan agama daripada pemerintahan.

Prof. Necmettin Erbakan semasa hayatnya telah memformulasikan pemikiran Millî Görüş, yang menyeru kepada pengukuhan nilai Islam di Turki serta menjauhkan diri daripada dominasi Dunia Barat, dan mempromosikan hubungan yang lebih mesra dengan Dunia Islam. Gagasan yang beliau bawa telah bertembung secara tegar dengan Laiklik (sekularisme) yang menjadi falsafah negara. Erbakan dan gagasan Millî Görüş beliau, menyaksikan komitmennya memimpin beberapa parti politik yang kebanyakannya berakhir dengan pengharaman oleh pihak Tentera. Parti-parti yang beliau asaskan ialah Milli Nizam Partisi atau National Order Party (MNP), Milli Selamet Partisi atau National Salvation Party (MSP), Refah Partisi atau the Welfare Party (RP), Fazilet Partisi atau the Virtue Party (FP), dan akhirnya Saadet Partisi atau the Felicity Party (SP).

Selepas pengharaman Parti Fazilet, Erbakan berselisih pendirian tentang hala tuju perjuangan bersama anak didik beliau, Recep Tayyib Erdoğan lalu beliau menubuhkan Adalet ve Kalkınma Partisi (AKP) untuk meneruskan perjuangan ke arah Turki yang lebih sejahtera.

“Fatih, saya sudah lama menunggu untuk bertanya kepada kamu soalan yang rumit ini. Saya tahu saya tidak boleh mendapat jawapan melalui akhbar. Saya perlu bertanya kepada kamu, mungkin juga kepada Pakcik Mehmed mengenainya” saya  melanjutkan bicara.

“Mengenai apa?” tanya Fatih.

“Kali terakhir saya datang ke Turki sebelum ini adalah pada tahun 2003. Sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu, Ustaz Erbakan sudah pun membawa haluan yang berbeza daripada Erdoğan. Tetapi di akhir hayat Ustaz Erbakan, saya rasa pendapat-pendapat beliau sangat tajam menentang Erdoğan. Mengapa ya? Pasti ada sesuatu yang saya tidak dapat baca di akhbar” saya bertanya.

erbakan-erdogan

“Benar, Hasrizal. Oleh kerana engkau sudah timbulkan isu ini, saya kongsikan kisah beberapa tahun yang lalu. Kawan-kawan lama Ustaz Erbakan, termasuk ayah, telah pergi menemui beliau. Lawatan biasa. Bertanya khabar. Dalam pertemuan tersebut, Ustaz Erbakan jelas tidak dapat menerima pendekatan yang diambil oleh Erdoğan. Tetapi pada masa yang sama, Ustaz Erbakan juga tahu yang era beliau sudah berakhir. Beliau tiada lagi masa hadapan dalam politik Turki” cerita Fatih.

Saya mendengar dengan tekun.

“Bagi Ustaz Erbakan, apa yang penting adalah Turki dapat diselamatkan daripada Ergenekon dan golongan sekular yang jahat itu. Beliau yakin, Erdoğan mampu melakukannya, dengan syarat, Erdoğan mendapat sokongan padu daripada rakyat. Tetapi Ustaz Erbakan tahu, masih ramai rakyat yang berbelah bagi menyokong Erdoğan sebab mereka rasa Erdoğan adalah anak murid Erbakan dan hubungan Erdoğan – Erbakan itu membimbangkan mereka. Demi negara, Ustaz Erbakan telah membuat satu pengorbanan yang ganjil” kata Fatih.

“Apa dia?” saya bertanya.

“Erbakan memberitahu ayah dan rakan-rakan lain yang hadir, beliau mengambil keputusan untuk menentang Erdoğan, menyerang dan memperkelehnya. Beliau membiarkan dirinya dipandang sebagai ‘orang tua yang bodoh’, asalkan rakyat menyokong Erdoğan. Sebab itulah Ustaz Erbakan mengeluarkan pendapat-pendapat yang pelik. Yang tidak layak untuk seorang bijaksana seperti beliau. Beliau merelakan dirinya dikenang sebagai seorang ahli politik yang gagal, dengan Parti Saadet yang kalah lagi tersisih daripada arus perdana, asalkan Erdoğan disokong oleh rakyat, dan Turki dapat diselamatkan!” jelas Fatih.

“Ya Allah!” saya tergamam mendengar kisah itu.

“Kawan-kawan beliau bertanya, jika begitu, bagaimana dengan nasib Parti Saadet? Ustaz Erbakan kata, biarlah masa yang menentukannya! Semua itu sudah tidak penting bagiku apabila aku mati. Yang penting Allah redha denganku dan Turki selamat sejahtera” Fatih menyelesaikan kisahnya.

Matanya berkaca.

Saya tidak dapat menahan air mata.

Itulah Ustaz Erbakan yang saya kenali semenjak usia remaja. Beliau tidak pernah mengecewakan. Dalam rasa terkilan kita dengan tindakan beliau mempertahankan Saadet dan menentang Erdoğan, Erbakan meninggal dunia sebagai seorang ahli politik tua yang meniti senja dengan parti yang tidak layak meletak wakil di dalam parlimen.

Di sebalik kejayaan Erdoğan dan sokongan besar-besaran untuk AKP, ada guru yang mengorbankan sirahnya untuk kelangsungan perjuangan si anak murid. Pengorbanan yang hanya boleh dilakukan oleh seorang insan, yang tiada di hatinya kecuali Allah.

Itulah Erbakan.

27 Februari 2011 adalah tarikh pemergian seorang negarawan tulen.

Seorang yang mencintai kebaikan untuk negaranya, hingga sanggup membiarkan sirah perjalanannya dibaca songsang, asalkan apa yang utama, terus diutamakan.

Dalam hening malam, Fatih beredar ke biliknya untuk tidur. Saya termenung, memikirkan tanah air, yang bakal menempuh Pilihanraya Umum ke-13, pilihanraya paling getir dalam sejarah negara.

Di mana jiwa negarawan, dalam politik sebuah negara bernama Malaysia?

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

9 comments

  1. Ya Allah, mulianya Professor Dr Erbakan… Saya yang membacanya di sini tak dapat menahan air mata. Ianya satu pengorbanan yang cukup indah…

  2. Semoga Allah ampunkan dosa Prof Erbakan dan merahmati nya. A proper statesman !

  3. Firdaus zabidi

    Masyaallah.. masyaallah… T.T

  4. Khairun Najati

    Memikirkan nasib bumi tercinta.
    Malaysia,ke mana arah tuju mu?

    negarawan.ahli politik.atau rakyat.siapa yang lebih berkuasa.

  5. Alfatihah….

  6. Best true story ever.

  7. Salam. Boleh share cerita ni? Saya nak mohon kelulusan tuan utk diulang siaran di blog saya….

  8. Jawapan yang lama saya cari.

    Mulianya hati yang Prof Erbakan.

  9. sy jahil. tak kenal prof erbakan

    tapi masih rasa terharu dengan cerita ni. sangat hebat pengorbanan beliau. al fatihah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.