Imaginasi Karyawan Yang Memfitnah Sejarah Orang Beriman

imagine

“Benarkah Imam Birgivi yang ana bentangkan di dalam disertasi nanti, adalah Imam Birgivi yang sebenarnya? Itu yang merisaukan ana” saya meluahkan rasa gelisah.

“Jangan fikir berat-berat sangat, ustaz. Sarjana ini, hanya persinggahan. Disertasi ustaz hanya 80 ke 100 muka surat sahaja” nasihat sahabat dan guru saya, Adib.

“Apabila Dr. Azmul lontarkan soalan mudah di awal semester tempoh hari, ana terlarut dalam mencari jawapannya. Dr. Azmul tanya, jika Birgivi memberikan reaksi kepada ketidak stabilan sosio politik dan sosio ekonomi Dawlah Uthmaniyyah, maka apakah ketidak stabilan yang dimaksudkan. Soalannya mudah. Tetapi untuk mencari jawapannya, berbulan ana membaca hingga sesat dalam undang-undang masa” saya bercerita.

Apabila kita menyiapkan milieu sesebuah topik, kita bertanggungjawab untuk memastikan apa yang dicatat itu sehampir mungkin kepada kebenaran. Menjauhi khayalan.

Khayalan yang tidak disedari.

Bayangkan di zaman fitnah seperti ini, ada agamawan boleh berpendapat “jika semua tentang Sirah itu perlu sahih, maka berlubang-lubanglah Sirah itu. Tidak dapat dihayati kerana tidak lengkap!”

Sesungguhnya ia pendapat yang merosakkan sistem ilmu kita.

Tanpa sedar, cinta kepada Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam memabukkan sesetengah kita apabila kita bukan mahu mengenal baginda sebagaimana baginda, tetapi mahu baginda memenuhi imaginasi kita. Hingga sahih atau tidak sahihnya maklumat, bukan lagi keutamaan.

Sebelum ini saya ada melontarkan kritikan, bahawa novel-novel sejarah yang menggunakan secubit fakta, dan kemudian diolah berdasarkan imaginasi pengarang, boleh menyebabkan sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam dirasakan sebagai orang Melayu.

Dialog yang dileret-leret, menyebabkan apa yang terdaftar di minda pembaca adalah imaginasi novelis, dan bukannya hakikat sebenar.

Inilah kebejatan yang dibentuk oleh novel berinspirasikan sejarah, disangka sedang berbakti untuk sejarah tetapi hakikatnya merosakkan kebenaran, al-haq yang dimuliakan Allah.

Imaginasi yang sama jugalah yang menjadi punca tamadun Islam difitnah melalui sumber-sumber yang dianggap berotoriti. Karya-karya oleh sejarawan Barat yang mengungkapkan tamadun Islam sangat terdedah kepada penafsiran yang sebenarnya bukan sebuah penafsiran, tetapi imaginasi mereka, kesan sumber yang terbatas serta pandangan alam yang berbeza.

HAREM DAULAH UTHMANIAH

Sudah tentu, contoh terbaik adalah catatan-catatan tentang institusi Harem di dalam Daulah Uthmaniah.

Sultan yang diselubungi hawa nafsu bersama wanita-wanita bertelanjang dan mandi susu, gundik-gundik yang tidak terbilang, sebahagiannya dipaparkan melalui lukisan-lukisan erotik tergantung di Istana hari ini dan buku-buku rujukan sejarah. Benarkah Harem dan kehidupan di dalamnya begitu?

Persoalan ini memerlukan perbahasan yang khusus. Institusi Harem adalah lambang kecermatan dan kemuliaan para Sultan memelihara batas-batas hubungan, tetapi menerima bayangan yang 180 darjah terbalik daripada apa yang sebenarnya.

cagatayulucay

Çağatay Uluçay di dalam kitabnya Padişahların Kadınları ve Kızları (Gadis dan Wanita Para Sultan) membuat catatan berikut:

 “Hakikatnya, kebanyakan pengembara yang melawat Turki tidak boleh berbahasa Turki, dan mereka menghabiskan masa bersama kaum minoriti yang kebanyakannya adalah Kristian. Pengembara ini tidak mengesahkan maklumat yang diceritakan kepada mereka, yang dalam banyak keadaan adalah tidak tepat, dan membawa pengembara itu (dalam penulisan mereka) melakukan kesalahan-kesalahan yang jelek. Seseorang itu boleh mengagak setakat manakah benarnya tinjauan-tinjauan itu yang sampai kepada kita melalui pengembara asing dan artis-artis mereka. Demikian juga lukisan-lukisan yang mereka lukiskan, serta buku-buku yang mereka karang, ketika mana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan lelaki Turki, apatah lagi wanita Turki! Kita serahkan kepada pembaca untuk berfikir dan membuat keputusan.

Tidakkah ini sudah cukup untuk memaksa kita bertanya, adakah potret Hurram Sultan dan anak perempuannya Mihrimah Sultan, serta Gulnur Sultan di galeri lukisan Istana Topkapi itu adalah lukisan yang tulen?”

Yang sedap dipandang mata, yang enak didengar telinga, yang lazat menjadi santapan baca, belum tentu ia mewakili apa yang benar. Tanyalah kepala kita semua, apakah gambaran kita tentang saudara-saudara kita yang terdahulu? Apakah sumber gambaran itu? Khayalan novelis? Pemandu pelancong?

59_10

“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu” [al-Hashr 59:10]

Lukisan-lukisan haram yang terdapat di dalam buku-buku berkenaan dengan Harem yang dihasilkan di era Republik, yang sebahagiannya menjadi ilustrasi muka depan buku mereka, adalah hasil karya imaginasi artis Barat. Misalnya, gambar wanita bertelanjang di muka depan buku Osmanli’da Harem karya Meral Altindal, adalah lukisan Karl Bruillov, manakala gambar di muka depan buku Osmanli’da Kadin karya penulis yang sama, adalah lukisan oleh Camille Rogier.

french

Potret Gabriel Joseph de Froment, Baron de Castille dan Hermine Aline Dorothee de Rohan serta keluarga mereka

Pengarang-pengarang Barat ini menggambarkan Sultan Uthmaniah, dengan bayangan mereka terhadap Maharaja-maharaja Eropah yang memerintah dalam budaya hidup yang menjelekkan. Demikian juga semasa membicarakan tentang golongan sida (eunuch) yang menjadi pengawal Harem, penulis-penulis Barat mengabaikan sumber-sumber Uthmaniah pada menjelaskan tatacara golongan ini dipilih untuk bekerja di Istana. Sebaliknya mereka kelihatannya menanggap golongan sida di dalam Istana Uthmaniah, sama seperti eunuch di dalam istana Maharaja Cina yang dikembiri (dikasi) malah secara yang amat kejam.

Akibatnya, bukan sahaja para Sultan terfitnah, malah yang terfitnah adalah ajaran Islam itu sendiri.

Biarlah yang fiksyen itu dilabel sebagai fiksyen. Apabila hakikat sejarah bercampur aduk dengan fiksyen, khuatir nanti semua itu menjadi penyesalan novelis dan pembaca novel di dalam kubur masing-masing.

Bertaqwalah kepada Allah, kita semua.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” …

3 comments

  1. agaknya itu yg buat jadi sekular sekarang.. long term effect

  2. Rasanya kaedah “Apabila bercampur yang haram dengan yang halal, maka dimenangkan yang haram.” menjadi terpakai dalam menggambarkan kenapa tidak boleh diperbuat seperti yang Ustaz katakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.