“Salah satu isu besar di Malaysia yang memerlukan khidmat sejarawan adalah isu Wahhabi” saya berkata.
Ammar, Syafiq, Imad, Halim, juga Maher yang berkunjung dari Mesir, bersantai-santai selepas kami makan malam.
“Isu Wahhabi disokong dan dibantah sebagai isu aqidah. Sedangkan pada masa yang sama, ia adalah sesuatu yang berlaku pada masa silam. Ia adalah sejarah. Dan mungkin topik Wahhabi jadi kucar kacir kerana bahagian sejarahnya tidak menerima perhatian yang wajar. Sejarawan pun enggan berperanan. Kalau berperanan pun, tidak sampai ke arus perdana” saya menambah lagi.
Jika Imam Birgivi seorang sufi, namun dalam masa yang sama menentang bid’ah seperti ‘golongan Salafi’, saya ingin menumpang ironi yang sama bahawa saya mencintai Dawlah Uthmaniyyah tetapi saya tidak mencaci Wahhabi.
Saya bukan Wahhabi.
Saya hampir tidak pernah memetik pendapat Muhammad bin Abd al-Wahhab di dalam mana-mana tulisan saya. Pada masa yang sama, saya tidak dapat berbuat apa-apa kepada mereka yang menuduh saya Wahhabi sama ada dari jauh mahu pun dekat. Tetapi sebagaimana Atatürk tidak boleh difitnah sesuka hati biar pun sejarah kerasnya terhadap kaum Muslimin, demikian juga, Muhammad bin Abd al-Wahhab itu mesti diperkatakan (bagi yang mahu memperkatakannya) secara adil, mengekang lisan daripada âfât yang ditekankan oleh guru-guru yang murshid.
“Ustaz ada apa-apa buku cadangan untuk meneliti tentang Wahhabi ini?” tanya Syafiq.
“Rumit juga. Kalau ada sebuah buku yang boleh menyelesaikan polemik ini, tandanya isu berkenaan sudah selesai. Tapi bagi antum sebagai pelajar Malaysia di Turki, mungkin buku Al’UthmâniyyĂ»n fĂ® al-TârĂ®kh wa al-Hadhârah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb boleh dipertimbangkan sebagai pemula” saya memberikan cadangan.
DAWLAH UTHMANIYYAH DAN GERAKAN ‘WAHHABI’
Dr Muhammad Abdul Hamid Harb telah menterjemahkan sekeping manuskrip Othmaniyyah yang tersimpan di Perpustakaan Sultan Abdul Hamid (Yildiz Sarayi) tentang rekod kerajaan Othmaniyyah terhadap kemunculan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab. Manuskrip itu ditulis oleh Muhammad Kamil bin Nukman atau lebih dikenali sebagai Ibn Daraami al-Homsi. Manuskrip itu bertarikh 27 Ramadhan tahun 1312H, setebal 82 keping iaitu 164 muka surat. Ia ditulis atas permintaan Sultan Abdul Hamid II yang mahu mengetahui secara terperinci tentang hal ehwal Semenanjung Tanah Arab dari segi geografinya, sosio budayanya, dan termasuklah kesan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab.
Antara isi kandungan manuskrip tersebut ialah kisah bagaimana seorang Badwi telah kehilangan untanya. Lalu dia pergi ke kubur seorang alim bernama Saad dan meratap, “Wahai Saad, wahai Saad, pulangkan untaku!” Hal ini berlarutan selama beberapa hari dan akhirnya, perihal Badwi yang meratap di kubur syeikhnya itu sampai ke pengetahuan Muhammad bin Abdul Wahhab. Beliau telah datang kepada Badwi tersebut lalu berkata:
“Apa masalah kamu?”
“Aku kehilangan untaku. Sebab itu aku datang ke kubur syeikh aku. Sesungguhnya Syeikh Saad pasti boleh memulangkan kepadaku untaku yang hilang itu!” jawab orang Badwi itu tadi.
Muhammad bin Abdul Wahhab bertanya “siapakah syeikh kamu yang kamu maksudkan itu?”
Si Badwi menjawab “inilah dia syeikh aku, yang duduk di dalam kubur ni!”
Lalu Muhammad bin Abdul Wahhab berkata “Ya Sheikh! Kamu adalah kamu dan kamu hidup serta kamu yang hidup tak mampu mendapatkan untamu. Apa hal pula kamu minta dari syeikh kamu sedangkan dia adalah mayat yang sudah mati. Bagaimana mungkin untuk dia keluar dari kubur untuk mencarikan kamu apa yang kamu sendiri tidak mampu lakukan? Sudahlah, tinggalkanlah si mati itu, mintalah pertolongan daripada Allah dan bukannya dari si dia yang sudah tertanam di bawah batu ini. Dia sudah menjadi tulang. Janganlah kamu minta dari Saad, sebaliknya mintalah daripada Tuhan Saad. Jangan sebut: wahai Saad! Sebaliknya sebutlah: wahai Tuhan Saad! Sesungguhnya Dia berkuasa untuk memulangkan untamu. Ingat, bukan Saad, tapi Tuhan Saad. Dan ketahuilah bahawa Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu!” (muka surat 31)
Ibn Daraami al-Homsi yang menulis manuskrip itu, membuat komentar untuk Sultan Abdul Hamid II dengan berkata, “sesungguhnya nasihat-nasihat Muhammad bin Abdul Wahab telah pun disebarkan kepada kabilah-kabilah Arab dan mereka menerimanya dengan baik, malah kesannya juga amat teguh. Pandangannya tersebar ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab dari hujung ke hujung, meliputi Haramain serta Iraq, Hijaz dan bandar-bandar yang lain.” (muka surat 32) [rujuk Al-Othmaniyyun fee at-Taareekh wa al-Hadharah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb, terbitan Darul Qalam, Dimasyq, cetakan kedua 1419 / 1999)
Sehingga ke era pemerintahan Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1908) sentimen menyalahkan gerakan Muhammad bin Abdul Wahhab sebagai punca keruntuhan Khilafah Othmaniyyah, tidak berlaku.
Manuskrip ini hanyalah salah satu daripada rujukan-rujukan yang perlu dilunaskan dalam memenuhi tuntutan pensejarahan berkaitan Daulah Uthmaniah dan gerakan Muhammad Ibn Abd al-Wahhab. Semasa kita pantas menggunakan istilah Wahhabi, apakah latar belakang sejarah istilah itu? Dari mana asal usulnya?
LIMA TIANG PENSEJARAHAN ‘WAHHABI’
Sama seperti mana-mana topik sejarah yang lain, isu gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab ini juga sepatutnya dikaji dengan sempurna tinjauan literatur berkaitan , sebagaimana yang dicadangkan oleh Natana DeLong-Bas ini:
- Karya-karya Muhammad ibn Abd al-Wahhab sendiri.
- Antara koleksi yang mudah diperolehi, adalah karya terkumpul berjumlah 5 jilid di bawah tajuk Muallafât al-Shaykh al-Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab terbitan Jami’ah al-Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah, Riyadh, Arab Saudi, bertarikh 1978-1979.
- Manakala versi terjemahan pula adalah Three Essays on Tauhid yang diterjemahkan oleh Ismail Raji al-Faruqi, terbitan Islamic Publications International, Teaneck New Jearsey bertarikh 1979.
- Demikian juga penterjemah yang sama, menghasilkan Kitab al-Tawhid, diterbitkan oleh al-Faisal Printing, Kuwait, bertarikh 1986.
- Karya pewaris keturunan dan sejarawan rasmi.
- Antara karya yang boleh dimanfaatkan adalah ‘Unwân al-Majd fĂ® TârĂ®kh Najd tulisan Uthman ibn Bishr, diedit oleh Abd al-Rahman bin Abd al-Latif bin Abd Allah Ă‚l al-Shaykh. Karya 2 jilid ini diterbitkan oleh Dârât al-Malik Abd al-Aziz, Riyadh, Arab Saudi, bertarikh 1982-1983.
- Begitu juga dengan Târîkh Najd karya Husayn Ibn Ghannam, 2 jilid terbitan Dar al-Shuruq, Lebanon, bertarikh 1994.
- Karya penentang kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab.
- Bagi karya oleh penentang kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab pula, kita perlu memanfaatkan karya Sheikh Ahmad ibn Zayni Dahlan bertajuk al-Durar al-Saniyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhâbiyyah, terbitan Dar Jawami’ al-Kalam, Kaherah, Mesir, bertarikh 1986.
- Demikian juga karya Sulayman ibn Abd Allah ibn Muhammad ibn Abd al-Wahhab bertajuk Taysir al-Aziz al-Hamid fi Sharh Kitab al-Tawhid, terbitan al-Maktab al-Islami, Beirut, Lebanon, bertarikh 1983 (1402AH).
- Karya pengalaman langsung oleh pemerhati dari luar.
- Ali Bey, ada menulis karyanya yang diterbitakan dengan tajuk Travel of Ali Bey in Morocco, Tripoli, Cyprus, Egypt, Arabia, Syria and Turkey Between the Years 1803 and 1807. Karya 2 jilid ini diterbitkan di London pada tahun 1816 oleh Longman, Hurst, Rees, Orme and Brown.
- Seorang sejarawan Mesir yang sangat terkemuka iaitu Abd al-Rahman al-Jabarti ada menghasilkan TârĂ®kh al-Jabarti yang diterbitakn dengan tajuk Abd al-Rahman al-Jabarti’s History of Egypt, diedit oleh Thomas Philipp and Moshe Perimann. Dia diterbitkan dalam 4 jilid oleh Franz Steiner Veriag di Stuttgart, Jerman, bertarikh 1994.
- Karya oleh pengembara Eropah dan pegawai-pegawai tentera mereka.
- Sir Harford Jones Brydges ada menulis sebuah karya bertajuk An Account of the Transactions of His Majesty’s Mission to the Court of Persia in the Years 1807-11, to Which is Appended, a Brief History of the Wahauby. Ia diterbitkan dalam dua jils di London oleh Henry Colburn dan Richard Bentley bertarikh 1831.
- Demikian juga, Louis-Alexandre Corancez ada menulis Histoire des Wahabis, depuis leur origine jusqu’a la fine de 1809. Ia diterbitakan di Paris oleh Chez Crapart bertarikh 1810.
- Jean Baptiste Louis Jacques Rousseau menulis Description du Pachalik de Bagdad, suivie d’une Notice sur les Wahabis, et de quelques autres pieces historiques relatives a l’historie et a la litterature de l’Orient. Ia diterbitkan juga di Paris oleh Treuttel et Wurtz bertarikh 1809.
TOPIK SEJARAH, SEBELUM AQIDAH DAN FIQH
Sebelum isi kandungan buku, kitab, manuskrip, makalah, dibahaskan dalam topik Aqidah dan Fiqh, kesemua sumber rujukan itu adalah bahan rujukan sejarah. Sebelum bahan rujukan sejarah dipakai sebagai sumber maklumat sejarah, bahan-bahan itu perlu berhadapan dengan kritikan luaran dan kritikan dalaman. Kritikan berkenaan meliputi fizikal bahan rujukan, dakwat yang dipakai, kesesuaiannya dengan tarikh bahan tersebut, siapa penulisnya, adakah ia tulisan asal atau salinan kepada tulisan asal dan banyak lagi isu, semata-mata untuk menjelaskan: adakah bahan ini valid untuk dirujuk.
Setelah bahagian pertama ini selesai, maka kritikan dilakukan terhadap isi kandungan sumber tersebut, yakni fakta-fakta yang terkandung di dalamnya.
Topik Muhammad Ibn Abd al-Wahhab dan gerakannya bukan terbatas kepada topik Aqidah dan Fiqh, untuk langsung kita secara pantas membuat keputusan mengenainya. Apatah lagi untuk menggunakan istilah Wahhabi secara bebas tanpa melunaskan amanah ilmu terlebih dahulu, dari mana asal usulnya istilah tersebut dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Wahhabi itu sendiri. Sesungguhnya topik ini terlebih dahulu adalah topik Sejarah.
Jika seorang tuan guru alim di dalam Aqidah dan Fiqh, tetapi tidak menyempurnakan tuntutan pensejarahan yang berada di belakang sesebuah topik, tidak mustahil keadaan ini boleh memerangkap seorang alim dalam memperkatakan perkara yang beliau separuh tahu.
Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. [Al-Ma’idah 5:8]
Mungkin dengan kajian yang adil tentang Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, tidak mengurangkan pendirian kita membantahnya. Namun sekurang-kuranglah, tidaklah sampai mengkafir-kafirkan sesama Muslim, menasihati jemaah umrah dan haji agar solat di bilik atau jika di masjid bermufaraqah dari Imam, serta lain-lain tindakan yang memporak perandakan ummah, ratusan tahun selepas matinya insan yang dibantah.
Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Salam Ustaz, kalau merujuk pada ayat surah al-Maidah tu, boleh ke terpakai dalam ideologi lain, seperti syiah, sosialis, liberal dan lain-lain?
Wsalam wbt. Ya, ia untuk apa sahaja. Tidak halal kita mentohmah sesiapa, walaupun pihak paling jahat dan kita benci