Maklum Balas Farouk A Peru Kepada Artikel Saya

quran-hadith

Saya amat berbesar hati menerima maklum balas daripada Encik Farouk A Peru kepada artikel saya ‘Anti Hadith’: Loceng Amaran Kepada Ummah Pengabai Ilmu sebagaimana yang tersiar di dalam akhbar atas talian The Malaysian Insider di bawah tajuk  Respons kepada Hasrizal Abdul Jamil: Isu anti hadith – Farouk A Peru bertarikh 6 Mac 2014. Alhamdulillah usaha saya untuk menulis dengan bahasa mahu memahami, mendapat sambutan yang baik daripada beliau dengan pengisian yang bersifat membantu memahamkan saya tentang pengertian aliran Quranism sebagai istilah yang lebih dipilih berbanding ‘anti hadith’ yang berkonotasi masalah.

Terlebih dahulu, saya memohon maaf atas kesilapan saya dalam mencatat nama beliau. Ia menjadi bukti kepada sikap tergesa-gesa saya dalam menulis artikel berkenaan. Sememangnya saya tergesa-gesa kerana saya sesak nafas dengan perlahannya sikap mereka yang lebih berkeahlian pada memberikan maklum balas kepada isu ini. Di Facebook, ada saya coretkan rasa gelisah apabila memikirkan pensyarah-pensyarah Hadith di universiti yang lebih berkeahlian dalam hal ini, tidak muncul untuk membela bidang mereka sendiri.

Bukan tidak ada yang bersuara.

Tetapi kebanyakannya bercakap tentang isu ‘anti hadith’ ini dalam bahasa ‘pro hadith’. Mesejnya akan berlegar di kalangan mereka yang menentang idea ‘anti hadith’, justeru ia hanya menyelesaikan masalah ini separuh jalan. Alhamdulillah, banyak kekurangan saya yang ditunjukkan oleh Farouk A Peru di dalam artikel berkenaan dan banyak perkara yang saya tidak tahu, beliau ketengahkan. Saya akan menghalusinya dan memperbaiki pendapat-pendapat yang dikemukakan.

Di akaun Twitter dan Facebook, saya cuba mengajak rakan-rakan terutamanya dari kalangan asatizah, selepas membaca karya-karya Ulama seperti Syaikh Manna’ Al-Qaththan di dalam ‘Ulum al-Quran dan Dr. Subhi as-Salah di dalam Ulum al-Hadith, mereka (kami) sekurang-kurangnya perlu membaca karya-karya Ingrid Mattson dan Jonathan A C Brown dalam subjek yang sama. Membaca karya-karya sebegitu bukan lagi bersifat komplimentari tetapi menjadi keperluan yang mendesak apabila perkara-perkara dasar Islam yang terkandung di dalam karya klasik mahu disampaikan kepada masyarakat semasa yang rencam.

Dalam pengkajian saya tentang perkembangan pemikiran sejarah dari zaman Arab Jahiliah membawa kepada era Nabawi dan seterusnya sampai ke era ‘Hadith sebagai sumber hukum Islam’, misalnya pada karya-karya Abd al-Aziz al-Douri (Bahs fi Nash’ah ‘Ilm al-Tarikh ‘inda al-‘Arab), Fathi Uthman (Al-Madkhal ila al-Tarikh al-Islami),  sejarawan dan saintis politik ini (mereka bukan ‘ulama pengajian Islam’) memperincikan cara  ‘berfikir mengenai sejarah’ berkembang dalam bentuk yang sangat sistematik tetapi semulajadi. Ia adalah kelangsungan daripada apa yang telah sedia ada di zaman jahiliah, tetapi kemudian diperkukuhkan dengan keperluan menentukan keabsahan riwayat kerana adanya kepentingan al-haq di dalamnya. Bagaimana maklumat tentang masa silam dipindahkan secara lisan dengan motif kebanggaan qabilah semasa jahiliah, berubah kepada memindahkan maklumat secara lisan dengan motif memelihara penjelasan-penjelasan Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam tentang kehendak wahyu (al-Quran).

Demikian juga karya-karya semasa seperti artikel Abdelkader I. Tayob di dalam kertas kerja beliau bertajuk Tabari on the Companions of the Prophet: Moral and Political Contours in Islamic Historial Writing, ia memperlihatkan betapa pemahaman kita tentang al-Tabari dan method beliau dalam periwayatan, adalah masih jauh daripada kesimpulan mudah, hatta kesimpulan Ibn Khaldun tentang al-Tabari juga terbuka kepada pertikaian. Maka saya belum dapat memuktamadkan idea-idea Farouk A Peru tentang Ibn Kathir dan al-Tabari sebagaimana yang beliau ketengahkan.

Semakin saya mendalami historiografi umat Islam, saya semakin terasa kerdil dan saya telah mencampak ke tepi kesimpulan-kesimpulan popular yang pernah saya petik di dalam ceramah-ceramah, justeru membuka lebih ruang untuk belajar dan memahami.

Literatur Farouk A Peru dan mungkin golongan Quranist seperti beliau berbeza dan ia menuntut saya untuk lebih memahami tentang asas-asas idea yang mereka bawa. Segala yang ditunjukkan oleh Farouk A Peru di dalam artikelnya tentang kesilapan-kesilapan saya semasa menulis, saya mengambilnya secara positif untuk dihalusi. Dan saya secara terbuka memohon maaf atas kesilapan fakta atau analisis dan akan berusaha untuk menjelaskannya, Insha-Allah.

Menyedari betapa rumitnya hal ini, kebanyakan artikel yang saya tulis, saya gunakan tanda ‘…’ untuk menunjukkan ada beberapa perkara yang saya reserved dalam penggunaan istilah tersebut, termasuk istilah ‘anti hadith’.  Misalnya di dalam perenggan berikut, saya menekankan bahawa istilah ‘anti hadith’ itu adalah istilah kita kepada mereka, dan bukan istilah mereka tentang idea yang mereka bawa. Farouk A Peru mencadangkan terma Quranism sebagai sesuatu yang lebih tepat pada menjelaskan tentang idea mereka.

istilahantihadith

Kerana itu juga, saya tidak memberikan respond kepada rencana di akhbar Sinar Harian yang mengenengahkan saranan Ustaz Emran Ahmad agar saya dan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berdiskusi dengan Dr. Kassim Ahmad. Saya menerima panggilan telefon dan emel bertalu-talu meminta saya menyambut cadangan tersebut. Tetapi sebagai seorang Muslim yang menghormati amanah ilmu, saya tahu tahap saya di mana. Saya bukan ustaz syok sendiri atau ‘over confident‘.

menyemakasasilmu

Cuma…

Apa yang masih menjadi tanda tanya saya ialah, apabila Farouk A Peru dan mungkin golongan Quranist sendiri menolak keabsahan Hadith dan seterusnya menolak otoriti Hadith, bagaimanakah mereka boleh tahu tentang perbuatan Abu Bakr dan Umar bin al-Khattab membakar koleksi hadith, sikap Bani Umayyah terhadap Hadith, Ibn Kathir lebih bergaul dengan wanita berbanding al-Tabari dan lain-lain, sedangkan maklumat-maklumat itu juga datang melalui literatur dan sistem periwayatan yang sama?

Malah syarat periwayatan di sisi Muhaddith, adalah jauh lebih ketat berbanding syarat periwayatan di sisi Mu’arrikh (ahli sejarah) apabila disiplin Hadith dan Tarikh (sejarah) berkembang dalam medan yang berdiri secara berasingan.

Mengambil cara Farouk A Peru menolak Hadith, ia sefaham saya, menjadikan seluruh pengetahuan kita tentang sejarah umat Islam yang silam sebagai gelap dan kosong. Kita tidak tahu apa-apa tentang tiga generasi Islam yang awal itu.

Ia mungkin sekadar kekeliruan saya.

Tetapi saya benar-benar ingin tahu, dari sumber manakah Farouk A Peru tahu tentang Abu Bakr dan Umar membakar koleksi hadith itu? Apa yang beliau rujuk pada mensabitkan latar belakang pro wanita Ibn Kathir dan tidak al-Tabari? Bagaimanakah maklumat-maklumat ini boleh sahih, sedangkan maklumat lain di dalam Hadith, dipertikaikan. Asasnya ialah, kita tidak tahu apa-apa tentang sejarah, kecuali diberitahu. Dan siapakah yang memberitahu? Ini soalan yang mesti boleh dijustifikasikan apabila kita mahu menyatakan satu-satu kejadian di dalam sejarah.

Mungkin saya masih berfikir secara Muhaddith atau Mu’arrikh, maka saya perlu tahu bagaimana Farouk A Peru tahu?

ANTARA FAKTA DAN PERSEPSI

Banyak ‘fakta’ yang Farouk A Peru kemukakan, pada pemahaman saya bukanlah fakta, sebaliknya persepsi yang popular, justeru ia terbuka kepada penilaian semula. Misalnya, apabila beliau mengatakan bahawa era Pencerahan Eropah berlaku ketika mana umat Islam berada di dalam kemunduran dalam suasana pintu ijtihad tertutup, benarkah era itu era yang mundur?

Pendapat yang popular mengatakan ya.

Tetapi dalam pengajaran sejarah Islam sebagai World History paradigma graf menaik, stabil dan menurun itu sudah outdated. Sejarawan semasa digesa untuk membebaskan diri daripada keterikatan paradigma kuasa politik dan tentera, kerana semasa kuasa politik merosot, tidak semestinya aspek-aspek lain dalam ketamadunan juga merosot. Wacana intelektual masih rancak, dan ia perlu difahami secara adil.

Kita tidak boleh memandang secara mikro kepada satu wilayah Islam yang merosot kesarjanaannya lalu menganggap situasi di situ mewakili keseluruhan dunia Islam. Jika Pencerahan merujuk kepada kurun ke 17 dan 18, sudahkah kita meneliti kesarjanaan dunia Islam dalam skop yang lebih luas, misalnya di wilayah Uthmaniyyah? Apakah bentuk pendidikan yang dikemukakan di Semaniye Medrese di Istanbul pada era tersebut?

Jika kesarjaaan Islam tidak lagi rancak di Baghdad, dan berpindah ke daerah lain,  saya yakin kemunduran tersebut terjadi bukan kerana pintu ijtihad yang ditutup. Ketidak stabilan sosio politik di bekas tanah tadbir Abbasiyyah pasca kejatuhan Baghdad 1258, tidak memungkinkan wacana intelektual berkembang di situ sebagaimana sebelumnya.

Berbalik kepada Istanbul, biar pun Halil Inalcik sebagai tokoh penting dalam sejarah Uthmaniyyah turut menanggap era itu sebagai era yang mundur, namun beliau berpendapat ia terjadi kerana mereka membelakangkan Sains dan Teknologi kesan pemikiran radikal dalam beragama. Otoriti Halil Inalcik menyebabkan idea sebegitu diterima sebagai fakta lalu dipetik secara meluas oleh sarjana Barat seperti Marshall Hodgson di dalam karya beliau Venture of Islam.

Tetapi keterbukaan dalam dunia akademik, membuka ruang untuk pendapat yang begitu ‘established‘ dipertikai.

Khaled El-Rouayheb di dalam karyanya The Myth of “The Triumph of Fanaticism” in the Seventeenth-Century Ottoman Empire” yang disiarkan di jurnal Die welt des Islams 48 (2008) mempertikaikan kebenaran dakwaan Halil Inalcik. Beliau berpendapat, Halil Inalcik telah salah dalam menggambarkan kurun ke-17 Dawlah Uthmaniyyah itu. Ia berpunca daripada kesilapan Inalcik menghadkan rujukannya kepada Taşköprüzade dan Kâtip Çelebi yang tidak menggambarkan keseluruhan keadaan dunia Islam, hatta wilayah Uthmaniyyah itu sendiri.

Ini adalah contoh, bagaimana satu persepsi popular boleh dicabar.

Farouk A Peru perlu membina milieu sejarah yang lebih kukuh sebagai premis untuk menyokong idea menyanggah otoriti Hadith tersebut.

Justeru, saya sendiri juga perlu mengambil masa yang lebih untuk mempertimbangkan keabsahan dakwaan yang dikemukakan oleh Farouk A Peru.

AL-BUKHARI

Al-Bukhari tidak mengenengahkan pendapat beliau tentang satu-satu riwayat dengan menggunakan otoritinya sebagai seorang ilmuwan. Beliau mengemukakan rantaian rujukan-rujukan beliau, yang setiap satu daripadanya bebas dikritik oleh umat Islam berdasarkan maklumat yang ada.

Jika al-Bukhari dianggap bertanggungjawab mencipta hadith yang menghina wanita, al-Bukhari mendatangkan sanad yang lengkap antara beliau hingga kepada Muhammad sallallahu alayhi wa sallam tentang siapa mengambil riwayat itu dari siapa dan setiap seorangnya ada maklumat yang lengkap untuk diteliti integritinya. Kita mempunyai maklumat melalui disiplin Rijal al-Hadith tentang siapakah Abdullah bin Maslamah, Malik, Zaid bin Aslam, ‘Atha’ bin Yasar dan Abdullah bin ‘Abbas sebelum riwayat berkenaan diangkat kepada Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam. Untuk mendakwa al-Bukharilah yang mendatangkan hadith itu daripada tiada kepada ada, Farouk A Peru juga memerlukan maklumat untuk membuktikannya.

Dan benarkah hadith itu menghina wanita? Atau ia tafsiran kepada hadith tersebut, yang jika hadith itu sahih, tafsiran mengenainya tidak semestinya sahih serta terbuka kepada perbahasan!

Andai ia sekadar tafsiran beliau, saya yakin ada banyak lagi tafsiran lain yang boleh dipertimbangkan sama, tentang apakah sebenarnya yang berlaku pada masa itu.

Kita juga tidak mengkuduskan Sahih al-Bukhari. Ada sahaja perbahasan tentang riwayat yang mursal di dalamnya, bagaimanakah kedudukan hadith berkenaan. Dan jika hadith yang ada di dalam ‘Sahih’ al-Bukhari itu sahih sekali pun, struktur kitab berkenaan, pembentukan bab, susunan bab, tajuk bagi kitab dan bab di dalamnya, semua itu adalah ijtihad al-Bukhari.

Kekudusan Sahih al-Bukhari, atau kedudukan hadith sebagai saingan kepada al-Quran hingga merujuk hadith difahami sebagai bersikap bahawa al-Quran itu tidak lengkap, adalah persepsi dan bukannya fakta.

Al-Quran adalah al-Quran.

Hadith adalah huraian tentang maksud al-Quran. Ia bukan gantian kepada al-Quran.

Jika saya menolak huraian Muhammad sallallahu alayhi wa sallam tentang al-Quran, atas asas apa saya boleh membina keyakinan terhadap huraian Farouk A Peru, Dr. Kassim Ahmad atau Rashad Khalifa tentang al-Quran? ‘Sekurang-kurangnya’, tafsiran Muhammad tentang al-Quran, dijamin kualitinya oleh al-Quran sendiri, bahawa Muhammad tidak bercakap berdasarkan hawa nafsunya. Ada pun Rashad Khalifa, dalam menolak otoriti Hadith untuk menghuraikan al-Quran, beliau sendiri menafsirkan ayat 3 surah Yasin, bahawa “sesungguhnya engkau adalah dari kalangan para utusan (Allah )”, maksudnya ada diri beliau sendiri!

Justeru kajian yang lebih teliti, pada membezakan di antara fakta sebagaimananya ia, dengan persepsi popular yang dijadikan fakta dan premis untuk membuat dakwaan, merupakan keperluan yang kritikal pada masa ini. Sejarah perlu dibaca dengan lebih teliti terutamanya pada mencegah anachronism.

Saya tidak menyentuh pendapat-pendapat lain tentang hukum kenajisan anjing kerana saya sekadar menyentuhnya sebagai satu contoh, merujuk kepada contoh yang Yasmin Ahmad sebut dalam temuramah bersama beliau di Astro.

Dan sebagai seorang Muslim yang berpeluang merasai pengalaman sebagai Imam di Belfast yang kaya dengan anjing, seingat saya, pendirian saya dalam membimbing komuniti Muslim di Ireland Utara tentang anjing, adalah dengan pendapat yang jika di Malaysia, saya mungkin dilabel ‘liberal’ malah mungkin ‘murtad’ atau sekurang-kurangnya ‘Wahabi’. Kepelbagaian pendapat tentang hal-hal begini, bukanlah sesuatu yang asing. Kita tidak boleh menggunakan pemahaman popular tentang Fiqh di Malaysia, sebagai premis untuk menyanggah seluruh pendirian umat Islam tentang Islam yang sebenar, seperti yang kita mahukan.

Justeru, kita perlu terus membaca dan mengkaji. Mana tahu, dengan pemahaman yang lebih harmoni, ada sesuatu yang lebih baik menanti di hadapan, selepas umat Islam dicaca merbakan oleh kemerosotan kompetensi dan integriti agamawan zaman berzaman.

 إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali. [Hud 11: 88]

Titik persamaan yang ada adalah pada masing-masing bersetuju tentang kemuliaan al-Quran dan keutamaannya sebagai dustur. Ada pun berkenaan dengan Hadith, jangan berhenti berbincang dan mengkaji.

Berikut adalah artikel Farouk A Peru yang tersiar di Malaysian Insider untuk manfaat pembaca:

Berbesar hati saya mendengar Hasrizal Abdul Jamil dari laman web www.saifulislam.com dalam video bertajuk “Anti Hadith: Loceng Amaran Kepada Ummah Pengabai Ilmu” menyebut nama saya (walaupun tersalah sebut, bukan A Farouk Peru tapi Farouk A Peru).

Terlebih puji sebenarnya bila dikatakan saya “lebih canggih” daripada Dr Kassim Ahmad. Saya hanya anak didik Pak Kassim yang membina atas teori beliau, itu saja.

Apa yang lebih mengiakan ialah cara Hasrizal menangani isu Quranisme (yang dibahasakan sebagai anti hadith) iaitu dengan lebih bijak dan dengan sikap yang lebih mahu memahami, tidak seperti daripada rakan-rakan agamawan beliaTajuk kuliah beliau pun mencerminkan sikap ini – umat Islam yang dikatakan pengabai ilmu dan patut lebih peka dan proaktif mengambil tahu. Saya amat bersetuju dengan saranan ini.

Walau bagaimanapun, ada beberapa poin dalam kuliah Hasrizal yang perlu saya pertikaikan. Frasa “anti-hadis” umpamanya, yang pada saya perlu dipersoalkan kerana ia berbau politik.

Apakah agenda di sebalik penggunaan frasa ini? Frasa ini mencadangkan yang penerimaan hadis itu perkara yang otomatik dan orang yang mempersoalkan fakta ini (iaitu menjadi “anti” kepadanya) ada kejanggalan pada diri mereka.

Sebenarnya dalam warisan tradisi ilmu Ahl As-Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ) sendiri, amalan mempersoalkan dan malahan menolak hadis adalah perkara biasa.

Ulamak-ulamak Wahabi umpamanya banyak dikritik oleh ulamak ASWJ yang lain kerana menolak hadis-hadis yang sebelumnya dikatakan “sahih”. Jadi sebenarnya, dalam sejarah ASWJ sendiri ada gerakan anti hadis.

Isu anti hadis sebenarnya adalah isu otoriti. Ulamak-ulamak ASWJ mahu Umat Islam yang lain menerima hadis-hadis pilihan mereka.

Orang lain tidak diberi pilihan. Kalau tak diterima, mereka dianggap kafir. Saya cadangkan lebih baik kami yang tidak menggunakan hadis dipanggil “quranis” dan bukan anti-hadis. Seorang quranis menjana tafsir sendiri dan tidak menerima otoriti dalam pentafsiran Al-Quran.

Pada pendapat saya juga, Hasrizal perlu mengkaji sejarah Islam terutamanya sejarah fikrah quranisme dalam Islam. Dari awal video ini (pautan di bawah), beliau menyatakan yang fikrah anti hadith ini adalah hasil daripada pengaruh skeptisisme Eropah.

Ini sebenarnya salah kerana pada masa Eropah mengalami pencerahan (enlightenment), dunia Islam telah jumud berkurun-kurun dan tidak ada jalan membaca karya-karya Eropah! Pintu ijtihad telah dikatakan lama ditutup yang membawa implikasi yang tidak boleh ada pertikaian dalam formasi mazhab-mazhab dalam aliran ASWJ.

Hanya empat mazhab dikekalkan dan yang kita kenal pada hari ini. Tidak boleh ada teori perundangan baru kerana kuasa ASWJ pada masa itu menjadi terserlah. Semua fikrah yang wujud sebelumnya digelar sebagai sesat untuk menjamin kuasa ASWJ.

Jadi di manakah asal-usul fikrah quranisme dalam Islam? Kita hanya perlu mengkaji perbincangan-perbicangan antara orang Islam sendiri untuk memahami yang pertikaian hadith tentang wujud dari awal sejarah Islam.

Khalifah-khalifah Ar-Rashideen sendiri, Abu Bakr dan Umar Al-Khattab membakar koleksi hadis. Umar menyuarakan pendapat yang hadis-hadis dapat melekakan umat Islam dari mengkaji kitab Allah. Dia menyatakan prinsip “hasbuna kitab Allah” (cukup bagi kami kitab Allah).

Bukan saja itu, tapi monarki pertama Islam iaitu Khalifah Umayyah juga tidak merasmikan sebarang kitab hadis yang menjadi sumber perundangan mereka. Alangkah anehnya yang pada masa umat Islam telah mempunyai empayar yang luas, hadis belum lagi dirasmikan sebagai kitab?

Hanya selepas zaman Ash-Shafiee (imam ulung mazhab Shafiee) yang hadis menjadi “mata wang” perundangan (legal currency). Kita juga boleh mengamati development ini dengan membandingkan antara proses pengumpulan hadis dan sejarah perbalahan antara ASWJ dan Shiah.

Semakin menebal persaingan antara ASWJ dan Shia untuk meraih gelaran “waris Nabi”, semakin banyaklah hadis yang timbul.

Yang juga menghairankan, aliran fikrah pertama dalam Islam adalah kaum Muktazilah iaitu golongan yang mementingkan penggunaan akal. Mereka ini sangat mempersoalkan bacaan-bacaan literal Islam yang diutarakan oleh pentafsir-pentafsir ASWJ yang berasal daripada hadis.

Kaum Muktazilah digelar “ahl al-kalam” yang boleh difahami sebagai orang-orang yang mengikut kitab Allah.

Quranis-quranis juga muncul pada abad 19 di India dan Mesir. Mereka ini tidak dirakamkan dalam sejarah sebagai orang yang membaca karya-karya orientalis.

Malahan mereka menggunakan hujah-hujah daripada Al-Quran sendiri untuk mempertahankan posisi-posisi mereka. Tidak ada quranis pada zaman itu yang menggunakan teori-teori Goldziher, Schact, Margoliuth dan sebagainya. Dakwaan Hasrizal tidak ada bukti sebenarnya.

Hasrizal juga menggunakan prinsip psikologi untuk memahami mengapa beberapa pihak seperti Sisters in Islam, arwah Yasmin Ahmad, Benjamin Stephen dan Kassim menolak Islam versi ortodoks iaitu versi ASWJ, malahan dalam kes Benjamin Stephen menolak Islam sama sekali.

Dengan menuding kepada peristiwa-peristiwa pahit dengan agamawan dan juga pelajar Islam dalam kes Bejamin Stephen, kita dapat memahami mengapa mereka melakukan penolakan mereka.

Saya memuji sikap Hasrizal di sini yang mengutamakan belas kasihan (compassion and mercy) dan tidak marah atau membenci. Inilah sikap yang amat terpuji dalam Al-Quran dan juga contoh Nabi yang menjadi “rahmatan lil alameen” (Al-Quran 21/107).

Tapi satu saya perlu tanya kepada Hasrizal, adakah soalan ini patut diajukan kepada ulamak-ulamak ASWJ juga? Mengapa mereka dianggap sebagai terlindung daripada persoalan ini?

Umpamanya Ibn Kathir dan At-Tabari, mereka mempunyai latar belakang yang berlainan. Ibn Kathir dibesarkan oleh kaum wanita walhal Tabari tidak berjumpa sangat dengan wanita. Ini telah menjadi faktor pembezaan dalam tafsir mereka.

Ibn Kathir lebih menekankan perhubungan yang memberi persamaan antara lelaki dan waniya (mengikut AQ 30/21) tapi Tabari lebih menekankan pengawalan ke atas pakaian dan tindak-tanduk wanita (fahamannya daripada AQ 24/31).

Ibn Taimiyah lagi radikal pula – beliau menekankan pengurungan wanita (fahamannya terhadap AQ 33/33) kerana pada zamannya berlaku penaklukan kuasa oleh pihak Mongol dan keselamatan wanita diancam.

Begitulah lumrahnya – tiap-tiap pentafsir akan mencerminkan situasi mereka masing-masing jadi kenapa kita perlu terikat kepada tafsir mereka sahaja sedangkan Allah memberi akal kepada semua orang?

Sama juga seperti Al-Bukhari, pengumpul hadis tersohor. Beliau merakamkan beberapa hadis yang yang memperlekehkan iman dan akal wanita.

Wanita dikatakan adalah kebanyakan daripada penghuni neraka. Akal wanita cetek kerana dua saksi wanita diperlukan walhal hanya satu lelaki mengikut tafsiran Al-Quran mereka (2/282) dan agama mereka suntuk kerana tak dibolehkan sembahyang semasa datang haidh.

Dengan menggunakan penyiasatan psikologi Ustad Hasrizal di atas, mungkin kita boleh meneka yang Al-Bukhari adalah anti-wanita! Mungkin itu yang menyebabkannya membenarkan isnad hadis tersebut.

Betul kata Hasrizal, kita perlu mengambil kira faktor pengalaman manusia (human experience) tapi janganlah untuk penolak-penolak doktrin ASWJ saja. Ulamak-ulamak pun ada pengalaman manusia juga dan mereka insan subjektif seperti kita.

Hasrizal juga menyebut tentang Rashad Khalifa yang dikatakan menjadi guru kepada Pak Kassim. Rashad kononnya telah mengambil fahaman anti-hadisnya daripada Ignaz Goldziher. Sekali lagi, tidak ada fakta sejarang langsung yang menyokong dakwaan ini.

Rashad sendiri tidak pernah memberi apa-apa kenyataan tentang Goldziher pun. Ini hanya tuduhan Hasrizal saja dan sebagai sebagai seorang yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah, tidak baik Hasrizal membuat dakwaan tanpa bukti.

Hasrizal juga mengatakan yang Rashad Khalifa menerima fahaman anti hadis kerana tak dapat menerima pemujian Nabi yang keterlaluan yang disaksikannya dalam keluarganya yang mempunyai tarikat mereka sendiri.

Mungkin dakwaan ini benar tapi dari mana datangnya pemujian Nabi yang keterlaluan ini? Sudah tentu bukan dari Al-Quran yang menekankan Nabi hanyalah manusia biasa yang mendapat wahyu (18/110) dan membuat kesalahan (contohnya 9/43, 33/37, 66/1).

Sebaliknya, kita perlu melihat kepada sesetengah hadis yang menjulang Nabi kepada status yang seakan-akan rakan kongsi Tuhan dalam memyelamatkan manusia ke syurga. Hadis memberi Nabi kuasa syafaat yang dapat mengatasi keputusan Tuhan sendiri.

Jadi jika sesuatu insan itu telah berlaku jahat, Nabi boleh menyelamatkannya daripada azab Tuhan melalui syafaatnya. Kalau kita menggunakan prinsip psikologi Hasrizal di atas, tentunya kita akan faham yang sebenarnya syafaat inilah yang membawa kepada amalan-amalan yang Hasrizal sendiri menganggap keterlaluan.

Perlu diketahui yang Al-Quran menolak sama sekali konsep mendapat syafaat daripada sesiapa (2/48, 2/123 dan 2/254). Hanya amalan yang boleh menyelamatkan diri kita (39/70). Tugas Nabi hanya untuk mengadu kepada Tuhan yang kita telah mengambil Al-Quran sebagai benda yang ditinggalkan (25/30).

Saya juga terpaksa memperbetulkan Hasrizal dalam beberapa poin mengenai diri saya dan fenomena quranisme. Pertama, quranisme terbahagi kepada lebih 20 aliran dan bukannya dua seperti disebutkan Hasrizal.

Quranisme adalah kalimah payung (umbrella term) yang merangkumi semua aliran yang tidak menerima otoriti ulamak dan tulisan-tulisan mereka. Quranisme secular (secular quranism) adalah salah satu daripada aliran ini. Clair Khaw tidak wajar diberi label ini kerana beliau seorang atheis. Lebih wajar beliau dilabel “quranis materialis”. Quranis secular masih percaya kepada Tuhan.

Menjawab dakwaan Hasrizal, saya sama sekali tidak menerima aliran quranisme untuk menghalalkan homoseksualiti. Saya menerima aliran quranisme pada tahun 1997 dan member kuliah pertama mengenai homoseksualiti lima belas tahun kemudian pada tahun 2012!

Dakwaan Hasrizal sama sekali palsu dan jika Hasrizal pencinta kebenaran, saya minta dia perbetulkan kenyataan ini. Tujuan saya memberi kuliahmengenai cerita kaum Lut ialah untuk menjelaskan peranan sebenar cerita ini dalam dunia Al-Quran. Cerita ini melukiskan situasi penindasan yang ekstrim dan menjadi satu tahap dalam sociologi Al-Quran.

Tentang isu anjing, mungkin Hasrizal tidak ketahui tapi mazhab Maliki menghalalkan penyimpanan anjing di rumah kerana pada mereka anjing bukanlah najis.

Bagaimana pula anjing boleh jadi najis jika kita dibenarkan memakan hasil tangkapan anjing (AQ 5/4). Begitu juga awrat wanita. Sekarang ada sarjana dari Al-Azhar yang mengatakan wanita tidak diwajibkan bertudung? Adakah Hasrizal akan memberi mereka bantahan juga? Ini semuanya isu otoriti saja.

Akhir sekali, Hasrizal bertanya soalan – apakah kaitan halatuju negara dengan isu hadis seperti dikaitkan oleh seminar Pak Kassim?

Soalan yang munasabah dan jika diizinkan saya ingin menjawab: Negara kita mempunyai identiti Islam yang kian menebal. Ajaran-ajaran yang dilabelkan “Islam” menjadi jalan untuk merebut kuasa politik dan ekonomi.

Hadis pula adalah “mata wang” ideologi (ideological currency) dalam menjamin otoriti sesiapa yang bercakap mengenai Islam. Jadi kalau negara mahu maju, ia perlu memikirkan kesan-kesan ajaran-ajaran ini.

Kalau hadis membantutkan pemikiran kita, maka perlulah kita mempersoalkan asal-usulnya. Dalam pada itu, kita juga perlu memperbaharui fahaman Al-Quran kita kerana ia mampu memberi kita hikmah untuk hidup dengan cara terbaik tak kira masa dan tempat. – 6 Mac, 2014.

 

Check Also

Menamatkan Pendidikan Kiasu

Entahlah dunia apa yang kita hidup di dalamnya hari ini. Setelah anak nekad terjun membunuh …

11 comments

  1. Salam alaik. syukran atas penjelasan ustaz, satu pencerahan yang baik saya kira, terutama bagi golongan yang berada di landasan ini, Hadith dan sejarah.

    Semoga Alalh permudahkan semua urusan ustaz dalam memberi pencerahan pada topik ini.

  2. Izharuddin Azar

    Dengan situasi agama yg tak menentu di Malaysia, mungkin kerana mendambakan perubahan, agak berbahaya jika kami yg kurang asas agama terambil dari pihak mereka. Saya sendiri agak kurang rajin mendengar sentimen agamawan yg lain. Cara mereka memberatkan penerimaan ilmu secara terbuka dan kritis.

    Terima kasih buat asastizah terutamanya Ustaz Hasrizal memberikan alternatif. Moga Alllah memberkati kalian yg berusaha mempertahan agama Allah.

  3. Saya masih tertanya-tanya kenapa Farouk A Peru menolak kesemua hadis atau menerima sebahagian sahaja. Ini kerana beliau enggan dilabelkan sebagai ‘anti-hadis’ sedangkan setakat bacaan saya dari beberapa artikel beliau, sememangnya beliau menolak hadis secara total! Dan percubaan beliau untuk menyamakan aliran beliau dengan golongan yang dipanggil ‘wahabi’ seumpama langit dengan bumi kerana golongan yang digelar sebagai ‘wahabi’ oleh beliau itu kebanyakannya dari aliran hadis yang ingin membersihkan sunnah nabi dari riwayat palsu demi mengukuhkan insitusi hadis itu sendiri. Berbeza dengan Farouk A Peru yang kelihatan menolak bukan sahaja hadis malahan sumber rantaian hadis itu sendiri yang tidak pernah beliau kaji, rasanya dan kelihatan ingin menghancurkan institusi hadis yang pada pandangan beliau mewujudkan ulama yang dilabel ortodok.

    Apa pun saya lihat hujah Farouk A Peru kelihatan berfakta tetapi sebenarnya hanya lahir dari pemikiran atau akal beliau semata-mata. Dan saya sokong usaha Ustaz Hasrizal menyantuni golongan sebegini dengan ilmu dan hikmah berbanding golongan yang hanya tahu menunjukkan rasa marah tapi tiada hujah. Hanya banyak dipengaruhi sentimen yang tak ke mana.

  4. Farouk A Peru menulis:
    “Mungkin dakwaan ini benar tapi dari mana datangnya pemujian Nabi yang keterlaluan ini? Sudah tentu bukan dari Al-Quran yang menekankan Nabi hanyalah manusia biasa yang mendapat wahyu (18/110) dan membuat kesalahan (contohnya 9/43, 33/37, 66/1).”
    “Perlu diketahui yang Al-Quran menolak sama sekali konsep mendapat syafaat daripada sesiapa (2/48, 2/123 dan 2/254). Hanya amalan yang boleh menyelamatkan diri kita (39/70). Tugas Nabi hanya untuk mengadu kepada Tuhan yang kita telah mengambil Al-Quran sebagai benda yang ditinggalkan (25/30).”

    Masih point2 yang sama daripada golongan kononnya “Quran-ism”. Tetapi ironi-nya sama ada beliau (mereka) baca al-Qur’an tak habis (jahil) atau cerita separuh, sembunyi separuh (bohong). Semoga Allah beri hidayah kepada kita (saya) dan mereka.

  5. Sudah tiba masanya ahli akademik Pengajian Islam meneliti wacana semasa yang sedang berlangsung di Barat berkaitan bidang masing-masing. Terutamanya dalam jurnal antarabangsa. Mereka sedang berpolemik pelbagai isu untuk mempengaruhi pemikiran manusia, sekaligus membentuk cara berfikir masyarakat di sana berkaitan isu yang dikemukakan. Kita pula sedang sibuk dengan pelbagai aktiviti ‘luar akademik’.

    • Ahli akademik Pengajian Islam yang mengabaikan isu modernisme, adalah seumpama tentera yang lari dari medan peperangan. Jenayah dan khianat

  6. Ahmad Bakhtiar

    Alhamdulillah, dapat membaca satu tulisan akademik yg berskala tinggi, terasa akal dan jiwa bergerak dari tempat yg selesa ke tempat yg lebih mencabar

  7. Orang yang bernama Farouk Peru ni dah lama menghuni ruang maya, rasanya sebelum ini bukan sahaja dia anti-hadis tetapi juga menolak al-Qur’an juga! Cuma sekarang ni nampaknya dia sudah melagukan dendangan yang berbeza.

    • Adalah lebih baik, harmoni, dan aman sekiranya kita berbaik sangka sesama Islam dengan memberi label yang baik2 misalnya jangan label “anti-hadith” tetapi panggilah mereka “pro-Quran” sbb sekiranya org melabel yg pro-hadith dgn label “anti-Quran” sudah tentulah mereka juga akan marah.

      Yg “pro-hadith” akan kata “kami tdk pernah anti-Quran” (wlupun pada hakikatnya mereka byk menolak ayat2 Al-Quran), samalah juga dgn yg “pro-Quran” yg mana mereka ini tdk munafik dan lebih jujur sbb mereka mengakui menolak hadith2 yg bercanggah dgn Al-Quran.

      Sy sudah 10 tahun mgkaji Al-Quran (sepenuh masa) dan saya mengakui hakikat kebenaran yg dinyatakan oleh saidina Omar Al-Khatab yg mana beliau bimbang hadith2 ini akan mnjadi “penutup hati” sperti yg dijelaskan dlm ayat 47:24 iaitu menjauhkn umat dan ulamak Islam dari mgkaji Al-Quran. Sy juga dapati puak2 pro-Quran adalah mempromosikan “virtue base Islam” iaitu Islam kasih-sayang dan toleransi, sementara puak2 pro-Hadith pula “Deontic Islam” iaitu Islam tugasan yg lebih keras yg suka melabel dan menghukum.

  8. Maaf, saya ingin bertanya, siapa Farouk A. Peru?

  9. Salaamun alaikum

    Saya nak bertanya tentang methodology kesahihan hadis..

    Para ulamak begitu memuji methodology sesuatu hadis itu yg proses penilaian nya begitu ketat dan berhati-hati sekali & percaya dgn sepenuhnya hadis adalah menerangkan al quran.

    Saya ingin sekali membicarakan hadis tentang salat dan ayat al quran tentang salat.

    Allah dalam al quran menyatakan:

    “salatlah dgn salat yg sempurna yg telah di ajarkan kpd kamu ttp kebanyakan kamu tidak mengetahuinya”

    Huraian:

    Dalam ayat tersebut Allah memberitahu bahawa KAEDAH salat sempurna telah di BERITAHU dlm al quran ttp kebanyakan kamu tidak mengetahuinya.

    Berlawanan dgn tafsir ibnu kathir yg mentafsirkan:

    Allah tidak beritahu kaedah salat sempurna ttp hanya nabi yg beritahu lalu ibnu kathir mentafsirkan dgn menjawab kpd ayat itu ” sekarang sudah tahu”..

    Pd saya tafsiran ibnu kathir itu pelik utk ayat ini, kerana struktur mentafsir dgn menjawab macam itu tidak kena dgn struktur ayat Allah. Dan hanya ayat ini dan ayat berkenaan kalimah ” a’uzubillaah himinasshatonirrojim” yg pelik.

    Allah turunkan ayat kategori KETERANGAN yg berbunyi:

    ” jika kamu mendapat imbasan syaitan kamu mintalah perlindungan dari Allah”..

    Ini adalah ayat berbentuk KETERANGAN ATAU PEMBERITAHUAN.

    Ayat yg lain dan surah yg lain Allah suruh kita sebutlah/bacalah

    “Rabbi a’uzubikamin hamazaa tishsyayaatiin .. waa a’uuzubirabbinyyah thuruun”
    Aku berlindung dgn Allah dari hasutan syaitan dan berlindung dgn Allah dari syaitan menghampiri ku”

    Kembali kpd isu salat.. jadi dlm al quran Allah beritahu yg kaedah salat yg sempurna telah pun Allah ajarkan DALAM QURAN cuma kebanyakan dari kita tidak mengetahuinya.

    Quranist pasti SEPAKAT berkeaan dgn solat di akhiri dgn SUJUD kerana tak pernah membayangkan pun salat di akhiri dgn salam, malah tidak ada perkataan salam pun betkaitan salat dlm al quran.

    Jadi saya nak mempertikaikan kenyataan bahasanya hadis adalah menerangkan al quran..macammana dan bsgaimana hadis nak menerangkan al quran sedangkan benda tu tidak ada dlm quran…

    Pelik dan anjaib hadis salat ini??

    Pohon penjelasan ustaz..

Leave a Reply to matwi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share