Mu’arrikhun: Membumikan Sejarah di Gelanggang Ummah

koftekizkulesi

“Saya tidak seronok memikirkan peraturan di Malaysia, pensyarah perlu bersara wajib pada usia 65 tahun” saya memulakan perbualan.

Hembusan angin senja dari Laut Marmara damai mendinginkan musim panas di Istanbul.

“Oh, begitu peraturannya di Malaysia, ya?” ujar Zacky.

“Ya, jika pensyarah di dalam bidang seperti ICT mungkin ada kewajarannya. Pada usia 65 tahun, kompetensi untuk mengejar teknologi-teknologi terkini pasti berat untuk mereka. Tetapi dalam bidang seperti Pengajian Islam, termasuk sejarah, usia 65 adalah usia emas. Usia matang dan kaya dengan pengalaman. Sayangnya pada usia itu, mereka perlu ke belakang rumah membela ayam” saya mengusik.

“Itukah sebabnya kamu mahu menubuhkan Mu’arrikhun?” tanya Ville.

“Benar. Cita-cita saya, selepas tamat pengajian di peringkat PhD, jika ada rezekinya, saya mahu menjadi pensyarah. Bidang sejarah sulit untuk memposisikan diri di luar dunia akademik. Saya tidak mahu menjadi public historian. Konotasinya tidak begitu baik. Tetapi pada masa yang sama, suasana akademik di Malaysia akan disibukkan dengan hal-hal pentadbiran malah politik dalaman, hingga minat kita kepada subjek boleh jadi terbantut kalau sepenuh diri diserahkan kepada dunia akademik. Maka, sebuah pusat kajian yang bebas seperti Mu’arrikhun, mungkin boleh membantu. Saya mahu jadikan ia tempat pensyarah-pensyarah yang sudah tamat tempoh perkhidmatan, meneruskan kajian serta khidmat bakti mereka” saya cuba menjelaskan perancangan masa hadapan.

Petang itu kami keluar makan-makan di Üsküdar Filizler Koftecisi.

Saya cuba mengajak Sebahadin Kedir, bakal Perdana Menteri Ethiopia itu turut serta. Tetapi beliau ada urusan yang perlu diselesaikan. Rakan-rakan yang lain juga ada destinasi masing-masing untuk petang ini, yang kebetulannya kami tidak berprogram.

Üsküdar Filizler Koftecisi itu khabarnya köfte paling sedap. Saya sudah pernah menjamahnya sekali beberapa tahun yang lalu. Tetapi tidak terlekat di memori saya keenakan makananya. Apa yang pasti, pemandangannya yang lima bintang. Restoran ini terletak betul-betul berhadapan dengan Kız Külesi atau The Maiden’s Tower di Selat Bosphorus. Rezeki kami juga, mendapat meja terbaik mengadap pemandangan berkenaan. Menyaksikan matahari sirna menuju senja, suasana ini pasti dikenang sampai bila-bila.

“Saya minta maaf ya. Untuk makan kali ini, semuanya atas saya. Dan jangan pula rasa terhutang budi. Ini bukan Finland, Ville” saya meletakkan syarat.

Zacky ketawa.

“Ya, kalau di Finland, ini sudah tidak sesuai dengan budaya kami. Ia membuatkan saya rasa malu. Saya lebih suka berbelanja sendiri. Tetapi disebabkan kamu yang mengajak, maka saya ikut budaya kamu” kata Ville.

“Mumtaz!” Zacky menyambut.

Sahabat saya dari negara jiran Indonesia ini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Beliau mengkaji sejarah intelektual berkaitan jaringan pemikiran Ibrāhīm al-Kūrānī (1616-1689).

Kami memesan makanan, dan saya meminta agar köfte kami disertai dengan segala jenis cili, terutamanya cili jeruk di dalam turşu. Demikian juga manisan künefe. Tidak mengapalah, dengan sedikit rezeki tambahan yang Allah berikan, saya jamu sahabat-sahabat ini. Tambahan pula Ville baru pertama kali datang ke Turki. Biar beliau pulang ke Finland dengan keinsafan tentang betapa bosannya makanan kaum Utara itu. Biar dia datang lagi ke Turki, berkali-kali.

“Di mana perbualan kita tadi ya?” tanya Ville.

“Oh, tentang Mu’arrikhun” saya menjawab.

“Sheikh sudah dikenali di Malaysia. Sudah terkenal sebagai Ustaz Cinta. Pasti jalannya berliku-liku untuk menukar identiti” usik Zacky.

“Benar. Di satu peringkat, saya melakukan dakwah berkaitan cinta, kekeluargaan dan hubungan domestik sebab semua itu sangat kritikal di dalam masyarakat kita. Bagaimana rumahtangga tidak boleh diselamatkan dengan sebuah artikel jurnal. Ia hands on. Perlu turun hingga ke bawah. Tetapi rasanya sudah cukup. 2005 hingga 2010, tidak ramai yang mahu membicarakannya. Malu untuk Pak Kiyai Malaysia berbicara tentang hubungan suami isteri. Dan kekosongan itu saya isi dan saya cuba melakukannya sebaik mungkin. Tetapi zaman pasca Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih, bimbingan cinta sudah jadi lambakan. Hingga kesannya jadi reverse impact!” saya berceloteh.

“Apa yang kalian bualkan ini? Saya rasa saya faham, tetapi saya rasa saya tidak faham,. Tetapi tidak mengapa, saya masih asyik menikmati sütlac ini.” kata Ville.

“Haha. Maaf, terlupa pula saya tentang Mu’arrikhun” saya tersedar.

Kami bertiga menghirup teh panas sambil menikmati merah senja Constantinople.

1098386_294974793975772_152720739_n

“Idea asal saya adalah untuk membuka sebuah kafe buku yang saya namakan sebagai Mu’arrikhun. Kafe itu konsepnya ala-ala Starbuck. Di tingkat bawah adalah kafe, manakala di tingkat atas adalah sebuah perpustakaan. Saya mahu waqafkan semua buku saya di perpustakaan itu. Ada juga sebuah bilik seminar kecil dengan 20 kerusi untuk kita jalankan seminar-seminar kecil, membaca teks klasik, membuat wacana buku dan lain-lain pengisian berkaitan kajian sejarah dan tamadun. Saya fikir, ia juga boleh menjadi stesyen saya. Maka di situ jugalah pejabat saya sehingga mati. Untuk memastikan ia hidup, saya kira idea mengembangkan ia menjadi sebuah research centre yang bebas, mengumpulkan dana dari pelbagai pihak, mewujudkan jaringan sejarawan antarabangsa, dan mungkin menghasilkan penerbitan atas nama Mu’arrikhun… itu angan-angan saya” saya terus mengomel.

“Sebenarnya di Indonesia juga, keperluan kepada pusat sebegitu amat mendesak. Sejarawan Malaysia dan Indonesia belum bersinergi dengan baik. Kita patut terus bekerjasama, Sheikh” kata Zacky.

Pandangan beliau amat benar. Tambahan pula tumpuan kajian kami adalah sama. Saya doakan semoga PhD beliau berlangsung dengan sukses. Saya sudah mengikuti Twitter beliau sebelum Summer School lagi. Rasa berbesar hati dapat bersahabat dengan anak muda hebat sepertinya.

Ville juga teruja dengan idea Mu’arrikhun itu. Beliau melihat adanya kebarangkalian untuk kerjasama berlaku di masa hadapan antara saya atau saya dan Zacky bersama beliau di Helsinki.

“Sayangnya, umur saya sudah hampir mencecah 40 tahun. Saya rasa sangat terkilan dan cemas” saya berterus terang.

“40 tahun itu masih muda” kata Zacky.

“Tetapi di usia mencecah 40 tahun, zaman mencuba-cuba sudah berakhir. Setiap keputusan mesti firm” ulas Ville.

Saya rasa perbualan segi tiga kami sangat unik. Zacky sebagai anak Nusantara, budayanya sama seperti saya. Dalam mengulas, beliau cenderung untuk menenangkan, meyakinkan saya bahawa keresahan itu tidak harus sampai menghantui. Ville pula sebagai seorang natif Eropah, budayanya lebih langsung dan berterus terang. Beliau bersetuju 40 itu masih muda, tetapi bukan muda seperti mudanya beliau dan Zacky.

“Bagaimana dengan kewangan untuk projek Mu’arrikhun?” tanya Ville.

“Buat masa ini saya belum memikirkannya. Ia mencantumkan empat jenis pengurusan yang berbeza. Memerlukan satu ilmu lain. Atau empat ilmu lain sebenarnya. Ada beberapa orang sahabat yang seperti berminat melabur. Tetapi buat masa ini, prioriti saya adalah pada menghabiskan pengajian Sarjana dan PhD, secepat mungkin. Itu dahulu.” saya menjawab.

“Insha-Allah” sambut Zacky.

kofteacili

Acılı Köfte – kredit foto www.filizler.com

Köfte kami juga sudah sampai. Oleh kerana Ville sangat sukakan cili dan mahu mengumpul pengalaman makan segala jenis cili yang wujud di dunia ini, kami memesan Acılı Köfte (Köfte Pedas). Tetapi nampaknya definisi pedas di Turki masih sangat rendah, bukan sahaja menurut standard Nusantara, malah standard Finland.

“Tetapi turşu (jeruk) ini adalah turşu paling sedap saya pernah makan. Sebelum balik ke Helsinki, saya kena pastikan saya membeli satu balang jeruk Turki ini” kata Ville.

Memang tidak dapat dinafikan, köfte di restoran ini jadi lebih enak apabila kami memakannya bersama turşu yang sangat sempurna pembuatannya. Ada timun, kubis, karot dan cili, semuanya enak belaka.

Usai menjamu selera dan minum teh dengan seaman-amannya, saya mengajak Zacky untuk solat Maghrib. Kelebihan musim panas di Turki adalah Maghrib dan Isyak yang agak lewat, memudahkan kami mengatur masa. Berbeza dengan musim sejuk, apabila Zohor dan Asar begitu rapat. Maghrib pula awal. Selalunya selesai Isyak baru selesa untuk ke mana-mana di Istanbul. Cumanya kena beraman dengan kegelapan malam yang awal, serta cuaca sejuk yang sesekali amat menyeksa.

“Kita mahu sembahyang di mana ya?” tanya Zacky.

“Apa kata kita solat di Şemsi Paşa Camii di tepi laut itu” saya memberi cadangan.

“Bagus sekali. Ville, ayuh” Zacky bersetuju.

“Ayuh” balas Ville.

“Kamu selesa, kan. Sebentar sahaja kami solat, kemudian kita langsung pulang ke hostel” saya bertanya kepada beliau.

“Oh, jangan bimbang. Saya tunggu sahaja di halaman. Cuaca pun baik” kata Ville.

Anak muda Finland ini bagus pengetahuannya tentang Islam. Tetapi idea tentang agama di dalam masyarakat Finland agak berbeza. Bagi orang Finland, agama adalah sesuatu yang sangat eksklusif di antara seorang manusia dengan Tuhannya. Maka agama tidak diperkatakan secara terbuka dan dakwah Kristian pun tidak dilakukan sedemikian rupa. Membicarakan tentang agama secara terbuka difahami sebagai menunjuk-nunjuk  dan perbuatan menunjuk-nunjuk membuatkan keberagamaan seseorang dipertikaikan keikhlasannya.

Kata Ville, sebab itu dakwah Islam di Finland juga sangat ‘low profile’. Ia perlu meraikan keadaan tempatan. Maka saya kira, dalam suasana sedemikian rupa, mempelajari agama sebagai satu subjek pembelajaran, berbanding dengan label dakwah, adalah lebih efektif. Selain mengharapkan Ville dapat memainkan peranan itu sebagai ahli akademik, malah beliau sendiri mendapat manfaat daripada Islam yang dipelajarinya.

Kami segera bergerak ke Şemsi Paşa Camii. Bahu jalan agak sesak kerana banyak projek sedang disiapkan. Kawasan Üsküdar terbabit secara langsung dengan projek Marmaray oleh Erdoğan, yakni jaringan LRT terowong bawah laut yang menghubungkan Asia dengan Eropah.

semsipasacamii

Masjid Şemsi Paşa – kredit foto wikipedia

Masjid Şemsi Paşa yang dibina pada tahun 1581 itu dinamakan sempena nama Sadr-ı Azam zaman tersebut. Biar pun masjid ini kecil, ia dibina oleh arkitek ulung Dawlah Uthmaniyyah iaitu Mimar Sinan dengan sentuhannya yang sangat indah. Ia merupakan salah sebuah masjid tercantik di Istanbul pada menggabungkan kepakaran seni bina dengan persekitaran semulajadi yang menjadikan masjid itu mengadap Selat Bosphorus bersama taman kecil yang menghiasinya.

Semasa era saya berulang alik dari Jordan ke Turki, Masjid Şemsi Paşa ini adalah lokasi pelajar Ilahiyat melepak. Apabila turun ke Üsküdar untuk membeli belah atau sekadar bersiar, mereka akan solat di masjid ini. Salah satu tarikannya, bukanlah perpustakan klasik yang merupakan sebahagian daripada binaan masjid ini, tetapi soket elektrik untuk mengecas telefon bimbit masing-masing!

Oleh kerana masjid ini kecil, ‘upacara’ solatnya juga ringkas dan pantas. Tidak seperti solat di Eski Valide Camii atau Mihrimah Camii berdekatan. Malah uniknya, azan di masjid ini juga akan dilaungkan oleh muazzin berselang dengan azan di masjid utama itu. Apabila selesai muazzin dua masjid utama itu melaungkan Allahu Akbar Allahu Akbar, barulah muazzin Masjid Şemsi Paşa  melaungkan azannya.

Banyak pengalaman saya bersama Fatih Kayacan, Islam Demirci dan rakan-rakan yang lain di Masjid Şemsi Paşa ini.

“Ok, ya Ville. Sebentar sahaja kami solat” saya memberitahu.

“Tidak mengapa. Saya ada di taman ini. Selesaikan solat kamu dengan sempurna” pesan Ville.

Beliau berlegar-legar di taman, memerhatikan batu nesan makam Sadr-ı Azam Şemsi Paşa di situ. Mempraktiskan Osmanlıca yang kami pelajari di kelas, barangkali.

Saya dan Zacky bersolat bersama. Kami menunggu seketika dan kemudian azan Isyak berkumandang dan solat Isyak ditunaikan bersama jemaah di masjid. Alhamdulillah. Saya pasti merindui pengalaman ini. Jika ada Sebahadin ada, tentu lebih sempurna. Program Summer School anjuran IBA ini disertai oleh ramai peserta non Muslim. Walaupun saya berada di Istanbul, namun keseluruhan program kami berada dalam suasana yang memerlukan saya mempraktiskan kembali Fiqh of Travelers seperti semasa bermastautin di Ireland dahulu.

Kebetulan pula, di kawasan Validebağ, tiada masjid yang berdekatan. Selalunya saya akan solat berjemaah dengan Zacky dan Sebahadin di surau kecil di basement hostel penginapan kami. Surau itu juga menjadi tempat saya membaca al-Quran, mengulang kaji pelajaran, terutamanya apabila Eric, rakan sebilik saya mengajak rakan-rakan peserta wanita bertandang ke bilik. Selalunya mereka akan berbual-bual tentang pengajian, dan sesekali menonton filem Ukraine dan Bulgaria bersama.

Saya lebih selesa duduk sahaja di surau sehingga selesai kerana biasanya pada jam 11 malam, Eric akan tidur. Ertinya aktiviti-aktiviti bersosial juga sudah selesai. Kelakar juga sudah tua-tua, perlu berhadapan dengan urusan sebegini. Seperti yang biasa pelajar kita di negara Eropah atau Amerika Syarikat hadapi apabila berkongsi bilik dengan rakan non Muslim. Dan oleh kerana Summer School kami hanya sekitar sebulan, saya lebih selesa memberikan ruang untuk Eric bersama Gemma dan Jenipher, juga sesekali Ville turut serta, berdiskusi di bilik saya tanpa gangguan.

Kadang-kadang terfikir juga saya.

Apabila non Muslim minum bir Efes, ia tidak menjadi mereka orang jahat sebab minum bir adalah sesuatu yang normal bagi mereka. Tetapi apabila seorang Muslim mahu minum bir, dia perlu menjadi orang jahat kerana dia meminumkan dalam keadaan sedar bahawa ia perbuatan yang menyalahi peraturan agama.

Persefahaman antara kami juga, menyebabkan Eric dan rakan-rakan yang lain, dengan sendiri pandai menyesuaikan diri. Mereka minum bir dengan cermat, tidak menggunakan katil saya, dan Ville biasanya akan mengutip tin bir itu untuk dibuang ke bakul sampah di luar bangunan agar tidak ‘mengganggu’ saya.

iba-topkapi

Selesai solat, saya dan Zacky pergi mendapatkan Ville semula.

“Apa khabar kamu, Ville?” saya bertanya.

“Oh, bagus sahaja. Saya rasa tenang berada di taman ini. Bangunan ini dibina oleh Mimar Sinan ya?” jawab Ville, bersama sebuah pertanyaan.

“Sefaham saya begitulah” saya menjawab.

Mengkaji seni bina bangunan mempunyai kaitan yang dekat dengan idea Islah dan Tajdid. Salah satu sebab mengapa dakwah Islah perlu berlaku dari satu masa ke satu masa, adalah untuk menjernihkan perbezaan di antara adat dan tuntutan agama. Jika kita lihat di Turki, desain Masjid yang begitu gah dengan kubah-kubahnya, biar pun cantik, ia boleh menjadi masalah di dalam konteks tempat dan masa yang berbeza.

Misalnya di Singapura, kubar merupakan masalah kepada masjid dari aspek seni bina. Selain memerlukan kos yang lebih mahal, bahagian yang menghubungkan kubah dengan bangunan utama masjid sering mengalami kebocoran dan sekali lagi ia tidak efektif untuk kos. Apatah lagi di negara seperti Singapura, komiti masjid perlu bekerja keras untuk mengumpul dana pentadbiran masjid.

Maka idea Islah dan Tajdid yang menyeru kepada keaslian mesej agama, akan mendorong wacana pada menganalisa sejaran seni bina masjid. Nyata sekali, kubah bukan sebahagian daripada pengertian masjid. Masjid boleh wujud tanpa kubah. Dan ada kubah yang menghiasi gereja, bukan eksklusif kepada masjid.

Ertinya sebuah masjid boleh dibina tanpa kubah, tanpa mencacatkan definisi dan fungsi masjid.

Sebab itulah masjid generasi ketiga di Singapura banyak yang tidak berkubah. Ini adalah untuk mengoptimumkan wang yang hendak dibelanjakan bagi pembinaan sesebuah masjid. Cuma menara masih dikekalkan dengan lambang bulan bintang, agar masyarakat sekeliling tahu ia adalah bangunan masjid dan bukan pusat komuniti.

Namun semasa di Bursa tempoh hari, Eric ada menyuarakan pendapatnya tentang masjid.

Perbualan kami bermula apabila saya bertanyakan perasaan mereka masuk ke masjid. Bukan apa, lawatan kami banyak sangat ke masjid. Takut-takut mereka bosan. Ingin juga saya mendengar maklum balas rakan-rakan non Muslim ini.

bursa

“Saya suka dengan masjid di Bursa, lebih daripada masjid di Istanbul. Di Istanbul, mungkin kerana ada motif persaingan dengan Aya Sofya, masjidnya agak show off. Seperti berlebih-lebihan pada ukiran, warna, walaupun sains di sebaliknya architecture masjid Uthmaniyyah di Istanbul memang jaw-dropped.” kata Eric.

“Betul. Dan uniknya masjid ialah ia tidak menjadikan kita rasa kecil, sempit, terhimpit, tenggelam, sebagaimana perasaan kita apabila masuk ke gereja atau Cathedral. Semasa saya kecil, masuk ke Cathedral adalah sesuatu yang menyeramkan. Saya rasa ia mungkin berpunca daripada patung-patung yang banyak, serta desain gereja yang tidak meraikan warna serta pencahayaan” tambah Jenipher, rakan kami dari Kanada.

“Kami tidak jemu melawat masjid-masjid ini sebab setiap satunya ada sejarah yang tersendiri. Memahami sejarah di sebalik seni bina, adalah rutin biasa seorang sejarawan” ulas Gemma, pelajar PhD dari Birmingham.

Saya seronok mendengar perkongsian mereka semasa lawatan kami ke Bursa tempoh hari. Malah Eric menambah, katanya walaupun beliau suka dengan kesederhanaan masjid-masjid di Bursa, namun tidaklah sampai mengorbankan nilai seni dalam pembinaan sesebuah masjid. Eric memberikan contoh masjid-masjid baru yang dibina di Bosnia Herzegovina.

“Apabila Wahabi memanifestasikan idea puritanism mereka dalam seni bina, masjid-masjid yang Arab Saudi bina di Bosnia sangat hambar, berwarna putih dan mencacatkan keharmonian masjid itu dengan alam sekitar Bosnia yang sangat indah. Itu pandangan peribadi saya” kata Eric.

Saya bersama Zacky dan Ville beredar ke hostel. Kami menaiki teksi untuk menjimatkan masa. Perbualan malam tadi memberi semangat kepada saya untuk menyempurnakan pengajian sarjana ini. Projek Mu’arrikhun mungkin kedengarannya seperti mimpi. Tetapi seperti yang pernah diungkapkan oleh Albert Einstein bahawa “imaginasi adalah lebih penting daripada ilmu.”

Biar pun hal ini diperdebatkan dengan panjang lebar oleh peminat falsafah, bagi saya kata-kata itu ada konteksnya yang tersendiri. Dan dalam membicarakan projek ‘gila’ seperti Mu’arrikhun, imaginasi dan keberanian bermimpi adalah permulaan yang penting. Dan saya tidak akan melagakannya dengan kepentingan melangsaikan pengajian hingga ke PhD.

muarrikhun

Tambahan pula dengan jaringan yang terbentuk melalui Summer School di Istanbul ini. Saya kini sudah mengenali sejarawan Dawlah Uthmaniyyah dari seluruh dunia. Di tanah air pula, rakan-rakan sepengajian saya adalah tenaga sokongan terbaik untuk menjayakan Mu’arrikhun. Saya ada Hanafi, Wan Saifullah, Zahir, Taufik, Hazeni, Haniza, Kak Intan, Kak Azlina, Ustazah Naziefa, juga Abdullah dari Kurdistan yang kesemua mereka adalah pelajar sarjana Sejarah dan Tamadun Islam yang cemerlang.

Demikian juga guru-guru kami pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

Moga hubungan kami terus akrab dan kerjasama intelektual bersama hati yang tulus dalam mencintai ilmu, kami dapat memainkan peranan yang efektif pada membumikan ilmu sejarah.

Ameen.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Giliran Malaysia Memuliakan Saudara Turkinya

“Allahu Akbar. Tuhan Maha Baik kepada kita semua” saya menggosok-gosok muka. Seperti tidak percaya, Fatih …

4 comments

  1. muhammad hanafi kad rusman

    semoga Allah merahmati perjuangan kita….azam saya ingin menjadi profesor dan memberi kontribusi untuk masyarakat…InsyaAllah…terima kasih ustaz Hasrizal sebagai guru, teman, ketua kelas dan mentor yang saya hormati…

  2. Salam. Teruskan perjuangan ustaz..moga Allah memberkati segala cita-cita dan usaha murni ustaz dalam mamastikan Mu’arrikhun sebagai realiti. Usia hampir 40 tahun itu bukan terlalu lewat..Rasululllah juga diangkat menjadi Rasul pada umur mencecah 40 tahun, dan berjaya melaksanakan seruan dakwah dengan begitu baik dalam tempoh hanya 13 tahun, sehingga sampai nikmat manisnya Islam kepada kita hari ini.Selagi hayat dikandung badan..’fa’iza a’zamta fatawakka a’lallah’. All the best ustaz..barakallahufik a’la kulli hal. Doa’ kami semua sentiasa bersama..moga Islam terus maju.Ameen..

  3. Slm.moga Allah rahmati ust & semua sekali.sy tertarik dgn kajian-kajian sejarah ust ceritakan di dalam mana-mana travelog tarbiah ust.Sy seorang pljr di IPTA & trlibat dgn Pasukan Latihan Pegawai Simpanan(PALAPES).Sy memamg minat dlm ilmu ketenteraan.Namun,pada pandangan sy terdapat beberapa perkara yg sy kurang berkenan mengenai cara didikan tentera kita.Mungkin perkara tersebut dah jadi budaya semenjak zaman berzaman.Sy cuba mengkaji bagaimana cara-cara didikan tentera Islam kita dididik terutama zaman Sultan al-Fateh dan dikaitkan dengan zaman kita sekarang untuk dicontohi.adakah perkara tersebut sesuai atau tidak?itu yg menjadi persoalan sy sekarang.terima kasih

  4. Adil Saifullah

    Assalamualaikum ustaz Hastizal alhamdulillah isteri saya selamat melahirkan anak lelaki pada pukul 8.30 malam tadi, saya dengar rendah diri memohon agar ustaz dapat mendoakan kebaikan untuk anak ini. Anak ini bernama ‘Umar..doa ustaz saya dahulukan dengan ucapan syukran jazilan,jazakallah khairan jazak..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.