Dalam Nasihat Menasihati Jangan Patah Hati

noisy

“Ana tak mampu lagi, sheikh. Anta sambung pula” kata sahabat saya.

Beliau menyerahkan mikrofon dan saya mengambil alih sesi.

Pagi itu kami belajar pengalaman baru. Kami dikehendaki menyampaikan ceramah motivasi kepada 400 orang pelajar di dewan besar sekolah. Tiada guru pengiring. Hanya kami berdua mengendalikan 400 pelajar.

Pelajar pula bukan sebarang pelajar.

Sepanjang sahabat saya berbicara, dengan 1001 seni bicaranya, para pelajar berbual-bual, baling-baling kapal terbang kertas, tuju-tuju plastik pembungkus roti, malah ada yang nekad pergi ke belakang pintu lipat dewan dan berbual dalam kumpulan masing-masing.

Masakan tidak, selain suara pelajar berbual dan bergurau yang memenuhi dewan, mikrofon pula dengar tidak dengar.

“BAIK!!!” saya bersuara.

Dengan sengaja, saya tinggikan suara.

Muka senyum, walaupun hati sudah seperti jurulatih harimau sarkas.

Saya sambung ceramah sekitar 10 minit berselang seli soal jawab dan interaksi dengan beberapa puluh orang pelajar yang masih cuba memberikan tumpuan. Kemudian majlis berhenti rehat.

Berlari-larilah para pelajar meninggalkan dewan seperti banduan memanjat tembok penjara yang runtuh.

“Nak buat macam mana ya?” saya bertanya kepada rakan.

“Ana tak boleh dah, sheikh!” beliau jujur menjawab.

“Tak apalah. Lagi pun anta penat drive. Biar ana handle sepenuhnya sampai habis petang nanti” saya menawarkan diri.

Setiap kali mengendalikan program motivasi seperti itu, kami sudah sedia menagih-agihkan tajuk untuk dibawa. Tujuannya adalah mengimbangkan tenaga, dan mempelbagaikan gaya serta intonasi penyampaian. Tetapi apakan daya, rakan saya perlu mengutamakan tenaga untuk memandu pulang. Justeru biarlah saya cuba, setakat yang saya mampu.

SESI KEDUA

Apabila sesi kedua bermula, para pelajar telah terlebih dahulu berceramah sesama mereka, sebelum saya membuka majlis.

“OKAY!!!” saya meninggikan suara.

“Saya memberi peluang kepada kamu untuk tidak melakukan dua dosa dalam satu masa. Jika kamu bising ketika saya bercakap, kamu menyakiti saya serta rakan yang mahu mendengar, dan itu dosa. Keduanya, kamu membuang masa kamu. Itu juga dicela agama. Saya beri peluang, siapa yang hendak dengar baki penyampaian saya, sila ke baris hadapan dan siapa yang ada benda lain nak bincang sesama kawan, sila ke belakang!” saya menerangkan peraturan baru ceramah kali ini.

Pelajar tergamam seketika.

Tanpa rasa malu, mereka menyambut tawaran saya. Sekitar 100 pelajar bergerak memenuhi kerusi hadapan manakala yang lain bergerak ke belakang. Malah yang terus keluar meninggalkan dewan pun, saya buat tidak nampak sahaja. Saya kasihan dengan pelajar yang mahu mendengar. Mereka dizalimi kawan-kawan mereka yang huru-hara itu.

Malah kami semua di dalam ini, dizalimi oleh pihak sekolah yang sebaik sahaja majlis bermula, guru pergi meninggalkan dewan dan tidak memantau tingkah laku pelajar mereka di hari itu.

Saya menggunakan sepenuh ‘kepakaran’ untuk tidak mempedulikan kerenah pelajar di belakang. Hanya di hujung mata, saya nampak mereka membaling kertas, ketawa kuat-kuat seperti sengaja mencabar saya dan terus menerus mengurniakan kami antara pengalaman terpahit sepanjang mengendalikan program di sekolah.

Tumpuan adalah kepada pelajar di baris hadapan.

Biar pun program itu penuh sedewan dengan lebih 400 pelajar, bagi saya peserta program ini hanya 100 dan jumlah 100 itulah usaha dan doa kami semua bertemu jodoh, untuk membina harapan yang lebih baik untuk mereka dan kehidupan mereka. Kami hanya orang asing yang singgah selama 5 jam dalam hidup mereka.

Habis program, saya hampir menitiskan air mata melihat lantai yang penuh dengan sampah.

Tetapi ucapan terima kasih 100 orang pelajar di baris hadapan, ada yang muka merah padam memohon maaf bagi pihak kawan-kawan mereka, dan semua saling memberi penghargaan di hujung program, mengubat rasa letih kami.

Mujurlah malam itu kami dijamu gulai tempoyak ikan istimewa dari sungai oleh rakan yang tinggal berdekatan.

“Makan betul-betul. Lepaskan geram pada ikan itu. Cucuk matanya. Patahkan tulangnya!” kata kawan kami.

Mengusik, kerana mahu mentertawakan sahaja pengalaman ‘brutal’ siang tadi.

DITERTAWAKAN

Mentertawakan nasihat adalah amalan jahiliah lagi keanak-anakan.

Maka, hindari rasa letih memberi nasihat, tumpukan perhatian kepada yang masih istiqamah dengan niat asal semua. Dalam kebisingan masyarakat yang tidak henti-henti bertelagah, berdebat dan memperlekehkan amalan nasihat menasihati, jangan sampai pendakwah patah hati.

Jangan kerana 300 buat bising, 100 yang mencari, kita tinggalkan.

88_21-22Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu). [Al-Ghashiyah 88: 21-22]

Jangan patah hati.

Teruskan melangkah, jangan berhenti.

Coretan ringkas yang sifatnya lebih kepada menasihati diri sendiri.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

10 comments

  1. AlhamdulillLah, terima kasih atas peringatan ini. Saya juga hampir trauma dan goyah keyakinan apabila berhadapan dengan situasi yang serupa. Rasa bersemangat balik… cewah

  2. Ana rasa ustaz, pengalaman sebegini patut kita ceritakan kepada BADAR di sekolah-sekolah.

    Ana dulu Presiden BADAR di MRSM Taiping. Dalam 700 orang pelajar dari tingakatan 4 dan 5, hanya sebahagian kecil sahaja yang tidak mahu mendengar tazkirah dan nasihat ketika sesi tazkirah di surau. Mungkin bilangannya tak sampai suku pun dalam 700 itu. Namun, runsing dengan bilangan yg kecil itu. Sedangkan, ramai lagi yang mahu mendengar nasihat yang diberikan.

    Artikel yang baik untuk memberikan semangat kepada kita semua. Moga Allah tetapkan hati kita dalam berdakwah.

    🙂

  3. Inilh ‘pengalamn’ yg perlu setiap guru hadapi setiap hari. Tdk mudah mbentuk kemenjadian manusia.

  4. Abdullah Zahidi b Ab Halim

    Mengendalikan 150 orang pelajar setiap hari selama setahun memberi pengalaman yg sgt berharga. Permulaan rasa mcm diperbodohkan. Ingat sy ni “tuhan” yg boleh mengubah manusia hanya dgn bukaan mulut yg pertama….Hari demi hari sy tempuhi. Membuang rasa geram, diganti dgn usaha. Agar hati terus ceria dan gembira. Fokus pd yg sudi menerima agar hati terus kuat utk menempuh mrk yg xsudi menerima….Semoga sy tidak dituakan dgn masalah itu 🙂

  5. pengalaman ringkas yang penuh dengan manfaat. Terima kasih atas perkongsian ini.

  6. Amat terasa..melihat gelagat dan suasana yang ust gambarkan..Ana bermati-matian “Memerah” istighfar dalam kepanasan kejahilan dan kekeringan hati dalam merinduiNya di tepi dinding “sekolah” ini.(bukan mcm yahudi tu)..namun mengapa mata ini dilanda kemarau berpanjangan? Azab rasanya perbuatan mempermain2kan perasaan ini ustaz,,,tidak menyangka ia jd sebegini

  7. Suatu “motivasi” yang amat baik d sebalik pengalaman pedih. Teruskan menyumbang buat mereka yang “100” ini…

  8. Terima kasih ustaz

    amat kena dengan situasi saya sekarang

    terima kasih

  9. Tahniah buat ustaz…semoga ustaz akan terus diberikan kekuatan dalam membimbing anak bangsa…sesungguhnya individu yg dibelenggu keegoan adalah golongan yang rugi & semoga kita semua tergolong dalam golongan insan yang beruntung…amin 😉

  10. situasi begini saya pernah melalui dahulu..

    tahniah buat ustaz kerana masih bersabar melayan karenah mereka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.