Mengadabkan Orang Mengaji

قال يا موسى إني على علم من علم الله علمنيه الله لا تعلمه وأنت على علم من علم الله علمكه الله لا أعلمه

“Wahai Musa, sesungguhnya aku mempunyai ilmu daripada ilmu Allah yang diajarkan-Nya Dia kepadaku yang tidak engkau ketahui. Dan engkau pula mempunyai ilmu daripada ilmu Allah yang diajarkan-Nya Dia kepadamu yang tidak aku ketahui!” kata Khidir.

Hamba Allah yang soleh itu disifatkan sebagai seorang yang lebih mengetahui, berbanding Musa.

Musa menempuh perjalanan yang panjang mencarinya.

Khidir, yang bakal mengajarnya sesuatu yang tidak diperolehinya daripada guru yang lain.

Musa amat berkehendakkan bimbingan Khidir.

Tetapi Khidir memposisikan Musa pada tahap yang istimewa. Bukan tinggi atau rendah, tetapi SAMA.

Antara yang mengajar dan yang belajar, bukan antara yang lebih tahu dengan yang kurang tahu. Tetapi kita boleh saling belajar antara satu sama lain.

Ia seperti akhlaq Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Biar pun Baginda seorang Rasul, murabbi, guru, semulia-mulia insan dan makhluq ciptaan Allah, Baginda membahasakan mereka yang belajar dengannya sebagai SAHABAT.

Bukan murid, bukan orang suruhan, bukan orang bawahan. Jauh sekali untuk mereka itu disuruh mencium tangannya atau memuliakan Baginda, lebih daripada hakikat yang paling Baginda gemari, bahawa dirinya adalah ABDUHU dan RASULUHU.

Hamba-Nya.

Utusan-Nya.

Semasa Khidir dan Musa memulakan perjalanan mereka, Hadith  3220 di dalam Sahih al-Bukhari menyambung kisah.

فلما ركبا في السفينة جاء عصفور فوقع على حرف السفينة فنقر في البحر نقرة أو نقرتين قال له الخضر يا موسى ما نقص علمي وعلمك من علم الله إلا مثل ما نقص هذا العصفور بمنقاره من البحر

Datang seekor burung, hinggap di tepi kapal yang mereka naiki. Burung itu mematuk setitik atau dua titik air laut yang yang luas.

Khidir menarik perhatian Musa.

“Wahai Musa, tidaklah ilmuku dan ilmumu mengurangkan apa-apa daripada ilmu Allah seperti titisan air oleh patukan burung itu tadi berbanding air laut yang luas ini” ujar baginda.

Khidir menetapkan asas yang tiada khilaf, bahawa kita semua perlu menginsafi kelemahan diri. Biar bertambah sebanyak mana pun ilmu, kita masih dan kekal hamba-Nya. Jangan lupa merendah diri.

Andai ilmu itu diumpamakan seperti air, maka sudah tentu tanah yang paling rendah, bakal menakung air terbanyak. Rendahkanlah diri, nescaya rahmat Allah akan berpihak. Beroleh kurnia ilmu yang membentuk akhlaq.

TIADA SUBJEK KHUSUS

Apabila kita belajar agama secara formal di universiti-universiti, tidak ada subjek yang khusus mengajar tentang akhlaq, tentang adab. Tiada subjek bernama AKHLAQ 101. Pengajian akan langsung menjurus kepada menghuraikan disiplin-disiplin ilmu serta tidak mensesiakan masa melainkan mesti diguna untuk menguasai ilmu dan faham akan butiran maksudnya.

Jika akhlaq tidak diajar, di manakah pelajar ini boleh belajar tentang akhlaq?

Siapa yang mahu mengadabkan mereka?

Atau dibiarkan sahaja mengaji menjadi pandai, tetapi akhlaq tidak terbeza daripada yang jahil tidak mengaji?

Terkenang saya kepada guru-guru yang pernah mengajar kami. Ramai dari kalangan mereka, dalam mengejar silibus untuk disempurnakan pengajaran dan pembelajaran sebagai amanah, mereka akan mengadabkan kami, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Secara sedar atau sebaliknya.

Belajar ilmu bukan sekadar belajar ilmu dan mengajarnya pula.

Ilmu mesti beriring dengan Rahmat Allah.

Ilmu penunduk, yang menundukkan mereka yang mempelajarinya agar merendah diri, dan mulia diri sejajar dengan bertambah pengetahuan yang dipelajari.

TANGGUNGJAWAB PENGAJAR

Di dalam masyarakat kita hari ini, para ustaz, pendakwah, pensyarah, guru, ada tanggungjawab bukan hanya pada memandaikan hadirin dengan ilmu yang diajar, tetapi masyarakat mengaji ini perlu kepada adab.

Mereka perlu diadabkan.

Dengan adab seorang guru.

Jangan nanti menjadi kebiasaan, yang lebih mengajinya, kurang beradab pula.

Khidir mengadabkan Musa.

Kita membiadabkan massa.

HASRIZAL
43000 BSP

 

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

8 comments

  1. Menjadi gelas yang kosong, bukan gelas yang penuh~

  2. ibtisammohamad

    Orang tua-tua berkomentar (saya dengar kat balik pintu) : Sekolah tinggi tapi tak cerdik…inilah mesej Ustaz ya…Moga Allah rahmati kita dengan ilmu dan adab…

  3. Ilmu dan zikir…

  4. Masa sekolah agama dulu, subjek akhlak lah yang paling mudah hendak score jika hendak dibandingkan dengan subjek-subjek lain seperti, muamalat, faraid, tauhid, bahasa arab, ibadat, Al Quran dan juga Sirah.

    Namun dalam dunia sebenar tidak begitu kan ustaz. Akhlak memang mudah untuk dipelajari tetapi hakikatnya sangat susah untuk diamalkan. Susah sangat… sebab tu ramai yang berilmu tapi makai ramai yg krg beradab.

    Jzk khair Ustaz

  5. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    Teringat semasa mengaji quran dengan sorang guru al-quran di Kelantan. Alhamdulillah, ana sempat lalui saat tu…Adab menghormati guru, dicernakan memalui khidmat yang diberikan oleh anak murid seperti menyapu halaman rumah guru, beri makan haiwan ternakan guru, dll. Guru mengajar tanpa syarat, dan murid menawarkan khidmat-khidmat tersebut sebagai terima kasih atas keikhlasan guru……Cantek sungguh….

  6. saya pernah ditegur oleh warden cikgu perempuan yg dtg ke dorm membuat spot check. Kata cikgu tu, “kalau gaya lipat selimut macam ni, ada hati nk jaga anak dara orang.”

    hakikatnya belakang rumah cikgu tu sendiri penuh berdaki dengan habuk sampai hitam berminyak. masa kecik dulu, sy panjat tingkap rumah utk lap kotor daki2 habuk tu walaupun mak tak pernah suruh.

    cikgu tu ckp tanpa memandang dirinya sendiri. dan jika saya diberi peluang berjumpa dgn cikgu tu, pasti saya akan memintanya mengajarkan saya bagaimana cara melipat selimut dengan betul kerana sehingga kini saya belum pun menjaga anak dara org.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.