Pengkhianatan Ilmu di Pentas Ceramah

“Penceramah berceramah sesuka hati. Tidak berhati-hati dengan kesan percakapannya!” keluh Prof di dalam kelas.

Saya termenung.

Banyak kebenarannya.

Saya sendiri sedang ada dua kaki, sebelah di dalam gelanggang akademik, sebelah lagi di gelanggang ceramah. Gelanggang yang sering menjadi sasaran kritikan para ahli akademik di universiti. Mungkin sikap kita yang kurang menghormati kebenaran, hingga kita cuai dalam meneliti butir percakapan.

Prof Wan Kamal menegur sikap penceramah yang mengungkapkan makna Jahiliah pra perutusan kenabian Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Wa’d al-Banaat (menanam mati anak perempuan), sejauh manakah ia menguasai imej zaman Jahiliah itu? Banyakkah? Hingga jadi fenomena massa.

Demikian juga soal kejahilan masyarakat Arab Jahiliah, tidak berilmu, tidak bertamadun, yang kesemuanya bercanggah dengan apa yang dipaparkan oleh perincian sejarah. Saya menginsafi nasihat Prof. Dalam usaha keras saya untuk tidak terjebak dalam gejala tersebut, sekali sekala saya terbabas juga.

Kemalangan orang banyak bercakap.

ISU JUAL BELI TANAH PALESTIN

Teringat saya kepada satu contoh yang diberikan oleh Sheikh Muhammad Muhammad Hasan Shurrab di dalam bukunya Fi Usul Tarikh al-Arab al-Islami (1993) berkenaan hal ini. Ia berkaitan dengan kedudukan bumi Arab di Palestin.

Sheikh Shurrab menjelaskan isu tanah di Palestin mempunyai dua krisis, satu yang lama, kedua yang baru.

Ada pun yang lama, adalah dakwaan Zionis bahawa Arab yang menduduki bumi Palestin hari ini adalah keturunan Arab yang ‘menawan’ Palestin dalam al-Fath al-Islami di era Umar bin al-Khattab. Tujuannya adalah untuk membuktikan bahawa Arab tidak berhak ke atas tanah Palestin kerana sebelum al-Fath al-Islami, kaum Yahudi sudah menduduki tanah itu sebagai penduduk asal.

Manakala krisis baru pula, merujuk kepada propaganda yang disebarkan oleh Zionis sendiri pada tahun 1948 bahawa orang Arab di Palestin telah menjual tanah mereka kepada Yahudi dan sudah pun mendapat bayaran mereka. Tujuannya adalah untuk menyelitkan unsur mengaku salah kerana menceroboh di peringkat awal, tetapi kemudiannya sudah membeli tanah Palestin secara sah dan kerelaan. Ertinya orang Arab di Palestin itu berhijrah bukan daripada tanah milik mereka lagi sebagai MANGSA, kerana pertukaran hak milik sudah berlaku secara sah dan kerelaan hati.

Fitnah di sebalik dakwaan ini adalah untuk menimbulkan permusuhan sesama orang Palestin dan di kalangan Palestin di kaca mata Arab dan Muslim lain, bahawa apa yang berlaku di Palestin adalah hasil kesilapan dan kecuaian mereka sendiri.

Mengaibkan saudara sendiri!

Saya bermuhasabah.

Saya juga pernah memetik kisah ini.

Tentang jualan limau yang merosot. Penduduk Palestin kerugian. Mereka menjual tanah, mengabaikan larangan alim ulama. Dan bermulalah segala bencana di bumi Isra’ itu.

Allah Allah!

Ia dramatik. Sedap didengar. Namun sejauh mana kebenarannya? Sheikh Muhammad Muhammad Hasan Shurrab menjelaskan kaedah disiplin Sejarah dalam melakukan sintesis ke atas isu yang tersebar luas ini. Saya fokuskan kepada krisis kedua.

KAEDAH EMPIRIKAL

Beliau menegaskan bahawa propaganda ini disuntik masuk oleh perisik Zionis dan tersebar melalui lisan kaum bijak pandai dan ahli fikir Arab sendiri, yang termakan racunnya. Dakwaan ini perlu dibuktikan secara empirikal dan rujukan adalah kepada dokumen-dokumen rasmi berkaitan urusan jual beli tanah Palestin yang wujud untuk dikaji. Hasilnya:

  1. Jumlah keluasan tanah Palestin adalah sekitar 27 juta ekar
  2. Jumlah tanah yang dimiliki oleh Yahudi hingga ke era Mandat British adalah 1,588,365 ekar iaitu sekitar 6.5% daripada jumlah keseluruhan Palestin
  3. Jumlah tanah yang berpindah milik daripada orang Palestin kepada Yahudi tidak mencecah kadar suku juta ekar iaitu 1/8 daripada apa yang berjaya diperolehi oleh Yahudi
  4. Adapun 7/8 bahagian berbaki yang berjaya dimiliki oleh Yahudi, ia terhasil melalui tiga sumber iaitu pemerintah Turki, Kerajaan Mandat British serta peniaga hartanah asing yang tidak mempunyai sebarang pertalian darah atau kekeluargaan dengan penduduk Palestin. Kebanyakan mereka adalah golongan aristokrat Syria dan Lebanon.

Tanah-tanah lain yang jatuh ke tangan Zionis adalah rentetan pertumpahan darah antara penduduk Palestin, yang tidak sama sekali dengan sewenang-wenangnya membiarkan tanah air yang mulia itu dijual secara mudah.

KEINSAFAN

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. [Al-Hujuraat 49: 6]

Hal ini menginsafkan saya betapa rendahnya amanah ilmu semasa kita yang begitu mudah menerima atau menolak, tanpa memikirkan risiko ‘gebang’ kita dalam ceramah. Penceramah berceramah dengan sesedap bicara, tanpa meneliti kesahihan fakta, yang bukan hanya penting pada apa yang mahu disabitkan kepada Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, tetapi terhadap apa sahaja yang namanya KEBENARAN!

Itu FAKTA!

FENOMENA ZAMAN BERZAMAN

Seawal 1540’an, tokoh ensiklopedialist Muslim, Taşköprülüzâde Ahmet Efendi  telah menyuarakan kegusaran beliau tentang kemerosotan nilai kesarjanaan di kalangan ilmuwan Dawlah Uthmaniyyah. Golongan agamawan tidak lagi berdamping dengan buku-buku teras, sebaliknya mengangkat diri mereka sebagai ulama’ hanya dengan selesai membaca kitab-kitab ringan dan sampingan. Mereka lebih cenderung kepada aktiviti-aktiviti populis seperti bersajak dan bersyair, berceramah dan bercerita. Malah kegiatan itu juga tidak lebih daripada sekadar mengejar habuan duniawi.

Sedikit sebanyak pemerhatian Taşköprülüzâde itu juga terpalit kepada Imam Birgivi apabila beliau melihat Imam Birgivi sebagai seorang yang tidak kukuh kesarjanaannya. Masakan tidak, andaikata seruan Imam Birgivi kepada mematuhi al-Quran dan al-Sunnah serta menjauhi bid’ah itu menjadikan beliau terkait dengan tokoh seperti Ibn Taimiyyah, Imam Birgivi tidak membicarakan secara falsafah tentang idea-idea yang diseru.

Beliau lebih tertumpu kepada mengemukakan saranan nasihat dan teguran kepada aktiviti-aktiviti harian yang dilakukan oleh anggota masyarakat.

Pemerhatian Taşköprülüzâde itu juga mempengaruhi pandangan Halil İnalcık tentang Imam Birgivi dan legasinya.

Syukur Alhamdulillah, pembacaan lanjutan dan kajian terkini oleh ramai pihak memperlihatkan sebaliknya. Biar pun Imam Birgivi meninggalkan dunia kerjaya dan pusat akademik di Istanbul, lalu berhijrah ke Birgi sebagai pendakwah, seruan-seruan beliau di masjid-masjid tidak menggadai komitmen terhadap amanah ilmu. Imam Birgivi berada di lingkungan awam, bukan kerana menjauhi tuntutan kesarjanaan, tetapi mahu memposisikan dirinya sebagai da’i yang dekat dengan masyarakat, menyeru kepada yang ma’ruf dan menjauhkan ummah daripada kemungkaran yang membinasakan.

Demikian juga Edward Said telah menyatakan di dalam karyanya Representations of the Intellectual tentang erti menjadi seorang sarjana. Golongan intelektual mestinya menyampaikan pemikiran tentang sesuatu perkara bukan hanya untuk sekadar ia dibentangkan, tetapi dapat digarap dan dimanfaatkan oleh masyarakat.

Justeru golongan intelektual mestilah memposisikan dirinya secara merdeka daripada kecenderungan pemerintah atau mana-mana pihak yang berkepentingan.

Dengan itu, saya bertekad untuk kembali ke kerusi pengajian. Mahu kembali memurnikan diri agar masyarakat tidak dimangsakan oleh keenakan bicara tentang agama yang semakin laku di sana sini. Saya cuba untuk tidak bersikap terlalu pesimis.

Namun sikap saya mesti bersandarkan usaha.

Doakan saya.

Ampunkan saya ya Allah.

Maafkan saya duhai umat semua.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

12 comments

  1. Orang yang kami percayai akan keintelektualan dan kehati-hatian macam ustadz pun insaf, maka sewajarnya mesej keinsafan ini diambil oleh semua para penceramah. Sudah banyak kerosakan telah dibuat. Sudah banyak kekeliruan dicetus. Secara sengaja atau tidak sengaja. Orang ramai pula ternganga sahaja percaya.

    Mudah2an cetusan ini menginsafkan kita semua. Saya terutamanya. Terima kasih ustadz.

    • Ahlan ya akhi…

      Marilah kita sama-sama berusaha. Banyak amanah Allah di atas bahu kita bersama. Dan terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ni yang… (sambung sendiri, isk isk isk)

  2. Teringat ustaz-ustaz bercerita tentang ‘asal usul’ hari Valentine.

  3. amerika berkabung kerana ada penembak menembak kanak2..
    tetapi bila org lain tembak kanak2 di bumi itu kebanyakan mereka menyokong dan gembira..
    kita Dmana?

  4. Assalamualaikum.Mabruk yaa ustaz..moga usaha ustaz utk menginfakkan diri dalam dunia ilmu dan dakwah diredhai Allah. Keazaman dan usaha untuk amanah dengan ilmu adalah 1 nilai yg semakin berkurang dalam asatizah ummah pada hari ini. Mohon ustaz doakan saya dapat peluang untuk mengejar ilmu seperti ustaz. Seperti jejak ustaz di Izzuddin dapat saya rasa keberkatannya moga nanti dapat juga ke Tanah Anbiya demi ilmu dan ummah. Kakak saya sering mengingatkan saya untuk meneliti cara ustaz berdakwah dan bersiasah supaya lebih efektif dan diterima masyarakat umum.

    Mohon jika ustaz berkelapangan untuk ziarah ke blog saya..moga ada mutiara yang mampu ustaz kongsikan dengan saya.
    Jazakallah yaa ustaz 🙂

  5. Saya ada terbaca tentang penjualan tanah Palestin oleh orang Palestin di surat khabar tempatan. Tak pernah saya tahu kemudiannya atau jumpa mereka yg cuba mempertahankan Palestin tentang hal tersebut. Persoalan saya terjawab selepas entah berapa tahun. Barakallah fika.

    On topic: Hal yg sama juga saya perhatikan apabila bersama penceramah2 lain. Sakit hati mungkin apabila mendengar mereka berbicara tentang ‘hal agama’ tapi agak menyimpang dari ilmu semasa. Kadang2 keliru saya sombong atau saya yg lemah dalam memahami.

  6. Pisangpatah di kaki rijal

    Tanah palestin ibarat harta anak yatim(umat) yang dianiayai dan dijual kepada pembunuh…sedangkan tiadalah hak bagi pembunuh mewarisinya….”walaQad katabna fizzabur” surah alanbiya

  7. “Demikian juga soal kejahilan masyarakat Arab Jahiliah, tidak berilmu, tidak bertamadun, yang kesemuanya bercanggah dengan apa yang dipaparkan oleh perincian sejarah”

    Jadi, apakah yang sebenarnya yang terjadi. Saya bukan mintak spoon feed tapi sejarah ada pelbagai versi, dan versi umum dalam buku teks sejarah SPM dan pemahaman umum rakyat Malaysia ialah Arab jahiliyyah sememangnya begitu.

    Jika Ustaz tahu apa kami tak tahu, boleh kah Ustaz ulas lebih lanjut, atau sekurang kurangnya bagi kami reference mana yang patut di baca? Atau Prof mana yang boleh mengulas lebih lanjut.

    Versi yang saya tahu ialah Arab jahiliyyah mmg tak bertemadun tapi kisah Umar Al-Khattab menanam anaknya adalah tidak sahih. Jika ada versi lain mengenai Arab zaman pra Islam, mohon pencerahan. WA.

  8. Saya bersembang dengan pelajar PhD Kejuruteraan USM dari Gaza, Palestin memaklumkan bahawa tanah di Palestin dijual oleh Arab Saudi kepada Israel berpuluh tahun sudah. Bagaimana pendapat Ustaz?

    • Seperti biasa, kita sama-sama memerlukan bukti untuk mengesahkan dakwaan. Sangat bagus jika dapat dikongsikan.

  9. maaf saya ketinggalan bas … di mana saya boleh dapatkan gambaran sebenar masyarakat Jahiliyyah Arab pra-Nabi Muhammad saw?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.