Memahami Jurang Antara ‘Islam Sepatutnya’ Dengan ‘Islam Amalan’

ruangdakwah

Apabila saya belajar Syariah, saya belajar Islam versi Islam yang SEPATUTNYA.

ISLAM SEPATUTNYA bermaksud, Islam sebagaimana yang diterangkan oleh teks.

Nas al-Quran, nas al-Hadith. Bersama kupasan, analisis oleh para ilmuan Syariah sepanjang zaman.

Seorang graduan Syariah seperti saya, serba sedikitnya arif tentang Islam sebagaimana yang sepatutnya diamalkan. Islam yang saya belajar adalah ‘Meta Islam’.

Kerangka fikir saya ialah apabila Islam diamalkan, penilaian kepada amalan itu ialah sah atau tidak sah, berdasarkan tepat atau tidak tepatnya dengan teks Islam yang saya pelajari. Saya dikurniakan ijazah untuknya.

Apabila saya tamat zaman belajar, dan terjun sepenuh masa ke dalam masyarakat, berbekalkan ISLAM SEPATUTNYA yang saya pelajari itu, saya bertemu dengan ISLAM YANG DIAMALKAN.

Islam versi ini, adalah Islam yang saya jumpa dalam realiti kehidupan. Islam yang diamalkan oleh ahli keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan dunia seluruhnya. Adakalanya saya gembira kerana masyarakat mengamalkan Islam, versi yang serupa dengan Islam yang saya pelajari. Islam teks. Islam manual.

Maknanya betullah apa yang diamalkan itu.

Sah.

Sunnah.

Tetapi dalam banyak keadaan, saya bertemu dengan Islam yang berbeza dengan apa yang saya pelajari. Islam yang diamalkan berbeza daripada Islam yang sepatutnya itu tadi. Perbezaan itu adakalanya sedikit dan kecil. Adakalanya besar dan berjurang maut. Lain benar apa yang diamalkan, dengan apa yang dimanualkan.

Bukan sahaja kelainan itu menimbulkan musykil, kelainan itu juga amat pelbagai. Bukan satu kelainan, tetapi berbagai-bagai kelaianan.

Ada kelainan, yang menepati teks lain yang saya turut pelajari.

Ada kelainan, yang tiada teks atau manual yang boleh digunakan untuk mengukur kelainan tersebut. Jika tiada teks untuk menjustifikasikannya, tiada manual untuk mengesahkannya, maka salahlah apa yang diamalkan itu.

Batal.

Bid’ah.

Bagaimanakah saya patut menguruskan jurang di antara Islam yang sepatutnya, dengan Islam yang diamalkan?

Adakah jurang itu wujud kerana masyarakat tidak tahu hukum?

Mungkin juga.

Cuba terangkan hukum, mungkin mereka boleh mengubah Islam yang sedang diamalkan itu kepada Islam yang sepatutnya.

Oh, nampaknya mereka masih tidak boleh melakukannya.

Mengapa?

Persoalan ini, memerlukan kepada ilmu lain untuk menjawabnya. Ilmunya mungkin tidak dikupas di dalam ilmu Syariah. Malah ia mungkin tidak dikategorikan dalam ilmu Syariah, dan munasabah juga kalau sampai ke tahap ilmunya itu adalah ilmu yang dianggap bertentangan dengan Syariah.

Ilmu yang dimaksudkan itu adalah ilmu kemanusiaan.

tsaqafahinsaniyyah

Sheikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam karyanya Tsaqafah al-Da’iyah menamakan ia sebagai Tsaqafah Insaniyyah, yakni ilmu-ilmu kemanusiaan.

Ilmu yang membantu kita memahami manusia.

Islam yang kita seru itu, datang dari Allah. Justeru Islam itu sifatnya Rabbani.

Manakala manusia yang kita seru untuk menerima Islam itu, adalah manusia ciptaan Allah. Justeru manusia itu sifatnya Manusiawi.

Memahami Rabbaninya Islam, tetapi tidak memahami manusiawinya manusia, pendakwah baru bergerak separuh jalan. Tanpa memahami manusia, manusia mungkin menggunakan mentaliti ‘proven thinking‘ iaitu:

Saya fikir bahawa saya betul dan saya benar kerana saya ada Quran dalam diri saya. Apa-apa sahaja yang tidak bersesuaian dengan pendapat saya tidak betul kerana saya ada Quran dan selama ini saya diajar dengan izzah dan betul – jangan ragu dengan apa yang ada dalam diri. Saya jarang boleh silap. (Fazrul Ismail 2014)

Proven thinking‘ ini bukan sahaja tidak berupaya menjelaskan punca terjadinya Islam yang diamalkan berbeza daripada Islam yang sepatutnya, malah sudah tentu, kerisauan kita adalah pada kegagalan pendakwah mengemukakan solusi. Hadir bersama kegagalan yang berleluasa, bukan hanya pendakwah dan dakwahnya yang dianggap gagal menyelesaikan masalah, malah Islam itu sendiri yang dipersalahkan. Akhirnya lahir satu manual baru, yang mengklasifikasikan Islam sebagai teori-teori yang gagal.

Sheikh Yusuf al-Qaradhawi mahu pendakwah melapangkan dada, membina satu bentuk cara berfikir yang diperlukan untuk menepatkan cerakin pendakwah terhadap dakwahnya. Selepas memahami teks Islam, pendakwah perlu memahami subjek sasaran mereka, MANUSIA. Ilmu-ilmu tentang manusia ini, boleh membantu mengharmonikan ‘proven thinking’ berkenaan dengan ‘scientific thinking‘, yakni:

 Kalau dalam proses peneutralan asid dan alkali, seorang individu perlu tunggu berpuluh atau beratus titik asid untuk masuk ke dalam bikar berisi alkali dan baru bertemu dengan ‘titik kebenaran – neutral’. Scientific thinking menyatakan saya ini sentiasa silap kecuali satu kebenaran yang wujud dalam dunia ini.  (Fazrul Ismail 2014)

Ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memahami manusia adalah:

  1. Psikologi
  2. Sosiologi
  3. Ekonomi
  4. Falsafah
  5. Ethics
  6. Sejarah

Jurang di antara Islam yang sepatutnya, dengan Islam yang diamalkan, jawapan kepada mengapa terjadinya jurang itu boleh dicari dengan memanfaatkan ilmu-ilmu di atas.

Hakikatnya, tindak tanduk manusia tidak rawak. Bukan random. Sebaliknya tingkah laku manusia itu terikat kepada sebab musabbab, cause and effect, dengan variable yang sangat luas tetapi kekal sistematik. Ilmu-ilmu di atas adalah ilmu yang boleh digunakan untuk memahami sistem tingkah laku manusia berkenaan.

Sheikh Yusuf al-Qaradhawi juga peka, malah memperingatkan pendakwah agar sama-sama peka, tentang latar belakang sejarah serta epistemologi ilmu-ilmu ini. Tetapi janganlah kita begitu defensif hingga angkuh menafikan manfaat daripada ilmu-ilmu berkenaan yang umumnya berkembang masuk ke dunia moden hari ini melalui Eropah yang ‘membuang agama’.

APKLIKASI : KISAH ‘KENDURI ARWAH’

kenduriarwah

Kita ambil satu contoh. Saya seorang ustaz. Ahli Syariah. Saya buka teks Islam, kali ini namanya al-Sirah al-Nabawiyyah. Sampai bab Perang Mu’tah (8H), tatkala berita terbunuh syahidnya Ja’far bin Abi Talib sampai ke Madinah, Baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam bersabda:

اصنَعوا لآلِ جعفَرٍ طعامًا ، فقد أتاهم أمرٌ يشغلُهُم أو أتاهم ما يَشغلُهُم

“Masaklah untuk ahli keluarga Ja’far, sesungguhnya mereka telah didatangi oleh urus yang menjadikan mereka terbeban sibuk (terbunuhnya Ja’far dalam peperangan)” [HR Ahmad]

Sebagai ahli Syariah, saya memahami hadith ini sebagai teks Islam, dan dengan kedudukan isnad yang sahih bagi riwayat berkenaan, saya boleh mengambil kefahaman daripadanya sebagai, “apabila berlaku kematian, maka Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam memerintahkan orang lain (jiran terutamanya) untuk membantu menyediakan makanan bagi keluarga si mati”

Aduh!

Ini sangat bertentangan dengan Islam yang diamalkan di kampung saya.

Di kampung saya, kalau berlaku kematian, bukan jiran memasak untuk keluarga si mati, malah yang terjadi ialah keluarga di mati yang kena memasak lalu menjamu jiran tetangga!

Lalu, dengan mindset terangkan hukum dengan lebih jelas lagi, saya panjangkan lagi penerangan. Saya tegaskan bahawa sebahagian ulama’ menganggap perbuatan mengadakan kenduri berulang-ulang hari, minggu, bulan malah tahun, sebagai al-niyahah, yakni meratap kematian si mati. Ini adalah perbuatan jahiliah. Islam tidak setuju.

Saya tambah lagi, meletakkan beban memasak kepada keluarga si mati, adalah memberatkan tanpa keperluan, dan ini bertentangan dengan prinsip Islam yang menolak kesusahan-kesusahan sebegini.

Tidak cukup dengan itu, saya tegaskan lagi, bahawa semasa sedang memasak di dapur, tiba-tiba garam habis, lalu kita meraba di atas almari dan kita jumpa wang seringgit, lalu kita gunakan seringgit itu untuk menyuruh seseorang ke kedai membeli garam. Bagaimana kalau wang seringgit itu adalah wang si mati? Wang si mati perlu difaraidkan dahulu, sebelum boleh diguna. Jika si mati ada anak yatim, tidakkah wang seringgit itu menjerumuskan kita kepada perbuatan memakan harta anak yatim yang dikategorikan sebagai dosa besar?

Maka kenduri arwah ini tidak betul.

Bercanggah dengan Sunnah.

Bid’ah!

“Lepas ini tuan puan, jika berlaku kematian di kampung kita, andai keluarga si mati tidak buat kenduri, janganlah ada yang mengumpat! Menuduh keluarga si mati menjadikan kematian si mati seperti mati katak, tanam-tanam tinggal terus! Sedangkan mereka mungkin tidak punya wang, malah memang asalnya kenduri itu tidak sepatutnya dibuat! Apa yang sepatutnya ialah, kita yang kena masak untuk keluarga si mati!” saya melangsaikan kuliah.

Hukum?

Jelas.

Boleh buat?

Tak boleh buat.

Kenapa tidak boleh buat?

Soal tidak tahu hukum, sudah selesai. Nafsu dan syaitan, berat pula mahu menganalisis pakcik makcik yang baik-baik muka sejuk mata memandang itu sebagai manusia hamba nafsu dirasuk syaitan!

Mengapa masih tidak boleh buat?

Mungkin Sunnah ini belum dapat dibuat atas sebab-sebab yang bukan sebab ‘agama’. Tetapi sebab-sebab manusiawi!

Lihat sejarah, kita berpatah balik beberapa tahun ke belakang perang Mu’tah, di dalam peristiwa Hijrah, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah mempersaudarakan muhajirin dan ansar. Dileburkan sifat mementingkan diri sendiri, hingga ada Ansar yang menawarkan isterinya diceraikan secara baik agar boleh dinikahi oleh muhajirin yang meninggalkan Mekah datang ke Madinah sehelai sepinggang!

Oh, begitu rupanya struktur sosial Madinah.

Di dalam istilah Syara’, ia disebut sebagai al-Ithar ‘ala al-Nafs (الإيثار على النفس), yakni mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri. Di belakang pengamalan Islam, adanya elemen Altruism atau selflessness yang Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam semai dalam sekian banyak usaha dan contoh yang kita tahu melalui sejarah (Sirah).

Bagaimana struktur masyarakat kita?

“Kamu jangan kawan dengan anak Lebai sebelah tu. Bapaknya dulu, buat longkang air limbah, suka hati saje kena sempadan tanah kita!” kata Joyah kepada anaknya.

Aduhai, longkang itu terusik 3sm sahaja. Yang bergaduhnya bapak, tetapi kesannya 7 keturunan tidak boleh berkawan.

Itu kisah di kampung, yang makan mempelam telur pun boleh bertelur dahi!

Di bandar pula, rumah pangsa, apartment dan kondo, jiran tidak kenal jiran.

Hatta yang tinggal di tanah pun tidak mesra mana.

Suka tolong menolong sudah menjadi gangguan kepada privasi. Jauh sekali mahu melihatnya sebagai Sunnah.

Maka, ketika jiran sesama jiran tidak kenal mengenal, bagaimana boleh tiba-tiba saya sebagai pendakwah menyuruh jiran memasak untuk keluarga si mati?

Ertinya, kegagalan menggantikan kenduri arwah oleh keluarga si mati, kepada jamuan jiran untuk keluarga si mati, bukan lagi kerana masalah hukum. Bukan lagi masalah Sunnah vs Bid’ah. Tetapi masalah yang di peringkat individu, ia membabitkan psikologi, manakala di dalam masyarakat secara kolektif, ia jatuh ke dalam bab sosiologi.

Andai pendakwah ada ilmu psikologi dan sosiologi, selepas memanfaatkan ilmu sejarah bagi mencari sumber maklumat, maka tidaklah pula pendakwah itu bersikap acuh tidak acuh kepada amalan bid’ah yang mengancam kesucian Islam yang sepatutnya, tetapi pendakwah itu ada modal lain untuk  menumpaskan satu bid’ah, dan menegakkan satu sunnah di atas kekalahan bid’ah itu.

Asasnya, ialah, fahamilah manusia!

 17_70

 Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. [Surah al-Isra’ 17: 70]

Dalam menjayakan dakwah, kita perlu menjadi Muslim yang berkemahiran tinggi.

Kemahiran teknikal.

Kemahiran konseptual.

Kemahiran kemanusiaan.

Maka adakah dakwah hanya untuk orang pandai-pandai?

Tidak juga.

Manusia yang merendah diri, membenarkan dirinya belajar dan diajar, menjadi bagai tanah rendah yang paling banyak menakung air, demikianlah sifat pendawah yang tanpa perlu menjadi sarjana, cintanya kepada kebenaran menjadikan dia sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Lebih baik daripada semalam.

Jauh sekali lebih buruk daripada semalam.

Datuk nenek kita tidak belajar falsafah tinggi. Sambil menuai di bendang, mereka belajar resminya padi, makin berisi, makin tunduk merendah diri.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

7 comments

  1. Benar sekali Ustaz.
    Saya kira pada skala yang paling asas, salah satu elemen penyumbang statistik penceraian kian meningkat mungkin pada kegagalan pasangan menyantuni jurang yang Ustaz bincangkan.
    Setelah sekian lama Islam datang ke Tanah Melayu namun pengamalan Islam masih mewarisi adat berbanding nilai syariat sebenar.
    Salah satu contoh, orang yang rajin ke kelas agama, cenderung pada aktiviti agama adalah orang yang sama melayani isteri bertentangan dengan syariat agama.
    Salah satu indikator berkesannya system sekularisme.
    Jika jurang ini dapat difahami, saya juga menjangkakan penyakit ‘syndrome pasca taubat’ dapat ditangani dengan lebih baik.

  2. Teruskan artikel sebegini ustaz. Ia sungguh membantu para kami (para da`e) hingusan untuk mengembang ilmu sebagai pendakwah. Jika ada penganjur yang sudi mewujud seminar dibawah kelola ustaz untuk mendidik para da`e muda sungguh baik sekali. Seperti kupasan ustaz tentang pendakwah muda yang tiada persediaan ketika mengajar kuliah maghrib sungguh realistik. di masjid kawasan kami, selalunya jemputan ustaz muda mengajar kitab dengan hanya banyak ‘menggoreng hangit’ tanpa persediaan yang cukup.

    Moga lebih ramai pelapis pemikir seperti ustaz untuk tahun mendatang!Amin.
    Era kini tv sudah melimpah kuliah agama, motivasi dari ilmuwan kepada marhaen.
    Tiba masanya TV sepatutnya mendedah penonton yang ingin berdakwah melalui agama,psikologi dan sosiologi.

  3. Assalamu’alaikum wbt.

    Saya nak tanyakan satu soalan, tapi soalan ni tiada kaitan dengan artikel yang ditulis. Soalan ni tentang blog ustaz. Ia mungkin pertanyaan yang ringkas, tapi kesudian ustaz untuk berkongsi jawapannya amat saya hargai.

    Dari mana ustaz mendapat ilham @ inspirasi dengan mengambil tagline ‘Erti Hidup Pada Memberi’ dalam blog SaifulIslam? Mungkin ada peristiwa @ pengalaman peribadi?

    Terima kasih atas perhatian ustaz. Wassalam.

  4. Begitulah halnya apabila isu pakaian wanita hanya dilaungkan sebagai ‘jangan ketat’ dan ‘kena longgar’, point ini saya sebut sebagai super islamik dan berbau syurga. Namun isu pakaian dan pemakaian perlu dilihat dari aspek sejarah, letusan revolusi industri dan perkembangannya. Benar akhirnya kita mahu umat menutup aurat, tetapi Islam yang SEPATUTNYA tidak dapat menganalisa apakah yang sebenarnya berlaku dalam isu wanita dan trend fesyen barat, penjajahan kapitalis dengan mengeluarkan produk fesyen untuk survival mereka yang akhirnya bertujuan besar iaitu untuk menyamakan budaya dunia. Penganut Islam yang DIAMALKAN pula sebahagiannya tahu, dan menunggu untuk diselamatkan oleh penganut Islam yang SEPATUTNYA. Namun kadangkala Islam yang SEPATUTNYA tidak mahu mendengar, bukan kerana keangkuhannya, namun kerana blok pisahan ilmu antara dua ini sangat tebal, atau jurangnya sangat jauh dan dalam.

  5. Assalaamu’alaikum ustaz…

    Artikel yang sangat baik alhamdulillah.

    Adakah perselisihan pendapat di antara mereka yang ‘memerangi riba’ dan sekaligus perbankan Islam dengan mereka yang menyokong kemajuan bidang kewangan dan perbankan Islam boleh disamakan dengan perselisihan antara Sunnah/Bid’ah yang disebut di dalam artikel ustaz?

    Menanti komen ustaz insyaAllah

  6. Asalamualaikum. Ustaz blh sy mmrlukn khidmat drpd ustaz.. Sya bminat dlm bdang sejarah trutamanya dlm sejrh perkembangan agama islam.. Jd sy mrupkn pljar lpasan spm 2013 , sy mhu mnyambung pgjian sy ke turki di ankara universities. Sy mhu mminta prkhidmtan ustaz prosedur untk bljar disana dan jika ada apa2 bntuan drpd mna2 phak blh sy tahu??

  7. Pada Disember 2015, saya kembali mengulang baca artikel ustaz. Terima kasih ustaz Hasrizal di atas pencerahan buat saya yang mencari sesuatu untuk mengukuhkan pertimbangan.

    Semoga hidup ustaz sekeluarga diberkati Allah. Ameen.

Leave a Reply to ahmed Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share