Selamat Hari Guru, Ibu!

bondaku

“Siapkan latihan ini dan jangan bising” kata cikgu di hadapan.

Soalan-soalan di papan hitam, perlu dijawab di buku latihan. Beberapa perkataan perlu disalin semula beberapa kali.

Saya duduk di meja hadapan, bersebelahan pintu keluar.

“Siapa yang bercakap itu?” cikgu mengangkat kepala.

Aduh, bukan kamu semua tidak tahu, betapa garangnya cikgu ini. Mengapa masih ada yang mahu bercakap-cakap? Susah benarkah hendak diam, sepuluh dua puluh minit?

“Baris hujung sana, semua bangun!” tegas cikgu.

Kami semua berdiri. Ketakutan.

“Siapa yang bercakap tadi?” tanya cikgu.

Semua orang sepi. Tiada yang mengaku. Tiada yang memberitahu.

“Oleh kerana tiada yang mahu mengaku, semua orang berdiri di atas kerusi. Bagi tangan!” cikgu mengambil pembaris papan hitam yang panjang sedepa itu.

Piap!

Seorang demi seorang dirotan dengan pembaris papan hitam.

Tidaklah kuat hingga menyakitkan tangan. Yang sakitnya adalah hati. Seorang buat salah, semua orang kena. Tambah geram apabila kawan-kawan di baris tengah dan tepi sana ketawa menutup mulut. Seperti mengejek-ejek kami.

“Padan muka! Lantak, tak tahu!” sepertinya itulah kata mereka.

Kejadian pagi tadi di kelas, sangat menggeramkan hati saya. Tidak adillah seorang yang bising, semua sekali dihukum. Saya balik ke rumah dengan muka masam mencuka. Di dalam kereta abah pun saya tidak berkata-kata. Membiarkan emak berbual dengan abah. Tentang apa yang saya pun tidak mengendahkannya.

“Rizal!” emak memanggil.

“Ya, cikgu!” saya menjawab.

“Pergi kedai, belikan emak pen marker hitam satu” kata emak.

“Baik cikgu!” saya menjawab dengan keras. Tidak ikhlas.

Emak buat tidak peduli sahaja dengan ‘perangai’ saya. Dia buat kerja seperti biasa. Walaupun saya tahu dia sedar yang saya sedang protes. Hingga ke rumah, dia saya bahasakan ‘cikgu’.

Kenangan itu, kenangan tahun 1981. Semasa saya darjah satu. Hakikatnya saya belum darjah satu. Umur saya baru enam tahun. Tetapi sama seperti abang-abang yang lain, kami tidak ke tadika. Kami ikut emak ke sekolah, dan jadi murid darjah satu di Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Puteh, tempat emak mengajar, kelas darjah satu.

Emak adalah cikgu kelas berkenaan. Emak ajar Bahasa Melayu, Matematik dan Sains.

Emak adalah guru pertama kami semua.

“Ingat, di sekolah tidak boleh panggil emak. Panggil Cikgu. Panggil Cikgu An, sama macam murid-murid lain” pesan emak pada hari pertama persekolahan.

“Baik mak, eh cikgu!” saya buat-buat tersasul.

Emak mengajar saya A, B, C. Emak juga mengajar saya 1, 2, 3. Cikgu An, sebenarnya. Cikgu yang garang, tetapi disayangi anak muridnya. Berpuluh tahun selepas emak bersara, masih ada anak murid yang singgah berhari raya di rumah kami di kampung. Mahu menjenguk Cikgu An.

Walaupun emak garang, tetapi saya suka mengusik emak. Suka ‘cari pasal.

Apabila rehat, pelajar semua beratur di kantin, saya dengan ‘kerek’nya masuk ke bilik guru-guru bersarapan pagi mahu makan bersama emak.

“Epp! Sila beratur!” Cikgu An mengarahkan saya keluar daripada bilik guru dan beratur bersama pelajar lain.

Geramnya hati. Berkepal-kepal rasa marah. Tetapi emak sudah beritahu semenjak hari pertama sekolah. Tiada keistimewaan menjadi anak cikgu di sekolah. Saya murid sekolah, saya perlu menjalani kehidupan sama seperti murid-murid sekolah yang lain.

“Anak cikguuu! Anak cikguuu!” Husin, murid darjah empat suka mengejek saya.

Katanya saya anak manja sebab saya anak cikgu. Anak bongsu pula, apatah lagi. Walhal saya tidak rasa saya dimanja. Kena marah lagi, adalah.

Setiap kali saya berselisih dengan Husin, saya akan mengelak. Menukar jalan.

Tetapi Husin sentiasa membuli saya.

Geramnya hati, sampai satu ketika saya hilang sabar. Saya tolak Husin sekuat hati. Husin jatuh dalam kolam ikan sekolah. Habis basah kuyup. Muka pun macam ikan puyu dalam kolam. Padan muka kamu!

Mujurlah Husin sudah terkenal sebagai kacang hantu di sekolah. Maka tiada siapa mempersoalkan punca kejadian itu berlaku. Tetapi perbuatan saya menolak Husin jatuh ke kolam ikan sekolah, memang melampaui batas. Saya dirotan oleh Cikgu An.

Seperti biasa, saya boikot Cikgu An sampai ke rumah.

Tetapi boikot saya tidak lama. Saya tidak sampai hati. Saya kasihan dengan emak. Sebab kerja emak banyak. Emak bangun pukul 5 pagi, siapkan sarapan pagi. Abah tak kerja bendang. Tapi abah keluarga orang bendang. Orang bendang, bihun dan kuih muih dia tidak suka. Pagi-pagi mesti makan nasi putih dengan lebihan lauk semalam. Sedikit sambal, ikan kering, dan telur mata kerbau. Saya dan adik beradik pun ikut sama, hari-hari pergi sekolah, tangan saya bau sambal belacan!

Selepas siapkan sarapan dan solat subuh, emak sudah ke sekolah mengajar.

Buku rekod mengajar perlu emak siapkan. Emak pula, tidak suka buat kerja ala kadar. Tulisan emak sangat cantik. Pen Reynolds adalah satu-satunya pilihan emak. Jika dakwat habis, emak akan guna Kilometrico. Pen lain, tulisan jadi tidak cantik. Itu pendapat emak.

Abah suka perli emak.

“Tulis cantik-cantik, sampai pening kepala. Guru Besar bukannya baca. Menyusahkan diri sendiri!” kata abah, sambil melihat emak menyiapkan kerjanya di bilik tengah. Emak buat tidak peduli. Terus menulis, menulis dan menulis. Abah pun pun pergi. Menggeleng kepala melihat emak menyusahkan diri sendiri.

Saya juga suka tolong emak menanda buku latihan kawan-kawan sekelas saya.

Tetapi kalau kertas ujian, emak tidak bagi tolong. Emak kunci pintu bilik, dan tidak peduli saya merengek-rengek di belakang daun pintu, meminta simpati untuk masuk mengganggu.

“Tahun depan sekolah di Raja Ekram. Sama macam abang-abang kamu” kata emak.

“Kenapa tak sekolah dekat SKKPP aje? Kan senang?” saya menjawab.

“Kamu sekolah sama dengan emak, kamu nakal nanti, cikgu lain segan nak rotan sebab kamu anak Cikgu An” kata emak.

Huh!

Itulah yang saya mahukan.

“Lagi satu, sekolah ni sekolah kebangsaan. Lemah English. Mak nak kamu sekolah di SRK Raja di Hilir Ekram supaya kamu belajar English elok-elok” ujar emak lagi.

Saya akur.

Semasa peperiksaan akhir tahun, saya sangat gembira. Sungguh gembira!

Saya dapat nombor 1. Semua kertas ujian saya dapat markah 100/100!

Tetapi saya tidak dapat nombor satu. Sebab kata Guru Besar saya bukan murid sekolah. Saya baru enam tahun. Saya hanya ikut emak pergi sekolah.

Sampai hati Guru Besar cakap begitu.

Hancur hati saya.

Dapat markah 100/100 dalam semua kertas ujian, rupa-rupanya selama ini saya berlakon. Saya pakai baju putih seluar pendek biru. Saya kena berdiri atas kerusi di dalam kelas. Saya beratur di kantin. Saya kena rotan sebab tolak Husin jatuh ke dalam kolam ikan. Apabila keputusan peperiksaan keluar, saya diberitahu bahawa saya bukan murid sekolah.

Saya menangis.

Emak tepuk bahu saya. Ajak saya keluar daripada bilik guru besar.

Kawan-kawan lain naik pentas. Yang dapat nombor dua, ambil hadiah nombor satu. Yang dapat nombor tiga, ambil hadiah nombor dua. Yang dapat nombor berapa entah, ambil hadiah nombor tiga.

Saya masih belum dapat terima alasan Guru Besar.

Emak belikan pensel tekan-tekan.

Hadiah saya dapat nombor satu.

bonda

Selamat Hari Guru.

Selamat Hari Ibu.

Untuk Cikgu An, guru pertamaku, emak dan ratu hatiku!

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

10 comments

  1. salam..
    sungguh dalam jasa guru buat kita..
    ape lagi guru itu adalah kedua ibu bapa kita..
    kedua ibu bapa merupakan guru kita no 1.
    sebak dengan kisah ustaz..

  2. Saya tersentuh bila baca entry ni. Sungguh.

    Besar sungguh jasa seorang guru. Semoga Allah merahmati semua guru yang ada.

  3. Assalam ustaz…
    membaca post ni buat sy tersenyum..terharu…
    teringat kenangan sy sendiri sebagai anak cikgu yg bersekolah bersama emak..
    dan bapa sy juga anak org bendang walaupun tidak bekerja di bendang..
    bapa sy juga seorg guru..

    terima kasih cikgu. 🙂

  4. Maknanya emak ustaz pegang 2 title guru lah ye. Guru formal di sekolah dan guru di rumah. Hebat seseorang itu pasti dibelakangnya ada insan yang hebat telah mendidiknya. Selamat hari guru ustaz.

    p.s. Saya kagum, macam mana ustaz boleh ingat semua peristiwa yang dah berpuluh tahun ni ye?

  5. Berburu di padang sasar
    Dapat rusa berbelang kaki
    Berguru kepalang ajar
    Bagai bunga kembang tak jadi

    Tq ustaz.

    Wassalam

  6. Dua kali saya baca.

    Baca tajuk ingatkan dah sama dah tadi dengan apa yang saya tulis. Heh mana boleh sama. hihihi.
    Apapun ayat ini pasti semua yang membaca akan senyum,

    ‘Untuk Cikgu An, guru pertamaku, emak dan ratu hatiku!’

    Selamat Hari Guru Cikgu An!
    Selamat Hari Guru juga Ustaz Hasrizal!

    Dari mamat kilang yang selalu duduk belakang nyorok-nyorok kuliah di Annur 🙂

  7. Ana gelak berdekah-dekah bila sampai part “Muka pun macam ikan puyu dalam kolam. Padan muka kamu!”.
    Selamat Hari Guru, walaupun dah terlewat beberapa hari. 🙂

  8. So sweet kisah ni sngt menyentuh hati…sy prnh berdepan dgn situasi cikgu An…nk srh anak panggil kita teacher pn rs sebak je hati…bkn mudah untuk mendidik anak sebagaimana dilakukan cikgu An…Tahniah buat cikgu An & Selamat Hari Guru Cikgu An… 😉

  9. Selamat Hari Guru Cikgu An

  10. touched!
    I do miss my late beautiful mom. Allahu akbar

Leave a Reply to anis Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share