1991: Pembaca Setia Harakah, di Masjid Negeri, Seremban
“Kenapa hantar ke Harakah?” tanya Tuan Pengetua.
“Ia surat khabar kegemaran saya. Lagi pun, jika saya hantar ke Utusan Malaysia dan Berita Harian, mahukah mereka menyiarkan berita sebegini?” saya menjelaskan kepada Tuan Pengetua.
Dengan semangat anak muda yang membuak-buak di dada.
Jiwa yang meronta-ronta untuk menyatakan pendapat, telah saya nukilkan dalam sebuah artikel yang dihantar ke ruangan surat pembaca akhbar Harakah. Tahun 1993, di zaman Harakah benar-benar menjadi kebanggaan kerana setiap incinya menceritakan tentang Islam dan perjuangan.
Biar dimarahi oleh pihak sekolah.
Setiap kita mahu menjadi sebahagian daripada Harakah!
Saya anak bongsu, lemah untuk berdakwah kepada keluarga. Apa yang saya mampu buat ialah membeli Harakah secara konsisten dan meletakkan di meja rumah. Abah, emak dan abang-abang saya doakan mereka senyap-senyap agar terbuka hati menyentuh akhbar itu, dan membacanya.
Sedikit demi sedikit, Harakah menjadi akhbar tetap keluarga kami.
Pandangan kami tentang isu semasa juga semakin selaras.
Bukan sekadar di rumah, di sekolah pun sama juga.
Kami bergosip sesama pelajar apabila nampak kelibat akhbar Harakah di Bilik Guru.
“Cikgu mana yang baca tu? Wah, hebatnya” kami bersoksek.
Kejayaan Harakah menembus barisan pendidik sekolah, menyebabkan kami berangan-angan bahawa kemenangan Islam semakin hampir. Harakah itulah indikasinya.
Perkembangan jadi makin menarik selepas kemenangan PAS di Kelantan dalam Pilihanraya Umum 1990. Harakah pun makin menjadi-jadi penjualannya. Ada guru yang secara sukarela membantu kami membeli Harakah, tanpa perlu lagi bersusah payah ke Taman Cempaka di hujung minggu.
Saya juga masih ingat desakan yang saya buat kepada pihak sekolah agar sudut akhbar di dalam kelas membenarkan keratan akhbar Harakah ditampal, bersama suratkhabar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan The New Straits Times. Pelajar sudah lama menampalnya. Ada cikgu yang tidak selesa. Saya meminta sekolah mengiktiraf laporan akhbar Harakah, agar saya boleh memanjangkan kebenaran itu kepada pelajar-pelajar apabila ada guru yang mempertikaikan.
Antara ruangan yang sentiasa mendapat perhatian kami adalah coretan Ann Wan Seng.
“Dia ini Islam ke?” kami bergosip.
“Macam Abu Talib kot. Membantu perjuangan Islam!” ada yang menjawab.
Kami sering berdoa agar Ann Wan Seng diberi hidayah oleh Allah dan melafazkan Syahadah, kerana tulisannya sangat membuka minda di era awal 1990’an.
Selepas meninggalkan tanah air dan bermastautin sebagai penuntut ilmu di Jordan, cinta kepada Harakah masih sama. Masih tinggi dan tebal rasa bangga. Dari Jordan, saya menghantar makalah panjang bertajuk “Permasalahan Sejarah Islam: Punca dan Penyelesaiannya” melalui sahabat saya, Ustaz Abdul Rasyid Idris. Makalah itu diterima oleh Harakah dan disiarkan sebanyak enam episod berkongsi halaman dengan Tazkirah Tok Guru.
Di era Reformasi, Harakah juga masuk ke dunia atas talian. Biar pun kepantasan melaporkan perkembangan era 1998 itu masih agak perlahan, ia sudah cukup bermakna. Harakah mendapat saingannya apabila Malaysiakini lebih efisyen membuat laporan, dari setahun ke setahun. Tambahan pula daripada keluaran bercetak yang sudah sinonim dengan dua kali seminggu, Harakah diarahkan supaya mengurangkan kekerapannya kepada dua kali sebulan. Pelbagai tekanan dikenakan ke atas Harakah. Permitnya pernah digantung. Simpati melimpah dengan solidariti perjuangan dan kebebasan bersuara dari seluruh dunia.
Saya yakin, saya tidak bersendirian. Ramai di luar sana yang mempunyai kenangan masing-masing dengan Harakah. Selain berfungsi sebagai lidah rasmi Parti Islam Semalaysia, Harakah juga berperanan sebagai medium menyatakan pendirian Islam dalam banyak perkara. Semenjak dari zaman kepimpinan Ustaz Dato’ Mohammad Nakhaie Ahmad, Harakah adalah surat khabar yang dilabelkan suratkhabar nyamuk oleh mereka yang tidak menggemarinya, namun gigitannya sungguh berbisa hingga ramai yang mahu membakar kelambu kerana Harakah.
HARI INI
Namun, apa yang terjadi kepada Harakah hari ini?
Sudah berkali-kali masyarakat yang prihatin menegur tentang hala tuju Harakah. Sudah berkali-kali isu Harakah dibawa ke Muktamar.
Artikel seperti ini sungguh mendukacitakan kita.
Pemain paling hot Piala Dunia 2014
Bahan seperti ini lebih sesuai untuk disiarkan di Beautifulnara atau Ohartis, kalau pun tidak seperti akhbar tabloid seperti Harian Metro dan Kosmo. Tetapi tidak di sebuah akhbar yang mewakili Parti Islam, yang membawa nama alim ulama, yang memperjuangkan Hudud dan Negara Islam.
Di tengahnya ulasan tentang pemain bola yang kacak di gelanggang Piala Dunia.
Di kirinya iklan kopi berkhasiat untuk seksualiti wanita.
Di kanannya iklan minyak berkhasiat untuk seksualiti lelaki.
Tingkah laku Harakah menyiarkan bahan-bahan sebegini, bukan sekadar memalukan, tetapi mengundang rasa dukacita kepada generasi yang pernah bersusah payah dalam hidup masing-masing, menjadi wakil Harakah untuk menyampaikan suara perjuangan ke kehidupan mereka.
SELEMBAR KISAH SEJARAH
Seorang sahabat kami, semasa belajar di Indonesia, telah menghantar artikel analisis beliau tentang Pancasila kepada Penerangan PAS Pusat sekitar akhir 1980’an untuk manfaat pengetahuan semasa. Namun artikel itu telah disiarkan di Harakah dengan nama penuh penulis.
Akibatnya, kenalan-kenalannya telah ditahan dan disoal siasat secara kasar untuk mencungkil rahsia siapakah nama fulan bin fulan yang menulis itu. Apabila sahabat kami ini kembali ke Indonesia usai bercuti, beliau telah ditangkap dan dikenakan pelbagai bentuk penderaan fizikal sebelum dihantar pulang ke Malaysia dan disenarai hitam tidak boleh masuk ke Indonesia sampai bila-bila. Saya diberikan oleh sahabat berkenaan peluang membaca surat permohonan maaf Ustaz Nakhaie Ahmad kepada beliau atas insiden menyedihkan itu. Ia terjadi kerana salah faham yang tidak disengajakan.
Tetapi sahabat kami itu tidak patah semangat. Beliau meninggalkan Indonesia dan berpindah menyambung pengajian di negara lain.
Tahun 1994, saya diajak olehnya bersama beberapa rakan yang lain untuk ke Indonesia kerana beliau rindukan tempat pengajiannya di sana. Semasa beliau bertanyakan pihak berkuasa negara Jiran tentang perkembangan larangan masuk ke Indonesia itu, larangan berkenaan boleh ditarik balik dengan syarat beliau menyaman Harakah hingga Harakah ditutup.
Atas nama perjuangan, beliau melupakan hajatnya untuk ke Indonesia.
Tidak terbayang hendak menyaman Harakah, walaupun diri sendiri teraniaya.
Saya tidak tahu perkembangannya kini.
Namun Harakah ada banyak sejarah di kalangan pembacanya yang Harakah sendiri mungkin sudah lupa. Hingga hari ini, sepertinya Harakah mahu melariskan naskhahnya dengan benda-benda murahan yang melukakan hati generasi yang pernah menjulang ia sebagai simbol perjuangan!
Sudilah kiranya kali ini Harakah bersungguh-sungguh bangkit daripada kealpaan.
Jangan Harakahdaily berubah menjadi Serakahdaily!
Ia adalah wake-up call sementara Pilihanraya masih ‘jauh’.
HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP
Very good article ustaz..Memang sangat kurang senang dengan iklan2 tersebut, terima kasih kerana menyuarakannya disini..
assalamualaikum ustaz,
saya bersetuju dengan perspektif ini,
Pada pandangan saya,
sangat setuju sidang redaksi Harakah should revise back cara pembawakan berita mereka.
Professionaliti bahasa perlu disemak semula.
Sekontroversi manapun berita tersebut, gaya bahasa tidak perlu seakan-akan Harian Metro mahupun Utusan Malaysia.
InsyaAllah ada metode lain yang lebih berkesan untuk menarik minat pembaca.
penyiaran Iklan pun sama.
terlalu banyak sexual-based promotion secara terbuka.
Tambahan pula,saya punyai pandangan bahawa,
gaya pemberitaan dan pengisian dalam sesebuah akhbar/media sangat mempengaruhi proses pembentukkan gaya berfikir dan perspektif pembacanya. Sekiranya positif, maka insyaAllah outputnya juga positif, jika negatif, maka outputnya atau hasilnya mungkin akn membentuk golongan pembaca/penyokong/pendokong yang terlalu negatif , sukar untuk melakukan timbang tara maklumat dan mudah untuk cop org itu & ini hanya kerana perbezaan fahaman politik partisan semata-mata.
in extreme sense, ini akn membentuk satu bad typical perception org lain terhadap sesiapa yang menyokong/mendokong PAS secara keseluruhan.
Maka, saya melihat perubahan sgt2 perlu demi menjaga imej perjuangan Islam itu sendri sebab Harakah sangat sinonim sbgai lidah rasmi parti Islam PAS.
Kemungkinan, pihak Harakah mempunyai sebab mereka yang tersendiri, tetapi, saya sangat2 mengharapkan agar Harakah dapat menaikkan semula identiti Islami dalam penerbitan berita pada masa akan datang.
hoping for positive changes in Harakah for a better & sustainable future of Islam , PAS & Malaysia.
Maaf sekiranya terdapat kesilapan dalam komen ini.
Saya terbuka untuk menerima penjelasan yang lebih baik.
Terima kasih 😉
Lebih bahaya dari berita sukan dan iklan berbaur seks adalah kolumnis kolumnis yang tulisannya seolah tidak dilihat editor dan tidak bertapis. Memberi ruang kepada bunga2 sosialis utk berkembang dan putik2 liberal utk berbuah. Harakah harapnya takkan menjadi haramkah.
Assalam.
Terima kasih ustaz..
Saya pernah menjadi pembaca setia Harakah / Harakahdaily sebelum ini.
Namun sekarang tidak lagi disebabkan pada saya ia tidak lagi relevan seperti suatu masa dulu di zaman reformasi 1998.. Tidak berselera untuk menatap news paper lain pada masa tu..
Pada saya sama halnya Harakah pada hari ini yang seakan sama sahaja dengan news paper lain.
Maafkan saya..
Betul Ustaz. Sudah lama saya ‘meninggalkan’ Harakah, atas sebab yang sama, terutamanya kehadiran iklan-iklan tersebut…
Assalamualaikum,
Saya sangat bersetuju dengan pandangan ustaz berserta keenam-enam komen di atas.