Dunia Islam Daripada Jendela Nasyid 1990’an

israel-lies-palestine

Ia bukan situasi baru.

Sudah lama.

Oleh kerana saya lahir pada tahun 1970’an, maka memori saya berkata semenjak 1970’an itu lagi umat Islam sudah ditimpa dengan konflik demi konflik.

Soviet Union menawan Afghanistan pada tahun 1979.

Peperangan Iran – Iraq pada tahun 1980.

Peperangan Lebanon pertama pada tahun 1982.

Pengeboman Libya oleh Amerika Syarikat pada tahun 1986.

Senarai itu berterusan ke tahun 1990’an apabila Iraq menyerang Kuwait pada tahun 1990, lalu Iraq dibalas serangan pada tahun 1991.

Bosnia Herzegovina bermandi darah pada tahun 1992.

Pembunuhan beramai-ramai ekoran perobohan Masjid Babri di Ayodhya pada tahun 1992

Perang di Chechnya tercetus pada 1994.

Tidak dilupakan kebuluran di Somalia yang memuncak pada awal 1990’an, pertembungan berdarah di Mindanao, Patani, Arakan, segala-galanya bertimpa-timpa. Dan di sepanjang malapetaka demi malapetaka ini, bumi yang tidak pernah surut daripada konflik, peperangan, pembunuhan, kemusnahan, kematian dan segalanya, adalah PALESTIN.

Keberadaan saya dan rakan-rakan di Jordan, ketika seluruh dunia bergolak di keliling kami, tanpa media yang pantas untuk melaporkannya seperti 20 tahun kemudian, kami masih sesak nafas. Tidak cukup masa untuk memahami apa yang berlaku, tambahan pula memikirkan tindakan yang perlu untuk membantu. Paling tidak pun memberitahu.

Setiap orang ada cara tersendiri untuk berekspresi.

Biar pun kami sama-sama disatukan oleh akhbar al-Sabīl, majalah al-Mujtama’ dan ceramah serta khutbah di masjid-masjid seperti Masjid ‘Abd al-Rahmān bin ‘Auf di Sweileh, maklumat yang diperolehi diluahkan dengan cara masing-masing.

Sebagaimana rakan Usrah al-Wadi di Mesir, dan Suara Tajdid di UK, kami anggota kumpulan nasyid Usrah al-Firdaus di Jordan menceritakan tragedi-tragedi ini melalui nasyid yang dicipta. Lihat sahaja Usrah al-Wadi di Mesir, nasyid era 1990’an itu persis laporan akhbar al-Jazeera!

Pulanglah Natrah, Memoir Kashmir, Untukmu Somalia, Tragedi Babri, Panji Afghanistan dan senarai itu berterusan.

studionasyid

Secara kecil-kecilan, saya turun terkesan. Emosi yang begitu tersentuh oleh satu demi satu musibah yang menimpah, adalah emosi yang aktif untuk menatijahkan karya-karya nasyid sebagai medium ekspresi. Antara yang sempat dinukilkan adalah nasyid ‘Merah Senja”. Nasyid ini terkenal di kalangan pelajar Malaysia di Jordan sebagai nasyid panjang! Ia saya dendangkan pada tahun 1994 atau 1995, tetapi kemudiannya dirakam di dalam album Bingkisan Aidilfitri dengan Ustaz Mohd Erfino Johari sebagai penasyidnya.

MERAH SENJA

 Capaian Youtube

Merah senja dan camar yang pulang
Sayu mengiring pemergianmu
Ramadhan kami kau tinggalkan
Terbelenggu dalam kedukaan

Perkhabaran yang menceritakan
Bulan ini satu perjuangan
Harapan yang belum ditunaikan
Impian yang dipusakakan

Langit Palestin semakin merah
Taman insan berlumuran darah
Gerimis senja mengiring airmata
Mereka itu tidak terbela
Perjanjian damai dan siri persidangan
diri mereka diperdagangkan
Palestin kau masih begitu

Bumi Rohingya (lirik asal menyebut Bosnia) medan gurau senda
Darah dibayar dengan senyuman
Sungai air mata dan segunung rangka
Perhiasan mereka semua
Tika mereka itu menjadi hidangan
Saudara tersenyum kekenyangan
Rohingya kau tetap begitu

Somalia mati kelaparan
Tika hidangan penuh dimeja
Babri yang mereka rakus meruntuhkan
Tika masjid kita kesunyian
Apakah saudara masih lagi terleka
Tinggalkan Islam menderita
Saudara hitunglah dirimu

Hari Badar di bulan Ramadhan
Sanggupkah engkau mengulanginya
Kota Makkah itu telah dimerdekakan
Al Quds sanggupkah kau kembalikan
Cukuplah sampai di sini saudaraku
Dunia Islam memerlukanmu
Saudara mulakan langkahmu

Versi dendangan sahabat saya, Ustaz Erfino Johari juga boleh dinikmati di http://www.youtube.com/watch?v=NBpLUPuGSvg

Hari ini, nasyid-nasyid yang bercerita sedemikian rupa semakin hilang. Atau pun mungkin memang sudah tiada. Semoga coretan 20 tahun silam ini, ada manfaat yang boleh dikongsi bersama.

Buat generasi hari ini, lakukanlah apa sahaja untuk berperanan. Pilihlah tindakan yang benar-benar membantu. Yang panjang manfaatnya. Yang sesuai menjadi legasi.

Catatan-catatan kita di Facebook, Twitter dan Instagram adalah untuk menjustifikasikan peranan kita sebagai seorang Muslim dan manusia. Ia bukan pertandingan siapa lebih hebat memberi komen dan berkongsi maklumat.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

One comment

  1. “Babri yang mereka rakus meruntuhkan
    Tika masjid kita kesunyian”
    Menyedarkan betapa memang banyak masjid-masjid di sini banyak yang sepi. 🙁

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.