Yatim Sebelas Bulan: Muhasabah Sedekah di Bulan Ramadan

orphanbenefits

“Program sudah nak habis. Seronok tak program kali ini?” saya bertanya kepada salah seorang peserta.

“Seronok. Ustaz datanglah selalu ke sini” katanya.

“Sedih apabila ibu bapa terpaksa meninggalkan kalian di rumah anak yatim ini… begitulah juga adakalanya anak-anak ustaz rasa apabila mereka ditinggalkan di rumah kalau ustaz selalu datang ke sini” saya memusing idea.

Mereka tersenyum.

“Nanti ustaz kirim salam dekat anak-anak ustaz ye. Seronok tengok gambar” kata peserta yang ramah tamah itu tadi. Mereka beriya-iya meminta saya menunjukkan gambar keluarga saya yang ada di dalam laptop.

“Insya Allah… Hah, tak lama lagi Ramadhan. Apa macam?” saya menyambung perbualan.

“Seronok dan tak seronok” balas salah seorang mereka.

“Macam mana tu?” saya tertarik untuk mengorek lagi.

“Seronok sebab bulan puasa nanti ada banyak majlis. Jemputan di hotel, di pejabat cantik-cantik” ujarnya.

SERONOK ANAK YATIM

Ramadhan memang bulan yang sibuk bagi banyak rumah anak yatim. Jadual Ramadhan mereka adakalanya penuh seawal bulan Rejab. Pelbagai syarikat korporat dan hartawan tampil menghulurkan bantuan mereka di bulan Ramadhan dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Bukan sahaja badan korporat, malah artis-artis pun turun sama.

Ada kalanya saya kasihan melihat anak-anak yatim itu yang mengeluh kerana mereka tidak sempat membaca al-Quran kerana diangkut ke sana sini memenuhi undangan.

“Kami menderita kekenyangan ustaz!” kata salah seorang anak yatim yang menyertai program motivasi saya itu. Kata-katanya disambut gelak ketawa kami semua.

SEDIH ANAK YATIM

Kalau kita pandai mengorek, macam-macam cerita yang boleh kita perolehi dari anak-anak yatim ini. Mereka orang yang ‘menyimpan’ kerana selalunya kekurangan rasa kepercayaan kepada orang luar, tetapi jika kepercayaan itu boleh dihasilkan, berhamburan pula cerita berselang air mata.

Tentu sahaja dalam keseronokan melayan undangan di sepanjang Ramadhan, terselit rasa sedih yang tiada ubatnya. Mampukah si anak yatim ini makan sedap-sedap tatkala sesetengahnya terkenangkan ibu atau ayah di kampung yang entah nasinya berlauk atau pun tidak, atau mungkin sahaja berbukanya tanpa nasi. Pasti sahaja kesedihan itu tampil kerana Ramadhan adalah bulan kita makan bersama, dan anak-anak yatim kehilangan segala yang itu.

“Itukah yang kamu maksudkan dengan tak seronoknya di bulan Ramadhan?” saya bertanya.

“Bukan itu ustaz. Yang itu saya faham. Saya tak boleh nak buat apa sebab itu ujian Allah ke atas saya sebagai anak yatim” katanya, petah menyusun kata.

Terdiam saya seketika.

“Yang tidak seronoknya ialah, kami ‘beribu bapa’ sebulan, dan terbiar yatim 11 bulan!” simpul anak muda di depan saya ini.

Allah…

ISLAM DAN TUJUAN

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengajar kita untuk peka dengan sense of purpose. Ia agama yang mengajar kita hidup bertujuan, justeru perbuatan-perbuatan seharian juga harus dengan kepekaan yang sama. Mengabaikan tujuan, bererti kita menghilangkan makna pada perbuatan, maka bertaburanlah hikmah dan faedah menjadi tidak tentu arah atas perbuatan yang kita lakukan.

Bulan Ramadhan adalah bulan perlatihan.

Segala ibadah bukan sekadar mengisi musim ibadah, tetapi untuk mencetus momentum yang perlu bagi bulan-bulan yang seterusnya. Ramadhan itulah kursus motivasi, ia jugalah kursus kemahiran, ia jugalah kursus peningkatan agar cergas iman dan tubuh badan. Justeru apa sahaja perlakuan kita di bulan Ramadhan, bukan sekadar mengejar pahala yang dijanjikan, tetapi ia memberhentikan kebiasaan yang buruk lalu digantikan dengan perlatihan untuk mencetuskan kebiasaan yang baik.

Sebesar-besar kebaikan adalah memberi makan kepada mereka yang berpuasa.

Apakah ia sekadar soal pahala?

Saya tetap melihatnya sebagai perlatihan.

BULAN ATAU INSAN?

Ada banyak riwayat yang menjelaskan tentang kelebihan bersedekah di bulan Ramadan, biar pun kebanyakannya adalah riwayat yang lemah. Namun riwayat yang menjelaskan tentang pemurahnya Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam di bulan Ramadan adalah riwayat yang sahih. Bisakah kita memahami, bahawa baginda itu begitu pemurah di bulan Ramadan, kerana ramai yang berhajat di bulan Ramadan, dan bukanlah semata-mata mengejar kelebihan makna sebuah bulan, hingga mengenepikan maksud asas bersedekah, iaitu menunaikan hajat?

Agar agama kita tidak kaku. Memenangkan bulan, membelakangkan insan.

Maka bulan Ramadhan adalah bulan melatih kita untuk peka kepada orang susah, anak yatim, ibu tunggal, saudara baru dan sekalian yang mendamba bantuan. Justeru apakah ertinya jika badan-badan korporat menjadikan Ramadan sebagai bulan menunaikan corporate social responsibility (CSR) mereka, hingga anak yatim menderita kekenyangan, tetapi kemudiannya anak yatim ini tidak diendahkan pada bulan-bulan yang seterusnya?

Jika kita mahu bercakap tentang pahala, maka saya berasakan bahawa jika keadaan ini terus dibiarkan, ada kemungkinan membantu anak yatim di bulan Syaaban, Safar atau Rabi’ul Awwal, lebih berpahala berbanding dengan derma dermawan di bulan Ramadhan. Mengadakan jamuan berbuka puasa untuk anak yatim sudah berubah dari kebajikan dan ibadat kepada adat. Adat yang buta tujuan!

Semua orang buat, kita kena buat. Tetapi pada waktu anak-anak yatim itu benar-benar memerlukan bantuan, mereka sepi ditinggalkan.

Agama ialah perlatihan HIDUP DENGAN TUJUAN. Dengan mengabaikan soal BERTUJUAN DALAM PERBUATAN, agama bertukar menjadi permainan dan perlakuan yang bersifat sendaan ke atas kemanusiaan.

Yatim 11 bulan, malang sekali nasib kalian.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Versi asal artikel ini adalah petikan buku Transformasi Ramadan.

transformasiramadan

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

2 comments

  1. Allah….

    rasa tamparan ke muka saya

    syukran ustaz :'(

  2. Sedihnya rasa. Kurniakan nikmat rezeki melimpah ruah untuk sama2 berkongsi dengan anak2 INI 🙁

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.