A Dalam Peperiksaan Tetapi D, E dan F Dalam Kehidupan

20130119-054025.jpg

“Kamu main bola sampai kotor baju. Kamu tahu tak asal usul permainan bolasepak ini?” tanya ustazah.

Kami menggelengkan kepala.

“Asal permainan bolasepak ini ialah apabila orang jahat bunuh cucu Nabi. Kemudian kepala cucu Nabi tu, disepak-sepak. Maka setiap kali kamu main bola, macam kamu sepak kepala cucu Nabi!” kata ustazah.

Saya tercengang.

Saya memang tidak begitu minat bermain bola semasa kecil. Tidak seperti abang-abang saya. Saya memang menunggu alasan untuk tidak bermain bola. Saya lebih suka bermain hoki.

Dan kisah ustazah itu mengejutkan saya.

Kisahnya bersahaja. Kisah yang masyhur di lisan kebanyakan. Saya pula masih anak kecil. Belum ada upaya bertanya. Hanya terakam sebuah tanda tanya.

Darjah 4, tahun 1985, saya ‘bersara’ daripada dunia bola. Secara rasminya menjadi kaki bangku.

Sepenuhnya.

MENYOKONG GERAK HATI

Antara memori awal saya pada perbuatan mempersoalkan, ialah ketika di Darjah 6.

Di sekolah itu.

20130119-054104.jpg

Di dalam subjek Sejarah, buku teks ketika itu menyebut Sultan Abdul Hamid II sebagai pemerintah diktator, memerintah dengan kuku besi dan menyebabkan Daulah Uthmaniah menjadi mundur. Turki telah diselamatkan oleh Mustafa Kemal Ataturk, Bapa Pembangunan yang kemudiannya menjadi Presiden pertama Republik Turki.

Keterangan itu disertakan bersamanya gambar mereka berdua.

Saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Yang ‘jahat’, gambarnya nampak macam orang baik. Yang ‘baik’, gambarnya nampak macam orang jahat.

Inilah soalan antidot pembodohan terawal yang mampu saya ingat. Saya bertanyakan hal ini kepada guru sejarah, “betulkah yang ini baik, yang ini jahat?”

Guru saya juga bijak dan mulia memandaikan anak muridnya. Dalam keterbatasan maklumat ketika itu (1987), cikgu dengan rendah diri menjawab, “saya hanya mampu mengajar apa yang ada di dalam buku teks sekolah”

Beliau tidak marahkan saya. Beliau tidak menyuruh saya diam. Beliau tidak mengarahkan saya dengar. Beliau meraikan pertanyaan dan ‘mengaku’ tidak tahu. Ia tidak menjawab soalan anak murid, tetapi ia menyelamatkan anak murid daripada pembodohan.

Tandatanya saya itu tersemat di dalam ingatan.

KECAMUKAN MINDA

Darjah 6, keputusan peperiksaan pertengahan tahun saya jatuh daripada kedudukan biasa. Saya mendapat tempat ke-4. Kali pertama dalam alam persekolahan rendah.

“Cikgu, Hasrizal menangis!” kata Lee Kok Meng rakan di sebelah saya.

Cikgu Zakaria datang memujuk.

Ketua Pengawas menangis macam budak kecil.

“Kenapa kamu menangis?” tanya cikgu.

Saya tidak dapat menjawab. Saya menangis bukan kerana dapat nombor 4, tetapi ia kali pertama, saya mengalami kecamukan minda. Banyak perkara yang saya tidak setuju. Saya tidak mendapat jawapan.

 

 ۖ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ

“Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang daripada golongan yang jahil” [Al-Baqarah 2: 67]

Untuk kisah Sultan Abdul Hamid II dan Ataturk, saya menemui jawapannya pada tahun 1995, apabila buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Turki untuk mencari jawapan kepada sebuah KEBENARAN.

Pembodohan tidak mengganggu proses mendapat A di dalam peperiksaan. Pembodohan tidak akan bertanda dengan gred D atau E. Pembodohan ialah kebolehan mendapat A di dalam peperiksaan, tetapi masih gagal mencari, memahami dan mempertahankan KEBENARAN.

D, E dan F dalam kehidupan.

Hentikan pembodohan.

Ia membinasakan.

HASRIZAL
43000 BSP

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

16 comments

  1. Assalammualaikum Ustaz,

    Saya pula mula mengenali Kamal Ataturk dan Sultan Hamid ketika berada dalam darjah tiga( 1990). Soalan saya pada waktu tersebut adalah tentang sekular dan Islam.Cikgu perempuan Melayu yang sangat cantik itu menjawap,Negara kita ialah negara sekular. Dan agama dan kehidupan mesti dipisahkan untuk mencapai kemajuan. Turki sekarang negara maju, lebih maju berbanding Malaysia. Saya suka cikgu itu kerana dia cantik…mentaliti budak berumur 10 tahun.

    Bezakan jawapan guru saya dan guru ustaz. dan disebabkan jawapan guru saya; saya memang mempercayai yang kita perlu sekular. Dan hiduplah saya sebagai seorang yang sekular untuk hampir 20 tahun. Walaupun saya bertudung, bersolat, berpuasa. Keyakinan saya agama dan kehidupan perlu dipisahkan. Dan saya pernah dengan bangganya, mengistiharkan diri saya sebagai seorang yang liberal. semua kerana asas kepercayaan saya salah…

    Persekitaran kita berbeza ustaz, sekolah rendah saya sekolah agama kristian. sekolah menengah saya tidak mementingkan pendidikan agama. Pendidikan agama yang saya dapati ialah dengan melihat amalan ibu saya yang suka solat malam dan membaca quran. Apabila saya bangun stadi, mak saya akan solat malam. Dari situ, saya juga mulakan amalan solat malam kerana disuruh oleh Mak. Ajaran Islam yang ikut-ikutan. Alhamdulilah Mak saya seorang wanita yang suka agama walaupun tidak mempunyai ‘pelajaran formal’ yang tinggi. Ayat ‘femes’ Mak kepada saya ” fikirlah siapa Allah pada kamu? dan jika kamu tipu mak, tipulah, tetapi kamu tidak boleh tipu Allah”……dan disitulah proses pemikiran saya tentang agama bermula.

    kegemaran saya membaca, habis segala benda bercetak saya akan baca. Tetapi cabaran persekitaran saya, saya tidak mempunyai orang dewasa yang memimpin. Dan saya tidak salahkan mereka. Persekitaran saya dilinkungi oleh muzik dan keseronokan. Berkat doa mak, dan hanya dengan doa Mak, sedikit demi sedikit kebenaran mula terlihat.

    Ustaz pun tentu maklum kisah perjalanan hidup Salman al-Farisi (semoga Allah merahmati beliau). Pengejar kebenaran. Dalam ramai-ramai sahabat Rasullulah, Salman al-farisi (r.a.) yang menjadi sumber inspirasi saya, supaya tidak putus asa mencari kebenaran. Kepayahan yang beliau tempuhi untuk mendapatkan kebenaran kerana kebenaran itu jelas.
    (maaf tulis panjang berjela….)

    • Terima kasih atas perkongsian saudari yang saya kira, menjadikan manfaat halaman ini naik sekali ganda lagi.

      Berkongsi pengalaman yang ada beberapa persamaan, apa yang banyak membantu saya melihat sesuatu dengan jelas (segala puji bagi Allah) ialah kerana apa yang ibu bapa saya tidak buat. Mereka tidak membuat keputusan untuk saya. Kebanyakan perkara semenjak kecil, ibu dan ayah jarang sekali memilih bagi pihak saya, tetapi menyerahkan tugas memilih kepada kami adik beradik.

      Ia memang berisiko.

      Ada masanya kami salah membuat pilihan. Ia jadi pengajaran pahit namun penting buat kami.

      Tetapi dalam banyak keadaan, kami dibiarkan membuat pilihan sendiri dan untuk membuat pilihan, kami berlatih untuk melihat sesuatu dengan jelas.

      Yang pasti, emak dan abah sentiasa menyokong kami dengan doa. Sesekali telinga dipulas emak, apabila pilihan terlalu mengarut.

    • Dar, pengalaman yg hampir sama. Tq for sharing.

      Sy out of topic skit dekat sni. Menyentuh tentang asas pemahaman – apa itu agama. Cara kita mendefinisikan Islam.

      Bg saya, pengalaman yg sama mcm Dar, pemisahan agama dan kehidupan. Jadilah solat, puasa sekadar itu sajalah. Alhamdulillah, kebenaran itu datang bagi yg mencari, kita telah sedar selama ini kita hidup dalam kebodohan, walaupun memang cemerlang dalam peperiksaan. Kembali kepada asas yang betul, iaitu sistem kehidupan para salafulsoleh.

      Kwn saya, sedari kecil, dididik dengan ajaran , “Hanya Allah yg wujud”. Ia lebih sukar utk dia. Struggle saya lihat kehidupan dia, dia solat, puasa, sebab dia rasa cenderung ke situ. Namun tidak dapat beri apa2 hujjah, kenapa perlu solat, dia masih tercari2 jawapan. Hanya Allah sj yg wujud, yang lain hanya bekas bagi dia. Akal, nafsu, jasad, semua bekas. Syariat entah ke mana2. Bagi mereka tak perlu buat. Ia bukan satu kewajipan, melainkan ingat Allah hanya dalam hati, perasaan utk buat syariat tuh akan datang kemudian. Kalau rasa nak buat, buatlah, kalau tak rasa, tak perlu. Keywordnya – rasa.

      Terbelit2 jugak saya utk menjelaskan. Sy tak nafikan pengalaman kerohanian. Namun ia adalah pengalaman hakikat, bukannya asas kebenaran. Namun sedari kecil, dia dididik begitu. Itulah asas agama kepada dia. Sy lihat dia ikhlas dalam mencari Allah. Struggle dalam pemahaman tuh. Namun bagi ahli keluarga dia yang lain, x tahulah. Mcm tak kesah, tak kesah apa2 then tak solat. Nak tegur pun payah, sebab bagi diorank solat tuh boleh bawak kepada syirik, kalau kita rasa kita yg sedang solat. Kwn sy maybe ambik kesimpulan, solat tuh senaman yg baik utk bekas which is jasad dia sementara hidup masih di dunia. Kita kata pemahaman camtuh syirik, dia kata kitalah yg syirik, sebab wujudkan diri kita yg solat, sedangkan hanya Allah yg wujud.

      Maaf, panjang pulak tulis. Namun isi saya, lebih kepada kita perlulah ada asas pemahaman yg betul. Pabila asasnya, cara kita melihat asas itu tidak tepat, maka berlakulah kecelaruan mcm2. Sekular dengan cara dia ikut pemahaman asas dia, literalist dengan cara dia, ikut pemahaman asas dia, geng Allah sj yang wujud akan stay dengan pemahaman asas dia. Masing2 rasa diri benar.

      Benar dalam kecelaruan.

  2. Assalamualaikum ustaz.

    Saya berharap generasi yang mempunyai critical thinking dan “auto-reject” kebatilan akan sentiasa “lahir” pada setiap masa. Dan seperti komentar saudari dar, kita juga boleh lihat sikap suka membaca (yakni mencari ilmu) dan digandingkan dengan ilmu “mengenal Allah” yang ditanam oleh ibunya dari kecil menjadi platform untuk seseorang itu mencari landasan kearah kebatilan walaupun pernah diperbodohkan oleh keadaan sekeliling dan juga kecelaruan ketika mencari jalan yang benar. Mohon maaf saudari dar, sekadar mengambil contoh atas penulisan saudari. Saya kira ramai diantara kita yang mengalami kisah yang hampir sama. Dimana kita dibekalkan kebenaran oleh ibubapa ketika kecil namun kita dijamu dengan kebatilan oleh sistem yang ada melalui medan-medan pembodohan.

    Wallahua’lam.

  3. Jika budaya bertanya disekat, atas alasan wala’, tihaqah dan tajarrud fikrah, adakah itu juga dikira satu pembodohan versi islamik?

    Adakah menggunakan ayat quran dan hadis utk mempertahankan kezaliman sang penguasa juga satu pembodohan versi islamik?

    saya masih mencari2 jawapannya..

    • Tidak perlu tercari-cari, ia memang satu lagi bentuk pembodohan yang sama.

      Saya menyelitkan ia sebagai mesej subliminal di dalam kisah ‘sejarah bola’ di atas, kerana pembodohan sebenarnya lebih banyak berlaku atas nama agama, berbanding atas nama ‘kuasa’

  4. Khairun Najati

    tajuk yang sangat menarik,ustaz. 🙂 terima kasih.
    tidak pernah terfikir,tidak pernah saye tahu.ilmu baru tentang sejarah bola yg ustaz jelaskn di ats.
    moga Allah melindungi kite semue drpd kejahilan dan memberi kefahaman dalam ilmu agama.

  5. Saya rasa info baru perihal kepala Sayyidina Hussain yang diumpamakan seperti bolasepak seperti dalam kisah di atas. Setakat yang saya tahu sahaja sudah begitu menyedihkan. Bilamana kepala Sayyidina Hussain yang telah ditebas musuh ia diarak dan dibentangkan kepada pemerintah yang zalim. Lantas pemerintah itu dengan bongkak bangkit lantas menggunakan tongkatnya meradak-radak rongga mata, hidung dan mulut Sayyidina Hussain. Sambil berkata (lebih kurang), “Inilah dia orang yang berani melawan aku dan kekuasaanku”. Lantas Anas bin Malik yang masih ada ketika itu tidak tertahan melihat keadaan tersebut, bingkas pula menegur perbuatan kurang sopan lagi biadap tersebut. Antara katanya seperti, “Andai iapun engkau begitu membencinya, jatuhkan tongkatmu itu, kerana sesungguhnya sedarlah engkau bahawa kepala itulah yang sering diusap oleh Baginda Rasulullah semasa hayatnya. Begitu pula mata, hidung juga mulut itu juga sering dikucupnya.”. Terdiam hanya seketika, lantas di balas dengan kata-kata….”Biarkan sahaja orang tua tersebut.”. Anas bin Malik lantas terus beredar.

    *Apa itukah asal cerita pengkhianatan dan kezaliman dalam politik dan siasah atau ada lagi sebelumnya? Saya pun suka nak tahu kebenaran.

  6. Salam alaikum ustaz,

    minta maaf, saya nak bertanya,

    di mana simpanan tulisan lama ustaz ya? memang sekarang ni website saifulislam.com 2.0 lain dengan sebelum ni ke?

    saya ada nak rujuk artikel lama, boleh tahu macam mana nak dapatkan tak ustaz?

  7. Assalamualaikum ustaz,

    dari sekolah rendah saya tidak pernah merasakan Kamal Artatuk itu hero dan tidak ada satu cikgupun mengatakan ia begitu..malah abah saya yang merupakan rujukan saya mengatakan dia (kamal artatuk adalah yahudi sebenarnya).

    malah abah saya pernah berkali2 berkata Islam tidak mungkin akan kembali gemilang andai kita sebagimana hari ni (rujuk tahun 80an….)..

  8. A dalam peperiksaan tetapi D, E dan F dalam kehidupan.
    Setuju, pada masa yg sama menakutkan kerana sudah ramai yg sebegini.
    Apakah cara terbaik untuk meneruskan kehidupan di akhir zaman ini?

    Jika mengasingkan diri, boleh berakhir dengan kemurungan.
    Namun jika terjebak, indahnya sementara tetapi kesesatan pasti menanti.

  9. Sangat setuju dengan artikel ini. Kita banyak dibodohkan dengan fakta-fakta peperiksaan yang jelas lagi bersuluh bertentangan dengan fakta yang sebenar.

    Di penghujungnya, bakal mencetuskan polemik di kalangan masyarakat dalam mencari kebenaran. Ada yang mengambil fakta peperiksaan sebagai kebenaran dan ada yang berhijrah kepada fakta yang sebenar.

    Semoga kita menjadi golongan yang kedua dan menentang perbodohan ummat ini.

  10. Pernah baca kisah Firaun dan Bani Israel banyak kali dalam terjemahan Quran. Saya minat sejarah, oleh itu kisah2
    Dalam quran saya biasanya saya tak ‘skip’. Semasa mula membaca saya tidak dapat kaitkan langsung dengan realiti semasa dan menganggap ianya tidak relevan pada masa kini.
    Tetapi sekarang setelah mengamati perkara2 yang berlaku di sekeliling , kisah Firaun dan bani israel sangat relevan kepada kita . Sesiapa yang belum dapat melihat kaitannya dengan kita sekarang kajilah akan sistem pendidikan , sistem pemakanan , sistem perubatan, sistem kewangan, sistem politik dan lihatlah akan pembangunan dari segi pembinaan dan juga hiburan yang disajikan.

    Kamu akan dapat melihat kuwujudan Firaun, Haman dan Qarun dan kita sebagai Bani Israel.
    Proses pembodohan kita hampir ‘completed’ . Semua ini adalah masalah….Solusinya juga terdapat di dalam Quran dan Allah akan bersama orang2 yang mengusahakan perubahan.. manual perubahan ini telah didokumentasikan buat umat akhir zaman ikuti…..ianya adalah Sunnah Rasulullah salllalahu alaihi wasallam.

    Wajib ikuti sunnah ini secara gigit dengan geraham dan genggam bara api…..jika tidak kita akan dipukul gelombang .

  11. Pembodohan skala mega dan massa berlaku seharian. Minggu lepas, d hidangkan acara tahunan membonsaikan akal budi. Bukan saja pembodohan boleh merencatkan akal budi, lebih buruk ianya boleh menjauhkan Not Yet Muslims dek pelbagai fitnah, adu domba dan pelbagai lagi atas nama membela agama dan bangsa!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.