Alkisah Kenangan Ketua Dewan Harian, Sehari

jordan090

Kami insan biasa

“Anta dilantik menjadi Ketua Dewan Harian, dan malam ini dalam mesyuarat di Amman, anta kena bentang perancangan setahun Dewan Harian” kata senior kepada saya pagi tadi.

Saya menggaru-garu kepala.

Dewan Harian itu apa?

Mengapa melantik saya tanpa persetujuan saya?

Mengapa saya?

Saya biarkan sahaja soalan itu berselang seli, sepanjang perjalanan dari Irbid ke Amman. Sebentar tadi singgah di al-Mafraq. Susah hati sungguh melihat keadaan di sana. Pelajar baru yang bakal ditempatkan di universiti baru berkenaan ramai. Tetapi kemudahannya amat terbatas, dan belum pernah dalam sejarah pelajar Malaysia di Jordan, penempatan diselaraskan di asrama.

Saya baru sahaja menjejakkan kaki ke tahun dua pengajian di Jordan.

1994.

Belum sempat bersenang lenang sebagai marhaen, saya diberikan jawatan yang saya sendiri pun tidak faham apa bendanya ia. Tetapi, terima sahajalah. Semuanya untuk kebaikan belaka. Tetapi saya akan berterus terang di dalam mesyuarat nanti, bahawa saya tidak tahu apa-apa, mustahil saya merancang agenda setahun dalam keadaan blank. Maka tugas mesyuarat malam ini ialah memahamkan saya, apakah yang dimaksudkan sebagai Dewan Harian itu.

Tiba sahaja di Amman, dengan blazer yang berdebu, saya masuk ke mesyuarat di Sweileh. Saya memakai blazer kerana menjalankan kerja-kerja persatuan, menguruskan hal ehwal pelajar baru.

“Ha, ahlan wa sahlan Hasrizal. Kami baru mula mesyuarat. Tafaddhal” ketua mesyuarat mempelawa saya duduk bersila. Seperti biasa, tilam dibentang di lantai, kami bersila di atas tilam. Ahli mesyuarat lelaki di ruang tamu. Manakala ahli mesyuarat perempuan di balik tabir, di bahagian dalam rumah.

Saya bersalam dengan lima orang ahli mesyuarat. Seorang demi seorang. Saya seorang sahaja nampaknya yang tahun dua. Lain-lain adalah senior belaka. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Isyak baru sahaja selesai. Agenda mesyuarat adalah di unit nombor dua. Saya nampak, agenda ‘Dewan Harian’ adalah yang kelima.

Saya banyak mendiamkan diri. Mahu mengenal pasti rentak mesyuarat. Tidak biasa. Dan kekok kerana rakan-rakan satu batch tiada. Semua senior. Belum mesra.

Dengar.

Fikir.

Perhati.

Menguap.

Sabar.

Antara mengantuk, letih dan berusaha untuk fokus, hati saya makin lama makin panas. Saya tidak faham mengapa mesyuarat ini begitu sememeh. Orangnya kemas-kemas. Tetapi perjalanan mesyuaratnya yang sememeh. Memenatkan.

“Tahun ini tamrin nak buat lima atau enam kali?” tanya salah seorang ahli mesyuarat.

“Tahun lepas buat enam, tahun ini buat enam kali jugalah” jawab seorang lagi.

“Tapi tahun ini, akhawat sudah ada tamrin mereka sendiri. Jika buat enam, nanti banyak sangat tamrin mereka. Buat lima sudahlah” jelas beliau.

“Isi tamrin akhawat lain. Isi tamrin markazi lain. Tidak bertindan. Akhawat yang tambah tamrin. Bukan kita tambah tamrin” hujah ‘orang pusat’ itu pula.

“Salah kita juga sebab tamrin markazi tak fokus kepada isu-isu akhawat, sehingga mereka kena buat tamrin mereka sendiri” bidas pencadang awal tadi.

Apa ini?

Sekejap lima, sekejap enam, sudah lebih setengah jam belum habis bincang hendak buat berapa kali. Itu belum masuk bab setiap kali tamrin dibuat, apa isinya. Walaupun mungkin akhirnya, hanya mengulang isi yang sudah dikupas dalam tamrin di tahun-tahun sebelumnya.

“Anta ni, syadid sangat. Prihatinlah sedikit dengan akhawat” kata ustaz fulan, menegur ahli mesyuarat yang bertegas mahu tamrin dikekalkan sebanyak enam kali.

“Terima kasih ustaz, prihatin dengan keadaan kami” sampuk akhawat dari balik tabir.

Saya jadi ‘berbulu’ dengan mesyuarat ini. Ia adalah mesyuarat tertinggi di dalam tanzim. Dan jika mesyuarat tertinggi, begini kualitinya, bagaimana pula mesyuarat di bawah-bawah? Saya teringat semasa memegang Badan Dakwah dan Rohani di sekolah dahulu. Saya telah taip nota khusus tentang cara mengendalikan mesyuarat yang efektif. Rasanya mesyuarat budak-budak kami beberapa tahun yang lalu, lebih berkualiti daripada mesyuarat  mengada-ngada ini.

Darah muda membuak-buak.

Sudahlah saya dilantik tanpa dimaklumkan. Jawatan pula tidak difahamkan. Sekarang, saya kena mengadap usik mengusik ustaz-ustaz ini dengan ustazah-ustazah di balik tabir, tentang tamrin tahun ini, mahu buat lima kali atau enam kali.

Mesyuarat dihentikan seketika untuk makan malam.

Saya menjamah makanan dengan berselera, namun mulut berkunci tidak berkata apa-apa. Makan dalam talam, tengah geram pun masih bersemangat.

Mesyuarat disambung semula. Hendak berpindah ke satu-satu agenda, sungguh memakan masa.

Apabila jam menghampiri tengah malam, saya sudah hilang sabar. Rasa penat, mengantuk dan kepala berasap sampai ke tahap maksima.

“Maaf ustaz, ustazah. Ana keletihan. Ana tidur dulu. Sampai agenda ana, tolong gerak ya!”  mesyuarat tersentak dengan ‘permintaan’ saya.

Semua ahli mesyuarat terlopong.

Saya tolak tilam ke tepi dinding, pejam mata dan tidur.

Entah apa yang mereka fikirkan tentang saya, tidak saya pedulikan. Saya sudah terlalu penat, mesyuarat pula entah apa-apa. Belum sempat berfikir panjang, saya sudah terlelap.

Sedar-sedar jam sudah pukul 3 pagi.

“Sheikh, bangun. Ni dah sampai agenda anta” kata senior, menggerak saya bangun dari tidur.

Memicit-micit mata dan menggosok muka kepenatan, saya terus mengambil tempat dan menyampaikan hasrat hati.

Allahu Rabbi… berjam-jam saya tidur, baru berganjak satu agenda mesyuarat.

“Ana dilantik memegang jawatan Ketua Dewan Harian, tetapi ana tidak dibawa berbincang. Ana tidak tahu Dewan Harian itu apa. Mustahil untuk ana merancang benda yang ana tidak tahu. Boleh siapa-siapa terangkan?” saya berterus terang.

“Dewan Harian ini baru sahaja dibentuk di dalam tanzim pusat di Malaysia. Kita mahu jemaah kita di sini selaras dengan pusat” kata senior, menerangkan satu demi satu tentang Dewan Harian.

Saya pula, yang sudah seperti cicak berak kapur, cuba mendengar dan memahami.

“Kalau macam itu, mesyuarat akan datang baru boleh ana bentang perancangan ana” saya menjawab.

“Tak boleh Sheikh, kena sekarang juga. Mesyuarat depan dah ada agenda lain pula” kata senior tadi.

Hmm…

Hati saya panas.

Oleh kerana saya hanya mendiamkan diri tidak berkata apa-apa, akhirnya mesyuarat ditangguhkan pada jam 3:30 pagi!

Tanpa bertangguh lagi, saya segera menempuh kegelapan malam pergi ke rumah sahabat-sahabat saya di Sweileh. Harapnya ada yang sudi bangun untuk terima kunjungan 3:30 pagi saya.

Sampai di Darul Ulum, saya ketuk tingkap.

“Ustaz, tolong buka pintu. Ana ni, Hasrizal!” saya memanggil rakan yang sedang lena itu.

Alhamdulillah beliau bangun. Saya nampak dalam gelap-gelap itu, dia meraba mencari kunci tetapi matanya seperti tidak terbuka.

Selepas beberapa minit, beliau berkata “Sheikh, tak jumpa kuncilah!”

Sahabat saya itu terus menyambung tidur!

Aduh!!!

Mengigau ke apa ini?

Saya ketuk tingkap bilik lain pula. Alhamdulillah seorang lagi sahabat berjaya saya bangunkan. Beliau bangun dan membuka pintu rumah. Tanpa berlengah lagi, saya capai sebiji bantal dan terus tidur di atas karpet di ruang tamu.  Baru sahaja hendak melelapkan mata, masjid sudah melaungkan azan subuh.

“Masha-Allah, sudah subuh!” saya gagahkan diri bangun, dan terus menuju ke masjid.

Usai solat Subuh, saya segera tidur semula. Terlalu penat.

Jam 9 saya terbangun, apabila digerak kawan.

“Hah macam mana mesyuarat malam tadi? Besar pangkat anta!” usik sahabat saya.

Selepas membasuh muka dan menggosok gigi, saya terus mengadap komputer.

Assalamualaikum wa Rahmatullah wa Barakatuh.

Semoga surat ini diterima di dalam kesempurnaan iman dan ukhuwwah.

PER: PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI KETUA DEWAN HARIAN

Merujuk kepada perkara di atas, adalah dengan ini saya, Hasrizal bin Abdul Jamil, pelajar tahun dua di Universiti Mu’tah, Jordan ingin memaklumkan tentang perletakan jawatan saya sebagai Ketua Dewan Harian bagi sesi 1994/1995 ini.

Perletakan jawatan ini dilakukan setelah mengambil kira manfaat dan mudarat tindakan berkenaan. Saya meletakkan kepentingan tanzim sebagai keutamaan dan dengan itu saya percaya tugasan ini akan dapat ditunaikan dengan lebih baik jika diamanahkan kepada pelajar yang lebih berpengalaman. Berilah peluang kepada saya untuk belajar dan mencari pengalaman terlebih dahulu sebelum langsung diberi amanah yang berat ini.

Perletakan jawatan ini juga merupakan pendirian saya yang membantah cara perlaksanaan mesyuarat pertama Jawatankuasa Pusat Tanzim yang berlangsung pada tarikh 6 Oktober 1994 lalu. Saya berpandangan, mesyuarat tertinggi Tanzim mestilah memperlihatkan kualiti dan integriti yang boleh dicontohi dalam mesyuarat-mesyuarat di peringkat kawasan.

Saya bersedia untuk dipanggil untuk sesi tunjuk sebab pada bila-bila masa yang munasabah, selepas surat ini diterima dan dimesyuaratkan.

Berkhidmat kerana Allah,

HASRIZAL BIN ABDUL JAMIL

“Anta betul ke nak letak jawatan ni?” sahabat saya bertanya.

“Kenapa?” saya bertanya.

“Nanti, tambah popular anta jadinya” kata beliau.

Saya ketawa kecil.

Selepas solat Jumaat, saya segera menaiki bas ke Irbid, untuk menghantar surat perletakan jawatan tersebut.

Tindakan saya meletak jawatan tersebut tidak mendapat sebarang reaksi pemimpin tanzim. Ya pun tidak, tidak pun tidak. Saya tidak dipanggil untuk tunjuk sebab. Saya hanya menyedari yang perletakan jawatan saya telah diterima, apabila kira-kira sebulan selepas itu, timbul cakap-cakap belakang bahawa saya tidak wala’, surat saya tidak wala’, kertas kerja yang saya buat tidak wala’.

Kisah surat saya itu dipetik berkali-kali di dalam pelbagai mesyuarat.

Hasrizal tidak wala’.

Hasrizal ini, dan Hasrizal itu.

Dan surat berkenaan juga memulakan rentetan pengalaman tidak manis saya sepanjang kehidupan di Jordan. Pengalaman tidak manis yang menjadikan buku Rindu Bau Pohon Tin, travelog saya yang paling nipis.

jordan091

Senior dan Junior, hari-hari awal kami di bumi Anbiya’

Saya teringat kembali kisah lama ini, apabila soal Kepimpinan Ulama dipaksa-paksakan konsepnya ke atas anak muda, bahawa masa depan perjuangan Islam bergantung kepada Kepimpinan Ulama. Dan selama saya berada di Jordan, universiti mengajar saya bahawa kepimpinan adalah urus tadbir, ia bukan Fiqh Ibadat, jauh sekali Aqidah. Urus tadbir ada ilmunya yang khusus, ada bakatnya yang khusus. Dan cara saya dan rakan-rakan berorganisasi semasa di bumi Anbiya’ dahulu, tidaklah menjadikan kami para agamawan lebih rendah atau lebih tinggi berbanding rakan-rakan di bidang dan negara lain.

Sebaliknya ia menjadikan kami para agamawan boleh menjadi pemimpin, seandainya kami ada bakat kepimpinan dan tahu memimpin serta mengurus tadbir. Bukannya kerana kami agamawan.

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); Sesungguhnya aku adalah seorang yang teliti dalam penjagaan (HAFEEZ), lagi mengetahui cara mentadbirkannya (ALEEM)” [Yusuf 12: 55]

Kelayakan Yusuf sebagai sandaran jawatan pentadbir kewangan Mesir itu adalah:

  • Yusuf memiliki sifat Hafīz, yakni ketelitian dan integriti yang tinggi untuk mengurus harta negara
  • Yusuf memiliki sifat Alīm, yakni berilmu pengetahuan berkenaan tugas mengurus tadbir harta tersebut

Ilmu untuk menjadi pentadbir, adalah ilmu khusus yang perlu diperolehi sebelum boleh diterima sebagai pentadbir yang baik. Sama seperti ilmu sains pemakanan, sebelum seorang agamawan bertukar menjadi pakar pemakanan dan pemasaran.

Segalanya kembali kepada ilmu.

Ilmu sebelum amal.

HASRIZAL
43000 BSP

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

23 comments

  1. mesyuawarat yang meleret-leret, tak habis-habis, tak move on from one agenda to next agenda, bertekak mulut pada benda-benda remeh, etc. memang membuat gerun. Diperlukan skill yang amat mahir untuk boleh seorang memimpin sebuah mesyuwarat.

  2. Ianya bukan berlaku pada para ustaz shj. Begitu juga dengan gerombolan ilmuan duniawi.

    Permasalahan Jebon bukan bermaksud menidakkan golongan ‘profesional’ mentadbir jemaah, tetapi persoalan yang timbul adalah Jebon ingin menukar iktikad kami yg cintakan jemaah islam kepada jemaah yang ‘tidak perlukan syariat’.

    Saya amat takut, kerana saya sendiri adalah profesional yang bersungguh2 ingin mengekalkan kepimpinan ulama. Dan mendapati bahawa terdapat ilmuan agamawan yg bersungguh untuk menidakkan kepimpinan ulama itu. Tahukah maksud kami ini, ingin mengekalkan kepimpinan ulama sebenarnya untuk apa?

    Kami mahu pembuat dasar jemaah adalah mereka yang tahu. Bukannya yang buat-buat tahu hanya semata-mata untuk menang memegang kuasa. Kami tahu, kerana kami dikerumuni oleh golongan jebon yang amat ‘bahaya’ pemikiran mereka…

    • “Jemaah yang tidak perlukan Syariat…”

      Inna lillah wa inna ilayhi raji’un.

    • Ulama dahulu berbeza dengan ulama sekarang. Ulama dahulu tidak memisahkan agama dengan kehidupan tetapi ulama sekarang memisahkan agama dengan kehidupan. Untuk menegakkan kepimpinan ulama, ulama mesti mahir ilmu mengurus dan komunikasi. Apresiasi yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi sangat penting. Ulama juga perlu menguasai bab sejarah dan geografi. Sebaiknya, ulama ialah seorang yang mempakari bidang agama sambil ia sendiri seorang profesional. Sultan Muhammad Al Fateh bukan sahaja mempunyai ilmu yang mengangkat taraf beliau kepada tahap ulama tetapi mengamalkan ilmu tasauf untuk mencanai tingkahlaku beliau. Sultan Muhammad Al Fateh juga mempunyai apresiasi yang tinggi dalam ilmu kejuruteraan. Sesebuah negara atau negeri akan mendapat masalah sekiranya ia ditadbir oleh ulama yang memisahkan agama dengan kehidupan. Agak mudah untuk berteori tentang tidak memisahkan agama dengan kehidupan tetapi terdapat ulama yang tidak memahami tentang konsep tidak memisahkan agama dengan kehidupan walaupun tema itu sentiasa menjadi retorik dalam ceramah. Zaman sekarang kita perlukan ulama yang menggerakkan rakyat serta memimpin negara/negeri tetapi ulama tersebut mestilah pada masa yang sama seorang jurutera, doktor, akauntan dan sebagainya. Akan tetapi bidang yang terbaik ialah kejuruteraan seperti yang ditunjukkan oleh Sultan Muhammad Al Fateh. Bolehkah ulama Malaysia menguasai bahasa ketiga seperti yang ditunjukkan pada zaman Ottoman di mana ulama boleh bercakap bahasa Latin menjadi perkara biasa? Kini bukan lagi masa untuk menerima ulama yang hanya tahu tentang bidang yang hanya sesuai untuk menjadi seorang guru agama sebagai pemimpin. Islam sendiri menyarankan supaya menyerahkan sesuatu amanah kepada yang ahli tentangnya. Sebagai langkah awal, pegawai-pegawai di Jabatan-jabatan agama disarankan untuk mengikuti program MBA di universiti-universiti terkenal di luar negara.

      • Apa yang tuan perkatakan sering bermain-main di fikiran saya. Saya sentiasa memikirkan cara untuk memperoleh ilmu dalam pelbagai bidang. Asalnya saya lepasan pelajar dari sekolah integrasi, sekarang mengambil jurusan agama. Namun, jauh di sudut hati sangat berat hendak melepaskan peluang belajar ilmu-ilmu aqliyah terutama ilmu sains.

        Jika ada jalan untuk saya menggapai kedua-duanya, akan saya usahakan. Namun sampai sekarang saya belum menemui dan masih memikirkan langkah yang paling praktikal.

        Doakan saya untuk menggapai tahap keilmuan sebegitu rupa. Syukran.

      • Assalamualaikum ….

        Jika ada cita-cita ingin belajar jurusan agama, dan disamping itu tidak ingin meninggalkan jurusan aqliah …. ini bermakna keputusan saudara adalah tepat.

        Sila jawab soalan yang saya keutarakan ini.

        1) “Saudara ingin belajar jurusan agama untuk menjadi ahli agama atau untuk menjadi orang yang beragama??

        Soalan saya ini adalah soalan yang sama yang dilontarkan oleh Abuya Hamka.

  3. Mohd Dzulhuzmi Nasruddin

    ‘Kepimpinan Ulama’ boleh jadi cogan kata yang boleh dilihat baik kepada Rakyat, tapi kalau salah guna boleh jadi racun.

    • Semasa ini, ia menjadi lesen untuk menjaja maruah sesiapa sahaja yang tidak selari, dengan alasan pembersihan.

  4. Salam Ustaz, gambar pertama tu gambar ustaz Imran Ibrahim ke? sebelah kanan ustaz tu

    • Wsalam. Benar. Ustaz Imran Ibrahim, junior sekolah menengah, dan junior universiti yang sama. Kini senior dalam dakwah dan perkhidmatan.

      • ohh. beliau skrng bertugas dengan Education Malaysia Egypt. Menyelia urusan pelajar2 Malaysia di MESIR.

  5. Halim Sallehuddin

    Assalamualaikum ustaz.

    Teringat kisah Mak saya yang baru saja dilantik sebagai AJK Kawasan. Mesyuarat yang bermula jam 8 malam berlarutan sehingga pukul 11.30 malam. Dan keputusan mesyuarat masih belum muktamad.

    Beliau pekerja kerajaan. Jadi sangat lelah melihat mesyuarat dijalankan dengan longlai dan tidak berkualiti.

    Setuju ustaz. Lantiklah mereka yang berkelayakan.

  6. pernah ada pengalaman hampir serupa la ust. dulu meting sampai dekat subuh,membahaskan hal2 yang amat teknikal, padahal besok ada kelas awal pagi, last2 jadi pemberontak lari dari meting,sebab meting makin meleret2. kes ke dua lari dari tapak tamrin sebab buat tamrin dekat dgn minggu exam,.lepastu dipaksakan ‘dalam perjuangan kena ada tadhiyah’ sampai sekrang telinga masih berbulu kalau dgr hujah mcm tu. huhu jahat ka saya?

  7. Kelakar artikel ni

  8. Kamarul Tasmania

    erbaik ustaz.. thanks atas artikel yg mantap ini.. agar menjadi tauladan..

  9. Masalah begini, berlaku di semua tanzim termasuklah di universiti tempatan. Bilangan mesyuarat dalam sebulan seolah-olah mahu diberitahu bahawa, kami sedang pimpin dunia sekarang. Perbualan ustaz itu tidak asing, memang begitu pun seakan menjadi budaya.

  10. Muhamad Najwan Taib

    Maaf sinikal sikit ustaz, kalau yg ada dlm gambar itulah, ahli mesyuarat malam itu, mmg patutlah PAS jadi mcmni. Innalillah wa inna illaihi rojiiun…. Perlunya kekuatan dan ilmu kepimpinan untuk memimpin, bukan bermesyuarat semalaman sampai ustaz pun sempat tidur. Denial syndrome memang berleluasa, pasti…… Terbaik sikap ustaz, yg penting jaga akhlak dan profesional..

    • Mesyuarat sehingga subuh berkenaan tidak membabitkan sesiapa di dalam mana-mana gambar yang saya letak di dalam artikel ini. Hanya sekadar sejemaah dan seperjuangan ketika itu.

  11. Dalam mesyuarat golongan ‘duniawi’ ni pun ustaz, isu remeh-temeh didebatkan berjam-jam. Semata-mata nak taichi kerja ke orang lain. Agenda yang sebenarnya, hujung-hujung mesyuarat baru sampai, itu pun drag lagi dari masa sepatutnya. Belum lagi dengan mesyuarat lain bertimpa-timpa..

    Allah..

  12. Assalamualaikum ustaz.
    Cerita tentang ‘meeting meleret leret’ ni juga berlaku sewaktu saya di universiti dulu. Saya waktu itu bukan di dalam mana mana kumpulan, dan kami cukup tak suka dengan kumpulan kumpulan aliran islam ni sebab kurang professional. Hingga satu tahap, kami beranggapan, orang di dalam aliran begini tak sesuai untuk majukan universiti. Tapi sekarang saya faham tak adil untuk saya nilai sesebuah kumpulan begitu berdasarkan sikap ahlinya. Terima kasih ustaz.

    • Waalaikum al-Salam.

      Apabila sudah sampai jadi tabiat (individu) dan budaya (kolektif), sesuatu yang serius mesti dilakukan. Dan biasanya apabila sudah jadi budaya, sangat susah hendak menyembuhnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.