Perlukah Jepun Kepada Wa al-‘Asr?

amagasaki

“Kalau kita mahu ajak orang Jepun kepada Islam, apa yang Islam hendak tawarkan kepada orang Jepun?” soalan yang sering saya ajukan di dalam ceramah.

Pada memahami erti menjadi seorang Muslim.

“Terimalah Islam agar kamu lebih menepati masa? Sebab di dalam Islam ada Wa al’Asr! Begitukah?” soalan saya berbentuk provokasi.

Mengajak satu kaum yang bermasalah kepada Islam, untuk menyelesaikan masalahnya dengan Islam sebagai penyelesaian, mungkin jelas hujung pangkalnya.

Namun, bagaimana hendak mengajak satu kaum yang begitu kemas tatacara hidupnya? Sebuah negara yang begitu maju, bersih, dan menepati masa seperti Jepun, apa lagi sebab untuk mereka merasa perlu kepada Islam?

Lebih membingungkan, kalau persoalan ini dibaca begini, “jika tanpa Islam pun Jepun boleh maju, mengapa perlu kepada Islam?!”

Sudah tentu, ketepatan masa yang sering dikaitkan dengan pencapaian ketamadunan Jepun akan mengambil sistem keretapinya sebagai contoh. Ketepatan masanya bukan lagi jam dan minit, malah dalam senggang hanya beberapa saat! Purata kelewatan bagi keretapi laju  Tokaido Shinkansen hanyalah 0.3 minit. Jika keretapi terlewat sehingga lima minit, pengumuman memohon maaf akan dibuat dan syarikat keretapi akan mengeluarkan “delay certificate” (遅延証明書) kerana pengguna tidak boleh membayangkan keretapi boleh selewat itu! Itulah ketepatan masa sistem pengangkutan sebuah negara bernama Jepun.

Perlu lagikah mereka kepada Wa al-‘Asr?

TRAGEDI KERETAPI AMAGASAKI 2005

Seorang anak muda bernama Ryūjirō Takami ada ceritanya.

Pemandu keretapi berusia 23 tahun itu dihantui oleh “Nikkin Kyoiku” atau “Tamrin Siang!”

Program ini diangkat menjadi satu bentuk latihan profesional untuk mendisiplinkan pemandu keretapi dan pekerja-pekerja lain agar serius dalam menepati masa. Namun Tamrin Siang itu mengundang risiko yang amat besar. Ia dilihat sebagai salah satu punca utama yang membawa kepada tragedi berdarah keretapi Amagasaki pada pagi 25 April 2005. Sebuah keretapi yang dipandu melebihi had laju telah terbabas, merempuh sebuah apartment dan mengakibatkan kematian 107 orang termasuk pemandu manakala 562 lagi cedera.

Ryūjirō Takami pagi ini bertugas memandu keretapi syarikat JR Fukuchiyama dari Takarazuka ke Dōshisha-mae. Sejurus selepas waktu kemuncak, keretapi yang dipandu oleh Ryūjirō Takami sudah mengalami kelewatan beberapa minit.

Beliau tidak sanggup menghadapi tekanan dan rasa malu yang bakal dihadapinya di dalam Tamrin Siang, apabila pemandu yang mencetuskan kelewatan akan dipaksa memotong rumput di siang hari, mencuci mangkuk tandas dan terus menerus dimarah dengan maki hamun sebagai satu program yang dianggap sebagai latihan profesional untuk mendisiplinkan pekerja pada masa itu. Tertekan dengan keadaan itu, penyiasat percaya ia mewujudkan tekanan yang begitu tinggi hingga Ryūjirō Takami teragak-agak untuk menggunakan brek kecemasan walaupun masih mempunyai masa beberapa saat untuk berbuat demikian.

Akibatnya, keretapi yang dipandu dengan kelajuan  116 km sejam (had laju yang ditetapkan hanya 70km sejam) tergelincir di landasan semasa melalui sebuah selekoh lalu merempuh apartment kediaman berhampiran.

Tragedi menyayat hati pagi ini mendesak pelbagai rombakan dibuat membabitkan jadual keretapi JR West yang terlalu padat, serta “Nikkin Kyoiku” atau “Tamrin Siang dirombak semula dalam modus operandi latihan syarikat. Biar pun menepati masa itu mulia dan diangkat sebagai petanda kemajuan sebuah tamadun, bezanya ketepatan masa di dalam budaya Jepun, dengan menepati masa yang dianjurkan oleh Islam adalah pada memposisikannya sebagai proses atau output.

Di dalam budaya Jepun, menepati masa itu menjadi objektif yang hendak dicapai. Apabila ia dicapai, objektif terhasil dan jika gagal dicapai, ia merupakan sebuah kemunduran. Motif menepati masa berlegar pada soal memenuhi keperluan manusia, hingga manusia tenggelam punca pada menentukan mereka mereka perlu menepati masa pada harga yang begitu mahal, membunuh manusia sendiri?

 

MESEJ DEMI MASA

surah-al-asr2

“Demi masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian yang sebenar-benarnya. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Serta berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan berpesan-pesan dengan kesabaran” [al-‘Asr 103:1-3]

Allah bersumpah dengan masa.

Tandanya masa itu amat penting.

Apa sahaja yang Allah sumpah di dalam ayat-ayat al-Quran, ia memberitahu kita akan kepentingannya.

Masa yang tidak dijaga menjadikan manusia hidup dalam kerugian. Masakan tidak, masa itu adalah umur. Sesaat yang berlalu, adalah lebih jauh daripada 100 hari yang belum tiba. Betapa pentingnya manusia yang menghargai kehidupan, sensitif dengan masa.

Namun memuliakan masa itu ada rangkanya.

Kita memuliakan masa kerana memuliakan masa itu adalah ibadah kita kepada Allah. Tanda keimanan kita kepada-Nya. Ibadah-ibadah kita sangat banyak yang disandarkan kepada masa. Lima waktu solat, permulaan puasa dan berbuka, Ramadan dan Shawwal, hawl untuk zakat, musim haji, dan amalan-amalan sunat yang disandarkan kepada masa-masa yang tertentu, adalah modus operandi Islam agar sensitiviti terhadap masa adalah dengan dorongan iman.

Akauntabiliti kita kepada Allah.

لا تسُبُّوا الدَّهرَ . فإنَّ اللهَ هو الدَّهرُ

“Jangan kamu mencela masa, kerana sesungguhnya Allah itu adalah masa!” [HR Muslim]

Ertinya, masa itu Allah secara eksklusif mengendalikannya. Tanpa campur tangan makhluk. Panjangnya siang dan malam, cepat atau lewatnya perjalanan masa, semuanya dalam kekuasaan Allah dan kita sebagai manusia dipertanggungjawabkan dalam keadaan beriman dan beramal soleh, untuk mengatur hidup dalam ruang lingkup masa yang ada.

Manusia yang berjaya, dibekalkan 24 jam dalam sehari.

Manusia yang gagal, juga dibekalkan 24 jam sehari.

Mereka yang berjaya, memanfaatkan masa. Mereka yang gagal, mensia-siakan masa.

Islam memberikan ketepatan masa suatu motif yang lebih tinggi daripada sekadar memenuhi keperluan manusia. Menepati masa adalah untuk merealisasikan sifat kita sebagai hamba kepada Tuhan, bukan hamba sesama manusia.

Dan untuk mencapainya, siang dalam malam kita ditamrinkan dengan berpesan-pesan dengan apa yang benar, dan berpesan-pesan dengan penuh kesabaran.

Jepun yang sudah begitu menepati masa, memerlukan Islam untuk menyuntik sebuah MOTIF.

Kerana kebaikan tanpa MOTIF yang benar, adalah sebuah kekosongan makna yang menghilangkan erti sebuah perbuatan.

Menepati masa untuk menunaikan KEPERLUAN, kepada menepati masa untuk menunaikan TUJUAN.

51_56

“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk mereka memperhambakan diri beribadah kepada-Ku” [Al-Dzariyat 51:56]

Ryūjirō Takami tidak sempat menerima mesej ini. Masanya tamat dalam sebuah hambatan masa.

Moga menjadi iktibar buat kita semua yang sudah Muslim, namun masih panjang perjalanannnya untuk menepati masa.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

14 comments

  1. Sebelum ini saya ada membentangkan kepada ahli persatuan Islam berkenaan masa yang diberkati. Niat saya satu sahaja iaitu menyedarkan APA itu masa yang selama ini di sebut-sebutkan, diperingatkan antara satu sama lain dengan dalil-dalil segala macam untuk menjelaskan kepada mereka untuk BAGAIMANA menguruskan masa dengan baik. Para tokoh-tokoh yang dikagumi di dalam sejarah Islam mempunyai 24 jam juga untuk mencipta deretan sumbangan yang penuh kegemilangan tetapi kenapa kita yang mempunyai 24 meRASAkan seperti tidak mampu mencipta sejarah seperti mereka? Apa yang membezakan diri kita dan mereka untuk membongkarkan manfaat masa? Persoalan ini dilontarkan kepada mereka semua untuk menyedarkan bahawa tindakan apa yang perlu diUSAHAkan dalam kesempatan masa yang dianugerahkan oleh Allah SWT…

  2. Jika masyarakat Jepun yang sangat menepati masa itu tidak punya “motif” atau “matlamat”, masyarakat yang menggelarkan diri mereka ‘orang Islam’ yang sangat tidak menghormati masa itu pula kurangnya di mana? Adakah mereka ini belum menerima mesej wa-al-asr? Hmmm…………..

  3. Adakah kita gagal memahami objektif dan tujuan syarak?
    Maka kita juga tampil seolah manusia tanpa motif.
    Hidup untuk kepuasan, survival. Tiada motif. Tiada keutamaan untuk dijaga.
    Jika ya, maka mungkin sebab itulah kita luangkan masa dengan membuangnya.

  4. Kisah Jepun! Akhirnya mampu nak beri komen.

    (Tiba-tiba rasa excited, artikel ustaz ini seolah-olah meluahkan apa yang ada di kepala saya sebelum ini. Dah lama tak menulis, jadi tak pandai nak terjemah dalam tulisan.)

    Saya pernah bercerita tentang kisah kemalangan Amagasaki ini kepada pelajar-pelajar persediaan ke Jepun, dan pernah juga bawa ke perbincangan usrah. Saya mengambil kisah ini, kerana saya selalu terfikir melihatkan mereka-mereka yang mahu ke Jepun, hampir semuanya setuju yang masyarakat Jepun mempunyai ‘Islam’ di dalam hidup mereka. Rata-rata bersetuju yang orang Jepun mempunyai sikap dan budaya yang hampir sempurna dengan menepati masanya, kebersihannya dan lain-lain.

    Saya pun terfikir perkara yang sama.

    Jadi, apa yang menyebabkan mereka begini? Dan apa bezanya dengan kita yang Islam ini? Persoalan timbul bila mana, orang Jepun seolah-olah tidak perlukan Islam untuk menjadi masyarakat seperti yang kita kenali sekarang. Adakah benar persepsi ini?

    Perbincangan kami membawa kepada satu konklusi. Tanpa tujuan dan panduan hidup yang tepat, perkara yang baik sekalipun akan ada kesan buruknya. Islam memandu manusia, mengajar manusia membuat pertimbangan, membuat keputusan dan berserah bulat kepada Allah tentang keputusan yang telah dibuat dengan pertimbangan yang mengikut neraca al-Quran dan sunnah.

    Tambahan lagi, ustaz telah membantu untuk kaitkan dengan surah al-asr. (Baru je bincang dalam usrah semalam! Perasan lagi. Hehe.)

    (Serius, tak sabar nak sambung semula perbicangan dengan kaitan antara 2 topik ini. Jazakallah khair ustaz.)

    Tambahan maklumat , masyarakat Jepun ini sangat konfiden dengan pencapaian dan kehebatan kejuruteraan mereka, mereka sungguh yakin sehinggakan mereka tidak langsung risau untuk membina landasan keretapi 3 kaki daripada bangunan kediaman. Mereka yakin yang sistem mereka cukup selamat dan tidak mungkin akan berlaku sebarang kerosakan yang cukup serius yang mampu menyebabkan malapetaka yang besar.

    Adakah ini boleh disebut sebagai satu ciri kehidupan tidak berTuhan?

    Dan mungkinkah kepercayaan sebegini yang menyebabkan setiap pemimpin, pengarah syarikat dan lain-lain yang gagal menjalankan tugas dengan baik meletakkan sepenuhnya kesalahan dan kegagalan di bahu mereka kerana yakin yang mereka adalah punca segala kegagalan itu berlaku? Dan menyebabkan mereka berhenti kerja, meletak jawatan, bunuh diri dan lain-lain?

    Yang mana, kita pula yang hidup berTuhan ini apa-apa yang berlaku, kita terima kesilapan, redha, pasrah dengan ketentuan dan ‘move on’ dengan belajar daripada kesilapan.

    Atau mungkin, langsung tidak tahu malu dan tidak mengambil tanggungjawab atas sebarang kegagalan dan kesilapan.

  5. Mungkin Jepun akan menjadi negara islam paling maju selepas mereka mengetahui matlamat memenuhi keperluan MASA

  6. Saya ada berurusan dengan orang Jepun. Di negara Jepun. Di dalam industri kilang kejuruteraan Jepun. Maka jika hendak mengkaitkan orang Jepun itu menepati masa, maka ianya tidak seindah yang selalu disebut-sebutkan.

    Bagi saya, industri Oil and Gas di Malaysia adalah lebih menepati masa daripada masyarakat Jepun secara umumnya. Mungkin, hanya kerana sistem signaling keretapi Jepun adalah yang terbaik dari yang terbaik di dunia, maka masyarakat luar Jepun telah menganggap orang Jepun adalah satu golongan yang menepati masa.

    Bagi saya, tidak, masyarakat Jepun sebenarnya serupa juga masyarakat Melayu di Malaysia. Ada yang menepati masa, ada yang tidak. Begitu juga kebersihan. Melihat penyokong Jepun yang mengutip sampah didalam stadium, akan menjuruskan orang diluar Jepun bahawa orang Jepun adalah pembersih.

    Namun, jika kita ke Tokyo, persisir Tokyo, atau lebih mudah lorong-lorong belakang Akihabara, atau di kawasan yang penuh gelandangan, maka kita akan melihat orang Jepun ini adalah sama juga dengan masyarakat seluruh dunia.

    Apa yang saya nampak, orang Jepun pandai membawa watak menepati masa dan pembersih apabila mereka di luar dari negara Jepun. Mungkin hendak memberi perspektif yang baik kepada masyarakat luar. Dan sebenarnya, mereka berjaya…

    Dan dari situ, sebenarnya, dakwah Islam adalah SANGAT2 diperlukan oleh masyarakat berpulau itu. Bangsa Jepun sebenarnya AMAT memerlukan Islam. Mereka dalam kelemasan..

    • Saudara Mazwandi, ni pandangan saya.. apa kata kita ambil mesej yang baik daripada artikel ni dan kita muhasabah balik apa-apa kekurangan yang ada dalam diri kita sendiri dan seterusnya beramal dalam kehidupan supaya kita dapat menjadi muslim contoh kepada non muslim agar mereka lebih tertarik dengan Islam.

      Tak ada sesiapa yang sempurna kecuali DIA. Jadi ambil apa yang patut, tinggal apa yang tidak patut. Kan lebih baik daripada kita cuba mencari kesalahan dan kelemahan orang lain.

      Action speak louder than words. Just my 10 cent..

      • Personalization, dan generalization, kedua-duanya boleh menjadi satu bentuk mental distortion. Sebaiknya, bersederhana dalam mena’kul persekitaran.

      • Menepati masa ialah problem lama di kalangan orang Melayu. Sekiranya seorang ustaz di Malaysia tidak menepati masa, ia tidak menjadi masalah kerana uztaz itu sendiri ulama pewaris Nabi, masyarakat hanya perlu menunjukkan wala’ kepada ustaz tersebut atau organisasi yang diwakilinya. Sekiranya kita cuba menegur, sedangkan kita sebahagian dari organisasi ustaz tersebut, kita akan dicop dengan berbagai-bagai label.

      • Terima kasih En Farizol atas pandangan.

        Seperti yang saya catit, diperenggan terakhir. Itulah yang saya maksudkan. Agar En Farizol tidak salah faham dengan pandangan saya terhadap bangsa Jepun…

  7. Pengurus-pengurus berbangsa Jepun di kilang-kilang Malaysia amat membawa imej Jepun sebagai penjaga masa yang baik. Namun mereka juga workaholic! Staff yang balik tepat jam 5 petang akan dipandang serong seolah-oleh tiada kerja.

    • Ada juga menganggap balik lewat bermaksud kerja tak efisyen, jika menyusun kerja dengan baik cukuplah 8-5. Lagipun perlu seimbang keluarga dan kerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.