Catatan Jepun 2008: Merawat Kejemuan Literatur ‘Haraki’

img_1061

Bergambar di hadapan Tokyo Eki (Stesyen Keretapi Tokyo)

“Ana ada sesuatu yang personal nak tanyakan kepada ustaz sebab ana rasa susah juga nak bincangkan hal ini dengan ustaz lain” kata Lukman.

“Insha Allah, mana-mana yang ana boleh tolong, ana usahakan” saya membuka laluan.

Suasana di stesyen Metro Tokyo tidak sibuk. Waktu pejabat, tidak memberi gambaran sebenar tentang kepadatan pengguna Metro di kota metropolitan Tokyo yang menampung penghuni melebih 12 juta orang.

Sambil berjalan di stesyen untuk menuju ke Masjid Tokyo, Lukman dan rakan-rakan yang lain mengambil setiap minit dan ruang untuk berbincang dengan saya. Pelbagai isu yang ditimbulkan. Biar pun tekak berasa kering dan pipi kebas kerana bercakap tidak henti-henti, saya menghargainya kerana mahu setiap peluang dan ruang, terisi dengan baik.

17082008534

Tokyo Ueno Station yang sangat sibuk

“Masalah saya berkaitan dengan pembacaan. Ustaz pun tahu kan yang saya suka baca buku yang macam mana” beritahu Lukman kepada saya.

Saya mengangguk.

Saya suka berbual dengan Lukman kerana kami berkongsi minat yang sama. Selain aktiviti membaca, topik yang gemar dibaca juga seiringan. Buku-buku yang bersifat Current Affair, berlegar pada sekitar disiplin falsafah dan sains sosial, politik, sosiologi serta sejarah menjadi pilihan kami mencambahkan fikrah.

“Itulah masalah saya ustaz. Saya sangat berminat membaca buku-buku berkenaan dan gagal mengimbangkan keghairahan dan kepuasan saya semasa membaca buku-buku fikrah karangan ulama’ Islam” Lukman meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Apa yang anta rasa semasa membaca kitab-kitab tu?” saya meminta penjelasan.

“Jemu, bosan dan tidak menjawab persoalan” balas Lukman. Jujur.

Saya terdiam.

metro-chiyoda-line

Metro Chiyoda Line

Metro Chiyoda Line bergerak pantas. Seketika cuma, kami telah pun tiba ke stesyen Yoyogi-Uehara untuk ke Masjid Tokyo. Suasana di sekitar Jalan Inogashira amat mendamaikan. Tiada banyak kenderaan yang lalu lalang. Apa yang nyata, Tokyo memang sebuah bandar yang amat bersih lagi tersusun. Teringin sekali melihat Kuala Lumpur malah Mekah ada suasana sedemikian rupa.

KESAN KEJEMUAN

“Apa kesannya kejemuan anta tu kepada aktiviti seharian?” saya menyoal Ahmad.

“Misalnya, ketika ana bawa usrah. Apabila nak bercakap tentang Tauhid Rububiyyah berdasarkan keterangan kitab-kitab yang kita sedia maklum, ana terasa bosan dan ia semacam tidak membina kepercayaan yang sepatutnya menjadi isi penting subjek Aqidah. Ahli usrah pun macam lesu sahaja mendengarnya. Tetapi apabila ana kembangkan Tauhid Rububiyyah itu melalui perbahasan mengenai sains dan sejarah, untuk menonjolkan kekuasaan dan takluk Allah ke atas sekalian alam, barulah ahli usrah seronok” kata Lukman.

Tersenyum saya mendengarnya.

“Ada ahli usrah kata, kalau discussion macam ini, lima jam pun dia sanggup” sambungnya lagi.

“Benarlah kata pepatah Arab, fāqid al-shay’i lā yu’thīh. Anta yang tiada keseronokan tidak mungkin dapat menyeronokkan orang lain. Kejemuan itu persis penyakit berjangkit” saya menambah.

img_1056

Kelihatan sayup di belakang, Tokyo Tower

Apa yang Lukman alami, bukanlah sesuatu yang asing. Tatkala kita cuba mencari formula menyelesaikan keserabutan yang membelenggu ummah, ada kalanya kitab-kitab yang sudah diangkat menjadi silibus usrah dan Tarbiyah itu, seakan-akan hambar dan tidak berkhidmat ke arah matlamat.

Saya tidak segera memberikan komen. Banyak perkara yang perlu difikirkan.

Kami terus sama-sama melangkah santai menuju ke Masjid Tokyo. Kebetulan sehari dua kebelakangan ini, Jepun disirami hujan yang meredakan kepanasan seminggu lalu. Terasa damai melangkah, biar pun sinar mentari tengah hari tegak di atas kepala.

SAYA JUGA JEMU

“Akhi… kalau itu masalah yang anta maksudkan, ana mahu anta tahu bahawa anta tidak sendirian” saya memecah hening kami dari bicara.

Jika orang seperti Lukman, meluahkan rasa jemunya terhadap buku-buku fikrah yang menjadi teras Tarbiyah itu, sekurang-kurangnya beliau bebas untuk merasakan begitu. Bagaimana pula dengan saya? Apa kata orang kalau saya sendiri pun jemu dengan buku-buku yang telah pernah membentuk diri saya sendiri?

Kitab-kitab teras yang ada di dalam ‘perpustakaan’ saya masih lagi dirujuk dari semasa ke semasa. Kitab seperti Fath al-Bārī Sharh Sahīh al-Bukhāri, Bidayah al-Mujtahid, malah kitab-kitab semasa seperti Fiqh Siyam oleh Sheikh Qaradhawi, atau Tafsir al-Munir oleh Sheikh Wahbah Zuhaili dan lain-lain, masih terus menjadi rujukan saya

Kitab-kitab ini adalah seumpama manual, yang menjelaskan kepada saya alat-alat yang diperlukan untuk mencari jawapan. Kitab teras ini, bermula dari Ulum al-Quran kepada Ulum al-Hadith, hinggalah kepada Usul al-Fiqh dan Usul Aqidah, kesemuanya adalah ilmu alat yang terus segar dan sentiasa menjadi rujukan saya.

Akan tetapi kejemuan itu timbul, apabila saya cuba mencari penyelesaian ummah di dalam buku yang dikategorikan sebagai rujukan fikrah dan dakwah. Mengulang baca buku-buku yang suatu ketika menjadi bantal tidur saya selepas penat berusrah dan bertamrin menyusuri liku-liku Tarbiyah, tidak lagi menimbulkan ghairah seperti sebelumnya.

Mengapa?

FAKTOR BAHASA

Kejemuan mungkin timbul apabila Lukman atau sesiapa membaca buku melalui versi terjemahan. Lazimnya, terjemahan buku yang baik akan membekalkan kefahaman terhadap maksud asal buku, namun ia telah menghilangkan sentuhan bahasa penulis yang juga sebahagian daripada keistimewaan sebuah buku.

Ambil sahaja buku karangan Said Hawwa.

Membaca karangan-karangan beliau, bahasanya begitu lembut dan mendidik hingga tanpa sedar terasa seolah-olah diri ini disentuh beliau secara peribadi. Seakan-akan buku yang dibaca, dikarang oleh Said Hawwa khusus untuk diri ini.

Di satu peringkat, buku-buku Said Hawwa telah sangat mempengaruhi fikiran dan pendekatan saya. Pertengahan 90′an, ketika rancak di alam pengajian, saya telah merumuskan buku Said Hawwa kepada silibus pembangunan tsaqafah dan Tarbiyah bagi adik-adik di Universiti Mu’tah, dengan terasasnya Madrasah Said Hawwa.

Segala saranan Said Hawwa, khususnya di dalam kitab Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan telah saya jadikan sebagai modul. Banyak siri kuliah telah saya adakan di Mu’tah, khusus bagi mereka yang meminati diskusi ilmu dan sumbangsaran fikrah serta tsaqafah.

Semuanya kerana sentuhan yang begitu berbekas hasil saya mendampingi tulisan-tulisan al-Marhum Said Hawwa.

Akan tetapi, tatkala membaca karangan Said Hawwa yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu atau Inggeris, saya mungkin memahami maksud tulisan. Tetapi saya tidak akan dapat mengalami sentuhan peribadi kerana bahasa itu jambatan antara hati ke hati.

“Mungkin ini salah satu faktor yang penting untuk anta dan rakan-rakan lain fikirkan” saya cuba membuat andaian.

FAKTOR SEMASA

Namun bahasa bukan segala-galanya.

Impak utama sebuah buku masih berlegar pada soal utamanya iaitu ISI.

Ini mungkin menjadi salah satu daripada faktor terpenting yang menyebabkan pembaca gagal meraih kepuasan tatkala membaca sebuah buku. Termasuklah buku yang dikarang oleh ulama dan pejuang.

“Macam mana boleh terjadi begitu?” tanya Lukman kepada saya.

Expiry date!” saya memberikan reaksi.

“Ada expiry date untuk buku?” Lukman menyoal.

“Apabila pengolahan sebuah buku tidak lagi mampu menjawab persoalan. Ia tanda buku itu mungkin sudah melampaui masanya” saya menjawab.

Lihat sahaja buku Apa Erti Saya Menggabungkan Diri Dengan Islam karangan Sheikh Fathi Yakan. Persoalan sebesar “SAYA MESTILAH MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH MILIK ISLAM” hanya diperkatakan sebanyak dua muka surat pada versi yang ada di tangan saya! Bagaimana mungkin persoalan sebesar itu mampu diungkapkan hanya dengan sepintas lalu begitu?

puisidsc_8284

Peserta PUISI 2007 berterus terang!

“Ustaz menyebut tadi, kita mestilah meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam. Maafkan saya kerana saya tidak mempunyai keyakinan yang sama” tegas salah seorang peserta PUISI 2007 di Ireland lama dulu.

Bravo!

Tahniah saya ucapkan kepada peserta itu atas keberaniannya berterus terang. Sesungguhnya jika PUISI 2007 diisi dengan modul yang sekadar mensyarahkan buku MAZA YA’NI tersebut, apakah yang mampu saya syarahkan dari buku itu tentang soal masa depan milik Islam, jika Sheikh Fathi Yakan hanya mengungkapkannya di dalam dua muka surat buku bersaiz separuh A4 itu?

Inilah isu besarnya.

Sesungguhnya para nuqaba’ yang bergantung kepada buku MAZA YA’NI ini, jika tiada upaya untuk mengembangkan tajuk, akan berdepan dengan cabaran yang serius. Bagaimana untuk beliau menjustifikasikan masa depan adalah milik Islam? Memaksa sebuah keyakinan berbekalkan dua muka surat penjelasan Sheikh Fathi Yakan?

Saya yakin ahli usrah yang kritis akan ditimpa jemu dan lesu.

Justeru adakah kita mahu meletakkan kesalahan di atas bahu Sheikh Fathi Yakan?

MEMAHAMI KONTEKS

Di sinilah pentingnya kita memahami konteks. Memahami hubungkait di antara idea dengan masa. Jika kita gagal melakukannya, banyak idea akan hilang daya upaya. Hilang hubung kaitnya dengan realiti.

Kitab MAZA YA’NI dikarang oleh Sheikh Fathi Yakan di zaman ketika manusia jauh dari Islam. Zaman di mana untuk menjelaskan Islam sebagai suatu cara hidup pun, masih jauh dari kemudahan minda manusia ketika itu menggarapnya. Jauh sekalilah untuk bercakap tentang kepimpinan Islam terhadap kehidupan global.

Oleh yang demikian, sasaran utama kitab MAZA YA’NI adalah untuk menjelaskan kembali kesyumulan Islam sebagai suatu cara hidup, dan saya kira tindakan Sheikh Fathi Yakan memasukkan bab “SAYA MESTILAH MEYAKINI BAHAWA MASA DEPAN ADALAH MILIK ISLAM” itu sebagai suatu idea yang melangkaui zaman!

Ia suatu kelebihan.

Oleh kerana bab itu berdiri sebagai nilai tambah kepada kandungan asas buku MAZA YA’NI, maka saya kira dua muka surat sudah memadai untuk Sheikh Fathi Yakan jadikan medan beliau melontar idea ini. Perinciannya menyusul di dalam buku-buku yang lain, malah Sheikh Fathi Yakan selepas dekad yang berbilang, masih prolifik hingga ke hujung usianya, meneruskan mujahadah beliau menganalisis dan mengenengahkan solusi ummah.

MEMPOSITIFKAN KEJEMUAN

Kejemuan hanya terjadi apabila kita statik di dalam pembacaan. Kita hanya membaca apa yang ditulis, tetapi tidak peka kepada apa yang tidak dinyatakan di sebalik kata-kata. Bahawa karya-karya pada mana-mana zaman, terpikul di dalam maknanya kejadian-kejadian yang menjadi latar belakang penulisan. Latar belakang yang mungkin sama dan mungkin telah berubah. Sebuah buku yang cemerlang pada zamannya, mungkin lesu pada zaman yang lain, andai kita mengabaikan hakikat ini.

“Sebab itu ana bangunkan modul PUISI 2007 khusus untuk mengolah kembali buku MAZA YA’NI. Buku itu menjemukan jika kita membacanya secara surface“ saya menyelesaikan diskusi bersama Lukman.

Kejemuan yang saya sendiri alami terhadap buku-buku seperti MAZA YA’NI itulah yang mendorong saya untuk menganalisis kembali khazanah ulama kita, dan memprosesnya untuk dibentangkan semula dengan nafas baru.

Lihat sahaja kata-kata Sheikh Fathi Yakan tentang Ibadah:

fathiyakan-ibadah

“Bahawa ibadah saya itu mestilah HIDUP serta BERHUBUNG dengan DIA YANG DISEMBAH (ALLAH)… dan inilah kedudukan IHSAN di dalam Ibadah”– Fathi Yakan

Perkataan ini adalah perkataan yang relevan di sepanjang zaman. Bahawa sesungguhnya tiada erti bagi ritual yang kita ulangi pada setiap hari, minggu, bulan atau tahun, jika ibadah tidak menghubungkan ‘abid dengan Ma’bud.

Ibadah itu harus hidup, bernyawa serta memikul erti dan makna.

Akan tetapi bagaimanakah pengolahan kita untuk memastikan proses menghayati dan mengusahakan ibadah yang hidup itu boleh terus dilakukan? Di sinilah perlunya kepada pengolahan semula, membawa huraian yang dekat dengan realiti dan tidak lari dari cabaran semasa.

Contoh terkecil yang mungkin boleh difikirkan bersama ialah mengubah pendekatan huraian kaedah solat di dalam perahu, kepada kaedah solat di dalam pesawat, keretapi dan kereta! Itu keperluan semasanya.

Dan solat harus memproses manusia menjadi hamba, untuk melihat Dia sebagai Tuhan.

PENYELESAIAN

18082008537

Di Masjid Tokyo

Akhirnya kami tiba di Masid Tokyo. Perasaan syukur terasa membuak di dada melihat masjid tersegam indah tengah-tengah kota Tokyo. Saya berasa agak selesa untuk membayangkan Islam diketengahkan kepada masyarakat Tokyo oleh Muslim yang Turki.

Banyak kelebihan yang sudah menjadi darah daging orang Turki, bisa menjadikan Islam yang dipersembahkan kepada masyarakat Jepun itu, lebih baik, kemas dan berkualiti.

Kami solat Zohor bersama. Sebelum melangkah ke KEBAB YE!, kami berehat-rehat santai di perkarangan masjid menghilangkan lenguh kaki.

kebabye

Selepas menjamu selera di Kebab Ye

“Habis, macam mana nak buat ya ustaz?”tanya Lukman kepada saya.

“Hmm… ana underestimate soalan anta jika ana mendakwa ana tahu jawapannya. Tetapi sebagai langkah permulaan, kita harus berbalik kepada soal disiplin” saya berkongsi pandangan.

DISIPLIN itu ialah keupayaan diri untuk terus melakukan perkara yang kita tidak suka, demi untuk mendapatkan apa yang kita suka suatu ketika nanti. Inilah kaedahnya.

Bersabarlah dengan kejemuan itu. Atasi ia dengan mata, telinga dan akal yang  hipersensitif mengesan apa yang tidak disebut atau ditulis, dan gunakan hasil penemuan masing-masing untuk terus menyegarkan pembentangan Islam. Inilah inti pati TAJDID.

Dan, sesuatu yang hari ini berjaya mengubat kejemuan itu, pasti akan menjadi kejemuan yang seterusnya suatu hari nanti kerana hukum alamnya begitu. Justeru, dalam apa sahaja topik Islam yang dikupas dan dibahaskan, jangan sekali-kali dipisahkan Islam daripada proses berfikir agar kekal dinamik. Sesungguhnya inilah alat terpenting yang akan terus mengekalkan upaya Muslim bertindak balas dengan perubahan masa ke masa.

22_46

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar ? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada” [Surah Al-Hajj 22: 46]

Celikkan mata hati demi menyingkap yang tersirat di sebalik yang tersurat lagi menjemukan.

HASRIZAL
Tokyo 02/09/2008

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

2 comments

  1. Salam Ustaz,

    Jzkk ustaz kerana mengulang siar artikel ini. Ianya adalah antara berpuluh – puluh artikel yang membantu akak memugar fikrahanak muda agar sentiasa segar walaupun beza umur antara kami adalah melebihi 20 tahun. Beberapa minggu yang lalu akak mencari – cari kembali artikel “Mengapa saya berdakwah? Siri 1 -3” Alhamdulillah ramai yang menyiarkannya dalam blog masing – masing. Seperti yang ustaz nyatakan dalam “Menjernihkan fikrah sebelum berjemaah”

  2. Menarik ni ustaz.. Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.