Karen Armstrong Dan Bukunya ‘Fields of Blood. Religion and the History of Violence’

karenarmstrong

Semasa bertugas sebagai Imam di Belfast Islamic Centre pada tahun 2002 yang lalu, saya pernah ditemuramah oleh seorang wartawan BCC Northern Ireland. Beliau meminta pendapat saya tentang suicide bombing  di Palestin.

Kisahnya pernah saya nukilkan di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu.

Ketika itu, saya memilih untuk tidak menjawabnya secara langsung, tetapi cuba membetulkan ‘kesalahan’ di dalam soalan tersebut. Kesalahannya ialah, semasa beliau dan saya sama-sama selesa hidup di Ireland, cukup makan minum, tiba-tiba kita mahu berbincang tentang apa yang orang Palestin patut buat dan tidak patut buat di Palestin!

Tidak malukah?

Sepatutnya soalan berkenaan diajukan kepada orang Palestin. Tanya mereka, apa yang menyebabkan mereka sanggup mati sedemikian rupa. Barulah kita tahu langit tinggi atau rendah.

Lagi pun, tidak wajar untuk kita berbincang tentang keganasan, tetapi kita tidak mahu berbincang tentang punca keganasan.

Penindasan, penjajahan, kezaliman, tekanan.

Jika boleh dibincangkan terlebih dahulu punca keganasan, maka baru saya berminat berbincang tentang keganasan yang berlaku.

Permintaan saya mematikan temuramah dan hasilnya tidak keluar di mana-mana. Terkubur di pejabat saya, tempat bersyahadahnya sebulan seorang dua Irish, pasca 9/11.

Wartawan BBC itu sangat provokatif. Demikian juga wartawan-wartawan lain. Suasana pasca 9/11 ketika itu menyebabkan agama dan politik digaul dalam ramuan keganasan. Bersungguh benar Bush dan Blair ketika itu mahu menjustifikasikan perang mereka di Iraq dan kepala-kepala intelektual di belakang mereka mahu menjelaskan bahawa punca keganasan adalah agama.

Agama yang terpilih untuk dimangsakan adalah Islam.

Mereka memuji demokrasi dan sekularisme, dengan membelakangkan fakta sejarah bahawa demokrasi dan sekularisme yang memajukan Barat itu, dibawa masuk ke dunia Islam melalui penjajahan, pencabulan budaya, pemaksaan regim ternakan mereka ke atas penduduk tempatan, manipulasi kekayaan sumber mentah dan segala kebobrokan yang masih segar dalam dokumen-dokumen Public Record Office dan the Historic Manuscripts Commission di Kew Garden, London.

Maka persepsi masyarakat ‘Barat’ terhadap demokrasi dan sekularisme, ada bezanya dengan persepsi umum masyarakat Muslim yang dikaitkan dengan keganasan itu.

Lama kelamaan, wacana agama sebagai sumber keganasan itu menjadi semakin dominan dan tidak dipersoalkan. Menjadi ‘kuat agama’ menimbulkan keresahan kerana ia dilihat sebagai prospek keganasan.

Terkini, penulis prolifik yang banyak mengupas wacana sebegini dalam ‘bahasa Barat’ iaitu Karen Armstrong, telah menghasilkan bukunya yang bertajuk Fields of Blood. Religion and the History of Violence. Di dalam buku ini Karen Armstrong mengemukakan bukti-bukti yang cukup untuk mengesahkan pendiriannya bahawa keganasan dalam genre agama adalah kesan motif politik dan bukan agama itu sendiri.

Melalui Gallup Poll yang juga dirujuk oleh John Esposito sebelum ini, Karen Armstrong menyatakan bahawa 93% Muslim yang diselidik memberikan maklum balas bahawa serangan 9/11 adalah unjustified, manakala 7% berpendapat sebaliknya. 93% itu pun memberikan hujah agama mengapa serangan 9/11 itu tidak wajar, manakala 7% yang berpendapat serangan 9/11 itu wajar, memberikan hujah politik.

Untuk masyarakat yang sudi membaca, buku Karen Armstrong ini adalah buku yang meraikan golongan malas berfikir (enough of the lazy thinking) agar sudah-sudahlah bersuara lantang, tetapi terlalu malas untuk memeriksa keabsahan ngomelan tersebut. Ada pun bagi golongan yang langsung tidak sudi membaca tetapi berstamina tinggi untuk berpendapat, ia hanyalah sikap self destructive yang menggali kubur sendiri.

Sudi-sudilah menjenguk catatan Karen Armstrong ini.

Temuramah bersama beliau dalam mengupas buku ini juga boleh dibaca di NIEUWWJ Online.

Catatan Karen Armstrong di dalam buku ini dan wacana-wacana sebelumnya, mengingatkan saya kepada keterangan Allah SWT tentang Permaisuri Saba’ semasa menyuarakan kekhuatiran beliau berkenaan kedatangan ‘Raja’ Sulaiman:

27_34

Permaisuri itu berkata: sesungguhnya raja-raja apabila mereka masuk ke sebuah negeri, mereka akan merosakkannya, dan menjadikan golongan terhormat di negeri itu terhina. Dan demikianlah kebiasaannya yang raja-raja itu lakukan!” [al-Naml 27: 34]

Biar pun Permaisuri Saba’ ketika itu adalah seorang wanita musyrikah yang tidak beriman kepada Allah, tetapi apabila kata-katanya benar, ia mesti diterima sebagai kebenaran. Kerisauan Permaisuri Saba’ tentang pengetahuannya berkenaan dengan perilaku raja-raja itu adalah benar. Dan apabila kata-katanya benar, Allah sendiri mengesahkannya dengan firman-Nya, “dan demikianlah kebiasaannya yang raja-raja itu lakukan!”

Moga penjelasan-penjelasan oleh Karen Armstrong boleh membantu masyarakat ‘Barat’ mengenepikan bias dan prasangka mereka apabila mendengar penjelasan oleh orang mereka sendiri. Dan moga kebaikan daripadanya turut tempiasnya dapat kepada kita, apabila berlapang dada membaca pandangan seorang non-Muslim yang bersungguh mempertahankan kebenaran.

“Kenapa kamu sibuk-sibuk bercakap tentang agama kami sedangkan kamu bukan seorang Muslim?” tanya salah seorang hadirin di dalam sidang wacana Karen Armstrong di Kuala Lumpur.

“Jika kamu boleh bercakap tentang Islam dalam bentuk yang boleh difahami oleh Kongres dan Senat Amerika Syarikat, oleh orang Barat, maka saya dan orang seperti John Esposito boleh berundur dan tidak lagi diperlukan” jawab beliau.

Kenyataan ini ditegaskan oleh Karen Armstrong di dalam temuramahnya bersama akhbar New Straits Times bertarikh 18 Jun 2007.

Hasrizal
43000 BSP

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

4 comments

  1. Salam ustaz. Maaf sebab saya nak tanya soalan yang luar topik. Boleh tak saya tahu macam mana ustaz purchase buku? Sebab saya teringin nak beli kindle tetapi setahu saya pengguna Malaysia tidak boleh buku daripada Kindle. Terima kasih ustaz

    • Wsalam WBT.

      Beli Kindle dari KindleMalaysia.Com , berikan mereka alamat emel yang belum pernah diguna untuk mendaftar akaun Amazon. Mereka akan daftarkan akaun amazon baru menggunakan emel tersebut yang mana ID akaun itu adalah kita ini seolahnya berada di USA.

      Kemudian, kita purchase Amazon Gift Card dengan menggunakan debit atau credit card Malaysia di luar akaun Amazon yang dipakai untuk Kindle (guna browser lain, misalnya), dan hadiahkan Gift Card itu kepada diri sendiri pada alamat emel yang dipakai untuk akaun Kindle. Gift Card itu berfungsi seperti top up prepaid.

      Kita boleh beli buku Kindle dengan satu klik sahaja sama ada di komputer, mahu pun di Kindle Shop pada peranti Kindle kita, dengan syarat harga buku tidak melebihi baki top up di dalam akaun Kindle tersebut.

      Semoga membantu 🙂

    • Eh ye ke tak boleh beli direct? Saya daripada 4 tahun lepas beli daripada amazon UK dan amazon US. Kedua-duanya menggunakan kredit kad Malaysia. Langsung tiada masalah. Kindle pun saya beli daripada US. Jauh lagi murah daripada website Kindle Malaysia. Saya gunakan khidmat website forwarder vpost4u, jadi boleh beli direct kindle daripada US.

  2. baru saya tahu karen armstrong tu bukan islam tapi cerita pasal islam. tak menjadi masalah non muslim cerita pasal islam selagi tidak menimbulkan fitnah.

Leave a Reply to ahmad Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share