Masih Relevankah Pengajian Islam?

pengajianislam

Tiada siapa menafikan.

Ilmu agama pada hari ini sangat mudah diperolehi. Segalanya berada di hujung jari.

Tidak perlu lagi bermusafir ribuan batu untuk menyemak status riwayat yang diperolehi, kesusahan itu sudah banyak dihilangkan oleh kemudahan-kemudahan yang terhasil dari kecerdikan manusia berfikir dan bekerja. Terima kasih kepada segala kemudahan ini. Bermula daripada bekalan elektrik, alat elektrik, surat elektronik dan semua yang terangkum di dalam slogan efektif, efisyen, pantas, tepat dan jelas berpiksel tinggi.

Dalam segala kemudahan ini, sepatutnya banyak masalah umat berjaya diselesaikan.

Namun tiada siapa yang dapat menafikan, baik oleh pertimbangan akal, mahu pun oleh emosi yang merasa, kehidupan hari ini lebih meresahkan.

Suatu ketika, kita pernah diperingatkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Daripada Abu Hurairah Abd al-Rahman ibn Sakhar radhiyallaahu ‘anhu, beliau berkata, aku mendengar Rasulullah bersabda, “Apa yang aku larang kamu daripadanya, hendaklah engkau jauhkan diri daripadanya. Apa yang aku perintahkan kamu terhadapnya, maka hendaklah kamu lakukan ia dengan sepenuh kemampuan kamu. Sesungguhnya umat yang terdahulu daripada kamu, mereka menjadi binasa disebabkan oleh banyak persoalan mereka, serta khilaf perselisihan terhadap Nabi-nabi mereka” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Bagaimanakah lambakan persoalan boleh mengundang binasa?

Mungkin 30 tahun yang lalu, agak sulit untuk kita membayangkan bagaimana persoalan-persoalan dan perbalahan yang tidak berkesudahan boleh mengundang binasa. Tetapi tidak lagi di hari ini. Kita melihat saban hari, di celah-celah kemudahan mendapatkan ilmu pengetahuan, semakin banyak persoalan yang timbul dan gagal diselesaikan oleh umat.

Andaikata persoalan yang timbul merupakan persoalan semasa, berkaitan dengan penemuan-penemuan sains yang baharu lalu memerlukan pendirian Islam mengenainya, ia tidaklah menghairankan. Persoalan yang timbul tentu sahaja memberikan konotasi perkembangan yang sihat tentang pencapaian umat.

Tetapi apabila persoalan yang timbul itu adalah persoalan yang sudah berusia 500 atau 1000 tahun, dan persoalan-persoalan yang meletihkan ini berkeliaran menimbulkan resah, gelisah, perbalahan dan perpecahan di kalangan umat yang berdaya tinggi pada kebolehan mendapatkan maklumat, ia simptom yang amat jelas terhadap sebuah kebinasaan.

mizanulhaqq-katipcelebi

Pada abad ke-17, Katip Çelebi (1609-1657) sudah pun menyenaraikan topik agama yang menjadi subjek perbalahan, malah krisis dan serang menyerang. Dan kebanyakan topik tersebut hingga ke hari ini masih menjadi bahan pertengkaran antara agamawan, dan penyokong mereka.

Senaraikanlah khilaf yang membawa perpecahan kepada umat hari ini, hampir kesemuanya berasaskan kepada masalah yang umurnya sudah sama tua dengan usia umat ini.

Jarang sekali umat bertelingkah tentang masalah GM Food di dalam industri pemakanan. Tidak jelas adanya perpecahan yang membelah kesatuan umat pada soal berkaitan dengan mercy killing dalam perubatan.

KHILAF YANG MEMBINASAKAN

Apa yang meretakkan umat ialah pada percakaran tentang soal bid’ah atau tidak bid’ahnya amalan tertentu di dalam masyarakat, soal perbalahan di antara aliran Salaf dan Khalaf, di samping kacau bilau tasawwur tentang asas khilaf di antara Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dengan Syiah.

Berapakah usia pertengkaran itu?

Isunya bukan timbul semalam atau kelmarin. Tidak juga 100 tahun atau 200 tahun yang lalu. Khilaf itu sudah mengiringi survival umat semenjak di era al-Khulafa’ al-Rashidoon, Bani Umayyah dan Abbasiyyah, membawa ke hari-hari di kehidupan semasa ini.

Apakah kesudahan kepada perbalahan ini?

Saya tiada jawapan yang mudah mengenainya.

Tetapi ada satu tanda tanya yang besar di dalam fikiran saya.

Apakah penyebaran yang meluas terhadap info Islam ini bermaksud berkembang dan membangunnya disiplin Pengajian Islam?

Atau mungkin di sana ada sesuatu yang terjadi, bahawa meluasnya maklumat tentang Islam ini berjalan seiringan dengan kemerosotan disiplin Pengajian Islam, kemerosotan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam?

Dan sejauh manakah perkembangan ini menyumbang kepada pertambahan ilmu sama naik dengan pertambahan masalah?

Seandainya segala ilmu pengetahuan di dalam khazanah Islam itu sudah begitu mudah diperolehi di hujung jari, apakah masih relevan disiplin ilmu Pengajian Islam? Andaikata seorang berkelulusan Teknologi Makanan, Kejuruteraan atau Perubatan juga sudah mampu untuk menjadi rujukan umat terhadap permasalahan agama, di manakah letaknya signifikasi Fakulti Pengajian Islam?

PENGAJIAN ISLAM SEMASA

Lihat sahaja perkembangan semasa.

Segala-galanya menunjukkan kepada pengecutan disiplin Pengajian Islam. Bermula daripada peringkat sekolah, hinggalah kepada universiti.

Lihatlah sekolah-sekolah agama terkemuka di Malaysia seperti KISAS, SMAP Labu atau SMAP Kajang, berapakah jumlah kelas aliran Pengajian Islam untuk peringkat SPM, berbanding dengan kelas aliran Sains? Bagaimana pula dengan sekolah-sekolah agama kerajaan negeri, Maahad atau SMKA di seluruh negara? Apakah nisbah di antara bidang Sains dan Pengajian Islam masih seimbang, atau berlaku kemerosotan yang signifikan terhadap peluang dan ruang bidang Pengajian Islam?

Bagaimana pula dengan Fakulti Pengajian Islam?

Saya tidak punya sebarang statistik. Justeru saya tidak membuat sebarang dakwaan, sebaliknya melontarkan soalan untuk dijawab oleh mereka yang memiliki jawapan mengenainya.

Apakah saiz Akademi Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam di UKM, Kulliyyah of Islamic Revealed Knowledge di UIAM dan IPTA serta IPTS lain meningkat, atau masih kekal konsisten, atau mengalami kemerosotan dari segi kuantiti (sebelum isu kualiti)?

Tambahan pula dengan perkembangan terbaru (2013) apabila Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ditukar taraf kepada Sekolah Pengajian Islam.

apium

LUAR NEGARA

Bagaimana pula dengan Pengajian Islam di universiti-universiti di luar negara?

Di Mesir, Jordan, Syria, Yaman, Sudan, Arab Saudi, Maghribi, India dan Pakistan?

Saya juga tidak mempunyai statistik yang tepat. Tetapi apa yang pasti, Jordan mengalami kemerosotan yang amat ketara. Daripada jumlah pelajar Pengajian Islam (Syariah, Usuluddin dan lain-lain) serta Kesusasteraan Arab yang pernah mencecah jumlah lebih 4000 orang pada pertengahan 1990â€Čan,  jumlah keseluruhan pelajar Malaysia di Jordan berada di bawah paras 1000 dengan pecahan pelajar Perubatan yang amat besar berbanding pelajar di bidang Pengajian Islam.

Syukur kebelakangan ini, jumlah pelajar Pengajian Islam di Jordan bertambah semula.

Kuantiti.

Bagaimana pula nasib Mesir selepas STAM diperkenalkan?

Apa yang pasti, saya sudah tidak mendengar adanya biasiswa-biasiswa yang ditawarkan oleh JPA atau MARA atau Kementerian Pendidikan, untuk menghantar pelajar ke Negara Arab di bawah program UPU yang berkongsi syarat kelayakan yang sama seperti penghantaran pelajar ke UK, USA, Australia, Jepun dan sebagainya.

Pengajian Islam sudah hilang keutamaan.

Jika dilihat kepada kemudahan untuk belajar agama pada hari ini, mungkin kegusaran yang timbul boleh ditepis dengan mudah.

“Apa perlunya dirisaukan hal ini? Seorang doktor yang rajin belajar agama juga boleh jadi sehebat ustaz, malah mungkin lebih lagi,” kata seorang profesional bertaraf ustaz.

“Lihat sahajalah pelajar lulusan bidang agama, tak ke mana pun kemahiran mereka sebenarnya
” tambah seorang yang lain.

Apabila banyak pertelingkahan dan tingkah laku agamawan yang jengkel terdedah melalui media sosial semasa, semakin ramai anak muda yang menjadikan kritikan terhadap agamawan sebagai perbualan harian mereka. Kegagalan ramai agamawan mempamerkan sikap yang bermaruah, bukan sahaja menjatuhkan kedudukan mereka sendiri di pandangan masyarakat, malah apa yang lebih membimbangkan bidang agama itu sendiri dipandang lekeh.

Agamawan datang dan pergi. Tetapi ‘bidang agama’ perlukan kelangsungan merentas generasi dan zaman.

Anak-anak muda bukan pengajian Islam yang dinamik begitu teruja mempelajari falsafah dan pemikiran Barat, tetapi ‘liat’ untuk menjamah kitab-kitab turath ilmuwan Islam. Tidak merasakan ketiadaan bahasa Arab, jahil al-Quran sebagai kekurangan besar kepada kesarjanaan yang sedang dibentuk.

Manakala anak muda yang belajar di bidang pengajian Islam pula, kurang berusaha menyuntik nafas baru kepada kitab turath yang merupakan ruji akademik mereka, dan lebih tertumpu kepada turut meneroka khazanah ‘di sebelah sana’ untuk sekufu dengan anak muda di seberang benua.

Ada implikasi jangka panjang yang amat membimbangkan terhadap fenomena ini.

DUA PILIHAN

Ya, kita ada dua pilihan.

Sama ada seseorang itu belajar bidang Pengajian Islam, kemudian menyambung lagi pengajian di peringkat Masters dan PhD di dalam pengkhususan-pengkhususan berkemahiran tinggi di bidang Pengajian Islam. Atau juga sebahagiannya menambah kelayakan dengan mempelajari bidang-bidang sokongan seperti Psikologi, Pendidikan, Sains Sosial dan sebagainya. Atau pun seseorang belajar di bidang non Pengajian Islam seperti Kejuruteraan, Perubatan, Ekonomi dan seumpamanya, kemudian mereka menambah usaha mempelajari bidang Pengajian Islam bagi menyokong diri.

Apa yang pasti, kedua-dua pilihan ini, akan hanya dipilih oleh manusia yang bersemangat tinggi, bercita-cita besar dan mempunyai kesediaan prasarana otak, kemahiran belajar dan kesungguhan yang di luar kebiasaan.

Berapa ramaikah manusia seperti ini yang berada di bidang Pengajian Islam, atau berada di bidang bukan Pengajian Islam tetapi memiliki kesedaran Islam yang tinggi?

Jawapannya menimbulkan pelbagai persoalan yang lebih serius.

Kembali kepada persoalan Pengajian Islam dan relevannya ia pada keperluan semasa, saya perlu memikirkan kembali, apakah yang saya tempuhi di dalam sistem pengajian di Fakulti Syariah sebelum diberikan segulung ijazah tanda selesainya satu peringkat proses tersebut.

MELIHAT KE BELAKANG

Jika ada di kalangan kita yang merasakan kemerosotan perkembangan bidang Pengajian Islam hari ini tidak mendatangkan mudarat kepada umat, saya mahu memulakan proses mencari jawapan kepada pandangan tersebut dengan menyemak kembali apakah subjek-subjek yang diajar selama saya dan rakan-rakan menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama Syariah.

Saya percaya, kombinasi 46 subjek ini sangat memainkan peranan dalam menstrukturkan kefahaman seseorang tentang Islam dan legasi keilmuannya.

Berikut adalah subjek-subjek yang saya ambil sebagai pelengkap kepada segulung ijazah Syariah:

  • Arabic Language for Foreigners 099
  • Arabic Language for Foreigners 100
  • Arabic Language 101
  • Tsaqafah Islamiyyah
  • Introduction to Islamic Fiqh (Al-Madkhal ila al-Fiqh al-Islami)
  • Science of Hadith (Uloom al-Hadith)
  • Science of Quran (Uloom al-Qur’an)
  • Al-Seerah al-Nabawiyyah
  • English Language 101
  • Ayaat al-Ahkaam
  • Hadeeth 1
  • Aqeedah 1
  • Ahwal Syakhsiyyah (Fiqh Munakahat – Zawaaj) 1
  • Mabaadi’ fi al-Nahw wa al-Sarf
  • English Language 2
  • Usool al-Fiqh 1
  • Principles of Education (Mabaadi’ al-Tarbiyyah)
  • Study Skills (English)
  • Fiqh al-Qadha’ wa Thurooq al-Itsbaat (Jurisdiction System and Methods of Proofing Evidence)
  • Fiqh al-’Ibaadaat 1
  • Usool al-Fiqh 2 (Dilaalaat)
  • Research Methodology and Islamic Resources
  • Tilaawah wa Tajweed
  • Ahwal Syakhsiyyah (Fiqh Munakahat – Thalaaq) 2
  • Al-Tasyree’ al-Jinaa’ie fi al-Islaam (Penal Code Jurisprudence)
  • Diraasaat fi Kutub al-Tafseer (al-Tafseer wa al-Mufassiroon)
  • Al-Aqidah al-Islamiyyah 2 (Prophethood in Islamic Tradition, Christianity and Judaism)
  • Hadeeth 2
  • Fiqh al-’Ibaadaat 2
  • Al-Arabiyyah Kitaabah (Arabic Writing)
  • Huqooq al-Insaan fi al-Islaam (Human Rights in Islam)
  • Al-Ahwal al-Syakhsiyyah 3 (Fiqh Wasaayaa wa al-Mawaarith)
  • Adyaan Muqaaranah (Comparative Religions)
  • Al-Da’wah al-Islaamiyyah wa al-Khitaabah
  • Military Science
  • Diraasah Nahwiyyah Arabiyyah 1 (Arabic Grammatical Studies 1)
  • Fiqh al-Mu’aamalaat 1
  • Al-Qawaaid al-Fiqhiyyah
  • Al-Tafsir al-Tahlili (Analytical Interpretation of the Quran)
  • Al-Tarbiyyah al-Wathaniyyah (Jordanian Citizenship)
  • Military History
  • Al-Aqidah al-Islaamiyyah 3
  • Al-Quds fi al-Taarikh al-’Arabi wa al-Islaami (Jerusalem in the Arabic and Islamic History)
  • Al-Hadhaarah al-Islaamiyyah (Islamic Civilization)
  • Al-Alaaqaat al-Dauliyyah fi al-Islaam (International Diplomatic Relationship in Islam)
  • Asaasiyyaat al-Idaarah (Principles of Management)
  • Di samping 46 subjek yang disyaratkan untuk memperolehi ijazah Syariah, para pelajar juga dikehendaki menghafal 6 juzuk daripada al-Quran bermula daripada juzuk 25 hingga ke juzuk 30.

PASCA TAMAT PENGAJIAN

Semasa belajar, ada sesetengah subjek yang menimbulkan persoalan kepada diri saya. Mengapakah subjek-subjek tersebut diajar sedemikian rupa?

Misalnya untuk subjek Fiqh berkaitan dengan Thaharah, Solat, Puasa, Zakat, Haji dan cabang-cabangnya, kami mempelajarinya sebanyak dua pusingan. Satu pusingan di dalam subjek Fiqh dengan menggunakan kitab-kitab Ahli Fiqh khususnya Mazhab Syafi’e dan Hanafi. Kemudian subjek yang sama diulang pembelajarannya tetapi dengan menggunakan kitab Hadith dengan manhaj ahli Hadith.

Sebelum subjek-subjek Fiqh ini dipelajari, para pelajar juga harus belajar satu subjek yang merangkumi keseluruhannya secara tasawwur umum iaitu subjek al-Madkhal ila al-Fiqh al-Islaami. Begitu juga dengan subjek Usul al-Fiqh 1 dan Usul al-Fiqh 2, ketiga-tiga subjek ini memahamkan kepada para pelajar sejarah perkembangan Mazhab, asas-asas yang membawa kepada perbezaan dalam pemerosesan nas malah perbezaan pendekatan di antara Ulama Fiqh dengan Ahli Hadith.

Tetapi setelah pengajian selesai, penyusunan subjek sedemikian rupa membantu kami memahami akan wujudnya pelbagai aliran di dalam masyarakat, yang mana setiap aliran tersebut mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri di sepanjang zaman. Justeru khilaf di antara Imam Ahmad bin Hanbal dengan Imam-imam Mazhab yang lain, difahami sebagai perbezaan orientasi Ahli Fiqh dan Ahli Hadith.

Pemahaman seperti ini, menyebabkan saya secara peribadi tidak pernah menyangka yang ia akan disepahkan di tengah-tengah masyarakat sebagai khilaf yang bukan lagi khilaf, sebaliknya pertentangan di antara yang Haq dan Batil hingga membinasakan umat. Hairan sungguh. Kesemua pensyarah, dan buku rujukan tidak pernah menyemai persepsi sedemikian rupa, melainkan penyakit SIKAPlah yang menyelewengkan konotasi asalnya.

Universiti tidak pernah mengajar mana-mana pelajarnya untuk melagakan perbezaan pendapat dan manhaj. Malah universiti menekankan sebaliknya. Biar pun pensyarah tidak terlepas daripada mempunyai kecenderungan tertentu, namun disiplin akademik mencegah satu-satu aliran daripada dimenangkan ke atas satu aliran yang lain. Dalam banyak keadaan, khilaf yang berlaku adalah khilaf antara yang paling benar dengan yang benar, bukan antara yang paling benar dan yang paling batil.

Sikap dan krisis akhlaq jualah yang menjadi punca sistem sebaik ini, tidak terlepas daripada menanggung nasib seperti sawah bendang yang membekalkan beras, tetapi turut membiakkan tikus dan ular sebagai makhluk perosak.

Apatah lagi isu ini dicaca merbakan dengan penglibatan istilah Wahabi, Kaum Muda, Kaum Tua dan seterusnya. Disebarkan oleh agamawan yang berpenyakit akhlaq, kepada pengikut yang kurang peralatan untuk menimbang tara.

Malah ini juga asas kegusaran kita melihat kecenderungan generasi muda belajar ilmu Hadith tetapi tidak menghayati ilmu Usul al-Fiqh. Mereka menjadi sangat keras dan kaku dalam pemahaman, malah berleluasa pandangan yang kucar kacir apabila fenomena itu diperpanjangkan pada memperkatakan bidang seperti Politik, Muamalat dan saringan ideologi moden seperti Demokrasi, Sosialisma, Kapitalisma, Nasionalisma, Liberalisma dan yang seumpama dengannya.

Kegusaran yang serius tentang persoalan-persoalan berkaitan dengan Siasah.

Memperkatakan tentang Khilafah, kaedah pemilihan ketua negara, dan cabang-cabangnya tidak mungkin boleh dibuat hanya dengan lintasan hadith berkaitan politik di dalam subjek Hadith 1 dan Hadith 2. Sebaliknya beberapa subjek khusus disediakan untuk membina gambaran yang lengkap tentang apa yang dinamakan sebagai Siasah Syariyyah atau Sistem Politik Islam. Subjek-subjek tersebut juga hanya dipelajari selepas subjek teras dalam Usul dan Fiqh dilunaskan oleh para pelajar.

Tidak dilupakan, tatkala al-Quran mahu difahami akan tafsirannya, ia didahului terlebih dahulu dengan subjek khusus sebagai pra syarat sebelum Tafsir boleh difahami. Uloom al-Qur’aan memberikan asas-asas ilmu memahami al-Qur’an. Kemudian subjek Diraasaat fi Kutub al-Tafseer (al-Tafseer wa al-Mufassiroon) memperkenalkan kami kepada ilmuan-ilmuan Tafsir di sepanjang zaman, metodologi mereka serta kekuatan setiap Tafsir mereka dan bagaimana perkembangan zaman ke zaman itu memberikan kesan serta pengaruh kepada kecenderungan tafsiran masing-masing.

Sebelum semua subjek ini dipelajari, kami juga diajar beberapa subjek asas Bahasa Arab. Di dalam subjek ini, para pelajar didisplinkan dengan cara membaca dan menulis dengan betul. Hamzah harus dirumahkan di atas Alif, Wau atau Ya’, Alif Wasal atau Alif Qatha’, bagaimana menggunakan kamus-kamus Arab yang pelbagai dan lain-lain asas berbahasa yang betul.

Tidak sekadar itu, pelajar juga dikehendaki mempelajari tatabahasa Bahasa Arab dengan sebaiknya, mengenali perbezaan di antara Mazhab Bahasa Arab di Kufah dengan Basrah dan hal-hal yang membetulkan penuturan, pembacaan serta penulisan.

SUBJEK-SUBJEK SOKONGAN

Alhamdulillah sistem pengajian di Jordan juga menitikberatkan keperluan meluaskan horizon para pelajarnya. Maka para pelajar Syariah juga dikehendaki mempelajari subjek-subjek bukan Pengajian Islam dengan jumlah yang agak signifikan.

Antara subjek itu ialah Bahasa Inggeris, Prinsip ilmu Pengurusan, Pendidikan, Sejarah, Sains Ketenteraan dan Sejarah Ketenteraan. Pelajar juga mempunyai pilihan untuk mengambil subjek elektif seperti Sains Komputer, Bahasa Perancis, Sepanyol atau Bahasa Parsi, Sains Sukan, Prinsip Akaun dan sebagainya.

Kombinasi 46 subjek dengan hafalan 6 juzuk al-Qur’an ini adalah suatu proses yang amat panjang, rumit dan jika digarap dengan bersungguh-sungguh oleh para pelajar, ia berupaya untuk menyediakan ASAS yang diperlukan oleh seorang yang mahu berfungsi sebagai ilmuan di tengah masyarakat.

Inilah yang masih saya fikirkan.

Apakah dengan kemudahan akses terhadap ilmu-ilmu Islam pada era ICT ini, kemudahan itu mampu menamatkan signifikasi proses kesarjanaan di dalam bidang Pengajian Islam? Andaikata ilmu mudah diperolehi, saya masih ada persoalan tentang struktur ilmu.

Tatkala seseorang mahu memperkatakan tentang sejauh mana Sirah Nabawiyyah kita bersih daripada pengaruh Syiah akibat wujudnya pengambilan riwayat oleh Ibnu Hisyam daripada Ibnu Ishaq yang diketahui melalui pembacaan artikel bahawa beliau merupakan seorang Syiah, seorang yang melalui proses disiplin ilmu Pengajian Islam akan sedar bahawa isu itu hanya tip kepada sebuah iceberg yang amat besar.

Subjek Sirah Nabawiyyah, Aqidah 1, 2 dan 3, Ulum al-Hadeeth, Tamadun Islam, Perbandingan Agama dan beberapa subjek lain, masing-masing perlu dicantumkan untuk membentuk satu pendirian yang lengkap tentang subjek tersebut. Saya bertemu dengan perbahasan berkaitan ini semasa di tahun 3 pengajian, justeru berasa amat terkejut apabila ia menjadi topik perbualan di internet tanpa mengambil asas-asas yang kritikal itu tadi.

FORUM TIADA KESIMPULAN

socialmedia

Mungkin inilah punca utama mengapa apa sahaja tajuk yang dikemukakan di dalam forum-forum diskusi agama, ia jarang berakhir dengan kesimpulan. Biar pun ratusan reply dihantar, ia gagal menghasilkan satu keputusan yang boleh dipegang. Saya yakin, salah satu sebab mengapa situasi sebegini terjadi ialah apabila strutktur ilmu sebagai cerucuk kefahaman itu tidak menjadi sandaran perbincangan.

Terlalu mudah untuk satu-satu pandangan dibuat tentang hal-hal yang memerlukan kepada satu proses pembelajaran yang panjang.

Saya tidak pasti sejauh manakah kemudahan internet mampu melahirkan ilmuan yang boleh mencegah umat daripada segera terbelenggu dengan fenomena yang diamarankan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu dengan menariknya daripada dada hamba-hambaNya, tetapi Dia mencabut ilmu dengan mematikan ulama’ sehingga jika tidak ada lagi seorang ‘alim pun maka manusia akan mengangkat juhalaa’ (orang-orang jahil) sebagai pemimpin mereka. Lalu (jika) mereka ditanya, maka merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, (akhirnya) mereka sesat dan menyesatkan orang lain. [Hadith riwayat al-Bukhari: 100 & Muslim: 2673]

Dengan segulung ijazah Syariah, saya masih jauh daripada bayangan untuk mengisi kehilangan para Ulama yang pergi mendahului kita. Masih banyak yang perlu dikaji, dipelajari dan difahami. Masih kecil dan kerdil untuk menjadi pengganti. Jauh sekali.

Tetapi saya percaya, pemergian alim ulama’ yang begitu ramai kebelakangan ini, tidak memberi sebarang makna andai ia hanya mengundang tangisan air mata. Kehilangannya perlu diganti, dan saya tidak yakin dalam bahasa realistik, madrasah internet dan kuliah-kuliah Maghrib mampu berperanan menggantikan sebuah proses latihan di Fakulti Pengajian Islam.

Di tahun 90â€Čan, JPA, MARA dan Kementerian Pendidikan berani membuat pelaburan menyediakan biasiswa dan pinjaman berprestij untuk menghantar pelajar-pelajar cemerlang ke bidang Pengajian Islam dan hasilnya sedang dinikmati oleh masyarakat pada hari ini, Alhamdulillah.

Akan tetapi, ketiadaan peluang sedemikian rupa hari ini, dan kemerosotan prioriti terhadap disiplin Pengajian Islam semasa, amat membimbangkan.

Saya tidak begitu bimbang kalau orang memandang remeh kepada bidang Pengajian Islam atas faktor prospek kerjaya. Ia mudah untuk disanggah dan ada banyak jalan untuk mengatasi masalah kerjaya ini. Kebimbangan saya ialah apabila orang memandang remeh kepada bidang Pengajian Islam untuk mendalami Islam. Inilah isu utama di dalam artikel ini.

Sesungguhnya, janganlah dibiarkan kemunduran itu.

Disiplin Pengajian Islam mesti diselamatkan.

Dan dikemas kini mendukung zaman.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

18 comments

  1. Pandangan saya : Wajar diwujudkan aliran agama tulen bagi mengekang pelajar sekolah terutama SMKA dan lain-lain lari meninggalkan subjek agama seterusnya masuk ke dalam jurusan yang lain di Universiti sedangkan dia mempunyai A dalam subjek Agama sprt : Syariah,Quran Sunnah, dan Arab Tinggi. Kita kehilangan prospek dan harapan terutama orang yang mendapat straight A yang lebih berminat kedalam bidang kedoktoran, kejuruteraan dan lain-lain.

  2. mariani othman

    Pemahaman asas itu amat penting. Bila kita bermazhab shafei berhijrah keluar negara, kemudian berguru dgn yg condong mengelar diri mereka salafi membuat kan murid tua keliru.

    Banyak sgt di bidaah kan dan mengecilkan cara shafei. Dgn pendapat aku dpt ilmu baru dan aku lebih hebat dr kwn di msia, saya rasa ini sungguh mengelirukan.

    Ada lg pendapat mengatakan kenapa kita harus bermazhab, siapa pandai2 menshafei kan malaysia, ini sungguh mengelirukan.

    Saya rasa dgn ilmu yg ustaz ada sesuatu harus dilakukan.

  3. Saya mendapat sedikit pencerahan melalui artikel ini. Memang orang yg kurang ilmu mudah keliru bila mendengar istilah spt salaf, khalaf, wahabi dll. Ditambah pula dgn segala mcm yg dikata bidaah..sangat mengelirukan. Apapun tq ustaz.

    • Kekeliruan itu boleh diminimumkan dengan menjauhkan diir daripada terjebak ke dalam perbalahan, mengharamkan diri daripada perbuatan turut sama melabel, menguatkan stamina mendengar secara objektif, dan mendukung minda positif untuk mencari persamaan, bukan perbezaan.

      Nafsu dan Syaitan masih masalah utama kita.

  4. Untuk saya sendiri, sebagai individu yang terlibat dalam bidang pengurusan seminar ilmu-ilmu Islam – yang semakin banyak di negara ini – rasa terpanggil untuk fikir; adakah kami sebenarnya berperanan mengajak masyarakat untuk belajar ilmu-ilmu Islam dengan berdisiplin di institusi-insitusi pengajian. Ataupun hanyalah terus mengajak mereka untuk ikuti siri-siri seminar kami supaya bisnes kami dapat terus berlangsung.

    Adakah kehadiran kami dalam masyarakat sebenarnya berperanan sebagai ubat, ataupun hanya dadah penahan sakit untuk membolehkan penganjur dan peserta merasakan, “kita telah berbuat sesuatu untuk dalami agama Allah”.

    Hm.

    (Kadang kala rasa nak jual donat tepi jalan untuk kumpul duit buat pengajian master di APIUM).

  5. Saya nk share cerita betapa peritnya bile dpt stret As dalam SPM , anda tidak disokong malah dicaci bile membuat keputusan menceburi bidang agama :'( Buat pengetahuan sy merupakan pelajar sains agama. Ya saya mengaku ketika di bangku sekolah saya tak pernah terbayang, termimpi atau bercadang utk menceburi bidang agama. Kalau ikutkan saya memang nk sambung dlm bidang farmasi, tapi perancangan Allah x mampu kite lawan. Lepas shj result spm keluar, saya tergerak hati utk pilh bidang agama. then, biasalah mesti saudara mara, jiran, kenalan dll nak tahu kite ni mintak kos ape, U mane. Banyak kali sy diajukan soalan spt ni, awk pilih U mane ? sy jwb blabla.. then, most of them mesti ckp amek medic ke ? Allahh . Ada satu moment tu, time sy buat part time job utk isi masa lps spm, ade lah sorang makcik ni selalu gak terserempak dgn die. borak2. then, lps result upu keluar die tnye dpt mane . sy jwb lah sy dpt blabla (bdg agama lah ) , time die denga sy ckp tu die mcm kecewa, die ckp lah nape pilih tu ? amek lah bdg yg kritikal mcm medic ke , dentist ke . Allah . sejak hari tu, die mcm x nk tegur sy dah .

    Saya mula terfikir , bukankah bidang agama ni juga merupakan bidang yang KRITIKAL yang perlu diceburi oleh manusia yang CERDIK, PANDAI, RAJIN dan BERKEPIMPINAN jugak ke ? Jika tidak bagaimana mahu menegakkan SYIAR ISLAM ? Takkan nak biarkan mereka yang gagal SPM, yang tidak cemerlang atau kurang cemerlang sahaja memenuhi bidang ini ???

    Dear MALAYSIANS especially, please please open your mind . Galakkanlah mereka yang cemerlang dalam SPM utk menceburi bidang AGAMA !

  6. Saya pelajar Diploma Tahfiz Shariah dari sebuah kolej Islam bawah kerajaan. Dulu saya fikir, dengan sijil pengajian yg saya bakal dapat boleh membantu saya untuk menyambung pengajian Islam khususnya shariah di Timur Tengah tapi tidak sebab urusan pengajian ke Timur Tengah kebanyakan diuruskan bawah KPM dan syarat yg ditukar semakin lama semakin ketat. Saya fikir, sijil pengajian saya tidak membantu saya untuk ke Timur Tengah sebab kebanyakannya memerlukan sijil SPM dan STAM dan sedih kerana peluang belajar seperti sempit dan tidak menyebelahi kami.

  7. For further reading, kindly read this recent scholarly article by Dr. Brown entitled “Is Islam Easy to Understand or Not?: Salafis, the Democratization of Interpretation and the Need for the Ulema”:

    http://jis.oxfordjournals.org/content/early/2014/12/10/jis.etu081.full.pdf+html

    Happy reading.

    • Thank you Dr. This is a very useful article. I will Insha-Allah spend my time tomorrow reading it. Thank you UKM for subscribing JIS too.

      • This article proves that our muslim community, including Salafi, still in need of ulama. They are our key in understanding of our religion. Thus, Islamic studies is still relevant.

      • Assalamualaikum, Dr Al-Adib… rindu nak borakÂČ dapatkan nasihat… bagaimanakah cara yang terbaik bagi tujuan tersebut? Shukran.

      • Wa’alaikumussalam warahmatullah,

        Antum boleh mengirim email kepada ana. 🙂

  8. pelajar pengajian islam jugak perlu ada sikap mengkaji dan bukan mengambil sesuatu sesuka hati..supaya mereka dapat berhujah dengan fakta ..sebab masyarakat kita kadang-kadang seolah-olah memaksumkan guru..takut-takut suatu hari nanti ada pulak guru yang menjual ‘sukuk ghufran’

  9. Saya termenung panjang bila ustaz tulis ” Manakala anak muda yang belajar di bidang pengajian Islam pula, kurang berusaha menyuntik nafas baru kepada kitab turath yang merupakan ruji akademik mereka, dan lebih tertumpu kepada turut meneroka khazanah ‘di sebelah sana’ untuk sekufu dengan anak muda di seberang benua.”

    Bukankah ilmu itu saling melengkapi? Kaedah-kaedah mustalah hadith sangat berguna untuk memahami bidang sejarah begitu juga jarh ta’dil untuk pensejarahan lisan. Teori-teori barat pula anat membantu bagi mempertajamkan analisa.

    Apakah yang membimbangkan ustaz?

  10. Sewaktu saya di KISAS hanpir 14 tahun lepas, aliran agamanya memang sedikit, F4 5 kelas agama, F4 7 kelas sains. Begitu juga pecahannya dengan F5.

    Cuma kami ada senior lower 6 & upper 6 yang menyeimbangkan keadaan.

    Trend waktu itu juga majoriti pelajar ke KISAS adalah lepasan SMKA atau SABK.

    Namun beberapa tahun selepas itu, trend kemasukan ke KISAS majoritinya dari sekolah harian biasa yang pelajarnya mengambil & cemerlang bahasa Arab di peringkat PMR.

    Adakah ianya secara sistematik dilakukan untuk mencapai sesuatu matlamat tersirat? Wallahua’lam…

  11. Saya amat tertarik dan bersetuju dengan pernyataan ustaz supaya seseorang yang belajar dalam non-islamic study “..menambah usaha mempelajari bidang Pengajian Islam bagi menyokong diri..” Saya juga bersetuju bahawa “…dalam bahasa realistik, madrasah internet dan kuliah-kuliah Maghrib TIDAK mampu berperanan menggantikan sebuah proses latihan di Fakulti Pengajian Islam..” Bolehkah ustaz kongsi atau berikan satu dua cadangan bagaimana/dimana seorang dewasa bekerjaya yang-baru-sedar-diri tetapi mempunyai-keinginan-dan-upaya-untuk-belajar harus memulakan pengajian islam ini secara sistematik? Wajar dan baguskan jika terus mengambil diploma pengajian islam separuh masa di ipta/ipts tempatan atau perlu mengambil satu-satu subjek di satu-satu tempat? sekali lagi, tujuan adalah untuk menyokong diri sindiri dan mengelakkan daripada terjerumus dari perbalahan2 agama yang tidak sepatutnya. Mohon pencerahan. terima kasih

  12. Salam.

    Kepada:

    Yang dihormati para rektor universiti, para akademik, para agamawan dan para mahasiswa.

    Bersama-sama ini disertakan sebuah rencana berjodol: Kebebasan beragama dan paksaan bermazhab di Malaysia untuk renungan. Diambil dari laman: almawaddah. info

    Sekian, terima kasih wa afwan.

    Daripada:

    Pencinta al-Qur’an dan Perlembagaan Malaysia.

    https://drive.google.com/file/d/1ceNbTDRqcvllijZqRRUHQiHEexIRVxDT/view?usp=drivesdk.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.