Sakit di Sebalik Keluhan ‘Orang Baik-baik’

minaret

“Saya sangat kecewa. Mengapa seorang ustaz gagal solat berjemaah di masjid? Sedangkan saya bersusah payah…” keluh seorang lelaki.

Sedih.

Keluhan yang benar.

Kebenaran yang sukar untuk ditelan.

“Kalaulah dia tahu betapa deritanya hidup dalam kejahilan, tentu dia tidak akan bermain alasan untuk hadir ke majlis ilmu” keresahannya berpanjangan.

Keluhan demi keluhan keluar daripada mulut lelaki tersebut. Dalam kesungguhannya memperbaiki diri, dia dirundung rasa duka kerana ‘dunia kebaikan’ yang baru dijenguk itu penuh dengan kekecewaan. Segalanya tidak mencapai jangkaan.

Keresahan ini sering melanda seorang insan yang baru bertaubat. Keinginannya terhadap kebaikan dan kekesalan terhadap masa silam menyebabkan harapannya begitu tinggi untuk melihat yang baik-baik mengelilingi hidupnya. Harapan itulah yang menyumbang kepada rasa kecewa, hingga kata-kata yang keluar dari mulutnya sentiasa berbau duka, murung dan adakalanya bernada kemarahan.

Mungkin dalam perbualan sehariannya.

Mungkin dalam ceramahnya.

Mungkin dalam penulisan.

NASIHAT SHEIKH ABD AL-QADIR AL-JAILANI

“Jangan kamu mendakwa diri menjadi Tuhan. Jangan kamu mendakwa diri menjadi Nabi!” pesan Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani kepada muridnya.

Tergamam.

Anak murid yang lama mengaji dengan sheikh itu terkejut dengan nasihat yang diterima.

“Bagaimana mungkin engkau mengandaikan aku boleh membuat dakwaan sebegitu rupa, setelah aku lama menuntut ilmu denganmu?” tanya anak murid itu kepada gurunya.

Lalu Sheikh menceritakan sebuah kisah yang berlaku kepada seorang lelaki soleh di Delhi. Beliau telah menimbulkan kontroversi tatkala mengungkapkan kata-kata yang sungguh luar biasa.

“Engkau bukan Allahku dan aku bukan hambamu!” kata lelaki soleh itu.

Setiap yang mendengar terkejut.

Kata-kata itu sungguh berbunyi kekufuran dan seluruh mereka yang mendengarnya menghukum beliau dengan kufur.

Namun seorang hadirin datang kepada lelaki soleh berkenaan dan bertanya, “mengapakah engkau berkata demikian?”

Lelaki tersebut menjawab, “Nafsuku menyuruh aku berbuat maksiat. Aku berkata kepadanya bahawa engkau bukan Allahku dan aku tidak akan menurut kehendakmu kerana aku bukan hambamu!’

Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si anak murid, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!”

Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.

Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.

“Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum.

Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu, jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku nasihatkan kepadamu itu”

Demikianlah nasihat Sheikh Abd al-Qadir Jailani kepada anak muridnya.

Nasihat yang turut perlu dihayati oleh setiap kita yang sedang meniti jambatan Taubat meninggalkan hitam semalam kepada kejernihan esok.

KISAH PENANGKAP ULAR

snakecatchercredit photo: http://rlv.zcache.com/

Harus juga kita tidak lupa kepada kisah yang pernah dinukilkan oleh Maulana Jalaluddin al-Rumi tentang kisah seorang penangkap ular. Di satu musim sejuk, penangkap ular itu memanjat gunung untuk mencari buruannya. Beliau terjumpa dengan banyak ular yang seperti mati dek cuaca yang sejuk. Ular-ular yang berhibernasi itu ditangkap dengan mudah, dimasukkan ke karung dan dibawa turun ke pasar.

Penangkap ular itu mahu menunjukkan kepada orang ramai kepakaran dirinya menangkap pelbagai jenis ular.

Semasa tiba di pasar, tatkala mentari yang bersinar dengan sedikit kepanasan haba yang datang, ular-ular yang tadinya beku seakan mati, hidup, liar dan bertempiaran lari meninggalkan penangkap ular dan menimbulkan ketakutan setiap mereka yang berada di situ.

“Demikianlah nafsu kita. Dengan didikan, ia menjadi jinak, lumpuh, malah membeku. Seperti ular itu tadi. Tetapi nantikan nafsu itu terkena sedikit tempias keenakan dosa dan nikmat dunia, bisa sahaja ia menjadi seperti ular berkenaan” nasihat Maulana Jalaluddin al-Rumi.

Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.

Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.

Bersederhanalah dalam membina harapan.

Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.

3_8(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.” [Aal ‘Imraan 3:8]

Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.

Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

12 comments

  1. Alhamdulillah…petunjuk DIA itu sangat hampir. terima kasih ustaz. saya memahami bahawa ustaz-ustazah juga manusia biasa. namun, saya sangat setuju dengan kekecewaan insan tersebut. ustaz-ustazah terbuat salah itu biasa, mereka juga manusia. tetapi sangat kecewa dengan ustaz-ustazah yang bercakap berapi, tapi usaha hendak membuat kebaikan itu zero malah negatif. lebih teruk lagi buat dosa macam tak pernah belajar agama.

    saya membesar dalam keluarga yang mengamalkan Islam. sekolah rendah di tengah bandaraya, dimana shopping complex di seberang jalan sahaja, tetapi sekolah menengah di sekolah agama. jadi saya ada basic Islam yang baik, tetapi pernah melalui kejahilan itu.

    sekarang, saya sangat kecewa dengan 2 org ustazah yang saya kenal. mereka masih muda tetapi tetap dipanggil ustazah.

    seorang ni, pandai bercakap dan berhujah, bergaul, tetapi amalan agamanya, solat fardhu lambat, muamalah lelaki dan perempuan tak terjaga, seolah-olah panggilan ustazah tu untuk orang hanya pandai bercakap agama tapi tak payah amal. bila saya tinggal bersamanya, membuatkan saya kecewa, bila saya tanyakan, tak mau solat jama’ah ka? jawapannya, tidak wajib…masa tuh habis semua ustazah di dunia ni saya umpat dalam hati! kemudian ustazah tu terus sambung tidur selepas subuh dengan alasan semalam tidur lambat sebab berdakwah. bertambah-tambah kecewa. ya, solat jemaah itu sunat, dakwah itu wajib, tetapi dia seorang ustazah.
    dalam masa yang sama seorang lagi kawan saya yang tinggal bersama, orang biasa, terkocoh-kocoh bersiap untuk solat bersama-sama, sampai sekarang saya respect beliau walau tak mengajar agama. ustazah tu nasihat orang itu ini, tetapi dia yang tak buat, langgar nasihat dia sendiri.

    sampaikan hati saya berkata, orang biasa lagi bagus dari ustaz-ustazah. tak payah belajar/mengajar agama pun boleh jadi lebih baik.

    seorang lagi ustazah, kalau bercakap tak mau kalah, sampai kadang2 kita yang biasa2 nie pun boleh tahu, ustazah ni cakap pakai logik dia, tak pun yang dia dengar tapi tak hafal sumber. ustazah seorang nie teringin sangat nak menikah. keluarga nya telah atur dengan seseorang, sekarang tengah berkenalan. masalahnya bercakap berjam-jam di telefon tentang hal agama. yang saya didik supaya tidak berhubung lama dengan bukan muhrim, yang tiada ikatan apa-apa dengan kita, kecuali hal penting. ustazah dan kawan lelakinya bertunang pun belum. ustazah ini juga tidak menjaga solat, solat betul2 dihujung waktu. zohor campur dengan asar, isya’ campur dengan subuh. aduh…sedih. kecewa dengan orang yang dipanggil ustazah ni. seorang lagi kawan yang lain, walau pun dah bertunag, bercakap berjam2 dengan tunang, tapi sangat menjaga solat, saya respect pada nya, tidak pada ustazah tadi.

    maaf, komen saya lebih kepada luahan perasaan yang terbuku, bila saya google tentang ‘kecewa dengan ustazah’

    entry ustaz sangat memujuk hati saya. syukran.

    • Sakinah, nampaknya awk terlalu menaruh harapan yg tinggi pada org yg awk pggil ustazah itu. Apa maksud ustazah? Dia bukannya maksum. Cuma tugasnya sebagai ‘guru agama’ yakni mnyampaikan. Tidak salah awk mengagumi org bukan ustazah cuma saya ralat awk mebandingkan hnya krn ‘harapan’ awk yg tggi kpd mrk yg bgelar ustazah.

      Ibarat seorang non-muslims doktor yg belajar selok belok medical- tup tup dia sendiri duk tunggang air arak. Dia tahu akibat merokok, arak dsb, dia sendiri yg memberi prekripsi ubat kpd pesakitnya tetapi knp dia juga lakukan semua yg memburukkan kesihatannya??

      Sekadar komen 🙂

      • Setuju dengan Ain, pandanglah ‘apa’ yang disampaikan, bukan ‘siapa’ yang menyampaikan. Ikhlaskan amal dari ilmu yang kita dapat kerana Allah, bukan kerana ustazah suruh

    • Alhamdulillah…..saya benar benar terkesan dengan artikel ini. Dan amat memahami luahan hati Sakinah. Hati saya juga sering berkata kata dan kdg kdg tercerca. Alhamdulillah….saya berusaha memperbetulkan perspektif saya.

  2. Mohammad Farid

    Menundukkan nafsu sesudah bertaubat tu sememangnya cabaran yang sangat getir. Jazakallahu khoir atas penulisan ustaz.

  3. Hasimah Hashim

    terima kasih ustaz atas perkongsian ustaz yang sangat memberi kesan kepada saya…bukan tajuk ini saja malah yang lain-lain juga. Alangkah baiknya jika saya sekeluarga berada berdekatan dengan keluarga ustaz bolehlah saya suruh anak2 lelaki saya belajar dengan ustaz. Dilema seorang ibu tunggal, yang selalu terfikir bagaimanakah cara yang terbaik untuk anak-anak lelaki saya mendalami agama…memandangkan tiada ketua keluarga. terima kasih. semoga Allah merahmati ustaz sekeluarga .

  4. Disaat diri mencari…alhamdulillah,jazakallahukahair ustaz…membangkitkan kekuatan

  5. Salam ustaz, moga dalam dakapan keredhaan Allah selalu. Saya ada beberapa perkara hendak bertanya/mmemberi pendapat:
    1) saya rasa terkesan dengan artikel di atas kerana masih ada yang menjauhkan diri dari agama dan kepercayaan atas nafau yang menginginkan kesemua kehendaknya dicapai. Seperti dalam pelajran misalnya. Perkara ini nampak kecil tapi sebenarnya umpama api yang membakar dalam diam, bangun-bangun pagi sudah terbakar semuanya.
    2) ustaz, saya ada membeli sebuah buku interpretasi Rumi oleh penginterpretasi Barat. Jadi saya hendak bertanya dengan ustaz mengenai kehidupan Rumi itu sendiri sebab banyak quote yang agak membuat saya rasa kurang selesa seperti contoh

    “I want to see you.

    Know your voice.

    Recognize you when you
    first come ’round the corner.

    Sense your scent when I come
    into a room you’ve just left.

    Know the lift of your heel,
    the glide of your foot.

    Become familiar with the way
    you purse your lips
    then let them part,
    just the slightest bit,
    when I lean in to your space
    and kiss you.

    I want to know the joy
    of how you whisper
    “more”

    Adakah wujud puisi seperti di atas kerana dikatakan Rumi memgamalkan cara hidup sufi , adakah interpretasi ini terlepas pandang beberapa sudut terjemahan seperti contoh arak dalam puisi Rumi diterjemahkan sebagai nikmat ‘intoxicated’ dalam cinta Allah atau semua ini adalah fitnah kepada karya dan hidup Rumi?

  6. Syukran ustaz.

  7. Syukran ustaz. Boleh masukkan dlm teks usrah. Hehe

  8. salam ustz

    kalau nak invite ustaz untuk ceramah untuk budak-budak mcm mana?

  9. sekali lagi, artikel tulisan ustaz hasrizal menyentap hati dan jantung hinggga ke tulang saya. terima kasih ustaz, mari kita berdoa supaya masa ustaz hasrizal sentiasa dilapangkan untuk sentiasa update artikel di blog ini. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share