Pelajar Mesti Seorang Pemikir

berfikir
Learning without thinking is useless
Thinking without learning is dangerous
– Confucius

Benar sekali kata-kata Confucius itu.

Bahawa belajar tanpa berfikir adalah sia-sia, berfikir tanpa belajar adalah berbahaya!

BELAJAR TANPA BEFIKIR

Dua dimensi yang sama buruk ini harus kita renungkan bersama. Mungkin ia menjawab beberapa teka teki yang menghantui fikiran saya, tatkala hampir saban hari menerima soalan-soalan dari pembaca yang menunjukkan bahawa pembelajarannya tiada disertai dengan proses berfikir!

Amat lurus bendul fikirannya menadah maklumat hingga tahunya yang banyak itu, tidak berhasil membantu diri menjawab soalan kehidupan, di luar kertas peperiksaan.

Belajar tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan. Justeru rumit mencari faedah pelajar lulus peperiksaan tetapi tidak menyertai latihan berfikir di sepanjang pembelajaran itu. Beliau lulus dengan hafalan, bukan dengan kefahaman. Andai faham pun, fahamnya bermasalah. Memahami dengan jelas apa itu belalai. Namun tersalah sangka bahawa belalai itu adalah gajah.

elephant-men

kredit foto: http://history.cultural-china.com/

Tanda kelulusan dengan hafalan dan bukan kefahaman, ialah apabila hafalannya tidak dapat menguruskan realiti. Tafsirannya di awangan, terjemahannya berterbangan. Ideanya sangat tekstual, hingga teks berpisah dari konteks.

“Agama tidak tertegak dengan logik akal” mereka mungkin bertegas.

“Agama juga tidak tertegak dengan membunuh akal” hakikat kembar, yang mungkin terlepas pandang.

Lalu agama dibentangkan secara yang sungguh tidak masuk akal, demi memenangkan teks yang tidak diprosesnya melalui disiplin fikir.

Muktazilah yang meletakkan akal mengatasi naqal (nas), telah diuruskan nasib mereka oleh sejarah. Tetapi membuang Muktazilah, tidak harus sampai membuang akal. Proses berfikir harus diteruskan, kerana tanpa berfikir, taqlid jadi parah, perjuangan membunuh taqlid juga menghasilkan taqlid yang kedua. Dan dalam suasana taqlid itu selesa, fikir mudah terjebak ke kancah Muktazilah baru.

Terimalah teguran-teguran Allah, kepada manusia yang enggan berfikir. Hakikatnya kemalasan berfikir adalah suatu dosa.

BERFIKIR TANPA BELAJAR

Berfikir menggerakkan diri mencari kebenaran, mengenal pasti kebaikan. Justeru berfikir mesti segera bertemu bekal, agar jangan sudahnya bebal.

Banyak sungguh soalan yang mahu ditanya. Tetapi sedikit sekali usaha untuk menjawabnya.

Bersoal jawab adalah proses belajar yang penting. Tetapi tasawwur sukar dibina hanya dengan soal jawab. Bertanya kepada sumber-sumber internet tanpa perlu mengangkat punggung meninggalkan kerusinya, masih boleh membekalkan kita dengan jawapan, tetapi tidak membantu membina gambaran.

cow

kredit foto: http://jaceame.deviantart.com/

Makan burger, tidak kenal lembu. Makan chips, tidak terbayang di kepala seminggu lalu ia seketul ubi kentang di dalam tanah! Soal jawab yang menghilangkan proses. Dan berfikir duduk dalam proses belajar, bukan duduk dalam sebuah jawapan.

Kita menyoal dan bertanya…

“Kenapa Islam menegah homoseksualiti? Sedangkan 1/10 penguin adalah gay!” tanya satu soalan.

“Kenapa Allah berkata bahawa bumi dicipta selama enam hari sedangkan Sains membuktikan sebaliknya?” tanya soalan kedua.

Soalan ini boleh berterusan dan tidak berkesudahan. Tetapi memperolehi jawapan secara pasang siap, tanpa diketahui proses untuk menghasilkan jawapan itu, akan menyebabkan soalan yang dijawab bersambung dengan soalan yang seterusnya. Dan selepas siri soalan itu terjawab, banyak soalan sudah selesai tetapi lebih banyak lagi soalan lain yang datang.

Ia adalah kepingan-kepingan puzzle yang tidak bercantum.

Justeru orang yang banyak bertanya, kerana banyak berfikir, harus banyak belajar. Belajar dalam erti kata bukan setakat bergantung kepada jawapan hasil soalan, tetapi harus belajar mengenal proses menghasilkan jawapan itu.

Misalnya, sebutan 6 hari, adalah sebutan yang bergantung kepada terjemahan al-Quran. Sedangkan di dalam bahasa asal al-Quran, sebutannya ialah sittah ayyaam. Perkataan ayyaam di dalam Bahasa Arab, tidak terikat hanya kepada apa yang diterjemahkan sebagai HARI iaitu himpunan satu unit masa yang terbentuk dari 24 jam. Kalimah ayyaam boleh diertikan sebagai ‘peringkat ‘atau ‘marhalah’… justeru keterangan al-Quran tentang cara Allah mencipta bumi, tidak harus difahami dengan hanya bergantung kepada terjemahan, sebaliknya harus kembali kepada Bahasa Arab.

Adakah sittah ayyam itu enam hari, enam marhalah (stages) atau enam apa?

Sudikah anda belajar Bahasa Arab? Supaya ada bekal berfikir, ketika timbul soalan-soalan agama?

Mana hujung, mana pangkalnya.

Mana pintu, mana tingkapnya.

Menyoal pelbagai isu tentang al-Quran tetapi tiada kesudian untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan asas untuk berinteraksi dengan al-Quran. Bahasa Arabnya, asbab al-nuzul, ghara’ib lafaznya, nasakh mansukhnya, sudikah manusia yang banyak berfikir ini belajar?

Kata Confucius, “berfikir tanpa belajar itu berbahaya”

Berbahayanya ia adalah kerana dia terjun ke laut tanpa pelampung, berenang di lautan tanpa diketahui pantainya. Selepas segala maklumat diperolehi dari capaian internet di hujung jari, apa yang terus menjadi beban ke atas golongan ini, adalah kegagalannya melihat rupa bentuk agama.

Atau banyak berfikir dan banyak bertanya, tetapi apa yang diinginkan hanya keputusan akhir semata. Boleh atau tidak, halal atau haram… tetapi enggan berusaha memahami prosesnya.

Pelajar bukan pemikir sia-sia.

Pemikir bukan pelajar  berbahaya.

Hasrizal @ www.saifulislam.com
43000 BSP

 

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

4 comments

  1. Pelajar pondok mengaji kitab patah ke patah, ayat ke ayat, menadah kitab di depan guru bukan membaca kitab. Maka apa yang tersurat dan tersirat jelas di kepalanya. Berbeza lagi dengan mahasiswa di IPT kini yg memilih beberapa mukasurat dari buku teks yg ditentukan oleh pensyarahnya untuk difaham dan dihafal bagi mendapat markah cemerlang dalam ujian. Semesta ke semesta itulah rutinnya sedangkan pengajian pondok itu tiada limit masanya sehingga puas dengan ilmu di tadah sampai bisa jadi pemikir akan keagungan Allah ini tidak kira had umurnya.

  2. well written!

  3. menusuk qalbu. sekarang sy megusahakan projek akhir tahun, banyak soalan yang terlontar. moga2 saya banyak belajar (berfikir) dari jawapan tersebut.

  4. Anak-anak kita harus diajarkan konsep belajar dan berfikir kerana ia bersaling kait antara satu sama lain. Kita diberikan otak untuk berfikir. Kita hendaklah berfikir setiap perkara yang kita pelajari supaya otak kita menjadi lebih tajam untuk berfikir.

Leave a Reply to Cara Kurangkan Kolesterol Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share