Dunia Menipu Si Cerdik Yang Naif

flint

Apabila kita meluaskan tinjauan terhadap pengalaman manusia dalam beragama, persamaan dan perbezaan akan banyak bermain di fikiran untuk dicerna.

Biar pun berlatar belakangkan agama, budaya, lokasi malah masa yang berbeza, manusia boleh bertemu dengan pelbagai persamaan yang menghairankan. Hairan apabila mata memandang ia sebagai berpunca daripada agama. Tetapi kehairanan itu hilang, apabila kita insaf bahawa puncanya bukan agama, tetapi tabiat manusia.

Apabila manusia beragama, ada hasil yang terbit daripada agama, banyak hasil yang terbit daripada interaksi tabiat manusia dengan agama. Lalu, apa yang berlaku di kalangan penganut agama Kristian, boleh menyerupai banyak perkara yang berlaku di kalangan penganut agama Islam. Ia bukan eksklusif masalah Kristian atau Islam, ia adalah natijah interaksi manusia dengan agamanya.

Inilah iktibar yang boleh diambil, apabila kita menghayati mesej yang disampaikan oleh sebuah filem animasi: Cloudy with a Chance of Meatballs 2.

Flint Lockwood adalah seorang anak muda yang bijak, tetapi naif. Kekaguman yang melampau terhadap tokoh saintis yang dipuja semenjak kanak-kanak, menyebabkan pandangan beliau menjadi buta terhadap impian-impian yang dijanjikan oleh Chester V, CEO kepada syarikat LIVE yang dikaguminya itu.

Segalanya luar biasa dan hebat, apabila nama Chester V muncul.

 

Flint Lockwood hanya ada satu impian. Menjadi perantis Chester V, dan bekerja dengan syarikat LIVE.

Beliau mengenepikan gerak hatinya yang berbisik bahawa ada sesuatu yang tidak kena.

Beliau mengenepikan ahli keluarga dan rakan-rakan, kerana taasub dengan Chester V.

Sehinggalah hampir-hampir nasi menjadi bubur, Flint tersedar bahawa Chester V adalah pemanipulasi.

Orang bijak yang jahat, mengambil kesempatan daripada orang bijak yang lurus bendul sepertinya.

Dan syarikat LIVE itu adalah LIVE kerana beliau mahu memandangnya sebagai LIVE, sedangkan LIVE itu adalah keterbalikan sebuah hakikat iaitu EVIL!

Inilah bencana taasub.

Bencana memuja manusia.

chester-v

Kredit foto: Le Monde d’Animation

Mensesiakan akal dan hati yang diberikan oleh Allah agar kepatuhan kita bukan kepatuhan yang membabi buta. Banyak kali hati memberitahu kita, ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi kita menafikannya. Kita lebih percayakan pandangan mata, hingga peringatan hati dan muhasabah minda, kita abaikan.

Di zaman dunia penuh kerosakan ini, misi menyelamatkan dunia memang sangat menarik hati orang yang baik, pintar, tetapi naif memperhambakan diri kepada golongan oportunis yang mengambil kesempatan.

Tanyalah pengikut al-Arqam, apa pengalaman mereka bersama Abuya yang serba sempurna itu.

Tanyalah kepada ramai lagi yang pernah terjerat dalam belitan memuja tokoh, apa kesudahan mereka. Ketua kamilah yang ‘paling hebat’, ranking nombor satu, diiktiraf dunia… kitaran yang sama, dengan skrip yang berubah aktor, tetapi kekal dalam bencana yang sama, meletakkan paksi kepercayaan dan serahan diri kepada tokoh.

Hingga kita terlupa…

Hatta dengan Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam pun, semasa kita meletakkan kecintaan dan rasa hormat yang paling tinggi terhadap baginda, para sahabat masih boleh bersoal jawab, boleh mempertikaikan pendapat baginda, iaitu seorang MAHAGURU yang memanggil anak muridnya, SAHABAT.

Kita pernah membaca hadith Nabi sallallahu alayhi wa sallam tentang ‘sunnah’ Yahudi dan Nasrani:

Daripada Abu Sa’id al Khudri radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata : Rasulullah sallallallahu alayhi wa sallam pernah bersabda : “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”.

Sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?”

Nabi sallallallahu alayhi wa sallam menjawab : “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [Hadith Riwayat Muslim]

Hadith ini selalu disyarahkan oleh agamawan bahawa kecelaan sunnah Yahudi dan Nasrani itu adalah hedonisme yang sinonim dengan Barat. Maka yang dipersalahkan dalam hadith ini adalah orang ramai, dan kebobrokan mereka meniru gaya hidup Barat yang jengkel. Kita mungkin terlupa, bahawa banyak ‘sunnah’ Yahudi dan Nasrani yang membinasakan itu, diungkapkan oleh al-Quran bukan sekadar tentang tingkah laku pengikut, tetapi banyak yang membabitkan salah laku para agamawan mereka.

Membina kekayaan daripada ajaran, mendoktrinkan pembodohan masyarakat, mengekalkan kebergantungan orang ramai kepada diri mereka, menekankan keberkatan Tuhan hanya ada bersama mereka, semua itu juga adalah sunnah Ahli Kitab yang turut menyelimuti kegelapan lubang biawak yang kita merangkak masuk itu.

biawak

Pada 1400 tahun jarak yang memisahkan kita dengan hari-hari Tanzil itu, perlulah kita menginsafi hakikat, bahawa agama ini perlu dibina dengan rasa rendah diri, saling belajar, dan meninggalkan paradigma golongan khusus – awam, sebaliknya kembali pada semangat murni guru agung kita, Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam yang tidak menganak muridkan pengikutnya, tidak menyapu kaki mereka dengan lirikan jubah labuh baginda, tetapi mengangkat sebuah teladan yang tinggi, bahawa generasi yang dididik baginda itu adalah, SAHABAT.

Hasrizal
OULU, FI
Artikel asal pada tahun 2013.

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

6 comments

  1. Tq for pencerahan…

    • Perkara biasa yg berlaku dlm kehidupan manusia. Bezanya tahap kesedaran yg cepat dan lambat utk mengetahui kebenaran. Mungkin “penilaian secara berperingkat” blh digunakan. Teruskan berdoa dan berfikiran terbuka supaya diketemukan dgn kebenaran. Syukran jazilan Ustaz…atas perkongsian minda ini.

  2. Assalamualaikum, baru sahaja menonton filem ini (walaupun rasa janggal sebab tak menonton filem pertamanya).

    Sebagai penuntut sains alam sekitar, saya nampak yang tersirat dalam filem ini untuk ‘mengajar’ kanak-kanak tentang 2 masalah mendesak waktu ini. Pertama perubahan cuaca (bahkan Sam ialah seorang ahli kaji cuaca) dan kedua masalah pemakanan (fast food banyak digambarkan sebagai raksaksa) dan food security (rancangan Chester V untuk gunakan food animal hasilkan makanan lebih sedap).

    Menarik lihat bagaiman mereka didik kanak-kanan tentang isu serius begini. Insya Allah cuba ulas setakat yang saya mampu. 🙂

    p/s: salah seorang silent reader, sesekali tulis komen di sini

  3. “Di zaman dunia penuh kerosakan ini, misi menyelamatkan dunia memang sangat menarik hati orang yang baik, pintar, tetapi naif memperhambakan diri kepada golongan oportunis yang mengambil kesempatan.”

    Terperangkap mungkin. Dengan amal kebaikan sendiri. Terlalu yakin dengan amal atau perjuangan agama yang dilaung-laung itu boleh menyelamatkan diri dari api neraka dan membawa masuk ke syurga. Apa-apapun betulkan niat kerana Allah dan mohon petunjuk dariNYa jua.

  4. alhamdulilah ustaz.. suatu perkongsian ilmu yang menarik.. terima kasih ustaz…

  5. Terbaik!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.