Filem The Thinning: Menentukan Hidup Mati Dengan Keputusan Peperiksaan

Alang-alang obses dengan peperiksaan, mengapa tidak jadikan sahaja peperiksaan itu cara menyelesaikan masalah terbesar dunia?

Pada tahun 2039, dunia berdepan dengan masalah manusia dan daratan. Pemanasan global meningkatkan paras air laut dan menenggelamkan daratan dengan begitu agresif. Manusia pula beranak dan beranak, menjadikan penduduk begitu padat. Akhirnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengarahkan semua negara bertindak mengurangkan pendudukan masing-masing sebanyak 5% setiap tahun.

Jika negara-negara lain melakukannya dengan mengawal kelahiran dan membunuh warga emas, Amerika Syarikat memilih cara yang lebih unik. Sebagai sebuah negara yang obses dengan high-stakes test (peperiksaan berisiko besar ke atas pelajar), Amerika Syarikat menggunakan sistem pendidikannya untuk melaksanakan polisi ini. Setiap tahun, murid-murid sekolah akan menduduki peperiksaan 10-241 atau lebih dikenali sebagai the “Thinning”. Murid yang lulus akan naik tahun, manakala para murid ‘parasit’ yang gagal akan dihapuskan!

Filem ini mungkin pantas dikenali oleh anak-anak remaja kita kerana hero utamanya, Blake Redding dilakonkan oleh selebriti gergasi remaja di media sosial, Logan Paul. Ini adalah filem pertama You Tube Red, dan mungkin ia menjadi penjelasan kepada kepelikan yang saya rasa pada lakonan watak-watak di dalam filem ini. Ada unsur-unsur menonton vine, dan sesekali teringat kepada Luqman Podolski dan Adib Alexx. Biar pun kualiti filem ini sebagai sebuah filem adalah sederhana, minat saya adalah lebih kepada isi kandungan filem ini, yang cepat mengingatkan saya kepada sebuah siri televisyen Brazil yang terkenal di Netflix, 3%.

Ideologi di sebalik  filem The Thinning, juga siri Netflix 3%, mengingatkan saya kepada falsafah Functionalism di dalam sosiologi pendidikan [artikel mengenai topik ini], bermula daripada Emile Durkheim. Ia meletakkan dasar pendidikan yang percaya bahawa semua kanak-kanak masuk ke alam persekolahan secara meritokratik. Sama potensi, sama peluang, tetapi berbeza usaha, dan perbezaan usaha menghasilkan natijah yang berbeza. Ada yang berjaya dan ada yang gagal. Golongan berjaya wajar dihargai dan mendapat status sosial yang lebih baik. Manakala yang gagal, adalah gagal secara semulajadi, dan berfungsi untuk memenuhi fungsi-fungsi bawahan masyarakat, yang juga penting untuk membentuk kestabilan dan keharmonian sebuah masyarakat.

Enak bunyinya.

Dan ia menjadi tulang rangka di belakang sistem pendidikan dan masyarakat kita selama ini.

Tetapi ia diangkat secara yang sungguh dramatik di dalam filem ini, bahawa golongan yang tidak berjaya itu adalah parasit, beban kepada kita, dan perlu dihapuskan sahaja.

Gagal dalam operasi Survival of the Fittest oleh Herbert Spencer.

Ada banyak subteks penting yang terselit di dalam filem ini.

Murid-murid perlu lulus dalam peperiksaan 10-241 yang menentukan hidup dan mati mereka, sedangkan ilmu yang diajar di sekolah lebih bersifat ‘factual knowledge’, hafal dan hafal.

“Berapakah sisi pada sebuah pentagon?” tanya Laina Michaels kepada adiknya sebelum melangkah masuk ke kawasan ‘sekolah’ pada hari peperiksaan.

“Lima” jawab adiknya.

“Apakah punca penyakit?” tanyanya lagi.

“Bakteria” dengan pantas si adik menjawab.

Sekolah pula berpagar kawat besi dan sistem kawalan keselamatan seumpama penjara. Sekolah bukan lagi sekolah tetapi Vista Point High School itu adalah sebuah Education Facilities! Pendidikan berteknologi tinggi itu menjadikan segala proses begitu tepat, sifar kesilapan dan kegagalan, dan menatijahkan sebuah negara yang terbaik pendidikannya di dalam 196 negara yang dibanding, menurut Governor Redding, ayah kepada Blake.

Semasa saya menonton filem ini, saya lihat keseluruhan plot tertumpu kepada Austin di Texas dan Governor Redding bercakap tentang Negeri Texas dan bukannya Amerika Syarikat. Campur aduk antara negara atau negeri ini agak membingungkan, tetapi sesuai dengan kebingungan PISA yang mengadakan penilaian yang bercampur aduk antara Malaysia, Finland, Singapura, kemudian Shanghai dan bukannya China!

Sistem pendidikan yang segala-galanya adalah peperiksaan, disindir dengan sinis oleh Laina apabila beliau berkata kepada Blake, “pelik kan, mereka mengajar kita di sekolah bagaimana hendak menyelesaikan masalah (problem solving), tiada satu pun apa yang diajar itu memberi jawapan kepada masalah dalam realiti kehidupan yang sebenar!”

Laina, seorang pelajar yang datang daripada keluarga susah, mempunyai kepintaran yang tinggi untuk menyelesaikan masalah-masalah hidupnya, di luar apa yang sekolah ajar, bercanggah dengan apa yang sekolah didik.

Pendidikan yang dibelenggu dengan polemik peperiksaan, dan kepentingan politik, bukanlah pendidikan yang berpaksikan pelajar serta kepentingan mereka. Sistem pendidikan sebegini ada banyak campur tangan politik dan filem ini menonjolkan ia sebagai tema utama. Bagaimana sebuah peperiksaan berisiko besar ke atas masa depan, hidup dan mati murid-murid, hanya alat orang politik dan birokrat untuk memenuhi political mileage dan KPI masing-masing.

Teringat saya kepada murid-murid sekolah yang membunuh diri kerana gagal dalam peperiksaan di negara kita.

Kejadian itu tidak memberikan apa-apa keinsafan kepada sistem, dan sistem itu (atau disebut sebagai PROCESS di dalam siri tv Netflix, 3%), terus dianggap suci, guru-guru dan kakitangan sistem menunaikannya tanpa membantah, dan ibu bapa pasrah menerima kehancuran anak masing-masing kesan saringan oleh sistem kudus itu. Walhal di sebalik sistem berkenaan, pelbagai ideologi dan strategi politik mengubah angka-angka agar mencapai apa yang dihajatkan, dan ia benar-benar menjadikan sebuah sistem pendidikan itu sial dalam sebuah kehidupan!

Filem The Thinning ini menyelitkan sinar-sinar harapan apabila di celah sistem gila berkenaan, masih ada guru berhati mulia seperti Cikgu Kendra Birch yang mengambil risiko besar mempertaruhkan kerjaya malah nyawayanya, untuk menyelamatkan pelajar daripada sistem yang korup. Kendra mengambil tahu latar belakang keluarga muridnya, apa penderitaan yang ditangguh oleh pelajar, dan bukan hanya mengenal anak murid sekadar di bilik darjah.

Saya tidak berhajat untuk terlalu memperincikan jalan cerita filem ini kerana ia hak mereka yang mahu menontonnya. Saya sekadar mahu berkongsi reflection peribadi, bahawa selepas menonton filem ini, saya mahu para guru dan anggota masyarakat menontonnya. Kita perlu faham tentang politik dalam pendidikan seperti yang berulang kali dibahas oleh John Taylor Gatto, bahawa pendidikan tidak neutral. Sukar untuk neutral. Ia adalah alat golongan berkuasa mengawal rakyat. Malah di Finland ini, banyak perbahasan bahawa usaha memastikan semua pelajar universiti sambung belajar hingga ke master, adalah untuk mengekalkan mereka di sekolah dan mengurangkan beban menyediakan peluang pekerjaan oleh kerajaan. Self-regulated learning dimanipulasi oleh pihak universiti untuk membanyakkan sesi pelajar belajar sesama mereka dan mengurangkan pertemuan pensyarah dengan pelajar, untuk menjimatkan kos membayar gaji pensyarah, yang kebetulannya ada konsep serta teori pembelajaran yang boleh diperalatkan.

Macam-macam!

Inilah sebabnya kenapa kita mesti berpendidikan tentang pendidikan!

Dan kepentingan mesej filem ini, mungkin lebih besar daripada apa yang disedari oleh pelakon-pelakonnya.

“Sekolah bukan penjara, universiti bukan kilang!” kata Zul Fikri Zamir.

Saksikan kegunaan ‘parasit’ untuk kilang, di akhir filem The Thinning ini.

Hasrizal Abdul Jamil
Oulu, Finland

Check Also

Kita Cintakan Kematian Seperti Mereka Cintakan Kehidupan

“Kita diajar cintakan kematian bagai musuh kita cinta kehidupan” Ia adalah kata-kata yang datang daripada …

One comment

  1. subhanallah. bestnye cerite ni! open the narrow minded.

Leave a Reply to ambo Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

RSS
Follow by Email
Twitter
Visit Us
Follow Me
Tweet
Youtube
Instagram
LinkedIn
Share