“Kita tidak boleh lupa, bahawa kita dan anak-anak kita, dua-dua Tuhan yang punya. Tuhan mencipta kita untuk menguji peranan ibu bapa kita, dan Tuhan anugerahkan anak kepada kita untuk menguji peranan kita pula” saya berkongsi pandangan dengan sepasang suami isteri yang saya temui di wad sebentar tadi.
“Kalau dari segi ikhtiar manusia, insya-Allah hospital ini adalah tempat yang terbaik. Dalam keadaan anak abang dan akak sekarang, kita yang bukan doktor ini, tidak banyak yang boleh kita bantu. Yang tinggal, hanyalah hubungan kita dengan Tuhan, berbaik sangka dengan-Nya dan minta daripada-Nya agar anak kita datang secara baik, dia jua akan pulang secara yang terbaik”, saya menyambung bicara.
Pasangan suami isteri yang berada di bilik kaunseling bersama saya duduk dan tunduk. Air mata mereka semakin lebat. Saya sendiri sebak menahan sedih. Walaupun kecanggihan teknologi dan ilmu perubatan kini sangat hebat, namun sentiasa ada kes yang berada di luar upaya manusia untuk berikhtiar. Anak kecil pasangan ini adalah salah seorang daripadanya.
Hanya menanti masa…
Tidak mudah untuk saya berkongsi rasa. Saya tidak mahu bertindak memberitahu mereka apa dan bagaimana mereka sepatutnya rasa. RASA itu sangat subjektif. Tiada perkataan yang boleh mengungkapkannya. Tiada siapa yang lebih arif berbanding orang lain, apabila ia mengenai rasa.
Sebab itulah mati pun dinamakan RASA.
“Setiap yang hidup akan merasai kematian. Kemudian kepada Kami kamu semua dikembalikan” (al-‘Ankabūt 29: 57)
Ceritalah dengan perkataan sehebat mana pun, mati tetap suatu rasa, yang hakikatnya hanya diketahui oleh insan yang menjamahnya.
“Seperti kata orang kita, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Saya datang untuk membantu abang dan akak berkongsi rasa, kerana dengan meluahkan isi hati, mendapat teman untuk berkata-kata, mudah-mudahan tenanglah sedikit hati. Tenang itu yang kita mahu, kerana masih ada kehidupan yang perlu kita teruskan, dengan tenang dan baik” saya menepuk bahu ayah pesakit.
Walaupun mereka beragama Kristian, ia tidak menjadi masalah kepada saya. Apa yang saya harapkan ialah mereka mencari kekuatan untuk menempuh ujian bakal kehilangan anak sulung mereka ini, berbekalkan Tuhan dan kepercayaan akan adanya hidup selepas kematian.
“Saya berasa lega kerana walaupun abang dan akak serta saya berlainan agama, tetapi kepercayaan kepada Tuhan memungkinkan kita untuk faham, apakah rahsia di sebalik ujian ini. Saya yakin, abang dan akak boleh bersetuju dengan saya bahawa baby Raymond ini (bukan nama sebenar), apabila sampai hari janjinya dengan Tuhan, akan pergi kepada kehidupan yang lebih baik, di sisi-Nya” saya cuba mententeramkan keadaan.
Di dalam kehidupan di dunia ini, tidak semua persoalan boleh mendapat jawapan daripada dunia. Ada di antaranya yang berada di luar kehidupan ini. Perlu memandang lebih jauh daripada sekadar esok, lusa, minggu hadapan atau tahun hadapan. Sering persoalan sebegini, bukan persoalan semasa rasional meminta dalil, tetapi semasa emosi mencari kekuatan. Mengharapkan sesuatu yang lebih gagah berbanding cause and effect. Sesuatu yang mampu meluaskan dada dan fikiran yang disempitkan oleh dalil-dalil yang tidak berpihak kepada kebahagiaan dan harapan.
“Ya, saya pun rasa begitu. Doktor sudah mencuba yang terbaik. Tetapi saya akan gunakan sahaja setiap hari yang masih ada untuk fikir yang baik-baik sahaja. Mungkin juga dengan berfikir pada yang baik itu, ada miracle yang menunggu” kata ayah pesakit.
Saya mengangguk.
Kami sama-sama bangun pergi ke katil Raymond. Hancur luluh hati saya melihat bayi sekecil ini sedang bertarung dengan maut. Kecacatan kongenital pada jantungnya… Allah jua yang menguasai segala-gala.
“Ya Allah peliharalah bayi ini dengan sempurna dan berikan yang terbaik, untuknya” saya berbisik sendirian.
Kami bersalaman dan saya memohon izin untuk melawat pesakit yang seterusnya.
Tidak mudah melihat seribu satu ujian terkumpul di depan mata. Moga peluang ini menjadikan saya insan yang setiap detik menghitung syukur atas kurniaan cahaya mata yang sihat dan sempurna. Daripada-Mu kami datang, kepada-Mu jua kami akan dikembalikan.
Suatu hari nanti.
Hasrizal Abdul Jamil
www.saifulislam.com
19 Mac 2007