Jika kejayaan itu adalah sebuah perjalanan dan bukannya destinasi, maka usaha-usaha sepanjang berlangsungnya kempen PRU ke-14 sudah pun menjadi sebuah kejayaan.
Kita sudah membawa ke perhatian awam keresahan yang wujud di dalam masyarakat, dan ia telah mula disedari untuk mendekati penyelesaian.
Selama bertahun-tahun kita dilanda keresahan; keresahan korupsi, keresahan ekonomi, keresahan jenayah, keresahan gejala sosial, namun apa yang paling mendalam buat saya adalah keresahan perkauman dan sentimen keagamaan.
Sedari awal pada menyedari ketidak mampuan saya untuk pulang mengundi ke tanah air, dan pelbagai cabaran untuk mengendalikan undi pos, saya berfikir apakah peranan yang boleh saya mainkan untuk membuat sumbangan kepada PRU-14 ini. Di dalam suasana lambakan maklumat, komen, pendapat, fatwa dan kupasan ilmiah oleh pakar pelbagai bidang, saya mengesan ada kelompongan kecil yang mungkin saya boleh lakukan sesuatu mengenainya.
Memanfaatkan agama untuk membanteras perkauman.
Ia adalah agenda agama, agenda agamawan yang sejak sekian lama terpinggir daripada perhatian.
Saya masih kekal berpegang dengan pendirian yang sama sejak sekian lama, semenjak saya di UK dan Ireland, sepanjang keberadaan saya di Malaysia antara 2004 hingga 2016, dan sepanjang pembabitan saya di dalam PAS serta badan-badan NGO seperti KFiqh dan MURSHID. Bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, berbagai agama, Malaysia unik dan kaya kerana itu, dan Islam berpotensi menyerlahkan sifatnya sebagai rahmatan lil ālamīn di dalam persekitaran sebegitu.
Seawal tahun 2002 ke 2004, saya sudah maklum tentang sokongan gerakan-gerakan Islam antarabangsa kepada PAS untuk bekerjasama dengan DAP.
Seawal tahun 2008, saya telah mengundi Lim Kit Siang untuk Parlimen Ipoh Timor.
Seawal tahun 2012, saya membentangkan kertas kerja berkaitan isu mengundi non Muslim di dalam program Konvensyen Fiqh Islam Semasa: Mengulas Isu Politik dan Pilihanraya Berdasarkan Manhaj Wasatiy. Program anjuran KFIQH itu berlangsung pada 15 September 2012, dengan pembentangan bersama Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, Sahib al-Samahah Tuan Mufti Wilayah Persekutuan, Tuan Mufti Negeri Perlis, Dr. Maszlee Malik dan ramai lagi.
Semasa itu, semua pendirian tersebut bukan kesalahan. Malah ia dianggap sebagai aset. Saya kalau boleh tidak membentang apa-apa kertas kerja. Tetapi MURSHID mahu saya bentangkan kertas kerja berkenaan kerana semua orang tahu saya telah mengundi Lim Kit Siang di dalam pilihanraya sebelumnya.
Nas al-Quran ada.
Rujukan al-Sunnah ada.
Pengalaman sejarah ada.
Dan kerjasama tidak menjadi sebuah masalah, malah merupakan suatu perkembangan positif untuk Malaysia, juga kaum Muslimin.
DAP juga masih DAP yang sama. Bertegas menjunjung Perlembagaan Malaysia tanpa toleransi.
Mereka mengkritik cadangan perlaksanaan hudud, bukan kerana mereka anti Islam, tetapi kerana mengambil kira konflik hudud dengan Perlembagaan.
Mereka mempertikaikan pembentangan RUU355 bukan kerana mereka anti Islam, tetapi kerana ia tidak mematuhi protokol Dewan Rakyat.
Tetapi naratif ini tenggelam dalam sentimen anti Islam, yang sangat mudah untuk menjadikan telinga tuli daripada penerangan, mata celik untuk meneliti keadaan.
Akhirnya agama menjadi senjata.
Kebencian yang diapi-apikan, seperti terlupa bahawa Muslim itu kalau pun tidak ahli politik, mereka adalah da’i. Dan para da’i diajar oleh Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam untuk melunakkan ‘musuh’ dengan santun, bukan kecaman dan kata nista.
Kelompongan itu perlu dirawat, dan di situlah saya perlu bersuara.
Harga yang perlu dibayar adalah tinggi.
Mungkin kerana saya sekarang ini berada di Finland, saya sedar yang risikonya sudah tidak lagi seperti tahun 2013, semasa saya mengundi Thomas Su untuk Parlimen Ipoh Timor dan Howard Lee untuk DUN Pasir Pinji. Pada masa itu, jika saya secara terbuka turun berkempen untuk DAP, saya perlu memikirkan risiko saya sebagai ustaz penceramah di surau, masjid, seminar ibrah al-Quran, dan Pengarah Akademik sebuah sekolah tahfiz. Sanggupkah saya meletakkan semua itu di dalam risiko, hanya kerana mahu menegaskan sokongan saya kepada DAP, selagi mana DAP kekal dengan integritinya mendukung Perlembagaan?
Saya tidak sanggup.
Akan tetapi, walaupun saya tidak sanggup, saya tidaklah pula menyembunyikan pendirian.
Saya menulis artikel mengenai kerjasama DAP dengan PAS di blog ini. Cuma mungkin ketika itu PAS tidak bermusuh serta menyerang DAP, maka artikel saya nyaman di blog. Sesekali ada yang mempertikaikannya, dan ketika itu yang lebih sukar menghadamnya adalah penyokong UMNO dan Barisan Nasional. Ia maklum, saya tidak terkejut.
Tetapi selepas PAS mengambil keputusan meninggalkan Pakatan Rakyat, segala-galanya berubah.
Kali ini, ia bukan lagi sekadar soal tahaluf siasi dengan DAP, tetapi ia menjadi isu perkauman. Bahasa yang dipakai untuk menjustifikasikan ‘keharbian’ parti DAP, jika saya terjemahkan ke bahasa Inggeris, bunyinya tidak banyak berbeza dengan bahawa white surpremacists di Amerika Syarikat.
Biarlah, seandainya risiko memberi penerangan ini bermaksud saya kehilangan kerusi ceramah di surau dan masjid, hatta ditolak oleh masyarakat sekitar. Saya percaya agenda merawat perkauman dengan hikmah agama adalah keutamaan yang mesti terus diusahakan. Masjid dan surau bukan medannya. Saya bersedia mencari daerah-daerah lain untuk menyampaikan Islam, sebagai agama yang tegas dengan prinsip, namun lunak dalam pendekatan.
Lihat sahaja reaksi rakyat Malaysia terhadap Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz dan mesej Islamnya.
Itulah Islam rahmatan lil ālamīn.
Selain bantahan ramai penyokong PAS, antara golongan yang sangat kecewa dengan tindakan saya adalah ‘peminat-peminat’ buku saya di era buku Aku Terima Nikahnya. Sampai ada yang mahu membuang semua buku saya kerana kecewa dengan warna sebenar saya, kecewa kerana saya telah berubah!
Sedangkan saya semasa menulis buku Aku Terima Nikahnya, masih saya yang sama pada hari ini.
Saya menulis buku Aku Terima Nikahnya bukan untuk populariti, menjadi selebriti, menjadi Ustaz Cinta, keluar televisyen, disanjung, disayangi dan sering diajak ber’selfie’. Saya menulis buku itu kerana saya sayangkan institusi keluarga dan mahu institusi itu subur dengan kasih sayang yang ada bimbingan.
Saya boleh terus memilih untuk berada daerah itu.
Tetapi ia adalah zon selesa saya.
Zon yang boleh mengisi keperluan hidup barangkali.
Tetapi zon itu tidak memberi kepuasan dalam hidup ini.
Zon yang bermakna adalah zon berkatalah yang benar walaupun pahit.
Pahit hingga hilang kerusi ceramah agama.
Kehilangan yang tidak mengapa, kerana dewasa ini ceramah agama, kuliah Maghrib dan kuliah Subuh hanyalah hiburan untuk golongan yang ‘suka agama’. Ia bukan medan merawat masalah dan penyakit masyarakat.
Itulah sedikit harga kecil yang saya perlu bayar untuk menyuarakan sesuatu yang penting untuk Malaysia. Tidak terbanding dengan pengorbanan Rafizi Ramli yang bakal ke penjara kerana mendedahkan penyelewengan kerajaan. Tidak terbanding dengan pengorbanan DS Anwar Ibrahim yang merengkok di penjara pada usia 70’an. Tidak terbanding dengan pengorbanan Tun Mahathir pada meninggalkan kerehatan usia 93 tahun. Tidak terbanding dengan pengorbanan tokoh-tokoh AMANAH, DAP serta PKR yang pernah dipenjara kerana prinsip yang mereka perjuangkan.
Bersuaralah.
Agar kebenaran tidak dimatikan oleh diamnya kamu.
Bual bicara live Instagram 8 Mei 2018, 3 pagi
Bual bicara live Instagram bersama Wardina Safiyyah 8 Mei 2018, 4 pagi
Kupasan topik Big Picture Thinking berdasarkan buku Thinking for a Change oleh John C Maxwell 8 Mei 2018 5:45 petang
Defeating Racism and Religious Intolerane 8 Mei 2018 10 malam
HASRIZAL
Oulu, Finland
Assalamu’alaikum ustaz, baru hari ini saya tahu keadaan ustaz sebenar, pernah tertanya kenapa tiba2 ustaz menyepi.
Apa yang ustaz katakan, saya setuju Dan tidak menafikan. Cuma satu pertanyaan dari saya, setelah APA yg Tun Mahathir buat pads zaman pemerintahan beliau sebelum nie, perlu ka kita perlu bersangka baik pads beliau Kali nie?
Salam tuan saifulislam yg sy hormati.
Sy sentiasa mdoakan semoga tuan siht sejahtera dan di berkati umur utk meneruskan dakwah tuan.sy tidak pernah kecewa dgn dakwah yg tuan sebarkan trutamany dlm bidang pnulisan kerana sy tidak ada kesemptan utk mdgr ceramah tuan secara live.sy hrp tuan tidk kecewa dgn kami.teruskn dakwah tuan di blog ni.hanya yg ad mata hati yg faham.yg buta hati biar kan dia pergi kerana dia yg memilih utk kerugian.moga tuan terus berjaya.allah sentiasa ada. Dan semoga pilihan raya kli ini dberkati allah dan lebih baik dari yg sebelum nye. Jika islam itu kuat dalam diri individu,dtg la siapa pn menjadi pmimpin,xkan dia mmpu gugat aqidah seseorang hamba allah yg bertaqwa.
Maaf ustaz, ingin clarify :
Quote from ur article “DAP juga masih DAP yang sama. Bertegas menjunjung Perlembagaan Malaysia tanpa toleransi.
Mereka mengkritik cadangan perlaksanaan hudud, bukan kerana mereka anti Islam, tetapi kerana mengambil kira konflik hudud dengan Perlembagaan.
Mereka mempertikaikan pembentangan RUU355 bukan kerana mereka anti Islam, tetapi kerana ia tidak mematuhi protokol Dewan Rakyat.”
Maka Adakah perlaksanaan penegakkan hudud di malaysia sesuatu yg impossible disebabkan sekatan Perlembagaan Malaysia sendiri?
Sampai bila?
Naive sangat ni ustaz…
Ustaz bagi contoh sikit je pendirian DAP dlm artikel ini buat saya fikir ustaz terlalu naive dalam menilai kuffar.
Saya terkejut kalau hanya beberapa contoh ini sahaja ustaz menjustifikasikan sangka baik ustaz pada DAP. Tak hairan kalau ustaz memilih pendekatan rahmah sehingga ke hari ini. Banyak lagi yang ustaz kena ambil tahu dan jangan membutakan mata untuk melihat dan jangan menulikan telinga dalam mendengar.
Saya pun bukan lah ahli PAS. Sangka baik lah dengan PAS yang di dalamnya ramai yang ikhlas dalam perjuangan mereka memartabatkan Islam, walau pun mungkin bukan lah semua. Saya hairan kita lebih bersangka baik dengan non Muslim melebihi muslimin yang ikhlas. Hati-hati ustaz takut Allah tak bagi pertolongan sebab kita menjadikan penolong kita dalam urusan pembinaan semua negara dari kalangan mereka yang ada penyakit hati dengan Muslimin dan Islam… Akhir sekali, suka saya nyatakan jangan remehkan paranoid atau ketakutan orang yang ikhlas mempertahankan agama SEBAB perkara ini punya asasnya dari al-Quran dan Sunnah…. Allahu, moga Allah pelihara agama kita…
#bukanPAS
#rendahdiridenganmusliminizzahdengannonmuslim
#sayainvolvedengandakwahnonmuslimdanperbandinganagama
#hatihatikalamustazmampumengesani
AllahuAkbar. Saya sangat bersetuju dengan The Last Fighter.
Saya berasa sangat sedih apabila cuba membuka mata ahli keluarga terdekat tentang hal ini.
Namun akibat kebencian melampau mereka terhadap individu2 tertentu hasil “penjajahan pemikiran” melalui internet yang saban hari menghina serta mengkritik, mereka sudah mula hilang pertimbangan.
Pantang tersentuh sedikit meskipun teguran saya adalah ikhlas kerana Allah Taala, supaya mereka berhati-hati dengan kaum kuffar (bukannya saya suruh mereka benci) baik dalam PH mahupun BN, terus saya ditempelak kononnya saya bersifat perkauman.
Saya kata ini hal agama, bukannya kaum. Malah Allah pun ingatkan kita .. “mereka tidak akan “gembira” selagi tidak ikut cara mereka”.
Kalau nak diikutkan pergaulan dengan non- Muslim, saya bersekolah rendah selama 2 tahun di Australia, akibatnya di sekolah rendah dan Universiti saya lebih mudah bergaul dan bekerjasama dengan bangsa2 lain di Malaysia.
Group work di uni sering saya sertakan bangsa lain yang non- Muslim, malah pernah saya seorang saja yang Melayu (saya bekas pelajar Universiti tempatan).
Malah pengalaman awal bekerja di Inti College, Nilai, saya seorang sahaja staf Melayu dalam Jabatan Sains pada awal tahun 2000-an. Saya tidak kekok.
Tapi sedih, bila ahli keluarga menolak ketepi semua ini, mengatakan saya ekstrim hanya kerana mencuba untuk menasihati mereka supaya berhati-hati, bersederhana dan berpada-pada dalam mengkritik (sering saya ingatkan dengan rendah diri, betapa teruknya balasan kita bila mengumpat dan mencela).
Saya kata kalau iya pun orang lain salah, kita ambil maklum sajalah.
Mengapa perlu hampir setiap kali dapat berita tular WhatsApp yang sudah menjangkau ratusan, setiap kali itulah ditatap, diforward dan dicemuh.
Akibatnya, langsung saya dihina.
Mudah-mudah an Allah ampunkan dosa-dosa kita semua yang tersalah dalam menghadapi dugaan dan cubaan di akhir zaman ini.
Wallahu’a’lam.