Mengapa Saya Mengundi Lim Kit Siang Pada Tahun 2008?

Waalaikum al-salam saudari.

Terima kasih kerana sudi mengirim mesej kepada saya. Maafkan saya kerana mengambil masa untuk membalas. Saya juga mungkin tidak berkesempatan untuk menulis panjang lebar. Saya hanya mampu menjelaskan apa yang telah saya buat dan ia tidak semestinya cara terbaik, apatah lagi untuk menjadi desakan ke atas saudari.

Saya tidak mempunyai isu berkaitan hukum mengundi non Muslim kerana serba sedikit ilmu agama yang saya belajar memahamkan kepada saya bahawa pilihanraya adalah untuk memilih wakil rakyat dan mereka mempunyai skop kerja yang khusus. Ia adalah muamalat dan Islam tidak menghalang kita bermuamalat dengan sesiapa sahaja tanpa batasan agama.

Saya tahu Lim Kit Siang (林吉祥) adalah seorang yang signifikan di dalam Parlimen Malaysia kerana peranannya di pihak pembangkang untuk check and balance. Saya berminat untuk memahami beliau dan kali pertama saya hadir ke ceramah beliau adalah di UCL London sekitar 1998 atau 1999. Semasa itu saya bertanya soalan kepada beliau tentang usaha yang beliau lakukan untuk meningkatkan kesedaran politik di kalangan anak-anak muda berbangsa Cina. Ia ringkas sahaja, tetapi ia membantu mengurangkan bias saya terhadapnya.

Sedikit sebanyak saya dilatih di dalam bidang sejarah untuk meneliti dokumen dan menganalisis kandungan. Ada sesetengah topik, saya membaca selama bertahun-tahun untuk menghubungkan titik-titik kefahaman yang bertaburan merentas masa, dari sumber yang pelbagai. Justeru, kaedah yang sama turut membantu saya melakukan proses deduktif, juga induktif, berkaitan hal-hal rumit seperti persepsi yang membelenggu kita mengenai Lim Kit Siang dan DAP.

Saya mencabar diri saya sejauh manakah saya dapat membuktikan Lim Kit Siang adalah seorang komunis seperti yang digembar-gembur, dan sejauh manakah hubungan beliau dengan PAP dalam konteks akhir 60’an masih relevan untuk mencampuri kefahaman saya di tahun 2000.

Saya juga mempunyai pandangan yang positif terhadap ‘nasib’ orang Melayu di Singapura, hasil pembabitan saya di dalam pelbagai program bersama komuniti Melayu dan Muslim di Singapura, termasuk dengan pihak-pihak berwajib seperti MUIS, Pergas dan sebagainya. Idea saya tentang PAP banyak diperbaiki, tidak semestinya bersetuju semuanya, sebagaimana juga tidak semestinya menolaknya, hitam vs putih.

Bagi saya, Lim Kit Siang adalah seorang negarawan yang bersungguh membela nasib rakyat Malaysia, khususnya di kalangan bukan bumiputera, bersesuaian dengan ‘setting’ Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai hak khusus untuk orang Melayu. Non bumiputera memerlukan seseorang yang membela keperluan mereka di dalam Parlimen untuk ‘check and balance’.

Kesungguhan Lim Kit Siang bekerja di dalam Parlimen menyebabkan saya percaya bahawa dengan mengundi beliau ke Parlimen Malaysia, saya akan menghantar seorang ahli Parlimen yang berguna untuk memajukan Dewan Rakyat. Saya tidak mahu menghantar seorang ahli Parlimen yang ponteng, mementingkan hal parti lebih daripada tanggungjawab utamanya sebagaimana ia digaji dan diberi amanah. Saya mahu menghantar ahli Parlimen yang bercakap berasaskan fakta, yang tidak takut dengan sesiapa, yang tidak boleh dibeli dan disogok dengan wang, walaupun tidak semestinya saya sentiasa bersetuju dengan semua pendirian beliau.

Saya mengundi Lim Kit Siang pada PRU ke-12, tahun 2008. Saya tidak berhadapan dengan kesulitan membuat keputusan itu kerana calon Barisan Nasional adalah Liew Mun Hon daripada MCA. Semasa beliau menang kerusi Parlimen Ipoh Timor dengan majoriti besar, saya menghantar mesej tahniah kepada YB Lim Kit Siang. Beliau membalasnya dengan ucapan terima kasih.

Untuk meneliti perjalanan hidup beliau, saya buat Playlist berikut, jika saudari berkelapangan untuk menontonnya:

Saya hanya menjawab persoalan yang saudari timbulkan. Coretan ini tidak bermaksud menekan sesiapa apatah lagi memaksa sesiapa. Di dalam sebuah negara demokratik seperti Malaysia, menghormati kepelbagaian pendapat adalah teras kepada kematangan demokrasi di negara tersebut.

Salam ukhuwwah.

Selamat mengundi.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.