Kehendak-Nya Mereka Pergi

“Ke mana perginya mereka ini? Sudah hampir tengah malam”, saya merungut di tingkap.

Saya ke dapur menghangatkan gulai. Sejak Maghrib tadi, saya sudah menyiapkan hidangan. Kari ayam, jelatah, sambal belacan, semuanya sudah saya siapkan. Malam ini saya bakal menerima tetamu istimewa.

Ketika asyik memanaskan gulai, saya teringat balik kepada perbualan kami dua hari yang lalu.

“Ustaz nanti ada kat rumah ke? Kami cadang nak berjalan ke Mu’tah”, kata Zikri yang diam semenjak tadi.

“Ahlan wa sahlan. Memang ana sekarang ni duduk di Amman, sebab cuti. Tapi esok ana boleh balik ke Mu’tah. Ana tunggu antum di sana. Di rumah baru kami”, saya gembira dengan cadangan mereka.

Saya sudah mengenali mereka semenjak di Malaysia lagi. Fakhrun Nizam, Zainul Aman, Rashimi, Kamal Nazmi, Hakiman dan Zikri adalah di antara pelajar tajaan JPA batch kedua yang dihantar belajar di Jordan. Saya pula batch yang pertama.

Semasa cuti musim panas 1994, saya telah pulang ke Malaysia dan bertemu dengan mereka yang sedang mengikuti kursus intensif Bahasa Arab di KUSZA. Di situlah persahabatan kami bermula.

Walaupun jarak di antara Mu’tah tempat saya, dengan Mafraq yang menempatkan mereka di Universiti Alul Bayt itu agak jauh, saya cuba juga untuk menziarahi mereka dari semasa ke semasa. Bertanya khabar tentang pengajian dan memastikan kebajikan mereka terjaga.

Cuti musim panas kali ini saya tidak balik ke Malaysia. Untuk memenuhkan cuti dengan aktiviti yang berfaedah, saya banyak menghabiskan masa di Amman. Kadang-kadang saya menumpang di rumah Ustaz Misbah, selalunya saya menumpang di Darul Ulum, rumah sahabat-sahabat yang satu batch dengan saya.

Tetapi apabila sahabat-sahabat saya ini merancang untuk melawat Mu’tah, saya lebih dari gembira untuk menyambut mereka.

“Bukan apa, Kamal Nazmi nak balik cuti ke Malaysia. Kami plan nak sewa kereta untuk hantar dia ke airport. Lepas itu, kami terus ke rumah ustaz!”, kata Fakhrun Nizam yang masih botak kepalanya kerana baru pulang dari Tanah Suci.

Jam sudah hampir pukul 1 pagi. Saya sudah begitu mengantuk. Entahlah ke mana perginya mereka. Baik saya tidur sahaja dahulu.

Maqam Abdullah ibn Rawahah di hadapan tingkap bilik saya

Allahu Akbar Allahu Akbar…

Azan pertama Subuh berkumandang ke udara. Saya terjaga dari tidur dan rasa sedikit kecewa. Sahabat-sahabat saya masih belum tiba.

Ahli rumah yang lain tidak ada. Masing-masing bermalam di ‘Rumah Selangor’. Tinggal saya sendirian di rumah.

Angin Mazar bertiup tenang… pemandangan di bulan Jun masih cantik. Masih ada rumput hijau menghampar pandangan yang sayup ke hujung mata. Kubah hijau di atas pusara Abdullah ibn Rawahah jelas kelihatan di depan tingkap bilik saya.

Kringggg!

Tiba-tiba lamunan saya dikejutkan oleh deringan loceng pintu. Saya bergegas turun ke bawah untuk melihat siapa yang datang.

“Assalamualaikum Sheikh!”, terdengar suara dari luar.

“Waalaikum al-Salaam. Oh, anta Ba. Terkejut ana. Masuklah”, saya menyahut salam. Terkejut saya melihat Baihaqi di muka pintu.

“Tak apa, ana tak sempat nak naik. Ana ada berita nak sampaikan kepada anta. Harap anta bersabar”, kata Baihaqi. Wajahnya begitu serius. Saya rasa tidak sedap hati.

“Sahabat-sahabat anta kemalangan di Aqabah. Fakhrun Nizam, Rashimi dan Zikri dah tak ada. Mereka meninggal di tempat kejadian!”, kata Baihaqi sambil memegang bahu saya.

“Ya Allah… berita apakah ini!”, saya terduduk di anak tangga. Terasa lemah seluruh badan. Terlalu mengejutkan…

“Betul ke Ba?”, saya menggeletar.

“Ya. Seorang lagi, Suzaidy, anta kenal kan? Budak KP (Kementerian Pendidikan). Beliau pun terkorban sama. Tapi Zainol Aman cedera parah. Beliau sedang dirawat di Hospital Aqabah”, beritahu Baihaqi.

Saya sudah tidak mampu berkata-kata. Muka saya sudah basah dengan air mata. Terdiam…

“Ana nak kena balik ke Amman. Ana dari Aqabah. Nak uruskan dengan MSD dan lain-lain. Anta nak ikut? Kereta kosong”, tanya Baihaqi.

Saya mengangguk perlahan.

“Tunggu ya. Naiklah dulu sekejap”, saya masuk ke rumah kembali untuk mengambil pakaian.

Di sepanjang perjalanan ke Amman, mata saya bengkak menangis tidak berhenti-henti. Semuanya berlaku terlalu pantas. Penantian saya malam tadi, rupa-rupanya berakhir dengan sebuah tragedi.

“Macam mana kemalangan tu terjadi?”, saya menguatkan diri untuk bertanya.

“Mereka ke airport malam tadi menghantar Kamal Nazmi. Lepas tu mereka tanya ana dan lain-lain tentang anta”, Baihaqi memulakan cerita.

“Tanya tentang ana? Tanya apa?” saya kehairanan.

“Mereka cadang nak ke rumah anta. Tapi mereka tak pasti anta ada di Mu’tah atau di Amman. Tu yang mereka tanya orang ramai!”, sambung Baihaqi lagi.

“Subhanallah. Mereka lupakah yang mereka dah berjanji dengan ana? Even ana dah masak beriya-iya dan tunggu mereka sampai pukul 1 pagi”, saya terkejut.

“Entahlah, petang tu mereka singgah rumah Ustaz Nahar. Orang rumah Ustaz Nahar hidang jemput-jemput pisang. Beriya mereka berlima makan, kata Ustaz Nahar”, terang Baihaqi.

Lebuhraya Karak – Amman sepi. Tidak banyak kereta pagi ini. Landasan kereta api Hijjaz Sultan Abdul Hamid jelas kelihatan di sisi lebuh raya. Air mata saya makin lebat. Terkenang perbualan saya bersama-sama adik-adik ini tentang sejarah Othmaniyyah di Jordan.

“Berlima? Macam mana Suzaidy boleh terlibat sama?”, saya cuba mencantumkan teka-teki yang membingungkan ini.

“Selepas Kamal Nazmi berlepas balik ke Malaysia, mereka ajak Hakiman join isi tempat kosong tu. Mereka buat keputusan untuk bercuti ke Aqabah sebab anta tiada di rumah”, Baihaqi bercerita lagi.

“Habis, bagaimana dengan Hakiman?”, saya buntu.

“Hakiman kata dia sakit perut. Tak berapa sihat. Jadi dia balik semula ke Mafraq. Mereka ajak Suzaidy yang kebetulan ada sama di airport pada masa itu”, Baihaqi tenang menjawab soalan-soalan saya.

“Anta bagaimana ada di Aqabah?”, saya bertanya.

“Ana dengan Rasyid ke Aqabah, bercuti. Budak-budak tu naik kereta dan ikut Nushi dari belakang sebab mereka tak pasti dengan jalan”, kata Baihaqi.

“Semasa dah nak sampai di Aqabah, Nushi perasan yang kereta mereka sudah tidak ada di belakang. Dia berhenti dan tunggu di tepi jalan. Lama sangat, Nushi pun tak sedap hati lalu dia berpatah balik ke belakang”, sambung Baihaqi lagi.

“Dan?”, saya tekun mendengar.

“Nushi nampak orang tengah berkerumun. Rupa-rupanya mereka yang kemalangan. Ingatkan kemalangan kecil. Rupa-rupanya, ya Allah!”, kata Baihaqi lagi.

Baihaqi pada masa itu sudah tiba di Aqabah. Beliau menerima berita dari Nushi dan rakan-rakan tentang kemalangan tersebut. Fakhrun Nizam yang memandu terperosok di bawah kerusi pemandu. Zikri juga telah meninggal dunia di tempat kejadian bersama Suzaidi. Kereta mereka terlanggar lori tangki yang berhenti di tepi lebuh raya. Semasa orang ramai menarik mereka keluar, Rashimi masih bernyawa dan terdengar lagi mulutnya berkata, “Allah, Allah… sakitnya…”

Dan Rashimi meninggal dunia dalam perjalanan menuju ke Hospital Aqabah.

“Zainul macam mana? Terukkah keadaannya?”, saya rasa sangat gementar.

“Parah. Entahlah sheikh. Sama-sama kita doakan”, jawab Baihaqi.

Di Amman, saya menumpang di rumah Ustaz Misbah. Sepanjang hari, saya tidak dapat menahan kesedihan dan terus menangis. Tekanan yang saya hadapi jadi semakin berat apabila berita tentang Zainul Aman tiba.

“Allah lebih menyayanginya. Zainul tak dapat diselamatkan. Beliau meninggal dunia 8 jam selepas dimasukkan ke hospital”, kata Rasyid kepada saya.

“Ya Allah…… Allah… apa lagi yang tinggal ya Allah. Inna Lillah wa Inna Ilayhi Raji’un…”, saya duduk mengesat air mata.

Tengah hari esoknya, jenazah mereka berlima selama tiba dengan helikopter tentera ke Hospital Tentera di Amman.

Saya menawarkan diri untuk membantu menguruskan jenazah. Saya menuju ke bilik di mana jenazah Fakhrun Nizam diletakkan. Tangan saya menggeletar semasa menggunting plastik hitam yang membalut tubuh sahabat karib yang terbujur kaku itu.

Ya Allah… rambutnya masih pendek. Saya mengusap kepala Fakrun Nizam. Teringat kembali pada kesedihannya kerana tidak sempat memberitahu ahli keluarga tentang rancangannya ke Mekah baru-baru ini.

“Harap emak dan ayah ana tak marah. Keputusan last minute!”, katanya kepada saya 4 hari yang lalu sekembalinya beliau dari Mekah

Alhamdulillah dalam usia semuda ini, rukun Islam telah sempurna Fakhrun Nizam laksanakan.

Semasa menggunting baju Melayu biru yang beliau pakai, saya tidak dapat menahan air mata. Fakhrun Nizam sangat bangga dengan bajunya yang djahitnya sendiri ini. Baru sahaja beberapa hari lepas kami berbual tentang baju Melayunya ini.

Saya menarik nafas dalam-dalam untuk menguatkan semangat. Kepingan kaca pada tubuh beliau saya bersihkan. Saya membantu Medical Assistant di hospital berkenaan menyuntik formalin ke tubuh Fakhrun Nizam untuk membolehkan jenazah beliau dan rakan-rakan yang lain, dihantar pulang ke Malaysia.

Selesai jenazahnya dimandi dan dikapan, saya mencium dahi Fakhrun Nizam…

“Akhi, hingga kita bertemu lagi.. selamatlah kalian di sisi Dia. Ana doakan anta… dan mudah-mudahan keluargamu juga tabah dengan pemergianmu. Pesan anta kepada adik anta Fakrul Irfan akan ana sampaikan”, saya membisikkan doa kepada Fakhrun Nizam.

Jenazah mereka telah diberikan penghormatan penuh apabila upacara ketenteraan telah dilakukan dengan penuh hormat. Jenazah mereka diterbangkan pulang ke Malaysia dengan liputan siaran langsung di TV3.

Saya berpesan kepada Wan Rumaizi yang mengiringi jenazah mereka pulang ke Malaysia, “kalau boleh, tak payahlah keluarga di Malaysia buka lagi keranda mereka. Tentu hancur luluh hati keluarga kalau melihat keadaan mereka”

Rumaizi mengangguk.

Anak-anak dihantar ke Bumi Anbiya’ dengan seribu harapan agar pulang dengan segulung ijazah, namun yang kembali hanyalah sekujur jenazah..

12 tahun sudah berlalu. Tarikh 9 Jun 1995 tetap saya kenang dalam lipatan kenangan.

Allahumma… mereka pemuda yang baik. Mereka istiqamah solat Jamaah di masjid. Mereka amat ghairah pada ilmu agama-Mu ya Allah. Engkau ambil mereka dari keletihan dunia, pada kerehatan di sisi-Mu di alam sana.. cucurkan rahmat-Mu dan maghfirah-Mu ke atas roh Almarhum Fakhrun Nizam, Zainul Aman, Suzaidy, Rashimi Azru dan Zikri…. Bergembiralah wahai syabab… matimu di jalan menuntut ilmu, adalah syahid fi sabilillah…

Untuk mereka, saya abadikan sebuah nasyid yang saya cipta khusus untuk mengenang persahabatan yang singkat tapi penuh makna dan harga…

Tuhan telah menentukan segalanya
Kerana Dia kita bersaudara
Perantau hidup tanpa keluarga tercinta
Hanya teman, tempat meluahkan rasa
Mesranya hati bagai kembang puspa di taman
Harumnya pula semerbak syurga Tuhan

Semalam kita sama berjuang dan bekerja
Menunaikan janji kita kepada Tuhan
Mencari mutiara ilmu di Bumi Anbiya’
Pulang nanti ingin berbakti pada semua
Oh bagaikan terasa hari itu selamanya
Berganding tangan menyusur kehidupan

Namun aku hanya insan yang tak punya apa
Dialah yang menentukan segalanya
Hari ini tanpa ada yang mampu menduga
Kau dijemput Tuhan pulang ke pangkuan
Dunia dalam pilu menitiskan air mata
Mengiringi duka sebuah kematian…

“Ya Allah masih segar wajah mereka terbayang di mata
Masih hangat suara lembutnya di sisipan telinga
Apakah benar ini semua bukan mimpi
Gagahkah aku untuk menyambut sebuah realiti
Tuhan Pengasih
Terangilah pusara mereka dengan cahaya-Mu
Meriahkanlah dunia mereka dengan kunjungan rahmat-mu
Sampaikanlah doa kami kepada mereka
Amin ya Rabbal ‘Alamin”

Kepadamu kuhadiahkan doa
Moga tenang di dalam belaian Tuhan
Pada Allah kupohonkan kesabaran
Moga berkekalan kau dalam ingatan
Kupercaya kau kan bahagia di alam sana
Suatu hari nanti kita kan bersama

Kepada teman dan keluarga semua
Pasrahlah kepada Allah Tuhan yang Esa
Walau seagung mana kasih dan sayang semua
Pastinya Dia lebih menyayangi mereka
Dari-Nya kita datang berkelana di dunia
Kepada-Nya jua kita kan kembali

Lagu, Lirik dan Nyanyian: Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus, Jordan
Album: Dunia Ini, 1996

Hasrizal
www.saifulislam.com
20 April 2007

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.