Moga Kalian Dewasa Dengan Iman

1981, KAMPUNG PASIR PUTEH IPOH

“Hasrizal, cikgu minta maaf sebab walaupun kamu dapat nombor satu, tapi kamu tak boleh naik ke pentas ambil hadiah. Sebabnya, kamu masuk sekolah bukan betul-betul, cuma ikut emak kamu sahaja. Cikgu minta maaf ya.” kata guru besar saya pada tahun 1981.

Ketika itu saya berumur enam tahun. Saya tidak ke tadika seperti rakan-rakan sebaya yang lain. Sebaliknya, saya mengikut emak ke sekolah sebab emak mengajar Darjah 1. Lebih menjimatkan dan anak dibesarkan di depan mata. Saya memang suka dengan kelas itu dan saya belajar bersungguh-sungguh. Hasilnya saya mendapat 100% bagi semua mata pelajaran semasa peperiksaan akhir tahun.

Tetapi kata-kata guru besar pagi itu amat mengguris hati saya. Tidakkah mungkin saya dihadiahkan sebatang pensel sebagai galakan? Semata-mata nama saya tidak berdaftar, saya diketepikan begitu sahaja. Di dalam sistem, saya tiada di dalam sistem dan hanya anak Cikgu An. Tetapi di dalam realiti saya, budak berumur 6 tahun ini adalah murid sekolah dan beliau memberikan sepenuh dirinya untuk belajar.

Dalam perjalanan pulang, emak dan abah singgah ke kedai dan membeli pensel sebagai hadiah untuk saya. Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah, saya bergenang air mata kehairanan melihat kawan yang dapat nombor 2, 3, dan 4 naik ke pentas mengambil hadiah.

2001, BELFAST IRELAND UTARA

Kenangan bersama wartawan British Satelite News ketika rakaman dokumentari “Education of Muslims in Northern Ireland” untuk siaran CNN pada tahun 2001

Semasa saya menerima perlantikan tugas sebagai Imam, skop kerja saya hanyalah sehelai kertas putih! Saya diberikan sehelai kertas putih A4 agar saya merangka sendiri skop kerja, dan akhirnya saya dipertanggungjawabkan dengan SEMUA hal ehwal berkaitan dengan Islam dan kaum Muslimin di Belfast. Namun tugas yang menjadi nostalgia kepada diri saya ialah apabila saya menerima amanah sebagai Pengetua di Belfast Islamic School iaitu Sunday School yang bertanggungjawab mendidik ilmu fardhu ain anak-anak umat Islam sekitar Belfast dan kawasan berhampiran. Saya mendapat kira-kira 70 orang pelajar yang berumur di antara 5 ke 16 tahun.

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN MASJID

Permulaan tugas saya tidaklah begitu cantik. Semasa Mesyuarat Agung Jawatankuasa Masjid, Belfast Islamic Centre hampir hendak runtuh disebabkan oleh pergaduhan lantaran rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang sekali pun saya tidak pernah melihat muka mereka bersolat di Masjid. Namun, saya hanya mendiamkan diri di atas sejadah, ketika Jamal yang memegang jawatan Presiden Masjid, mengawal keadaan.

Tiba-tiba seorang perempuan bangun dan membangkitkan persoalan sekolah. Katanya, dia tidak berpuas hati kerana jawatan Pengetua diserahkan kepada saya. Beliau mengamuk-ngamuk dan saya faham kenapa beliau bertindak demikian kerana beliau sudah memegang jawatan tersebut selama beberapa tahun, sebelum saya muncul sebagai Imam sepenuh masa pertama di dalam sejarah Belfast Islamic Centre yang telah pun berumur lebih 20 tahun. Masjid ini tidak pernah mempunyai Imam tetap sebelum ini.

Saya hanya tersenyum mendengar rungutan beliau. Saya dikecam memandai-mandai menukar silibus, tidak menghormati guru-guru lama dan cuba membolot segala-gala yang berkaitan dengan sekolah itu. Tiba-tiba dia menerpa ke depan sambil menghulurkan jari telunjuknya kepada saya.

The Imam is misleading!!!” beliau memekik ke arah saya di hadapan lebih 200 hadirin di dalam mesyuarat tersebut.

Saya terkejut dan ramai jemaah masjid bangun untuk menolak wanita itu agar tidak menyerang saya. Dalam keadaan menggigil kerana terkejut bercampur marah,  saya terpaksa bangun dan bersuara.

“Tuan-tuan dan puan-puan. Saya sedar saya masih baru di sini. Hari ini kita bergaduh tentang siapa yang berhak di dalam urusan pentadbiran sekolah. Mari saya kongsi bersama dengan anda semua cerita ini” saya cuba bersuara tenang, walaupun jantung berdegup kencang.

Brothers and sisters, semasa saya mengambil alih sekolah pada akhir tahun lepas, saya telah mengadakan evaluation test untuk menentukan pelajar yang mana patut masuk ke kelas mana. Hasil ujian tersebut, saya ingin memberitahu anda semua bahawa kira-kira 20 orang pelajar semasa ditanya who teach you about God, mereka menjawab Jesus! 4 orang pelajar, semasa diminta menterjemahkan Kalimah Syahadah ke Bahasa Inggeris, mereka menjawab There is No God but Allah and Abraham is the Messenger of Allah! Dan hampir 100% pelajar dari umur 5 hingga ke 16 tahun, tidak tahu jawapan kepada soalan siapa nama ayah Muhammad, the Prophet!” saya menjelaskan dengan panjang lebar.

Seluruh masjid hening seketika dan ramai yang menggeleng-gelengkan kepala.

“Siapakah pelajar-pelajar ini? Adakah mereka anak saya? Tidak, anak saya masih merah di rumah. Tetapi mereka adalah anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengendalikan sekolah ini bukan kerana gilakan kuasa, tetapi atas kesedaran saya tentang tanggungjawab menyelamatkan generasi Muslim di Belfast. Kamu, sister, kamu sudah menjadi Pengetua sekolah selama bertahun-tahun. Apa yang kamu ajar? Inilah hasil keluaran sekolah yang pengetuanya adalah awak.” saya tegaskan.

“Andai anda semua mahu bergaduh tentang Belfast Islamic School, silakan. Saya tiada masa kerana saya ada banyak tugas. Antaranya adalah menyelamatkan akidah anak-anak anda. Thank you!” saya menutup bicara.

Masjid hening, dan Jamal memimpin mesyuarat ke agenda yang seterusnya.

Sememangnya mengendalikan Belfast Islamic School bukanlah suatu kerja yang mudah. Saya berhadapan dengan cabaran merangka silibus untuk pelajar-pelajar ‘luar biasa’ ini. Maksud saya, mereka luar biasa kerana mereka datang daripada pelbagai latar belakang. Ada yang ibu bapanya bermazhab Syafie, Hanafi, Maliki, malah Syiah dari Lebanon dan Iraq. Syiah Iran memang tidak berkunjung langsung ke masjid dan saya fikir, mereka mungkin ada komuniti sendiri.

Bagaimanakah caranya untuk saya dan guru-guru di sekolah itu hendak mengajar Solat yang simple kepada pelajar-pelajar ini? Jika ditinggalkan bacaan Bismillah, ada pelajar yang hairan kerana Solat ayahnya ada Bismillah. Jika diajar selepas rukuk ada doa Qunut, ramai pula anak-anak Pakistan, Turki dan China yang terngaga. Mereka baru berumur 5 ke 16 tahun, mana mungkin boleh dilibatkan dalam diskusi berkaitan dengan Mazhab.

Ada sebahagian pelajar saya yang bapanya Muslim dan ibunya Kristian. Jika cikgu mengajar bahawa ajaran Kristian itu salah dan tempatnya adalah di neraka, maka pelajar akan kebingungan kerana ibu mereka yang Kristian itu lebih penyayang dan mulia pekerti berbanding dengan ayah mereka yang Muslim, dan hanya mengejar sekeping pasport British melalui perkahwinan rumit itu. Habis, bagaimana harus semua ini dihadapi? Saya berada di dalam keadaan yang bingung lagi tertekan. Saya tidak mempunyai ilmu dan kemahiran untuk melakukannya.

Lebih menyedihkan saya, apabila teringat semasa musim panas tahun itu, kami telah membawa anak-anak murid melawat zoo Belfast. Ketika kami lalu di hadapan kandang gorila, salah seorang pelajar saya menjerit, “look! It’s our grandfather!“

Lemah lutut saya mendengarnya.

Hati saya berkata, “kalaulah tok wan hang ada di sini, mahu melayang satu pelempang.”

Kisah ganjil itu tidak habis di situ. Semasa kami mendekati kawasan farm, anak-anak murid saya berebut-rebut menuju ke kandang anak babi kerana pada mereka si tonggek merah itu comel! Puas saya menyekat mereka daripada menyentuh anak-anak babi itu dan saya semakin pening kepala.

Akhirnya saya terjemahkan pening kepala itu kepada kajian saya untuk pengajian di peringkat sarjana di bidang pendidikan (curriculum studies) bersama The Open University of UK. Namun, kajian saya terkandas bersama pembelajaran yang tidak selesai kerana saya sekeluarga pulang ke Malaysia pada tahun 2004 sebelum dapat menamatkan pengajian.

Mengendalikan lawatan sebuah sekolah Catholic ke masjid kami.

ANAK MURIDKU SALMAN

Akan tetapi, nostalgia paling unik bagi saya di Belfast Islamic School ialah semasa saya mengajar di kelas Level 4. Di dalam kelas itu ada seorang anak murid yang comel dan petah berkata-kata. Namun dia tidak boleh duduk diam dan sentiasa bercakap bergerak ke sana sini. Sekejap sekejap dia menjenguk ke tingkap. Sekejap lagi dia duduk di belakang papan putih. Ada masanya dia memeluk kaki saya sehingga akhirnya saya terpaksa memegang tangannya di sepanjang sesi pagi tu agar dia tidak mengganggu pelajar lain.

Selepas saya habis menceritakan tentang kisah Nabi Ibrahim, saya telah edarkan kertas latihan untuk pelajar menjawab soalan.

Budak yang lincah tadi menulis namanya sebagai S-A-L-M-A-N.

Antara soalan yang ditanya semasa sesi latihan itu adalah, “give me an example of an object that Prophet Abraham thought it was God.”

Semasa lalu di tepi Salman, saya dapati beliau tidak menulis jawapannya di atas kertas. Saya duduk di hadapan Salman dan bertanya soalan berkenaan secara peribadi kepada beliau.

Salman menjawab, “Moon!”

Saya tersenyum berpuas hati. Rupa-rupanya ketika dia berjalan ke sana sini di dalam kelas, telinganya masih mendengar cerita saya.

“Tulislah jawapan kamu di atas kertas tu, Salman”  saya menyuruh.

Salman terdiam dan hanya merenung kertas di hadapannya. Katanya, “sorry Amirsab, I can’t spell the word!” ‘Amirsab’ adalah panggilan anak-anak keturunan Pakistan dan Kashmir kepada saya di sekolah.

Habis riuh rendah satu kelas dibuatnya. Pelbagai ejekan yang dilemparkan oleh pelajar lain kepada Salman. Masakan tidak, umur Salman sudah 10 tahun dan dia tidak boleh mengeja MOON.

Just now, you wrote your name on the paper. I don’t understand why you can’t spell the simple word MOON!”, saya cuba menyiasat apa masalah sebenarnya.

No Amirsab. I don’t write my name. I draw my name!” Salman menjawab sambil membetulkan cermin matanya di atas hidung.

Saya terkejut dan tahulah saya bahawa Salman berkemungkinan seorang dyslexic. Seorang murid dyslexic mungkin akan melihat huruf d sebagai b, mereka keliru dengan huruf dan nombor dan lazimnya mempunyai tulisan tangan yang hodoh. Salman ada hampir semua tanda itu. Tambahan pula dengan ketidakupayaan beliau untuk duduk diam di dalam kelas, ia mungkin petanda ADHD yang merupakan pasangan yang juga lazim bersama dyslexia.

Ketika kelas riuh rendah mentertawakan Salman, saya membawa Salman keluar dari kelas dan meminta seorang guru lain menjaganya seketika. Saya masuk ke kelas dan cuba mententeramkan keadaan.

Guys, please listen to me. You are not supposed to call Salman names. He is neither stupid nor a loser. He might be more brainy than you all but he might have a condition called dyslexia. It’s a reading disability. I will show you what does that mean.“, saya menerangkan kepada kawan-kawan sekelas Salman sambil memanggil beliau masuk semula ke kelas.

Now Salman, look at my lips when I say MMMM-OOOO-OOOO-NNNN!” saya membunyikan setiap huruf itu dengan memuncungkan bibir saya sambil diperhatikan oleh Salman. Entahlah sama ada kaedah ini betul, membantu atau tidak, tetapi Salman akhirnya berjaya menulis M-O-O-N dengan baik.

Ok guys, give Salman your biggest applause!” saya cuba mengajak murid-murid lain memberikan sokongan kepada Salman.

Ketika itu, saya berasa dukacita kerana tidak mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang cukup untuk menangani situasi. Apa yang saya ada hanyalah sekeping hati yang menyayangi anak murid, dan komited melindungi setiap mereka daripada gangguan dan persekitaran pembelajaran yang tidak selamat.

Selepas habis waktu persekolahan, saya bertemu dengan ayah Salman. Memang benar, Salman telah pun didiagnosiskan sebagai dyslexic tetapi ayahnya enggan menulis hal ini di dalam borang pendaftaran sekolah kerana malu. Saya cuba menceritakan betapa Salman berjaya menulis MOON dengan betul selepas dibantu tetapi ayahnya memperlekehkan hal itu.

Katanya, “what job can he get if at Salman’s age, he can only spell MOON?”

Saya berasa amat sedih kerana selepas peristiwa itu, ayah Salman telah memberhentikan persekolahan anaknya. Saya trauma dengan kejadian itu kerana tidak menyangka tindakan proaktif saya menatijahkan kesan yang amat mendukacitakan itu.

Saya doakan agar ayahnya berubah fikiran kerana di UK keadaannya tidak seperti di Malaysia. Saya masih ingat, ada kawan-kawan yang sebaya dengan saya semasa di sekolah rendah, tidak boleh membaca walaupun umur sudah mencecah 12 tahun. Mereka dimasukkan ke kelas 6 ERAT, iaitu kelas E yang menjadi ‘tong sampah’ tempat sekolah menghumban pelajar-pelajar yang dilabel sebagai lembam, bodoh, dungu, dan sebagainya. Apakah mungkin sebahagian mereka dyslexic? Tiada siapa yang peduli dan saya sedih memikirkannya.

Jika di Britain, pelajar yang didiagnoskan sebagai dyslexia, diberikan masa lebih ketika menjawab soalan peperiksaan di universiti. Malah ada yang boleh lulus dengan baik sebagai doktor perubatan. Pelajar ini tidak pernah dianggap bodoh dengan huruf L terpahat di dahi mereka. Mereka dibantu dan dididik secara istimewa hingga boleh keluar dari belenggu yang amat malang itu. Walaupun Salman diberhentikan ayahnya daripada Sunday School kami, saya harap sistem pendidikan di UK terus menyokong beliau untuk sama-sama berjaya.

Tetapi saya tidak pasti apakah di Malaysia, semua itu ada disediakan? Saya masih teringat betapa guru besar saya di tahun 1981 itu tidak langsung mempedulikan soal psikologi kanak-kanak. Namun saya faham, mungkin di zaman itu, keadaannya berbeza. Mudah-mudahan hari ini tidak begitu.

Tetapi di Malaysia, saya pernah bertemu dengan pelajar yang saya rasa dia menghadapi masalah Dyslexia tetapi ibu bapa enggan membawanya berjumpa dengan doktor pakar, hanya kerana malu mempunyai seorang anak yang bodoh dan dungu!

Malang sekali.

KISAH SYAZAD DAN SYABAZ

Semasa weekdays, saya juga mengajar tiga orang pelajar di antara waktu Asar dengan Maghrib.

Dua daripadanya adalah adik beradik bernama Syazad dan Syabaz. Manakala seorang lagi ialah Pisol, anak Kashmir yang menggusarkan ayahnya kerana bercita-cita menjadi suicide bomber ketika ditanya oleh cikgu sekolah! Tetapi Pisol selalu tidak hadir ke sekolah dan tumpuan saya banyak kepada Syazad dan Syabaz. Keduanya berumur 10 dan 12 tahun.

Mengajar Syazad dan Syabaz memang memenatkan. Ketika seorang mengambil giliran, seorang lagi akan berlari-lari di dewan solat Masjid. Di peringkat awal, saya selalu naik darah apabila murid-murid saya berlari di dewan Solat. Tetapi saya kemudiannya sedar yang semua pelajar saya tinggal di rumah yang amat tipikal ala Belfast iaitu sempit dan memanjang ke belakang dan atas. Semua ruang adalah bilik dan berpintu dan ini penting untuk menjaga tahap suhu bilik agar tidak menjadi sejuk. Apabila mereka datang ke masjid, inilah peluang mereka mendapat ruang yang luas untuk berlari-lari ke sana sini dengan bebas.

Syabaz menghadapi masalah Attention Deficit Hyperactive Disorder atau yang lebih dikenali sebagai ADHD. Ia dimaklumkan oleh ibunya kepada saya sedari awal. Dia perlu konsisten dengan medication  setiap kali tiba di kelas supaya boleh bertenang dan berhenti daripada memanjat belakang saya, berlari keliling meja dan kadang-kadang menggelungsur di tangga masjid.

Sorry Imam, I have a problem with my brain. I am hyperacive and you can’t do anything about it!” kata Syabaz.

Wah, pandai betul dia memberikan alasan apabila saya mengugut untuk mencampakkan dia dari tingkap atas masjid! Saya hanya bergurau sahaja. Telinga Syabaz saya tarik sambil mengajak dia duduk semula untuk meneruskan bacaan Surah al-Humazah yang sedang dihafalnya. Bukan tarik telinga yang menyakitkan atau mencederakan. Hanya simbolik memanggil beliau kembali menyambung pembelajaran.

Walaupun setiap hari tekak saya sakit mengajar budak dua orang ini, namun secara tidak sedar saya sudah menganggap mereka seperti anak saya sendiri. Ada masanya saya bawa anakanda Saif ke masjid dan membiarkan dia di atas riba sambil saya mengajar Syazad dan Syabaz.

Namun pada satu minggu itu, saya menerima banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Saya meminta jasa baik Udin supaya menggantikan tempat saya mengajar Syazad dan Syabaz. Udin adalah pelajar PhD di QUB.

Hari pertama, nampaknya semua berjalan baik. Tetapi masuk hari kedua, Udin sudah panas telinga dan perut melayan kerenah dua beradik ini. Entah macam mana, dalam keadaan Syabaz sedang aktif melayan panjat turun di susunan bangku masjid, tiba-tiba Udin datang dan memarahinya. Syabaz secara spontan telah meludah kepada Udin dan balasannya Udin menampar muka Syabaz. Kelas terhenti di situ dan saya segera tiba sejurus sebelum solat Maghrib, selepas Udin maklumkan kejadian itu melalui telefon.

Udin menceritakan kepada saya apa yang berlaku petang itu. Saya memanggil Syabaz dan bertanya kenapa dia meludah ke muka cikgu Qurannya? Syabaz hanya mendiamkan diri dan merenung lantai sambil menguis-nguis kaki Syazad yang berdiri di sebelah.

I have to tell your mom about what happened just now. You dissappointed me!” saya mengeluh sambil memegang bahu Syabaz yang sudah mula bergenang air mata.

Selepas solat Maghrib, ibu mereka berdua datang. Saya berjumpa dengannya di pintu keluar masjid dan memohon izin untuk menceritakan apa yang berlaku. Ibu Syazad dan Syabaz begitu terkejut dan hampir terduduk.

Never in my family… anyone with that kind of attitude! Syabaz come here!” ibu mereka menjerit memanggil Syabaz dan Syazad yang sedang duduk menongkat dagu di atas tangga masjid.

Syabaz dipukul di depan orang ramai dan ibunya tidak henti-henti mengherdik, “shame on you Syabaz!” Saya cuba menghalang ibu mereka daripada terus memukul Syabaz. Walau pun perbuatan meludah guru Quran adalah sesuatu yang sangat mengaibkan, namun saya faham yang kanak-kanak hiperaktif seperti Syabaz melakukannya secara tidak sengaja. Syabaz memeluk kaki saya dan ibunya terus memukul dia di belakang.

You don’t have a father, Syabaz. I don’t know where he is, Imam. He left us with nothing. I put my trust on my children but this rascal disappointed me!” ibu mereka menangis dan tidak habis-habis menyebut tentang rasa malunya di atas perbuatan Syabaz itu tadi.

Saya terasa seperti menyesal memberitahu kisah ini kepada ibu Syazad dan Syabaz. Ketika itu saya memeluk erat Syazad dan Syabaz sambil membisikkan ke telinga mereka supaya belajar rajin-rajin dan menjadi Muslim yang baik. Saya tahu malam itu adalah sesi terakhir saya bersama mereka kerana ibu murid-murid saya ini mengambil keputusan untuk memberhentikan anak-anaknya daripada kelas Quran di masjid.

Sukar untuk saya bayangkan kesedihan tentang hal-hal seperti ini. Semasa Eid, sambil memberi khutbah, mata saya kadang-kadang melilau melihat gelagat anak-anak ahli jemaah masjid. Pernah saya ternampak Syazad dan Syabaz di hujung dewan, namun mereka semacam melarikan diri daripada saya.

Hari ini mereka mungkin sudah bekerja, berumahtangga dan berkeluarga.

Saya doakan agar Syazad, Syabaz, Pisol, Salman dan ramai lagi anak murid saya di Belfast Islamic School dapat membesar dengan iman kerana perjuangan untuk itu di bumi Ireland, bukanlah suatu yang mudah. Hanya hidayah-Nya yang saya pohon moga Allah bersamamu wahai anak-anak muridku.

Melawat kembali Belfast Islamic Centre pada tahun 2017

Dan itulah secebis pengalaman awalku menjadi seorang guru.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam daripada Abdullah bin ‘Amr:

إنما بُعِثْتُ مُعَلِّمًا

“Sesungguhnya aku diutus sebagai seorang guru”

Hasrizal
Oulu Finland
Siaran asal 10 Mac 2006 dan diterbitkan di dalam buku Di Hamparan Shamrock Kuseru Nama-Mu

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

2 comments

  1. Bukan mudah mengurus manusia apatah lagi hati mereka. Bila ustaz bercerita tentang Salman dan Syabaz dari point of view seorang guru, harapnya ustaz ingatlah juga mungkin tidak mudah untuk guru besar ustaz dulu menjelaskan kenapa ustaz tak boleh naik pentas terima hadiah. Point saya ialah, give benefit of the doubt pada guru2 yang mungkin telah lelah mengurusi emosi anak2 didik mereka

  2. Pada usia semuda itu Ustaz ke Belfast untuk satu tugasan yang besar. Tak terbayang saya, bagaimana cabaran dan kekangan yang Ustaz hadapai. Moga Ustaz sentiasa dalam rahmat Allah dan dikurniakan keazaman yang berterusan dalam dunia pendidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.