Runtuhnya Istana Syurga Hatiku

Bismillah

إنا لله و إنا إليه راجعون

It saddens me to announce the untimely final departure of our beloved mother, Hajjah Kamaran Zainah Haji Mohd Jan, who passed away in her sleep early this morning.

The funeral Insya-Allah will be held after ‘Asr prayer today at Masjid Kampung Pasir Puteh, Ipoh.

Dengan penuh rasa sedih dan dukacitanya saya maklumkan yang bonda kami Hajjah Kamaran Zainah Haji Mohd Jan telah kembali ke rahmatullah jam 8 pagi ini di rumah kami di Kampung Pasir Puteh, Ipoh, Perak [https://goo.gl/maps/Eord5iucG1D2]. Pengebumian jenazah Insya-Allah akan dilakukan selepas solat Asar di tanah perkuburan bersebelahan Masjid Kampung Pasir Puteh, Ipoh Perak.

Pertemuan terakhir kita, 14 Ogos 2016

Emak,

Emak tak tunggu Rizal balik…

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها

Emak tidak sebumbung lagi

Thank you for all the kind wishes and prayers. Special thanks to friends who travel to attend the sermon and the funeral. May Allah shower His mercy and grant His forgiveness to our mom. She’s rested beside her father and near her husband, our dad.


Semasa hariraya Aidilfitri yang lalu, saya beritahu emak yang Insya-Allah saya akan balik ke Malaysia pada bulan Julai. Oleh kerana emak mengalami dementia, saya kurang pasti sejauh mana emak ingat dengan janji saya itu. Tetapi ia disambut gembira seisi keluarga. Saya pun bersemangat untuk pulang, selepas hampir dua tahun di perantauan.

Malangnya, saya terlepas pandang kepada proses pembaharuan residence permit yang memakan masa maka saya terpaksa membatalkan perancangan Julai. Memandangkan Ogos adalah bulan 50/50 sama ada residence permit sudah siap atau tidak, saya tidak mensasarkan Ogos kerana tidak mahu mengambil risiko. Harapnya September atau Oktober.

Abang memberitahu yang selepas Aidilfitri kesihatan emak semakin merosot. Malam tadi kami berbual tentang kesihatan emak dan atas nasihat doktor klinik, kami bersetuju yang pagi ini emak akan dibawa ke hospital. Saya juga berbincang dengan isteri tentang isu kesihatan emak dan memikirkan apa yang terbaik boleh dibuat. Sepanjang malam saya tidak tidur, menunggu subuh seperti biasa. Saya bersyukur dalam situasi sebegini, saya mempunyai ramai kenalan daripada kalangan doktor, khususnya isteri saya sendiri, dan nasihat-nasihat daripadanya.

Saya pesan kepada abang supaya pagi nanti di Malaysia jangan lupa bawa kad pencen emak supaya emak mendapat rawatan dan wad yang selesa mudah-mudahan.

Masuk waktu subuh, sebaik selesai solat dan memberi salam, saya ternampak ada mesej masuk ke telefon.

Abang saya menghubungi dan beliau memberitahu yang emak telah pergi buat selamanya, di dalam tidurnya pagi tadi.

Terkilan.

Saya tidak pernah bersedia untuk saat ini. Saat yang tidak pernah ditunggu, akhirnya tiba. Emak… emak sudah tidak menunggu di rumah lagi. Emak telah pergi.

Saya akur dengan qadha’ dan qadar-Nya. Semasa memeluk emak di KLIA pada tahun 2016, ini adalah salah satu risiko yang saya faham dan menyerahkan sepenuhnya ia kepada Allah. Sebab itu saya peluk erat-erat emak. Alangkan Abu Bakar yang sentiasa bersama Rasulullah saw pun akhirnya ditakdirkan tidak ada di sisi baginda semasa baginda pergi. Demikianlah lemahnya kita para hamba-Nya. Ajal dan maut tidak awal dan tidak lewat walau sesaat.

Pada masa ini saya ingin memeluk abang-abang saya, memohon ampun atas kekurangan saya yang lama berada jauh tidak dapat menjaga emak. Semoga Allah membalas baik budi abang-abang saya yang sabar menjaga emak selama ini, terutamanya abang sulung saya. Bermula dengan menjaga abah, kemudian atuk dan opah, kemudian emak, selflessly.

Rindu kepada emak akan terbawa sehingga ke hujung usia. Semoga Allah satukan kami kembali di Sana nanti, ameen.

Hasrizal
Oulu, Finland
31 Julai 2018

Check Also

Misteri ‘Sengaja Susah Supaya Tabah’?

Dalam masyarakat kita, terdapat kecenderungan untuk mengagung-agungkan susah payah dengan anggapan bahawa ia menjadikan seseorang …

One comment

  1. “Saat yang tak pernah ditunggu, akhirnya tiba.”

    Benar sekali ustaz, kita tak pernah menanti dan mengharap saat ini namun sukarnya bila ia muncul, macam seluruh nyawa pergi tatkala hilangnya seorang ibu. Pastinya semua orang pasti akan melaluinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.