Menjelang Aidiladha Tanpa Emak

Selepas sarapan, makan tengah hari dan makan malam, topik yang berulang kali timbul antara saya dan abang-abang adalah tentang masakan arwah emak. Apa yang kami teringat, kenang, teringin, sebab emak sudah lebih 10 tahun tidak memasak. Macam-macam cerita keluar. Sesekali bergenang air mata. 

Rumah emak

Sepi.

Abang saya belikan jeruk maman, katanya khas untuk saya, kerana ia adalah makanan tradisional kami. Opah dahulu selalu buat jeruk maman bersama cili padi dan segenggam nasi.

Antara yang abang saya ingat adalah emak menggoreng ‘susu lembu’ dengan kunyit yang rasanya sangat sedap. ‘Susu lembu’ itu ialah bahagian buah dada lembu betina. Sebab saya selalu ikut emak ke pasar, saya masih ingat rupanya bagaimana sebelum dimasak. Tetapi kami tidak pernah jumpa resepi ini di mana-mana, dan ia adalah masakan eksotik emak yang paling ‘rare’. Saya tidak pasti adakah kami berpeluang merasanya lagi.

Satu lagi hidangan emak adalah gulai pindang daging urat. Antara masakan emak yang kurang ditemui di tempat lain. Saya sempat belajar dan sekali sekala memasaknya, walaupun tak serupa. Kerisik, belacan, butir lada hitam… antara bahan wajib yang perlu diguna. Setiap kali saya memasak hidangan ini, saya selalu tersilap memasukkan belacan lebih daripada yang sepatutnya. ‘Over power sup itu jadinya.

Teringat juga kepada sambal tumis sotong kembang. Walaupun ia masakan yang biasa, tetapi memang versi emak lain macam sikit. Saya rasa kuncinya ialah saiz sotong itu dipotong dan api perlahan yang emak pakai apabila sotong dimasukkan ke kuah. Sotong pun tidak hanyir sebab emak sabar membersihkan sotong itu.

Mungkin hidangan yang paling kami semua kenang adalah rendang pedas ayam emak. Cara emak masak rendang sangat ringkas, tetapi sedap rasanya. Orang lain yang mencuba pun biasanya suka. Resepi yang sama juga, emak masak rendang daging dan rendang kerang. Saya tidak belajar tapi saya tengok emak masak. Moga apa yang saya ingat dan praktis adalah dekat dengan cara emak masak.

Emak ada satu tabiat yang selalu menggeramkan abah. Apabila emak belajar resepi baru dan resepinya menjadi mendapat pujian anak-anak, emak akan masak hidangan tersebut berulang kali. Teringat masa emak belajar masak tomyam pada akhir 1980an dahulu. Bagi emak, susah nak masak tomyam sebab cendawan butang tin itu susah hendak ditemui pada masa tersebut. Kena keluar dari kampung dan pergi ke Pasar Besar Ipoh. Apabila emak selalu ulang masak, abah akan mengeluh dalam senyuman, “tomyam lagi! Udah-udah le tu!” Selain tomyam, antara resepi baru yang emak suka ulang masak, ialah sambal tumis telur puyuh dengan taufu basah. 

Satu hidangan yang emak tidak berjaya belajar daripada Opah (emaknya), ialah sup kepala ikan merah. Kami semua teringat-ingat kesedapan sup kepala ikan opah dan mungkin kali terakhir memakannya 30 tahun yang lalu. Saya pernah makan sup kepala ikan merah yang rasanya mirip sup kepala ikan opah adalah semasa di Padang, Indonesia. Mungkin resepi itu dari sana, sebab opah berasal dari Tebing Tinggi, Sumatera.

Asam pedas kepala ikan salmon
Asam pedas kepala ikan salmon

Hari ini, di Finland, saya kembali ke rutin memasak. Semasa ke kedai membeli susu tadi, saya ternampak kepala ikan salmon dengan harga yang amat baik iaitu EUR2 sekilo. Saya masak asam pedas. Asam jawa telah saya gantikan dengan asam gelugur (asam keping) yang saya rendam dengan air panas dan kemudian saya blend. Bukan apa, banyak pula stok asam keping saya terutamanya apabila dapat sebungkus asam keping home made pemberian sepupu di Padang Asam, Kuala Kangsar.

Semasa emak masih ada, emak selalunya kalau masak asam pedas, emak akan masak asam pedas ikan tenggiri atau ikan kembung. Tetapi bahagian favourite saya ialah bunga kantannya.

Beberapa bulan sebelum emak pergi, kakak ipar saya bertanyakan resepi. Dalam dementia emak, ingat pula emak kepada resepi itu. Habis diterangkan selangkah demi selangkah. Sempatlah kakak ipar saya mencubanya.

Insya-Allah saya akan terus masak apa-apa yang saya ingat daripada resepi emak, untuk keluarga saya, dan abang-abang yang pasti rindukan emak. Kami adik beradik semua lelaki. Mana-mana yang saya sempat tiru semasa meneman emak di dapur, itulah legasi emak untuk kami seterusnya.

Esok, hariraya pertama kami tanpa emak. Walaupun sudah tua, berumahtangga dan beranak pinak, yang menangis dalam diri kami adalah ‘si anak kecil’ yang masih berada di dalam diri, meniti usia dewasa menuju senja.

Moga emak damai di sana.

Facebook Notice for EU! You need to login to view and post FB Comments!

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

2 comments

  1. Selamat hari raya AidilAdha utk Ustaz sekeluarga di sana. Betul kata Ustaz, dalam diri yg dewasa ini, masih ada anak kecil yg tidak sanggup utk dilepaskan bebas.

  2. NOORLIZA SABARINA BINTI ALI

    Ustaz,

    Kita masih anak kecil, perlukan perhatian dan kasih sayang seorang Emak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.