Anti Vaksin (‘Prochoice’): Mengapa Semua ini Terjadi?

Kalaulah saya ada jawapan yang mudah untuknya.

Saya ingin mengetahui hal ini kerana sebagai seorang guru, apa yang berlaku di dalam bilik darjah pada satu-satu masa, saya yakini ia mempengaruhi masa hadapan kita. Justeru, adakah gejala perdebatan mengenai topik anti vaksin, kemudian kelahiran alami, flat earth dan pelbagai lagi gelora pilihan-pilihan ‘alternatif’ di dalam pelbagai lapangan masyarakat kita, semua ini merupakan kesan lemahnya sistem pendidikan yang telah berlanjutan selama bergenerasi?

PENGALAMAN BERSAMA ‘TOKOH’ EEBF

Pengalaman ‘pahit’ saya bersoal jawab bersama tokoh EEBF (extended exclusive breastfeeding) beberapa tahun yang lalu masih segar di ingatan. Berhari-hari saya menahan rasa marah, kecewa, tertekan, dan cuba kekal rasional menjawab dan menyoal ‘tokoh’ berkenaan, kerana objektif utama saya ialah saya ingin tahu, MENGAPA?

Mengapa sesuatu yang begitu jelas bagi diri saya, ternyata begitu kabur kepada beliau, dan pengikutnya.

Jawapan kepada persoalan ini amat berguna untuk saya bekalkan diri, tatkala berhadapan dengan anak murid yang gagal memahami. Dalam banyak keadaan, kegagalan memahami bukan kerana tidak tahu, yang boleh disembuhkan dengan memberi tahu, berbekalkan factual knowledge yang mendominasi pembelajaran kita. Sebaliknya, kegagalan untuk memahami kelihatannya berpunca daripada:

  1. gagal mengetahui bagaimana caranya untuk tahu
  2. setelah tahu bagaimana caranya untuk tahu, gagal memproses pengetahuan untuk menatijahkan kefahaman.
  3. setelah faham, bertempur pula dengan ego masing-masing untuk akur kepada apa yang benar.

Dua sebab di atas berakar umbikan kualiti pendidikan yang rendah, tidak memanfaatkan sains pembelajaran yang sepatutnya menggunakan komponen-komponen pembelajaran regulasi kendiri (self regulated learning – SRL) seperti strategi metacognition yang perlu dipupuk secara organik di dalam proses pembelajaran di sekolah, dan kemudiannya universiti.

Jika pendidikan kita tersangkut dengan rote learning yang mengutamakan hafalan ilmu-ilmu dalam bentuk fakta (factual knowledge), tetapi tidak mampu sampai kepada deep learning dan problem solving yang berkualiti, dapat sederet A dan berjaya menjadi doktor pun, belum menjamin fungsi akal yang sejahtera dalam operasi kehidupan.

Ada pun soal ego, ia adalah perjuangan hakiki kita semua. Yang kaya ego, yang miskin ego, yang bijak ego, yang bodoh pun ego sama. Ego menjauhkan kita daripada Tuhan. Ia lebih sukar daripada jihad melawan musuh di medan perang, kerana musuh yang perlu ditumpaskan adalah diri sendiri, masing-masing.

VAKSIN: PERLINDUNGAN ATAU KEMUDARATAN?’

Malam ini, saya meluangkan masa untuk menonton wawancara di TV Al-Hijrah, bersama hos Syafinaz Yunus. Panelis terdiri daripada Dato’ Dr Musa Nordin, dan Dr. Nurul Huda yang mewakili kumpulan ‘prochoice‘. Perbahasan ini penting, bukan sahaja berkaitan dengan program imunisasi negara dan herd immunity yang semakin merosot di negara kita, malah sebagai seorang guru, dan barangkali mungkin juga sebagai anggota Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN), perhatian saya tertumpu kepada bagaimana reasoning process berlaku, terutamanya oleh Dr Nurul Huda, seorang doktor perubatan (freelance?) yang aktif di dalam komuniti anti vaksin, atau lebih mahu dikenali sebagai kelompok prochoice ini.

https://www.facebook.com/tvalhijrah.TVAH/photos/a.188932717803657/2324665914230316/

Selepas menonton keseluruhan wawancara, sudah tentu bagi diri saya secara peribadi, ia adalah satu perbincangan yang sangat jelas.

Dato’ Dr Musa Nordin bukan sahaja memfokuskan penghujahan beliau kepada fakta-fakta yang mengandungi statistik, rujukan-rujukan kes, data-data yang lengkap (secara melenggang tanpa sebarang nota di tangan), malah beliau kerap menekankan aspek metodologi, iaitu bagaimanakah satu-satu perkara itu sepatutnya difahami.

Beliau menegaskan apakah nilai keabsahan sesuatu yang dibuktikan melalui randomized controlled trial, berbanding testimoni.

Nilai induk pada kupasan Dato’ Dr Musa Nordin adalah pada membetulkan cara untuk mengetahui sesuatu perkara, bagaimana proses pengetahuan tersebut, dan bagaimana ia menjadi sandaran tindakan. Sesuatu yang tidak dapat dikesan di dalam lambakan maklumat bersimpang siur Dr. Nurul Huda.

Di sepanjang wawancara, Dr. Nurul Huda memberi reaksi kepada persoalan-persoalan yang timbul secara yang tidak berfokus.

Saya tidak mahu mengulas tentang hujah-hujah yang dikemukakan oleh Dr. Nurul Huda kerana ia terlalu kerdil jika dibandingkan dengan penerangan yang dikemukakan oleh Dato’ Dr Musa Nordin sebagai pakar perubatan kanak-kanak yang berpengalaman luas.

Melihat sepintas lalu komen-komen penyokong Dr. Nurul Huda di media sosial, penerangan Dato’ Dr Musa Nordin kelihatan tidak mengubah apa-apa. Biar pun Dr. Nurul Huda membuat pengakuan bahawa apa yang terbaik adalah memvaksin anak-anak bersama mengamalkan makan ‘makanan sunnah’, beliau tidak konsisten kerana di rumusan akhir, menekankan ibu bapa bebas memvaksin atau tidak memvaksin, asalkan secara yang bermaklumat. Gagasan kelompok prochoice ini ada persamaan dengan pendekatan kelompok sufi tertentu yang membina pegangan bukan berasaskan ilmu dan mantiq, tetapi berasaskan intuitive. Justeru hujah, dalil, pembuktikan hilang keutamaannya.

Soalan padu moderator, “sebagai seorang Muslim, jika pandangan pakar perubatan tidak diikuti, pandangan ulama dan mufti tidak dipatuhi, nak ikut kata-kata siapa?”

Ia tidak bersambut.

Dan hujah golongan prochoice akhirnya berlegar kepada soal-soal hati seperti jangan angkuh, perlu merendah diri, kembali kepada asas agama iaitu khauf dan raja’ (takut kepada Allah dan meletakkan harapan kepada-Nya) tidak lupa bahawa akhirnya yang melindungi dan menyembuhkan adalah Allah, dan bukannya vaksin atau tidak vaksin itu sendiri. Kesimpulan ini adalah kesimpulan yang berkuasa tinggi untuk memadam semua hujah dan bukti walau sekukuh mana pun ia kerana akhirnya emosi akan menang mengalahkan kewarasan.

Tiga nota yang saya ambil daripada hal ini iaitu:

INTEGRASI SAINS PERUBATAN DAN SAINS PEMBELAJARAN

Dahulu, komuniti perkhidmatan kesihatan kurang memberi perhatian kepada rungutan masyarakat apabila mereka kurang mendapat maklumat terhadap rawatan yang diterima. Doktor memberikan alasan sibuk, mengejar masa, dan bukan tugas doktor untuk menerang…. semua alasan ini berasas, namun ia menimbulkan krisis keyakinan masyarakat terhadap sistem dan perkhidmatan kesihatan.

Kejahilan adalah malapetaka.

Setelah kita sampai ke tahap ini, menjadi satu keperluan yang besar kepada para doktor untuk memahami bagaimanakah masyarakat berfikir, dan bagaimana masyarakat boleh difahamkan tentang satu-satu perkara. Correlation vs causation semakin bersimpang siur, kaedah mantiq (reasoning process) semakin mengelirukan, bagaimanakah para doktor sebagai content expert boleh menterjemahkan kepakaran itu dalam bentuk yang sesuai dengan cara pesakit dan masyarakat berfikir.

Jika guru, mereka perlu menguasai tiga jenis ilmu iaitu:

  • content knowledge (ilmu mengenai subjek)
  • pedagogical content knowledge (ilmu mengenai bagaimana subjek itu dipelajari)
  • pedagogical knowledge (ilmu mengenai bagaimana manusia belajar)

Kini doktor bukan lagi perlu merawat pesakit, tetapi perlu memahamkan kepada pesakit dan waris mengenai rawatan tersebut agar mereka tidak salah faham, menafsirkannya secara yang salah, dan seterusnya lari kepada rawatan ‘alternatif’ dalam kerangka hak memilih (prochoice). Semasa ibu bapa berjuang mempertahankan hak mereka memilih, anak-anak mereka tidak punya pilihan, sebaliknya menjadi mangsa apabila pilihan ibu bapanya sendiri adalah pilihan yang memudaratkan si anak. Bayangkan, ancaman terbesar anak-anak adalah ibu bapanya sendiri.

Perlukah ada perubahan kepada kurikulum bidang perubatan untuk menangani hal ini? Saya serahkan kepada pihak berwajib untuk menghalusinya.

MEMELIHARA DIRI DARIPADA DOSA

Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan Dr. Nurul Huda, jiwa pasti bergelora semasa mendengar beliau berhujah. Malah body language Dato’ Dr Musa Nordin juga menggelisahkan kita yang menontonnya dan kita faham sedikit sebanyak mengapa.

Di musim kita cekap membuat meme, melancarkan troll, menggerakkan tentera bawang, golongan pro vaksin yang menganggap diri berada di pihak yang benar, perlu menjaga integriti dan tidak menjatuhkan nilai kebenaran yang diperjuangkan dengan akhlaq yang rendah. Mengejek Dr. Nurul Huda dan golongan prochoice, membuli mereka di internet, tidak sama sekali membantu kita sama-sama mencapai hasil yang paling penting, iaitu kita mahu ibu bapa memvaksinkan anak-anak mereka.

Gelombang hina menghina semakin menjauhkan kelompok prochoice daripada perubahan yang didambakan, dan menghilangkan khasiat hujah-hujah bernas yang dikemukakan oleh Dato’ Dr Musa Nordin.

Memang sedap mengata orang, apatah lagi jika kita berhujah golongan prochoice  itu lagi dahsyat mereka mengata. Tetapi jika akal kita sihat, kita tahu hujah sebegitu adalah falasi.

Bersyukurlah jika kita berada di pihak yang benar dari segi sainsnya. Tetapi kebenaran itu terjejas apabila dari segi agamanya, kita berdosa dek perkataan-perkataan yang jelek, sifat menghina dan membuli… hingga terlupa kepada pesanan Allah:

Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.[Fussilat 41:34]

Janji-Nya ialah:

Jika antara kamu dan dia ada permusuhan, membalas kejahatan dengan kebaikan akan mengubah lawan menjadi kawan.

Bukan sekadar kawan, tetapi kawan yang akrab.

Itulah kawan sejati.

Manusia yang mampu membalas kejahatan dengan kebaikan.

Ini janji Allah.

Dan Allah benar-benar tidak memungkiri janji.

Pasti.

Akhirnya, apa yang kita mahu ialah saudara-saudara kita kembali memvaksinkan anak-anak mereka demi kebaikan semua. Tugas kita adalah melunakkan keadaan, bukan tambah meliarkan.

MENGUBAH HARAPAN PENDIDIKAN

Selama ini kita sangat bercita-cita tinggi mahukan sistem pendidikan kita menjadikan anak-anak pintar.

Sejujurnya, tanpa kepintaran dan kepakaran yang tinggi-tinggi, manusia masih boleh membina kehidupan yang baik dan munasabah. Mungkin harta tak jadi banyak, penghasilkan teknologi luar biasa yang menganjak tamadun manusia, tidak begitu laju. Tetapi rumahtangga aman, anak-anak selamat, masyarakat sejahtera dan tidak lahir benda yang bukan-bukan, malah kepintaran yang menatijahkan teknologi atau manfaat kepada masyarakat, akan disambut secara sihat.

Bukan semua anggota masyarakat genius. Hanya sebahagian yang memilikinya dan menatijahkan manfaat sains, perubatan, kejuruteraan, pengangkutan dan sebagainya. Hasil-hasil itu, disambut dengan baik oleh masyarakat yang tidaklah genius, tetapi tidak bodoh. Akal mereka sihat.

Tetapi, apabila masyarakat dibelenggu dengan kebodohan, perkembangan sains jadi tidak bermanfaat, dalil agama jadi sumber sengketa, laki bini bergaduh atas benda-benda remeh temeh, memangsakan anak-anak apabila ibu bapa sendiri memudaratkan anak-anak dengan kebodohan mereka, dan masyarakat hidup dalam konflik, bercakaran, kerana ditimpa kebodohan.

Ditimpa kebodohan apabila pendidikan terlalu ambitious mahu menjadikan generasi demi generasi pintar, tetapi tidak menyelamatkan mereka daripada kebodohan.

Kebodohan menang menumpaskan kepintaran.

Kata Neil Postman:

This, then, is the strategy I propose for educationists — that we abandon our vague, seemingly arrogant, and ultimately futile attempts to make children intelligent, and concentrate our attention on helping them avoid being stupid.

Terjemahan: “… Saya mengusulkan buat warga pendidik agar kita meninggalkan – bayangan angan-angan kita yang bersalut keangkuhan sebenarnya – usaha menjadikan anak-anak pintar yang tak kesampaian itu, sebaliknya memberikan fokus kepada usaha membantu mereka terselamat daripada kebodohan…”

Postman, Neil. Conscientious Objections (p. 85). Knopf Doubleday Publishing Group. Kindle Edition.


ANTARA RISIKO DAN POTENSI ANAK ADAM

Berbalik kepada asal Allah melantik Adam sebagai khalifah (al-Baqarah 2: 30), malaikat mengemukakan kebimbangan risiko Adam itu melakukan kerosakan dan menumpahkan darah.

Risiko itu tidak Allah nafikan, sebaliknya Allah tegaskan bahawa “Aku tahu apa yang kamu tidak tahu”.

Biar pun Adam itu ada risiko berkenaan, Adam juga ada potensinya yang menjadikan ia terpilih sebagai seorang khalifah. Adam adalah makhluk yang mampu belajar, berfikir, dan membina makna (meaning making). Kualiti inilah yang perlu dipupuk untuk mengoptimumkan potensi Adam dan keturunannya.

Tetapi apabila sampai satu situasi cucu cicit keturunan Adam lemah upaya berfikir dan merosot kualiti belajarnya, tertonjollah risiko yang dibimbangkan itu.

Melakukan kerosakan.

Menumpahkan darah.

Biar pun dalam nuansa agama.

ربَّنا زدنا علما و ارزقنا فهما و عملا مقبولا

“Wahai Tuhan kami, tambahkanlah ilmu kami, rezekikanlah kefahaman kepada kami dan terimalah amalan kami”

Terima kasih kepada TV Al-Hijrah kerana mengusahakan wawancara penting ini.

HASRIZAL
Oulu Finland

Check Also

Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat

Pendahuluan Mengapa perbincangan tentang pendidikan sering kali menimbulkan perbezaan pendapat? Sudah tentu, ini bermula daripada …

4 comments

  1. Khairul Nisak BT Hj Ahmad

    I love this… Lama dah tak baca ulasan akademik tanpa rasa macam baca buku fizik, tapi pada masa yang sama rasa telah faham sebuah hikayat namun masih berpijak di bumi nyata… Ha.. Cam na tu, sebab bahasa tip top dan current cabang ilmu yang dibicarakan mencapah, namun yang best.. Pandang an yang humble… Tum hara fan bangiya hu me… Ustaz… Mabruk

  2. salam ustaz,
    Thank you for elaborating this issue from the education point of view but how about the human character itself, I mean there are a certain type of individuals who are more prone to believe and propagate these kind of belief, those who are more anti-establishment and who questioned everything already accepted by the vast majority. Are they a product of the education policy itself? Because policy and philosophy may change, but human nature is mostly consistent, hence the reason why history keep repeating itself.

    • Peminat Ust Hasrizal

      Jawapan saya secara umum,
      semua bertitik tolak dr ilmu, puan. Makin tinggi seseorg itu dikalangan masyarakat maka susah ia utk menerima sesuatu yg bertentangan dgn kepercayaannya thdp sesuatu wlaupun ia tlh dibuktikn salah olh kajian ilmiah. Egosentrism, pengaruh, kepentingan ekonomi dll yg mempincangkn/memfalasikn logiknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.