Dakwah: Jangan Jadi Tikus Membaiki Labu

Teringat lebih 10 tahun yang lalu, saya menerima jemputan pelajar Fakulti Undang-undang sebuah universiti untuk menyampaikan ceramah di dalam program orientasi pelajar baharu mereka. Semasa saya sampai ke lokasi program, AJK yang menyambut memberi taklimat kepada saya. Mereka meminta saya ‘membancuh’ pelajar baharu yang tidak bertudung agar bertudung.

Saya kata, kalau begitu buatlah sendiri. Sebab itu bukan cara saya.

Saya kongsikan bersama mereka di bilik ‘VIP’, bahawa saya pernah bersama mengendalikan sebuah kursus badan korporat. Di dalam kursus berkenaan, kami tidak menyentuh hal aurat atau apa-apa benda yang ‘tidak kena’ di depan mata kerana kami dilatih untuk menentukan keutamaan.

Salah satu caranya adalah dengan mengutamakan ‘masalah sebenar’ berbanding ‘masalah yang kelihatan’.

Pagi itu saya membantu bos saya mengendalikan sesi ‘belajar daripada alam‘. Kami semua meranduk sungai yang tenang dan dingin, kemudian duduk santai di batu-batu besar yang menghiasi kawasan sekitar, sambil berkongsi renungan tentang alam.

“Tidak kiralah sama ada kita ini peminat jazz, atau rock, atau nasyid, beriman kepada Allah atau tidak, kita semua mendapat hasil yang sama. Semua berasa tenang apabila mendengar bunyi alam semulajadi. Sungai yang mengalirkan airnya, angin yang menghembus bayu, daun bergeseran, unggas berkicauan dan serangga berbalas sahutan suara… ada yang sampai merakam bunyi alam, kemudian memasangnya di puncak kondominium di tengah kota, kerana mendamba ketengangan…” ujar bos saya.

Para peserta khusyuk mendengar.

“Tahukah kalian mengapa kita semua berasa tenang?” soal beliau.

Beliau membacakan firman Allah di dalam surah al-Isra’ ayat 44:

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun)

“Hakikatnya, semua bunyi itu adalah tasbih. Memuji Allah, Tuhan Maha Pencipta. Akal kita tidak memahami, tetapi roh dan jiwa kita memahaminya.” ujar beliau.

“Bayangkan, ketika seluruh alam bertasbih memuji Pencipta mereka, kita yang manusia ini tiada rasa malu, membuat maksiat mengingkari Allah, sedangkan kita manusia adalah penghulu alam, sang Khalifah!” tegasnya.

ASBAB HIDAYAH

Kata-kata itu nak dijadikan cerita, dengan izin Allah menjentik hati ketua peserta kali berkenaan, yang merupakan bos mereka. Seorang wanita berpendidikan dan berpangkat tinggi, baik hati, tidak bertudung, dan pagi itu mengejutkan kami semua.

Beliau tiba-tiba meminta tuala daripada salah seorang peserta, lalu meletakkannya di kepala beliau persis memakai tudung.

“Kata-kata ustaz tadi mengejutkan saya. Tersentak. Betapa malunya saya di hadapan Allah. Saya tidak pernah berfikir dan melihat dari sudut itu. Sebab itu saya berasa sangat malu tidak menutup aurat dengan sempurna dan mahu segera melakukannya. Dan… oleh kerana sepanjang kursus, ustaz tidak pernah menyebut atau berleter tentang aurat, saya berasa lebih bersedia untuk berubah. Jika saya dimalukan atau ditegur, mungkin ego saya menyulitkan saya untuk bertindak benar.” kata beliau, dengan jelas, tegas dan tenang.

Giliran kami pula tersentak.

Sesungguhnya manusia berhubung dengan perasaan. Jangan dicederakan perasaan tersebut semata-mata atas tiket amar makruf nahi munkar dan kegelojohan mahu membetulkan semua benda yang hendak dibetulkan.

People don’t care how much you know, until they know how much you care.

Mengapa kita fikir teguran kita itu yang penting ialah tegur. Betul atau salah cara dan masa, itu bukan urusan kita semasa berdakwah. Jika kita fikir begitu, dakwah kita berisiko menjauhkan manusia daripada Tuhan, semasa memanggil manusia kepada ‘kebenaran’.

Firman Allah:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Aal Imraan 3: 159).

Masalah yang kelihatan.

Masalah sebenar.

Anda ‘pandai’, anda betulkan apa yang kelihatan.

Anda bijaksana, anda berhati-hati dan cuba memahami terlebih dahulu apa masalah sebenar, yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Pendakwah, jangan jadi tikus membaiki labu.

HASRIZAL
Dublin, Ireland

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

2 comments

  1. Saya rasa ramai kena tempias, bukan pendakwah saja.. termasuk saya ?.

    Apa lagi di zaman penuh ceramah, baik live mahupun melalui youtube. Adakala bahan digunakan oleh orang ramai, untuk menyelesaikan masalah yang kelihatan dengan meninggalkan pendekatan yang berhikmah dalam misi meemnangkan diri sendiri.

    Astaghfirullahalazim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.