Joe the King (1999): Tiada Budak Nakal Tak Bersebab

Tidak ada budak yang nakal dan jahat tidak bersebab.

Itulah pendirian yang saya ulang-ulang selama ini.

Semenjak 2004, saya mula bertemu dengan murid-murid di pelbagai jenis sekolah, pelbagai latar belakang keluarga. Ya, pelajar-pelajar cemerlang itu memang sentiasa ditemui sebab saya selalunya menerima jemputan untuk berprogram bersama mereka. Sama ada di sekolah-sekolah yang terkenal itu, mahu pun melalui program pre departure kumpulan cream of the cream yang bakal terbang ke luar negara dengan tajaan pelbagai badan kerajaan dan swasta. Banyak pengalaman berguna dikutip di dalam program seumpama itu.

Di celah-celah program berkenaan, saya juga berpeluang duduk bersama murid-murid yang 180 darjah di tebing sebelah sana.

Murid yang menjadi kacang hantu di sekolah, samseng, merokok, kurang ajar, perempuan simpanan, lelaki simpanan, segalanya. Demikian juga yang wajah penuh misteri, bagai hidup dalam ketakutan, takut hendak pulang ke rumah… dan mereka ini, lemah akademik dan gagal peperiksaan adalah benda yang paling akhir untuk mereka susah hati mengenainya. Setiap hari adalah survival bagi mereka.

Saya belajar.

Berusaha mencari jalan bagaimana hendak mendekati mereka.

Bersabar dengan bahasa kesat,  perangai biadab lagi provokatif, pegang kuat-kuat di dalam hati bahawa tiada keburukan yang boleh tumpas kecuali dengan kebaikan. Tahanlah sabar, dan sabarkan orang keliling saya, agar salah laku murid yang nakal itu, jangan dibiarkan membakar amarah diri kerana membalas biadab dengan marah, dendam dengan gertakan, benci dengan sindiran, hanyalah seumpama menyimbah minyak ke api, membaling batu ke dinding. Sama-sama keras, hanya membelah dan memecah, tak batu, dinding.

Apabila diselami, di sebalik semua kelakuan pelajar yang dibenci itu, terselit di situ hakikat lemahnya mereka sebagai kanak-kanak yang tidak berupaya menterjemahkan perasaan dan pengalaman hitam dalam bentuk yang lebih baik. Bukan sahaja mereka baru hidup beberapa belas tahun, frontal lobe mereka di dalam tempurung kepala itu pun ‘belum siap’ untuk berfungsi baik mengendalikan kehidupan.

Pinjamkan telinga, dengar dengan hati, pujuk mereka luahkan apa yang terbuku di jiwa, satu persatu kita akan insaf bahawa, mereka walaupun sudah bermisai dan yang perempuan sudah macam emak-emak, hakikatnya mereka masih kanak-kanak yang ‘merayu’ pertolongan kepada kita orang dewasa, melalui kelakuan jengkel mereka. Tetapi di keliling mereka penuh orang dewasa yang hanya kenal mereka melalui kejahatan, salah laku, akademik mundur, lalu membalasnya dengan leteran, sindiran, ugutan atau kebanyakannya… diabaikan.

Nasib le kamu!

Itulah bayangan yang satu persatu menerjah fikiran saya semasa menonton filem Joe the King (1999) arahan Frank Whaley. Ia mungkin salah sebuah filem kehidupan remaja bermasalah di sekolah yang paling depressing pernah saya tonton.

Filem ini dimulakan dengan sekumpulan kanak-kanak bermain riang di halaman sekolah, dan perlahan-lahan kamera menyelinap di sebalik lorong, lalu ternampaklah seorang kanak-kanak, Joe (lakonan Peter Anthony Tambakis dan kemudiannya Noah Fleiss) sedang merokok bersendirian. Ia kemudiannya membawa ke adegan di bilik darjah antara Joe dengan gurunya, Mrs. Basil (lakonan Camryn Manheim) di dalam sesi ‘Career Day’.

Mrs. Basil tidak suka dengan Joe dan melakukan pelbagai provokasi agar Joe mengaku di hadapan kelas bahawa bapanya adalah tukang cuci di sekolah berkenaan. Joe meluat dengan ejekan Alice, murid cerdik kesayangan Mrs. Basil di hadapannya yang mengatakan bahawa bapa Joe mencuci tandas mereka di sekolah, telah mencucuk kepala budak perempuan itu dengan belakang penselnya. Ia telah menimbulkan kemarahan Mrs. Basil lalu Joe diangkat ke hadapan bilik darjah, dilondehkan seluar dan dipukul punggungnya di hadapan kawan-kawan!

Di peringkat awal, filem ini kelihatannya seperti kelakar.

Frank Whaley mengatakan bahawa filem Joe the King ini adalah kisah kehidupannya sendiri sebagai kanak-kanak. Apabila kita mengikut Joe pulang ke rumahnya, ke restoran tempat beliau bekerja membasuh pinggan, kita akan dibawa ke sebuah dunia yang penuh dengan kehampaan. Bapanya Bob (lakonan Val Kilmer) adalah seorang kaki mabuk yang ganas dan sentiasa memukul beliau, abangnya, Mike (lakonan Max Ligosh), dan ibunya, Theresa (lakonan Karen Young).

Semua orang dewasa di dalam cerita ini tidak boleh diharap. Guru-guru di sekolah hanya mementingkan akademik dan tidak peduli mengapa Joe selalu lewat ke sekolah. Kaunselor sekolah, Len Cole (lakonan Ethan Hawke) juga tidak berkompetensi, walaupun mesra. Sebaik sahaja Joe mula menceritakan masalahnya, beliau telah disampuk oleh kaunselor yang terus memberitahu agar beliau berubah dan tidak beralasan dalam kehidupan.

Satu-satunya orang dewasa yang menunjukkan sedikit perhatian positif kepada Joe, adalah Jorge (lakonan John Leguizamo), di dapur restoran tempat mereka bekerja .

Di dalam filem ini, kita melihat bagaimana Joe sedikit demi sedikit terbabit dengan kesalahan kecil seperti mencuri makanan, minuman, dan wang, tetapi selalunya kerana lapar. Beliau memberi sebahagian makanan yang dicurinya itu kepada budak-budak miskin yang termenung melihatnya makan. Beliau juga membawa pulang sebahagian makanan ke rumah untuk dikongsi bersama abangnya, Mike. Mereka sentiasa kelaparan kerana ibu mereka jarang berada di rumah, takutkan bapa mereka, Bob.

Saya teringat kepada sebuah program, saya berbual dengan seorang pelajar bertanya mengapa pelajarannya lemah di sekolah. Katanya, dia selalu mengantuk di sekolah. Saya tanya sebab apa. Beliau memberitahu saya bahawa beliau bekerja di 7 Eleven untuk mencari wang saku.

“Nak topup telefon, ustaz. Kadang-kadang beli rokok. Takkan nak susahkan emak ayah” katanya.

Hati saya tersentuh.

“Walaupun sekolah pandang kamu negatif, tapi ustaz rasa hati kamu sangat mulia kerana kamu bekerja mencari pendapatan sendiri dan tidak mahu menyusahkan mak ayah” saya mengulas.

Beliau memandang saya.

“Tak pernah lagi ada orang kata apa yang saya buat ni betul. Ustaz yang first!” katanya.

“Ustaz tak kata apa yang kamu buat ini 100% betul sebab asasnya kamu sepatutnya masih belajar. Belum umur bekerja. Kalau kamu keciciran belajar, sekarang ni keperluan kamu lepas dengan duit RM400-500 sebulan. Tapi depan-depan nanti keperluan kamu makin banyak, maka kamu kena juga pertimbangkan masa hadapan. Cuma, ustaz tetap rasa niat kamu baik.” Saya cuba menamatkan perbualan, memandangkan sudah ada mata yang mula berkaca.

Geram.

Tidak bolehkah sejenak kita orang dewasa berhenti berleter dan memberitahu apa yang patut ke atas anak-anak seperti ini, yang hidup di dalam dunia yang serba tidak patut itu?

Kisah itulah yang muncul di fikiran apabila saya melihat Joe akhirnya memecah masuk rumah bosnya. Semasa mencuri wang dari laci bosnya, beliau terpandang cermin. Joe berasa benci melihat wajahnya sendiri di cermin itu, bertindak menendang cermin tersebut hingga melukakan kakinya.

Joe mencuri kerana mahu membayar hutang bapanya. Guru muzik di sekolah sentiasa mengugut Joe agar memberi amaran kepada bapanya membayar hutang. Orang dewasa yang berhutang, budak 13 tahun itu yang dibebankan. Joe juga menggunakan wang samun untuk membeli kembali koleksi piring hitam Johnny Ray milik ibunya yang dimusnahkan oleh Bob.

Perbuatan Joe menyamun itu akhirnya sampai ke pengetahuan polis. Beliau telah ditahan dan dihantar ke Pusat Pemulihan.

Filem ini berakhir dengan lagu Johnny Ray mengiringi perjalanan Joe ke bilik tahanannya.

The Little White Cloud That Cried:

I went walking down by the river
Feeling very sad inside
When all at once I saw in the sky
The little white cloud that cried
He told me he was very lonesome
And no one cared if he lived or died
And said sometimes the thunder and lightning
Make all little clouds hide
He said “Have faith in all kinds of weather”
“For the sun will always shine”
“Do your best and always remember”
“The dark clouds pass with time”
He asked if I’d tell all my world
Just how hard those little clouds try
That’s how I know I’ll always remember
The little white cloud that sat right down and cried

Entahlah.

Apa yang boleh saya katakan ialah, wahai guru, wahai pendidik, tiada siapa yang menafikan kata-kata cikgu bahawa ibu bapalah guru pertama mereka. Ibu bapalah yang banyak memikul tanggungjawab untuk mendidik anak mereka sendiri, yang mereka bawa ke dunia ini.

Tetapi di dalam realiti, ada ramai murid yang datang ke sekolah dengan sejuta kehampaan daripada ibu bapa mereka sendiri, yang mereka tidak berpeluang memilih semasa dilahirkan ke dunia ini.

https://www.facebook.com/hasrizalabduljamil/photos/a.1627119244221193/2406063096326800/

Kalaulah ada sekelumit rasa kasih di hati, sudilah kiranya mempertimbangkan bahawa tidak budak yang nakal dan jahat tidak bersebab.

Pertimbangkan bahawa di sebalik angka-angka statistik itu, adalah manusia ciptaan Tuhan yang ada kesedihan menginginkan kegembiraan, kebahagiaan.

Jika tidak sanggup, tidak mengapa.

Panjatkan bayangan budak-budak itu, di dalam doamu.

https://youtu.be/JgDuE8CvGJo

Hasrizal
Oulu Finland
www.saifulislam.com

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.