Buku Terbaharu 2020: Seni Berfikir Yang Hilang

“Baik, kamu kenal si comel di skrin itu?” Saya bertanya.

Murid-murid baharu di sekolah kami ketawa.

Di skrin, saya paparkan imej kartun seekor khinzir. Gayanya seperti watak di dalam kartun Peppa Pig. Soalan saya kepada mereka ia, apabila mereka lihat seekor khinzir, apakah yang terlintas di fikiran mereka. Ia adalah strategi metakognitif saya pada mengaktifkan pengetahuan sedia ada murid-murid, sebelum memperkenalkan ilmu baharu. Ia adalah sesi saya bersama pelajar baharu Tingkatan 1 di Khalifah Model School (Secondary) tahun 2016.

Macam-macam yang mereka tulis.

Haram.

Najis Mughallazah.

Gelatin.

Semakin banyak perkataan disenaraikan, semakin jelas kepada para pelajar bahawa perihal seekor khinzir pun, ia bukan lagi sekadar isu agama, tetapi mencakupi macam-macam cabang ilmu. Ertinya, untuk efektif dalam kehidupan, ilmu yang dikuasai perlu pelbagai, dan berintegrasi. Tidak boleh hasil persekolahan nanti, orang sains jadi orang sains, orang sastera jadi orang sastera, orang agama jadi orang agama.

Sebab itu nama sekolah pun sekolah Khalifah.

Khalifah adalah dimensi seorang Muslim yang kerap terabai.

Dimensi yang merangkumkan maksud peranan dirinya di atas muka bumi, selain sebagai hamba kepada Allah, adalah sebagai manusia yang perlu memainkan peranan ke atas diri sendiri, insan sekeliling, dan alam yang diamanahkan Allah.

Di situlah saya perkenalkan kepada murid-murid sekolah kami sebuah kitab kecil karangan ilmuan tersohor umat Islam masa kini iaitu kitab Tsaqafah al-Da’iyah karangan al-Allamah al-Syeikh Yusuf al-Qaradhawi, hafizahullah. Memperkenalkannya kepada pelajar, bukanlah secara tradisional kalam ke kalam. Malah naskhah bahasa Malaysia juga tidak saya temui ketika itu, dan naskhah berbahasa Arab pula hanya dalam format Pdf yang ditemui di internet. Sebaliknya, saya gunakan pendekatan constructivism yang cuba membimbing pelajar membina pengetahuan mereka sendiri berdasarkan kes-kes yang diberi.

Di hujung bengkel, pelajar perlu bekerja did alam kumpulan masing-masing untuk membina bandar idaman mereka. Aspek yang perlu ditonjolkan ialah siapakah yang hendak membina atau menyediakan kemudahan tertentu di bandar itu dan apa ilmu yang diperlukan. Selain memberi dimensi ‘begin with the end in mind’ untuk murid-murid ini meneroka pengalaman persekolahan mereka nanti, saya juga mahu memupuk nilai yang tinggi pada apa sahaja pekerjaan yang dilakukan. Jadi jurutera, jadi pemandu bas, jadi pembina landskap taman, jadi tukang gunting rambut, apa sahaja yang dilakukan untuk kebaikan dan manfaat bersama, adalah di dalam kerangka mereka sebagai Khalifah Allah.

Saya telah mewacanakan buku Tsaqafah al-Da’iyah ini di dalam konteks serta hadirin yang berbeza. Ia dibincangkan di dalam kuliah Maghrib di surau, di dalam seminar, juga di sekolah-sekolah. Tujuan buku ini saya ketengahkan, adalah untuk mengarusperdanakan ia di dalam masyarakat umat Islam kontemporari di Malaysia. Buku ini mengandungi kerangka yang berkhasiat untuk merawat kejuzukan’ minda umat Islam akibat sistem pendidikan yang mengkelas-kelaskan murid mengikut aliran sejak sekian lama. Implikasinya, kita gagal menghormati batas keupayaan diri sendiri, lalu membabitkan diri dengan perkara-perkara yang kita tiada ilmu mengenainya. Tanpa ilmu, kita menjadi seperti tikus membaiki labu. Nampak sibuk dan seperti bekerja, tetapi labu hancur tanpa hasil di hujungnya.

Sheikh Yusuf al-Qaradhawi mengekori tradisi ilmuan-ilmuan islah di zaman sebelumnya. Apabila ulama kita mahu mengislah masyarakat, biar jalan apa pun yang dipilih, mereka tidak akan lari daripada membicarakan tentang asas-asas ilmu, kerana asas ilmu Islam itulah letaknya titik Tauhid yang mencantumkan kembali ‘agama’ dan ‘sains’ di dalam kerangka Syariatullah dan Sunnatullah.  Semua yang kita tahu, perlu kembali kepada sumber asalnya sama ada hasil menaakul alam atau tadabbur wahyu, kedua-duanya adalah mesej Rabbani daripada Ilahi yang Ahad, Allah Azza wa Jalla.

Semoga kupasan serba sederhana di dalam naskhah SENI BERFIKIR YANG HILANG ini, menjadi langkah pemula kepada usaha mengarusperdanakan karya penting Sheikh Yusuf al-Qaradhawi ini. Ia adalah kombinasi transkrip editorial kepada siri kuliah dan seminar saya, bersama coretan-coretan di blog yang penuh kekurangan dan terbuka kepada teguran, pembetulan dan penambah baikan. Jika saya mengejar kesempurnaan, maka lambat lagilah naskhah itu boleh saya kemukakan untuk manfaat pembaca. Justeru saya menjemput sahabat semua membaca dan mengerjakan naskhah ini bukan untuk belajar sesuatu daripada saya, tetapi untuk belajar sesuatu bersama saya.

Rahmati dan bimbinglah usaha kecil kami ini ya Allah.

Hasrizal Bin Abdul Jamil
Oulu Finland
27 Disember 2019 | 1 Jumada al-Oula 1441H

Check Also

3 Jam Mencanai Idea Pendidikan Bersama Roger Osorio

Anda boleh mengikuti perkongsian Roger Osorio di https://www.rogerosoriolearning.com/ Banyak masalah yang wujud di dalam pendidikan hari ini, …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.