Malaysia di Tahun 1970

Bagi kita yang sudah agak berumur, mungkin kita boleh memahami apabila ada yang mengatakan Malaysia pada tahun 1970an itu lebih baik. Ia bergantung kepada apa yang kita masing-masing resahkan pada masa ini.

Jika yang kita resahkan pada masa ini adalah masalah kemiskinan, maka mungkin kehidupan hari ini lebih baik. Kemiskinan di suatu ketika amat mencengkam kehidupan. Tetapi miskin di kampung, atau bandar yang masih mempunyai persekitaran kampung, kehidupan lebih munasabah untuk keperluan harian. Ada yang boleh dipetik keliling rumah, dikorek dari tanah, atau dikejar di halaman, untuk makanan. Miskin di bandar pada masa ini, adalah senario yang menakutkan.

Jika yang kita fikirkan pada masa ini adalah soal kesihatan, maka kehidupan hari ini pasti lebih baik. TB sudah sangat jarang membunuh manusia. Demikian juga banyak penyakit berjangkit yang lain. Rawatan penyakit kronik bertambah baik, juga implikasi trauma. Namun penyakit juga ada yang bertambah. Terutamanya penyakit ekoran gaya hidup.

Jika yang kita pertimbangkan pada masa ini adalah komunikasi, maka kehidupan hari ini pasti lebih baik. Dahulukala, telefon hanya sebuah di kampung, dikongsi bersama. Telegram, bukan aplikasi di telefon, tetapi perkhidmatan mesej pendek yang digunakan untuk menyampaikan berita segera, yang masih tidak begitu segera. Jika ada kakitangan pos berjalan kaki, berbasikal dan sesekali bermotor datang singgah ke rumah kita membawa telegram, ia sangat mendebarkan. Cuma, tanpa alat komunikasi untuk mengubah keputusan, orang dahulu lebih komited berpegang kepada temujanji. Kini, walaupun alat komunikasi menjadikan kita sentiasa terhubung, di masa ini jugalah banyak ikatan terputus dan hubungan terlerai.

Mereka yang mengatakan kehidupan di tanahair pada tahun 1970an dahulu lebih baik, berkemungkinan datang daripada jiwa yang rindukan kenangan ketika mana Melayu, Apek Cina, Bai Benggali, Anne India, hidup ramah tamah, berkawan dan berjiran tanpa sengketa, memahami agama dan budaya masing-masing, dan tidak menjadikannya asas curiga mencurigai, kata mengata dan benci membenci. Sendi kehidupan bersama di dalam sebuah negara.

Kemerosotan budi bahasa dan hati budi menjadikan kita bingung melihat makna dan nilai sebenar di sebalik bertambahnya syiar agama hari ini.

Kekejian bahasa di media sosial serta ruangan komen Youtube yang saya kongsikan di entri ini menambah sebab peribadi mengapa saya termasuk di dalam mereka yang merindui kehidupan harmoni Malaysia 1970an…. yang tidak mungkin akan kembali lagi.

COVID-19 sedang merombak semua yang kita sibukkan dalam kehidupan tahun 2020 ini.

Ini tempoh ‘detoks’.

Jika berjaya hidup pasca COVID-19, hiduplah dengan kehidupan yang lebih baik. Jika terkorban kerananya, moga kita pergi di dalam kondisi bermuhasabah dan berazam memperbaiki diri, kerana-Nya.

Hasrizal
Oulu FI

Check Also

Krisis Mental Gen Z: Salah Siapa?

Baru-baru ini saya bentangkan dapatan kajian Dr. Jonathan Haidt di dalam bukunya, The Anxious Generation. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.